Bab 57

Romance Completed 41738

“Kita mahu curi terus daripada budak lelaki tu? Siapa nama dia, bos?”

“Benji! Entahlah, sebab itulah aku datang jumpa kau malam ini. Aku nak berbincang cara terbaik untuk melakukannya.”

“Adam berada di sini, bos. Entah-entah dia sedang mendengar perbualan kita sekarang.”

“Aku tahu Adam berada di sini. Rasanya sudah hampir tiga tahun dia mengekori aku. Aku sudah faham cara dia bekerja. Aku nampak orang-orang Adam di sekeliling kita hari ini.”

“Ha? Ya? Err... kita kena lari, bos! Kita kena lari sekarang! Kita dalam bahaya!” Freddie mula menjadi resah. Dia nampaknya tidak sabar mahu bangun dari kerusi, mula bersedia untuk keluar dari restoran itu.

Notarbartolo menggeleng. Dia memegang lengan Freddie untuk menahannya daripada bergerak. Notarbartolo menarik lengan Freddie dan menyuruhnya duduk semula. “Sabar, Freddie. Jangan takut sangat. Kalau aku berbincang secara terbuka dengan kau di sini, maksudnya kita selamat.”

“Okey, bos. Kalau bos kata kita selamat, maka kita akan selamat!” Freddie kembali duduk dengan tenang.

“Kau tengok di sebelah kanan kau, seorang lelaki tempatan berbangsa Melayu sedang memegang telefon bimbit. Itu sebenarnya adalah alat penerima suara yang sepatutnya menerima suara kita.”

Freddie memandang ke arah lelaki yang dikatakan oleh Notarbartolo.

“Jadi, dia dapat dengar percakapan kita?”

“Tidak, dia tak dapat dengar kerana aku ada bawa pemecah gelombang bersama aku hari ini.” Notarbartolo menolak sebuah pemetik api kepada Freddie.

“Tapi ini pemetik api.”

“Ini adalah pemetik api istimewa. Selain memetik api, alat ini dapat memecah gelombang frekuensi radio dan yang seumpama dengannya. Ada seorang budak dalam School of Turin yang merekanya untuk aku.”

“Bagus ni, bos.”

“Kau tengok lelaki Melayu tu. Dia tak berjaya mencari gelombang untuk mendengar perbualan kita. Dia ingatkan alat penerima gelombang itu rosak.”

Freddie melihat ke arah lelaki itu. Lelaki itu sedang menggoyangkan alat berupa telefon bimbit yang dipegangnya itu beberapa kali.

“Baiklah, bos. Saya percaya cakap bos. Apa rancangan bos?”

“Aku mahu pesan makanan dulu. Tiba-tiba aku rasa lapar.”

Freddie memanggil seorang pelayan restoran yang berdiri berdekatan dengan mereka.

Hujan masih agak renyai-renyai di luar. Pagi itu tren LRT penuh dengan penumpang yang dalam perjalanan hendak ke tempat kerja.

Benji sengaja memakai jaket yang mempunyai kelubung kepala agar tidak ada yang mengenalinya nanti terutama pekerja-pekerja atau pelanggan-pelanggan dari tempat kerjanya. Dia tidak mahu rancangannya pagi itu terganggu.

Sebaik sahaja tiba di stesen KL Sentral, Benji turun dari tren bersama penumpang-penumpang lain. Dia menjeling jam tangannya. Waktu sekarang sudah pukul 8.37 pagi. Dia cuma ada kurang daripada setengah jam untuk mencari.

...bersambung

Bab akan datang:
Apa yang Benji mahu carikan?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience