Bab 47

Romance Completed 41738

Benji mengangguk sedikit, tanda bersetuju.

“Abbas, terima kasih kerana bertemu dengan saya.” Benji menghulurkan tangan untuk berjabat.

“Saya perlu pulang ke Brussels beberapa hari lagi. Ada mesyuarat di De Beers. Nasib baik awak sempat cari saya,” Abbas menjawab sambil menukar tanda pada pintu kepada ‘Tutup’ dan mengunci pintu cermin kedainya dari luar. Abbas sempat memberi isyarat tangan kepada pengawal keselamatan yang menjaga kedai emas itu.

“Dah lewat malam ni, Benji. Esok aku kena buka kedai ini awal pagi kerana ada tempahan. Apa hal yang penting sangat ni?” tanya Abbas sambil berjalan bersama Benji memasuki kedai kopi di sebelah kedainya.

“Aku perlukan nasihat seorang pakar batu permata. Kau yang terbaik pernah aku kenal,” Benji menjawab sambil menepuk bahu Abbas. Mereka memilih meja yang agak jauh daripada orang lain.

“Kalau kau nak buat tempahan cincin untuk kahwin, datanglah waktu siang, semasa kedai ini dibuka. Dah hampir pukul 11.00 malam, baru nak cari aku. Kita memang kawan tapi aku perlu tidur juga!” Abbas menjawab dengan nada tidak berpuas hati.

Benji mengambil sehelai sapu tangan yang telah dilipat beberapa kali dan meletakkannya di hadapan Abbas. “Aku nak minta tolong kau periksa cincin ini.”

Sambil tersenyum sinis, Abbas membuka lipatan sapu tangan itu.

“Berlian berwarna biru. Jarang sekali aku melihat berlian berwarna biru di Kuala Lumpur. Selalunya di Eropah,” ujar Abbas sambil mengambil cincin bertatahkan berlian biru itu dan menayangkannya ke arah lampu di siling kedai itu. Abbas mengambil kanta kecil yang selalu digunakan oleh tukang emas untuk memeriksa kualiti batu permata.

“Berlian dipotong dengan baik,” Abbas memberi komen.

“Jadi, ini berlian tulen?” tanya Benji.

“Ya, asli dan tulen. Selalunya jika berlian itu diniagakan melalui syarikat besar seperti De Beers, ada tanda pengenalan menggunakan laser tapi yang ini tak ada. Mungkin ia dicanai oleh pencanai berlian persendirian atau mungkin ia dicanai sebelum adanya teknologi laser,” Abbas menjawab sambil meneliti ikatan cincin itu yang diperbuat daripada logam perak.

“Mungkinkah ini berlian Noor Chenta?” Benji bertanya.

“Woo...” Abbas melemparkan cincin berlian itu kembali ke atas sapu tangan yang berada di atas meja.

“Kenapa?” Benji bertanya dengan nada terkejut.

“Itu aku tak dapat nak pastikan. Di mana kau dapat cincin ni? Kalau betul ini Noor Chenta, bawa balik cincin ini dan jangan datang ke sini lagi!” Abbas memberi amaran.

“Bertenang, Abbas. Ada seorang kawan aku dari Brussels yang hadiahkan cincin ini kepada aku. Kenapa dengan Noor Chenta, Abbas?”

Abbas meneguk air liur sebelum meneruskan penerangan. “Noor Chenta harganya jutaan ringgit.

...bersambung

Bab akan datang:
Apa kisah disebalik Noor Chenta?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience