Kini sudah hampir seminggu Benji berada di Brussels. Sudah hampir seminggu juga Benji tertanya-tanya bagaimana gadis Eropah seperti Alara boleh fasih berbahasa Melayu. Walaupun mereka duduk serumah, mereka jarang bertemu.
Alara nampaknya tidak bekerja mengikut waktu pejabat. Dia selalu keluar dari rumah selepas waktu pejabat dan kembali sebelum waktu pejabat bermula. Mungkin kerjanya mengikut syif.
Benji membelek-belek beberapa helai tali leher yang berada di dalam almari pakaian. Hari ini dia perlu sampai awal ke pejabat kerana dia dan beberapa orang rakan sekerja akan membuat lawatan kali pertama ke De Beers Diamond untuk mengenali syarikat itu dengan lebih dekat lagi.
Dia perlu nampak segak. Tangannya terhenti apabila terlihat sehelai tali leher berwarna biru yang dihadiahkan oleh Zahra beberapa tahun dahulu. Seperti Alara, warna kegemaran Zahra juga adalah biru.
Benji terus mengambil tali leher berwarna biru tersebut dan mengikatnya pada leher. Setiap kali dia memakai tali leher tersebut, dia berasa lebih yakin. Terasa hatinya lebih dekat dengan Zahra.
“Hai, Alara,” Benji menyapa sebaik sahaja dia masuk ke ruang dapur untuk membancuh kopi. Badannya terasa sedikit lesu kerana berjaga hingga pagi untuk menyiapkan kerja-kerja yang tertunggak.
“Hai, Benji,” Alara menyahut sambil mengisi cerek elektrik dengan air di singki berkembar. Alara memakai seluar pendek dan kemeja-T tanpa lengan. Rambutnya diikat tinggi.
Benji menunggu seketika untuk membasuh tangan. Dia terlihat seluruh jari tengah tangan kiri Alara berbalut. Balutan yang agak kemas seperti balutan yang dilakukan di hospital.
“Kenapa dengan jari tu? Patah ke? Macam kena simen saja?” Benji bertanya.
“Oh, taklah. Luka kecil saja,” Alara membalas sambil tersenyum.
“Nampak macam luka parah, sampai kena plaster. Bagaimana boleh luka?”
“Luka semasa kerja.”
“Awak kerja apa sampai patah jari?”
“Err...” Alara meletakkan cerek ke atas kabinet dapur dan memasang suis.
Dari belakang, Benji nampak sedikit tanda hitam sebesar duit sepuluh sen di belakang telinga cuping telinga kanan Alara. Nampak seperti tanda lahir atau tahi lalat yang lebih besar daripada biasa.
“Saya penterjemah,” Alara menyambung.
“Penterjemah? Boleh luka sampai begitu sekali?”
“Saya membantu pihak berkuasa untuk menterjemah perbualan di kawasan yang agak bahaya. Terjadi satu pergaduhan. Saya tercedera sedikit saja. Dua tiga hari lagi, baiklah nanti.”
“Nasib baik saya bukan penterjemah.”
“Saya rasa awak mungkin bekerja dalam bidang teknologi maklumat, bukan?”
“Ya, bagaimana awak tahu?”
“Rupa, bunyi dan bau awak macam orang bekerja dalam bidang teknologi maklumat.”
“Bau?”
“Ya, bau.” Alara menarik nafas betul-betul di bahu Benji.
“Bau laptop, printer dan server,” Alara menyambung sambil tersenyum nakal.
“Apa lagi yang awak tahu mengenai saya?”
...bersambung
Bab akan datang:
Benarkah Alara kemalangan seperti yang diceritakan kepada Benji?
Share this novel