Bab 25

Romance Completed 41738

Alara memandang ke seluruh kawasan sekali lagi. Seperti yang dirancang, tiga orang rakan sekerjanya berada di tiga sudut kawasan yang berbeza. Mereka sudah pun bersedia di posisi masing-masing.

Dari kejauhan, Alara nampak beberapa orang lelaki berpakaian kemas dan berbadan sasa mula masuk melalui pintu utama. Beberapa saat kemudian, seorang lelaki Eropah berpakaian kot serba putih masuk dan duduk di sebuah meja khas. Beberapa orang hadirin mula menegur lelaki itu dan berjabat tangan tanda hormat.

Alara tersenyum. Lelaki itu datang tepat pada masanya. Alara berjalan menuju ke arah lelaki itu dan menghulurkan tangannya. Seperti kebiasaan budaya orang Eropah, lelaki itu memegang jari-jemari Alara dan mula mengucupnya sedikit. Lelaki itu tidak melepaskan pegangannya.

“I will be performing tonight, should I start now?” Alara bertanya dengan perlahan.

“Yes, you may,” lelaki itu menjawab tetapi masih tidak melepaskan jari-jemari Alara.

Alara terpaksa menarik tangannya tetapi selepas itu tunduk sedikit sebagai tanda hormat. Dia menepuk tangan dan beberapa orang pemuzik dalam kumpulan tariannya mula memainkan muzik.

Semua rakan sekerjanya tahu minat lelaki berkot putih itu. Dia amat menggemari hiburan berbentuk persembahan dan dia sanggup membelanjakan banyak wang untuk jamuan poolside seperti ini setiap dua bulan.

Alara memulakan persembahan tarian geleknya bersama tiga gadis lain. Dia mengambil tamborin dan mengetuknya sedikit-sedikit sebagai pembuka persembahan. Para hadirin yang mula mendengar ketukan tamborin itu mula berkumpul di sekeliling kolam untuk melihat persembahan.

Alara mengambil masa hampir tiga bulan untuk mempelajari tarian ini dan tiga bulan lagi menari bersama kumpulan persembahan ini. Dia perlu mendapatkan kepercayaan lelaki berkot putih itu untuk menyelesaikan tugasannya kali ini.

Setelah persembahan selesai, Alara tunduk hormat di hadapan lelaki berkot putih dan mula masuk ke kawasan jamuan melihat-lihat hidangan malam itu.

“Alara!” Kedengaran satu suara menyebut namanya.

Alara berpaling. Jantungnya berdegup kencang melihat orang yang memanggil namanya. “Benji!”

“Alara, bagaimana awak boleh berada di Kuala Lumpur?” Benji bertanya dengan nada kehairanan.

“Err... Maaf, Benji. Saya...” Degupan jantung Alara menjadi semakin kencang. Kata-katanya semakin tidak keluar daripada kerongkongnya.

“Awak pergi begitu saja, Alara. Awak tinggalkan saya sendirian di Brussels tanpa sebarang pesanan.”

Sebaik sahaja Benji habis melafazkan kata-kata tersebut, pengerusi majlis membuat pengumuman meminta semua hadirin untuk berkumpul bagi menyaksikan persembahan bunga api di langit. Beberapa saat kemudian, semua pemuda-pemudi yang menghadiri jamuan malam itu berkerumun di kawasan tempat Alara dan Benji berdiri.

“Alara, semua dah berkumpul ni. Kalau awak nak lari daripada saya, awak kena terjun ke dalam kolam.” Benji memegang bahu Alara.

“Lima minit saja, Alara. Pertunjukan ini hanya lima minit. Temankan saya.” Benji memegang erat lengan Alara. Akhirnya, Alara mengalah. Sambil melepaskan keluhan kecil, dia berdiri di sebelah Benji.

...bersambung

Bab akan datang:
Apa sebenarnya motif Alara di situ? Mungkinkah ada sesuatu yang akan dilakukannya tanpa pengetahuan Benji?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience