Walaupun tidak begitu terkenal, hotel ini nampak bersih dan teratur. Lokasinya sangat baik, tidak begitu jauh dari stesen LRT dan komuter.
Benji duduk di sofa lobi hotel sebaik sahaja dia masuk. Dia mahu memerhatikan dahulu keadaan hotel itu. Jam dinding yang ada di situ menunjukkan pukul 7.45 malam. Masih ada 15 minit lagi sebelum pertemuannya dengan Adam. Orang yang lalu-lalang di lobi hotel itu kebanyakannya mahu masuk ke sebuah restoran berdekatan untuk makan malam.
Benji menyeluk poketnya untuk memastikan semua yang diperlukan ada. Dia juga meneliti hampir kesemua orang yang lalu-lalang di hadapannya. Lima belas minit dirasakan terlalu lama. Setiap saat yang berlalu dirasakan terlalu panjang, ditambah pula dengan hatinya yang agak resah.
Seorang lelaki Eropah yang duduk berdekatan dengannya menarik perhatiannya. Lelaki itu berpakaian kemas dengan kot berwarna kelabu. Dia sedang sibuk menggunakan ipad dan kadangkala menjeling ke arahnya.
Dia pernah menemui lelaki ini dahulu. Raut mukanya yang agak kasar. Dahinya berkerut-kerut walaupun mukanya dalam keadaan biasa, hidungnya pula tirus dan rambutnya ikal separas bahu. Di mana agaknya dia pernah melihat lelaki ini?
Benji terkejut sedikit apabila sepasang suami isteri lalu di hadapannya. Pasangan ini membawa beberapa buah beg pakaian dan duduk di sebuah sofa panjang di hadapan Benji.
Sekali lagi dia menjeling ke arah jam dinding. Jam itu sudah menunjukkan pukul 8.00 malam. Benji bergerak menuju ke arah kaunter pertanyaan.
“Ya, encik. Ada apa-apa yang dapat saya bantu?” Seorang gadis penyambut tetamu yang berada di kaunter itu bertanya.
“Saya ada pertemuan dengan Harry Potter pada pukul 8.00 malam,” Benji menjawab dengan berhati-hati.
“Maaf, encik. Pertemuan dengan siapa?” Gadis itu bertanya sekali lagi.
Benji semakin waswas dengan pertemuan ini. “Harry Potter,” Benji menjawab sekali lagi.
Gadis itu nampak keliru. Dia berjalan ke belakang kaunter untuk bertemu dengan salah seorang rakan sekerjanya. Seorang lelaki berpakaian uniform hotel itu tiba-tiba datang ke arah gadis itu dan berbisik sesuatu kepadanya. Gadis itu keluar melalui sebuah pintu berdekatan dan lelaki itu menggantikan tempatnya.
“Encik hendak berjumpa dengan Harry Potter?” Lelaki itu bertanya.
Benji semakin resah. “Ya, pukul 8.00 malam,” Benji menjawab walaupun hatinya dirundung rasa gelisah.
Lelaki itu memeriksa skrin komputer. “Boleh saya dapatkan nama encik?”
“Benji.”
“Encik Benji, pertemuan ini diadakan di Business Centre, di tingkat dua. Encik boleh naik lif di sana.” Lelaki itu menunjukkan arah.
“Terima kasih,” Benji menjawab.
“Salah seorang pekerja saya, Ahmed, akan bawa Encik Benji ke sana.” Sebaik sahaja lelaki itu memetik loceng di mejanya, seorang lagi pekerja dengan pakaian uniform hotel berdiri di sebelah Benji.
...bersambung
Bab akan datang:
Siapakah Harry Potter yang ingin dijumpai oleh Benji?
Share this novel