Bab 21

Romance Completed 41738

Minggu ini Benji dan tiga orang rakan setugasnya perlu berada di Antwerp untuk menyiapkan sedikit kerja di pejabat pelanggan. Perjalanan dari Brussels, ibu kota Belgium ke Antwerp mengambil masa kurang daripada sejam menaiki kereta kepunyaan pejabat.

Selepas membaca maklumat pelancong mengenai Antwerp, barulah Benji tahu lebih daripada 80 peratus berlian mentah dunia didagangkan di kota Antwerp dan terdapat lebih daripada 10000 pemotong berlian menjalankan perniagaan di sini. Kawasan utama yang menjalankan perdagangan berlian di Antwerp digelar Diamond District yakni kawasan yang dilingkungi oleh tiga jalan utama, Hoveniersstraat, Schupstraat dan Rijfstraat sebesar dua kilometer persegi. Di kota ini juga terdapat sebuah muzium yang mempamerkan sejarah perniagaan berlian di Antwerp.

Hati Benji tersentak ketika dia membaca mengenai muzium berlian di Antwerp. Dia teringat mengenai Hope Diamond yang diceritakan oleh Alara, sebutir berlian yang bernilai jutaan ringgit. Banyak perkara mengenai Alara yang masih lagi menjadi tanda tanya. Mengapa dia selalu sahaja diburu? Mengapa dia menari bersama-sama penari Gipsi tempoh hari dan tidak pulang ke rumah semenjak itu?

Benji sekali lagi tersentak apabila rakan sekerja di sebelahnya melemparkan akhbar yang dibacanya ke tempat duduk kosong di sebelah mereka.

“Stupid European Law. Or maybe this Leornado is such a smart thief! He stole USD100 million worth of diamonds and he is free after 10 years? I also want to be a diamond thief, man!” Faizal berpeluk tubuh seketika, tidak berpuas hati dengan kandungan akhbar European Daily yang baru sahaja dibaca.

Dua rakan sekerjanya yang berada di bahagian hadapan kereta hanya menggeleng.

Sambil ketawa sedikit, pemandu kereta itu menjawab, “Well, he is a genius and we are definitely not!”

Seorang lagi rakan sekerja di sebelah kanannya juga ketawa.

Benji mengambil akhbar yang dilemparkan oleh Faizal. Matanya terpaku kepada gambar seorang lelaki Itali yang nampak segak, Leornado Notarbartolo. Dia telah mengadakan pakatan mencuri berlian bersama lima orang lain di Antwerp Diamond Centre yang mempunyai sepuluh lapisan keselamatan. Dia berjaya melarikan berlian bernilai USD100 juta dan hanya dipenjarakan selama sepuluh tahun. Kesemua berlian yang dicuri tidak pernah ditemui oleh pihak polis. Kejadian ini berlaku lebih sepuluh tahun lepas dan kini dia sudah pun keluar dari penjara.

Benji membaca lagi dengan lebih teliti kisah Leornado Notarbartolo. Selepas dia keluar dari penjara, dia telah ditemui di Milan bersama satu kilogram berlian yang belum digilap dan telah dirampas oleh pihak berkuasa. Malangnya, berlian mentah memang hampir mustahil untuk dijejak jika dicuri. Hanya berlian yang telah digilap selalunya diletakkan identiti menggunakan teknologi laser dan tidak dapat dilihat oleh mata kasar tetapi berlian yang belum digilap tidak ada tanda untuk dijejak semula. Polis tidak berjaya membuktikan berlian mentah itu adalah sebahagian daripada berlian-berlian yang dicuri sepuluh tahun sebelum itu dan Notarbartolo terpaksa dilepaskan.

...bersambung

Bab akan datang:
Mungkinkah berlian yang dicuri Notarbartolo ada kaitan dengan permata biru yang diberikan Alara?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience