“Cuma satu saja yang saya masih belum benar-benar jelas. Mengapa awak sanggup lakukan semua ini, Alara? Menurut Adam, awak adalah antara ejennya yang terbaik.” Benji membiarkan Aishar mengambil masa untuk bertenang.
“Saya mahukan ketenangan, Benji. Ketenangan menghadapi hidup setiap hari. Saya mahu hidup seperti orang biasa, mempunyai keluarga, balik ke rumah yang sama setiap malam, makan bersama suami dan anak-anak. Jika saya terus menjadi Alara, tak mungkin saya dapat mencapai semua itu. Sekarang nama saya Aishar. Panggil saya Aishar.” Aishar memandang tepat ke mata Benji. Nampak keikhlasan dalam renungan matanya. Aishar mula menyentuh jari-jemari Benji.
“Dan, saya juga cintakan awak!” Aishar menyambung.
Benji tergamam dengan pengakuan Aishar. Pertama kali dia mendengar kata-kata itu daripada seorang wanita di alam nyata, bukan di alam mimpi.
“Baiklah, Aishar. Ceritakan semuanya, segala yang telah berlaku.” Benji menyentuh lembut pipi Aishar.
Beberapa titis air hangat mengalir daripada mata Aishar.
“Saya akan ceritakan segala-galanya,” Aishar menjawab lembut.
Aishar mengambil nafas. Dia cuba mengingati kembali identiti asalnya yang bernama Alara. Baginya, nama Alara penuh dengan kisah duka.
Sebaik sahaja Alara berjaya melepaskan diri dengan bantuan unit penyelamat Skuad Alpha di Brussels, Alara telah dibawa oleh Adam ke Kuala Lumpur. Walaupun Adam tidak mahu dia banyak membuat kerja-kerja luar, khidmatnya masih diperlukan untuk memancing Notarbartolo. Rancangan Adam mudah. Alara hanya perlu muncul di beberapa tempat dengan memakai replika cincin yang bertatahkan permata Noor Chenta sehingga Notarbartolo sedar kehadiran Alara di Kuala Lumpur dan mahu mencuri Noor Chenta daripada Alara semula. Ketika itu Adam akan menangkap Notarbartolo.
Alara melakukan seperti apa yang dirancang dan sekali lagi dia ditangkap dan dikurung. Kali ini dia dikurung oleh sekumpulan samseng tempatan yang dianggotai oleh beberapa orang Melayu dan India.
Kumpulan samseng ini menyimpan pekerja seks paksaan yang berasal dari Thailand, Filipina dan Afrika dan Alara dikurung bersama mereka.
Apabila mereka mendapat tahu bahawa cincin yang dipakainya bukan Noor Chenta yang sebenar, dia dipukul lagi.
Suatu hari, pihak polis membuat serbuan di rumah tempat mereka dikurung dan mereka disorok ke dalam sebuah bilik khas. Dalam kekalutan, entah bagaimana, bilik itu berjaya dipecahkan. Semua wanita yang terkurung berpusu-pusu keluar. Cuma ada seorang wanita yang sakit tenat, tidak mampu berlari keluar dari situ. Wanita itu mempunyai kulit, rangka dan susuk tubuh yang hampir sama dengan Alara.
Mungkin kerana litar pintas, bilik itu mula terbakar dan wanita itu terperangkap di dalam bilik itu.
Alara kembali ke rumah itu semula selepas beberapa jam. Niatnya untuk menyelamatkan wanita itu.
...bersambung
Bab akan datang:
Dapatkah Alara menyelamatkan wanita itu sebenarnya?
Share this novel