Bab 29

Romance Completed 41738

Benji tunduk seketika setelah mendengar pengakuan Alara.

“Kerja-kerja awak nampak amat membahayakan. Apa kata kalau awak cari saja kerja lain dan tinggal saja di sini? Jika awak mahir dalam lima bahasa, saya rasa tidak ada masalah untuk awak mencari pekerjaan di sini. Awak juga fasih berbahasa Melayu. Saya pasti banyak yang dapat awak usahakan di sini.”

“Entahlah, Benji. Saya tak pernah terfikir untuk tinggal di sini selama ini.”

“Saya hanya memberi cadangan. Saya risau melihat keadaan awak yang sentiasa berada dalam bahaya,” Benji membalas. Ketika ini mereka sudahpun menghampiri sebuah gerai yang menyediakan permainan baling bola dengan hadiah sebuah teddy bear bersaiz besar jika semua tiga balingan mengenai sasaran bergerak.

“Saya suka permainan ini. Awak nak cuba?” Alara bertanya kepada Benji.

“Boleh, saya mula dulu.” Benji bersetuju. Benji membayar tiket dan diberikan tiga biji bola. Benji mengambil masa yang agak lama untuk memberikan tumpuan kepada sasaran bergerak agar cubaannya berjaya, malangnya semua cubaan Benji gagal. Tidak ada satu bola pun yang mengenai sasaran.

Alara kemudiannya membayar tiket dan mengambil tiga biji bola. Balingan pertamanya mengenai sasaran.

“Wah, awak memang hebat!” Benji mencelah.

Alara membaling dua biji bola lagi dan kedua-duanya juga mengenai sasaran. Empunya gerai itu memberikan ucapan tahniah dan menghadiahkan Alara sebuah teddy bear saiz besar seperti yang diiklankan.

Benji masih ingat lagi peristiwa yang berlaku di sebuah restoran di Brussels yang mana Alara membaling beberapa bilah pisau dengan tepat walaupun dalam keadaan yang agak tegang.

“Awak kena belanja saya makan, Benji. Saya menang!” Alara meminta.

“Boleh saja, awak boleh minta makanan apa-apa saja malam ini, saya akan belanja,” Benji menjawab. Sambil tersenyum, mereka berdua berjalan beriringan menuju ke kawasan gerai makan berdekatan.

Adam yang sedari tadi memerhatikan gelagat mereka berdua membaling puntung rokok ke tanah dan memijaknya dengan kasut sehingga apinya padam. Alara tidak nampak kehadirannya di fun fair malam itu kerana dia sengaja memakai pakaian samaran. Sudah beberapa kali dia nampak Alara bertemu dengan Benji di kawasan orang ramai. Nampak jelas pada wajah Alara yang dia kegembiraan jika bertemu dengan Benji. Apakah Alara jatuh cinta lagi?

Adam melepaskan keluhan berat sebaik sahaja fikiran itu masuk ke mindanya. Kali terakhir Alara jatuh cinta, semua tugasan yang diketuai oleh Adam telah tergugat dan kumpulan mereka hampir-hampir menemui kegagalan. Sebagai ketua, dia perlu memastikan setiap tugasan diselesaikan dengan sempurna. Nampaknya dia terpaksa bersemuka dengan Alara dan berbincang mengenai Benji dalam masa terdekat.

...bersambung

Bab akan datang:
Apakah tugasan yang mereka lakukan sebenarnya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience