Bab 18

Romance Completed 41738

Ketika Benji terjaga pagi itu, perkara pertama yang bermain dalam kepalanya adalah Alara dan kereta mewah yang membawanya pergi malam tadi. Dia pasti Alara tidak pulang malam tadi, mungkin Alara bersembunyi di tempat kepunyaan arwah bapanya.

Alara seringkali mengingatkan Benji kepada Zahra. Kedua-dua mereka mempunyai ketinggian yang hampir sama. Entah bila agaknya dia akan berjaya meluahkan isi hatinya kepada Zahra.

Benji sentiasa tahu Zahra sukakan Ustaz Amir tetapi persoalannya, adakah Amir sukakan Zahra? Sehingga kini, dia masih lagi belum mendapat jawapan yang pasti. Jika hanya sebelah tangan yang bertepuk, tidak mungkin akan berbunyi.

Benji masih ingat lagi peristiwa yang berlaku sebelum dia terbang ke Amerika Syarikat untuk melanjutkan pelajarannya dalam bidang Kejuruteraan Teknologi Maklumat. Ibunya, Puan Maria membuat keputusan untuk meraikan kejayaannya bersama kawan-kawan terdekat; Amir dan Zahra. Pada waktu itu, Ustaz Amir belum lagi mendapat gelaran Ustaz.

Lantaran kejayaannya mendapat peluang belajar ke luar negara, Zahra telah menghadiahkannya sebuah replika bumi sebesar bola tenis. Dengan bersahaja, Zahra menunjukkan satu tempat di atas replika bumi itu, Kuala Lumpur, dengan kata-kata berikut.

“Jika kehidupan akan datang membawa awak berjalan ke seluruh bumi, selalu ingat, kawan-kawan dan keluarga awak berada di Kuala Lumpur.”

Benji tersenyum mendengar kata-kata Zahra ketika itu. Begitu berbekas dalam sanubarinya.

Perkara kedua yang paling diingatnya pada hari itu juga adalah kata-kata Zahra kepada Amir semasa mereka berehat di buaian luar rumah semasa ibunya sedang menyediakan juadah di dapur. Ketika itu Benji berada berdekatan dengan pintu. Dia mahu menjemput mereka berdua ke dapur untuk makan nasi ayam yang dimasak oleh ibunya. Kakinya terhenti ketika dia terlihat Zahra sedang menyerahkan sesuatu kepada Amir, sehelai tali leher berwarna biru. Amir nampak agak terganggu dengan perbuatan Zahra.

“Saya ikhlas sukakan awak, awak terima sajalah pemberian saya ini, sebagai tanda persahabatan kita,” Zahra cuba meyakinkan Amir.

“Saya tak dapat terima pemberian awak ini, Zahra. Saya tak mahu kecewakan awak. Saya datang daripada keluarga susah. Jika kita berpasangan, mungkin awak terpaksa tunggu saya dalam jangka masa yang sangat lama nanti. Banyak masalah keluarga yang terpaksa saya dahulukan. Awak cantik, Zahra. Jangan sia-siakan hidup awak dengan orang seperti saya,” Amir menolak dengan sopan.

“Jika awak tak sukakan saya, katakan saja, Amir. Saya dapat terima,” Zahra membidas.

“Susah untuk saya nyatakan.”

“Nyatakan saja, Amir, jika awak benar-benar tidak ada perasaan terhadap saya.”

“Awaklah gadis idaman saya, Zahra. Cuma saya tak mahu awak terlalu mengharap. Dan hadiah ini terlalu mahal untuk saya. Ingatan awak terhadap saya sudah cukup, Zahra. Tapi awak mesti berjanji dengan saya sekiranya ada yang lebih menyayangi awak, saya relakan awak pergi. Jangan tunggu saya,” Amir akhirnya memberi penjelasan.

“Baiklah, Amir. Terima kasih dengan pengakuan awak. Saya faham dengan masalah awak sekarang.” Zahra tersenyum dan terus memasukkan hadiah itu ke dalam kotak semula.

...bersambung

Bab akan datang:
Adakah Zahra akan menunggu atau menemui lelaki lain dalam hidupnya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience