“Ada banyak perkara yang saya masih belum faham sebenarnya, Adam.”
“Jangan salahkan diri awak, Benji. Biar pihak kami saja yang menyelesaikan semua ini. Apa rancangan awak? Adakah awak akan menyerahkan Noor Chenta kepada saya hari ini?”
“Sudah saya katakan, ada bayaran.”
“Apa yang awak mahukan sebagai bayaran?” Adam bertanya.
Keadaan sepi seketika. Benji duduk tanpa berkata apa-apa selama beberapa saat.
“Saya mahu tahu mengenai Alara. Saya mahu tahu segala-galanya mengenai Alara. Itulah bayarannya.” Benji bangun dan menuju ke arah jendela. Terasa bagaikan ada air yang mahu gugur di matanya.
“Itu saja yang awak mahukan sebagai bayaran?” Adam bertanya. Dia tidak menyangka hanya itu permintaan Benji.
Benji berpaling. “Ya, itu saja. Walau apapun yang terjadi kepada saya nanti, sekurang-kurangnya saya tahu segala-galanya.”
“Di mana Noor Chenta sekarang?”
“Saya akan beritahu setelah saya dapat apa yang saya mahu.”
“Baiklah. Kalau hanya itu yang awak mahukan, saya boleh ceritakan mengenai Alara malam ini juga. Tapi saya ada kerja penting malam ini. Awak perlu ikut saya. Kita boleh bercerita panjang sambil bersiar-siar di Kuala Lumpur,” Adam menjawab dan menunggu reaksi Benji.
Benji mengangguk, tanda bersetuju.
Notarbartolo memandu dengan perlahan memasuki sebuah lorong kecil dan memberhentikan kereta di hadapan sebuah bank. Freddie yang berada bersamanya memandangnya dengan penuh kehairanan. Mereka berbicara dalam bahasa Itali.
“Leo, adakah kita akan merompak bank ini?”
“Bukan bank ini, Freddie. Cuba tengok di sebelah sana, ada sebuah butik berlian,” Notarbartolo menjawab sambil memandang ke arah butik berlian yang diceritakan olehnya.
“Aku tak faham, bagaimana kita akan mendapat Noor Chenta kalau kita merompak butik berlian ini?”
“Aku akan beritahu bagaimana nanti. Berapa orang agaknya yang kita perlukan untuk memecah masuk kedai ini?” Notarbartolo bertanya.
Freddie mengambil masa beberapa ketika untuk melihat-lihat kawasan sekitar butik berlian tersebut. Butik berlian itu tidak begitu besar, hanya satu lot bangunan rumah kedai di sebelah sebuah bank. Simpanan barangan kemasnya juga mungkin tidak begitu banyak.
“Empat orang sudah cukup termasuk pemandu kereta. Kawalannya tidak begitu ketat,” Freddie menjawab.
“Seorang pemandu, seorang memecah kunci, seorang lagi mematikan sistem penggera dan seorang masuk ke dalam untuk mengambil semua berlian yang ada.”
“Ya, selepas kunci dipecah dan penggera dimatikan, dua orang ini boleh masuk untuk mengumpul semua barang,” Freddie menyambung.
“Aku terlupa mengenai CCTV. Bagaimana, Freddie?”
“Sistem penggera dan CCTV boleh dimatikan oleh orang yang sama. Tidak begitu susah kerana kedai ini kecil.”
“Esok aku akan datang lagi sebagai pelanggan. Aku akan lihat lebih teliti kawasan di dalam kedai itu.
...bersambung
Bab akan datang:
Adakah rancangan Notarbartolo akan berjaya untuk merompak berlian di kedai itu?
Share this novel