“Ya, saya benar-benar menyintainya,” Benji menjawab. Tidak pernah dia membuat pengakuan itu selama ini. Baru hari ini dia benar-benar sedar akan hakikat itu.
“Saya minta maaf kerana membuatkan awak menangis,” Aishar berkata perlahan.
“Pemergiannya terlalu mengejut. Kematiannya mengerikan. Jika saya tahu lebih awal masalah yang dihadapinya, mungkin saya dapat membantu. Tetapi segala-galanya telah terjadi,” Benji menjawab dengan perlahan.
“Awak tahu apa sebenarnya yang berlaku? Mengapa dia dibunuh dengan sebegitu kejam?” Aishar bertanya dengan nada yang agak gusar.
“Secara tak sengaja, dia terlibat dengan orang yang salah. Mungkin dia terperangkap.”
“Awak rakan sekerjanya? Setahu saya, dia hanya seorang penterjemah. Saya tak dapat bayangkan bagaimana dia boleh terlibat dengan kumpulan penjenayah antarabangsa. Kaum keluarga saya yang bercerita mengenai kes ini. Adakah itu semua benar? Saudara-mara saya kata, Alara terlibat dengan kumpulan yang merompak berlian di Eropah.”
“Saya rasa dia terlibat secara tidak sengaja,” Benji menjawab dengan tenang.
Aishar menyisir rambutnya yang menutupi wajahnya ke belakang cuping telinga. Pandangannya dilontarkan jauh melewati tingkap kaca restoran tersebut.
Benji terlihat anting-anting yang dipakai oleh Aishar. Dia pernah melihat anting-anting itu sebelum ini. Anting-anting itu berwarna emas berbentuk kulit kerang. Alara juga selalu memakai anting-anting yang hampir sama. Selain daripada gerak-geri dan suara yang sama, Aishar juga memakai anting-anting yang sama dengan Alara. Mungkin mereka berdua pinjam-meminjam barang antara satu sama lain.
Kedengaran bunyi siren kereta polis di jalan raya berdekatan. Aishar bangun menuju ke tingkap untuk melihat dengan lebih dekat. Ketika itu Benji terlihat sedikit tanda hitam di belakang cuping telinga kanan Aishar, tanda lahir yang pernah dilihatnya sebelum ini. Rasa-rasanya tanda lahir yang sama terdapat pada telinga Alara juga.
Benji semakin keliru. Dia mengambil masa beberapa saat untuk mengimbau kembali kesemua yang telah berlaku semenjak dia menemui Alara sehingga hari ini. Alara dan Aishar mempunyai ketinggian, susuk badan dan suara yang sama. Hanya raut muka mereka berdua yang berbeza. Alara berwajah Eropah tetapi Aishar berwajah Asia atau Pan Asia. Nampak sedikit raut gadis Melayu pada wajahnya. Mungkinkah ada dua orang yang mempunyai tanda lahir yang sama? Aishar juga memakai barang kemas yang dipakai oleh Alara.
Surat-surat Alara pula hanya diterimanya selepas tarikh Alara terbunuh. Mungkin juga Alara telah menulis semua surat itu sebelum dia menemui ajal tetapi bagaimana dia berjaya memastikan semua surat itu sampai tepat pada waktunya?
Benji juga masih ingat, mengikut kata Adam, Alara ditugaskan untuk mengembalikan Noor Chenta. Tetapi dia juga masih ingat Notarbartolo menyatakan, selain Noor Chenta, Alara juga mengambil beberapa butir berlian lain yang lebih kecil.
...bersambung
Bab akan datang:
Benarkah Aishar bukan Alara?
Share this novel