“Eh, kakak tengok-tengok sajalah, Ecah,” Zahra menjawab sambil tersipu malu.
“Tak mengapa, kak. Cuba dulu. Mari, Ecah pakaikan.” Siti Aishah mengambil tudung bawal di tangan Zahra, mengibarkannya sedikit dan meletakkannya di atas kepala Zahra. Siti Aishah kemudian membawa Zahra ke hadapan cermin.
“Tak sesuailah, Ecah. Rasa tak boleh nak pakai.” Zahra menarik tudung itu daripada kepalanya dan menyerahkannya kepada Siti Aishah semula.
“Kena cuba, kak. Mula-mula memang rasa janggal tapi lama-lama bila dah biasa, rasa lebih mudah. Bila pakai tudung, tak perlu lagi warnakan rambut. Tak perlu risau kalau ada uban dan kita akan sentiasa nampak lebih kemas,” jawab Ecah sambil menyarungkan anak tudung pada kepala Zahra. Siti Aishah mengambil tudung bawal dan memakaikannya kepada Zahra semula.
“Cantik, kak. Ustaz Amir pasti akan suka nanti. Enam bulan lagi, bila kakak dah kahwin, kakak nak pakai tudung ke?” Siti Aishah bertanya.
“Rasanya lebih baik pakai tudung, nanti apa kata orang, suami ustaz tapi isteri rambut berwarna-warni macam perempuan jahiliah,” Zahra menjawab dengan nada berjenaka.
“Kerana cinta!” Siti Aishah menjawab juga dengan nada berjenaka sambil cuba mengemaskan lagi tudung Zahra.
“Ayat tak lengkap tu, Ecah, kerana cinta kepada Allah,” Zahra membalas.
Siti Aishah mengangguk tanda bersetuju. “Apa perasaan Abang Benji bila dia dapat tahu kakak nak kahwin dengan Ustaz Amir?”
“Entahlah, Ecah. Kakak tak pernah bincangkan perkara ini dengan Benji.”
“Ecah nampak Abang Benji tu, taraf kewangannya lebih stabil. Bukannya apa, kak. Cinta tu cinta juga tapi taraf kehidupan selepas kahwin banyak bergantung kepada pendapatan suami. Nanti sudah beranak-pinak nanti, susah dah orang perempuan macam kita ni bekerja cari duit lebih untuk bantu sara keluarga.”
“Kakak tahu Benji sukakan kakak tapi dia tak pernah berterus terang dengan kakak. Dah lama kakak tunggu. Akhirnya, Ustaz Amir yang pinang kakak. Kalau Benji tu betul-betul sukakan kakak, rasanya dah lama dia cakap. Mungkin dia tak betul-betul berminat. Jadi, kakak tak naklah jadi macam perigi cari timba.”
“Isteri Nabi Muhammad SAW, Siti Khadijah yang meminang Nabi Muhammad SAW, kak. Tak salah kalau kakak yang mulakan.”
“Dah terlambat, Ecah. Kakak dah terima pinangan Ustaz Amir. Walaupun kakak rasa Benji tu agak sesuai untuk kakak, tetapi mungkin ini jodoh ketentuan Tuhan. Kakak reda. Ecah kenalah ajar kakak bagaimana nak jadi isteri seorang ustaz.”
“Jangan risau, kak. Ecah akan sentiasa bersama kakak.” Siti Aishah membetulkan sedikit tudung Zahra.
Zahra menggayakan tudung itu di hadapan cermin panjang di bilik itu. Hatinya kini sudah tetap. Dia benar-benar mahu berubah untuk menjadi seorang isteri yang solehah kepada Ustaz Amir.
...bersambung
Bab akan datang:
Benarkah apa yang dikatakan Zahra bahawa Benji tidak berminat dengannya lalu menerima pinangan Ustaz Amir?
Share this novel