Keadaan ini membuatnya lebih mudah untuk mengumpul maklumat, tetapi malangnya dia jatuh cinta dengan Muneeb sehingga pada suatu ketika hatinya meronta-ronta tidak mahu berkongsi maklumat dengan Adam dan rakan-rakan sekerjanya. Dia tidak mahu Muneeb tertangkap. Dia amat menyintai Muneeb.
Selama beberapa bulan, Alara tidak menghantar sebarang laporan kepada ketuanya, Adam. Hatinya benar-benar berbelah bahagi. Naluri wanitanya mula menguasai dirinya. Dia mahu bahagia bersama lelaki yang dicintainya. Dia juga mahu melahirkan anak-anak keturunan Muneeb Al-Fatah. Hatinya sudah nekad untuk meninggalkan kerjayanya sehingga sesuatu yang tidak diduga berlaku.
Konco-konco Muneeb akhirnya mengetahui identitinya yang sebenar. Muneeb membuat keputusan untuk mengurungnya. Dia telah dilayan seperti binatang, tanpa makanan yang cukup dan selalu dipukul. Dia dipaksa untuk memberitahu identiti rakan-rakan sekerjanya. Dia telah disuntik berkali-kali dengan bermacam-macam jenis sedatif untuk memaksanya memecahkan rahsia identitinya.
Walaupun berkali-kali dia meyakinkan Muneeb akan perasaan cintanya, Muneeb masih tidak mempercayainya. Muneeb seolah-olah sudah hilang perasaan belas kasihan terhadapnya. Semenjak dia dikurung, Muneeb sudah menjadi orang asing baginya.
Adam menghantar pasukan penyelamat dalam masa tujuh hari dan dia berjaya dibawa keluar dari tempat yang penuh siksaan itu. Muneeb akhirnya berjaya diberkas dan disumbatkan ke dalam penjara.
Itulah kisah tragis yang dilaluinya di Baghdad dan kisah-kisah seperti ini semestinya akan berlarutan jika dia masih lagi bekerja bersama Adam.
Alara membuka matanya semula. Cahaya lampu mentol yang ada di bilik itu hampir sama dengan cahaya lampu mentol tempat dia dikurung di Baghdad. Yang berbeza cuma cuaca. Hawa di Brussels amat sejuk pada bulan November kerana musim dingin. Baghdad pula panas berbahang pada bulan Jun semasa dia dikurung.
Alara menguis-nguis tali yang mengikat kedua-dua tangannya. Sudah berhari-hari dia cuba untuk melonggarkan ikatan tetapi setiap hari ada sahaja orang suruhan Notarbartolo datang untuk mengetatkannya semula.
Alara menutup matanya semula. Wajah Benji kini bermain-main dalam mindanya. Pada pandangan Alara, Benji adalah seorang lelaki yang penyayang. Nampak jelas pada perlakuannya; cara Benji menjaganya di rumah mereka dahulu selepas dia dan rakan-rakan sekerjanya bertempur dengan beberapa orang penjahat. Lelaki Melayu rupa-rupanya agak penyayang dan lemah lembut. Dia tidak mahu kehilangan seorang lelaki sebaik Benji, dia sudah semakin tua.
Walaupun dia antara ejen yang terbaik tetapi jauh di sudut hatinya, dia mahu hidup bersama orang yang menyayanginya. Adam tidak mungkin akan faham. Adam adalah seorang workaholic dan Alara tidak mahu hidupnya berakhir seperti Adam yang tidak mempunyai sesiapa walaupun sudah menjangkau umur hampir 50 tahun.
Alara terkejut sedikit ketika dia terdengar namanya dipanggil. Dia membuka matanya dan melihat ke arah tingkap kecil berhampiran dengan siling bilik itu. Seorang lelaki memakai pakaian serba hitam menyusup masuk melalui tingkap kecil itu diikuti dengan seorang lelaki lagi yang memakai pakaian yang sama. Inilah skuad penyelamat yang ditunggu-tunggunya selama ini.
...bersambung
Bab akan datang:
Kemanakah Notarbartolo pergi? Mungkinkah dia mempunyai muslihat lain?
Share this novel