Bab 39

Romance Completed 41738

“Bertenang, Benji!”

“Bagaimana ini boleh berlaku, Inspektor? Bagaimana Alara boleh terbunuh? Saya tak percaya!” Benji memegang dadanya.

“Kami menjumpai mayatnya sudah terbakar hangus beberapa hari lepas berdekatan dengan sebuah ladang kelapa sawit.”

“Tapi Inspektor, setahu saya dia berada di Eropah. Jika dia berada di Malaysia, dia pasti akan menghubungi saya. Dia sudah berjanji…” Kata-kata Benji mati di situ.

“Apa yang dia janjikan, Benji?”

“Dia berjanji untuk kembali ke sini setelah semuanya selesai di Eropah.”

“Apa yang dia sedang selesaikan di Eropah, Benji? Ada dia beritahu awak?”

“Saya sebenarnya… Saya cuma kenal dia semasa saya bertugas di Brussels…” Benji terdiam seketika. Lidahnya kelu.

Inspektor Jalil bersuara, “Ada banyak perkara yang saya mahu bertanya kepada awak, Benji, tapi saya rasa mungkin berita ini agak mengejutkan bagi awak. Apa kata kalau kita sambung semula esok? Saya akan telefon awak nanti. Mungkin kita boleh bertemu di pejabat saya di Bukit Aman.”

Benji masih lagi terkebil-kebil memandang Inspektor Jalil ketika dia menepuk-nepuk bahu Benji dan bangun untuk beredar dari situ.

Benji keluar ke pekarangan rumah sebaik sahaja Inspektor Jalil dan rakan-rakan sejawatannya menaiki kereta dan mula bergerak meninggalkan tempat itu.

Benji kemudiannya duduk di buaian yang terletak di luar rumahnya. Dia masih belum dapat menerima berita yang disampaikan oleh Inspektor Jalil sebentar tadi. Hatinya tidak mahu percaya Alara sudah tiada. Baru semalam rasanya Alara menggenggam tangannya di situ dan memintanya menunggu dia kembali. Setitis air yang hangat mengalir daripada kelopak matanya. Air mata cinta seorang kekasih.

Buaian yang diduduki oleh Benji menghadap terus ke arah peti surat yang berada di tepi pagar automatik. Ibunya telah menukar peti surat itu menjadi lut sinar pada bahagian dalam agar dia dapat nampak kandungannya dari pintu rumah. Dari buaian itu, Benji nampak peti surat itu mengandungi sebuah sampul surat besar berwarna kuning. Dia bergerak menghampiri peti surat itu dan membuka pintunya lantas mengambil sampul surat tersebut. Sampul surat itu tidak mempunyai setem. Hanya tertulis “Bunyamin Lee” dengan dakwat berwarna hitam.

Benji membawa sampul surat itu ke dalam rumah dan mencampakkannya di ruang tamu. Dia tidak ada masa untuk melayan surat-surat layang seperti itu. Benji naik ke tingkat atas dan masuk ke dalam biliknya. Hatinya masih sebak. Dia masih belum dapat menerima kematian Alara.

“Terima kasih kerana mahu membantu saya meneruskan siasatan, Benji. Saya amat menghargainya.” Inspektor Jalil menghulurkan tangan kepada Benji.

Benji mengambil tempat duduk yang disediakan. Ini adalah kali kedua dia datang ke Bukit Aman untuk bertemu dengan Inspektor Jalil.

...bersambung

Bab akan datang:
Bagaimanakah Alara boleh terbunuh sedangkan dia telah diselamatkan?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience