“Mereka berada di hadapan butik berlian,” Gaston memberitahu.
“Kita tangkap mereka sekarang, Inspektor Jalil,” Adam memberi cadangan.
“Mereka hanya berdiri di luar pintu itu. Kami tak boleh tangkap sehingga mereka memecah masuk,” Inspektor Jalil menjawab.
Adam tidak berpuas hati dengan jawapan Inspektor Jalil.
Notarbartolo dan kawan-kawannya berdiri di hadapan pintu butik berlian itu sambil minum air dalam tin dan bergelak ketawa sesama sendiri. Salah seorang ahli kumpulan itu nampak mabuk.
“Mereka hanya meraikan malam pesta tahun baru nampaknya,” Inspektor Jalil bersuara.
“Mereka tidak akan merompak malam ini. Ini hanya satu muslihat,” Jacques menyambung.
“Jacques, aku tak mahu dengar suara kau lagi. Kalau Inspektor Jalil tak mahu tangkap, aku sendiri yang akan tangkap,” Adam membalas dengan nada marah.
Kumpulan perarakan itu sudah semakin jauh dari butik berlian tersebut. Adam mengeluarkan pistol. Bersama lima orang ahli Skuad Alpha, Adam membuat serbuan.
“Awak semua ditangkap!” Adam menjerit dalam bahasa Inggeris.
Notarbartolo ketawa terbahak-bahak ketika Adam mengacukan pistol kepadanya.
“Happy New Year,” Nortarbartolo menjawab sambil meminum setin arak lagi. Kawan-kawannya yang lain juga minum sambil ketawa.
Skuad Alpha menangkap semua yang berada di situ.
“Ini salah, Adam,” Inspektor Jalil memberitahu melalui alat komunikasi.
“Saya yang mengetuai operasi ini, saya tahu apa yang saya lakukan,” Adam menjawab sambil membawa mereka ke arah sebuah van yang disewa oleh Skuad Alpha.
KESEMUA yang ditangkap digari tangan ke belakang dan perut mereka disandarkan pada badan van tersebut. Salah seorang ahli kumpulan perompak itu, lelaki yang sudah sangat berumur dan rambut dipenuhi uban, muntah di hadapan Adam. Dia nampak kurang sihat.
“Berapa umur awak?”
“Umur saya 60 tahun,” lelaki tua itu menjawab sambil tercungap-cungap.
“Kenapa awak melakukan rompakan ini, orang tua?
Bukankah lebih baik awak duduk di rumah saja?” Adam membalas.
“Lelaki itu sudah beritahu saya, saya mungkin tertangkap tapi tuan akhirnya terpaksa lepaskan saya kerana saya tak melakukan apa-apa jenayah.”
“Lelaki itu? Lelaki mana? Maksud awak, Notarbartolo?”
“Ya, kami cuma perlu pakai pakaian serba hitam dan bertopeng. Selepas itu kami masuk ke dalam perarakan dan berhenti di hadapan butik berlian untuk minum sehingga tuan sampai untuk menangkap kami.”
“Awak tak berniat untuk merompak?”
“Kami tak bawa sebarang alat. Hanya tin-tin minuman. Tuan boleh periksa semua,” lelaki itu membalas.
“Leornado Notarbartolo!” Adam menyebut nama penuh Notarbartolo dengan nada yang agak marah. Dia berjalan pantas menemui lelaki itu yang masih bergari itu. Mereka berbicara dalam bahasa Perancis.
“Adam. Kau ketua operasi ini rupa-rupanya. Ingatkan kau sudah lupakan aku!”
“Aku tak pernah lupakan musuh aku!”
...bersambung
Share this novel