Bab 77

Romance Completed 41738

Benji mengiringi pemergian mereka dengan senyuman. Selepas kereta mereka hilang daripada pandangan, Benji menutup pagar rumahnya kembali dan duduk di buaian seketika. Hatinya tidak lagi sakit melihat Ustaz Amir dan Zahra bersama. Nampaknya kini hatinya sudah dapat menerima perkahwinan mereka berdua.

Dari buaian, dia nampak dengan jelas beberapa pucuk surat yang berada di dalam peti surat lut sinar tidak jauh darinya. Semenjak beberapa bulan lepas, setiap kali dia melihat peti surat tersebut, ada-ada sahaja surat yang mengganggu fikirannya. Tetapi semenjak sebulan dua ini, tidak ada lagi surat yang pelik. Boleh dikatakan kisah Noor Chenta ini sudah berakhir.

Benji membuka peti surat itu dan mengambil semua surat yang ada. Dia melihat satu per satu surat tersebut. Kebanyakannya surat dari bank, cuma ada sepucuk surat bertulisan tangan yang dialamatkan kepadanya dengan sampul surat berwarna merah jambu lengkap dengan setem.

Benji meletakkan semua surat lain di atas buaian dan mula membuka sampul surat berwarna merah jambu itu. Sebuah patung kertas kecil jatuh dari dalam lipatan surat tersebut.

Benji,

Minta maaf kerana telah menyusahkan awak selama ini. Jika awak menerima surat ini, awak sudah berada dalam keadaan selamat. Terima kasih atas segala-galanya. Hanya Tuhan yang dapat membalas budi baik awak selama ini.

Ini adalah surat terakhir, juga permintaan terakhir daripada saya. Saya mahu minta jasa baik awak untuk memberitahu sepupu merangkap kawan baik saya mengenai apa yang sebenarnya telah berlaku kepada saya. Namanya Aishar.

Bersama-sama surat ini, saya sertakan sebuah patung kertas kecil yang kami beli dari Jepun tidak lama dulu. Apabila awak tunjukkan kepadanya, dia akan tahu awak mengenali saya.

Awak boleh menemui Aishar di Restoran Lesung tidak jauh dari rumah awak.

Selamat tinggal, Benji.

Alara

Benji menaiki tren LRT dan turun di stesen Sentul Timur. Dia berjalan kaki melalui dua buah pangsapuri berdekatan sehingga sampai ke jalan utama.

Kaki Benji berhenti apabila terlihat Restoran Lesung berada betul-betul di seberang jalan. Dia melihat ke seluruh bangunan restoran itu dari tempat dia berdiri. Dinding restoran itu kebanyakannya diperbuat daripada kaca. Dari jauh, dia dapat melihat hanya beberapa orang pelanggan yang sedang menikmati hidangan di situ.

Hati Benji agak berdebar ketika dia melintas jalan. Dia masih belum tahu apa yang mahu dibincangkannya dengan gadis itu nanti. Dia juga belum tahu bagaimana untuk menerangkan kepadanya apa yang telah berlaku kepada Alara. Kisah sebutir berlian yang mungkin hanya berlaku dalam filem. Juga kisah pencuri berlian yang terbaik di dunia bernama Notarbartolo yang tidak berjaya ditangkap. Perlukah dia menceritakan semua ini kepada ahli keluarga Alara?

...bersambung

Bab akan datang:
Adakah keluarga Alara masih tidak mengetahui tentang Alara?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience