Alara mengeluarkan sedikit wang syiling dari dalam poket jaketnya dan meletakkannya ke dalam cawan aluminium itu dengan perlahan.
Lelaki itu sangat terharu mendapat wang daripada Alara. “Merci!” Dia menyerahkan sebuah kotak kecil kepada Alara.
Benji hanya melihat tanpa bertanya. Dia kemudian membuka pintu restoran untuk membenarkan Alara masuk dan mereka dibawa ke sebuah meja kosong yang berdekatan dengan dinding cermin kedai itu.
“Inilah tempat kegemaran saya. Tempat ini selalu mengingatkan saya kepada keluarga saya. Tapi kawasan ni agak kurang selamat. Lihat di luar sana, ada pengemis yang tak ada tempat tinggal dan ada beberapa orang pelacur yang berkeliaran mencari pelanggan.” Alara melemparkan pandangannya ke arah jalan.
Terdapat beberapa orang gadis yang berpakaian menjolok mata menghisap rokok bergelak ketawa antara satu sama lain sambil mengusik beberapa orang pemuda yang berjalan di kaki lima. Ada juga kereta yang berhenti dan mengambil beberapa orang gadis di situ.
“Jadi kalau awak berjalan di sini, jangan berseorangan. Pastikan ada teman yang tahu cara mempertahankan diri,” Alara menambah.
Seorang pelayan datang bersama dua menu. Benji dan Alara membelek-belek senarai makanan itu.
“Makanannya juga agak murah,” ujar Benji ketika membelek menu makanan.
“Dan paling penting, halal,” jawab Alara.
“Awak juga makan makanan halal?”
“Bapa saya yang mengajar saya makan makanan halal.”
“Jadi, awak beragama Islam?”
“Ibu saya tidak ada agama. Dia hanya ikut saja apa yang bapa saya buat sebelum mereka berpisah dan kemudian saya tinggal dengan ibu saya. Itu saja yang saya tahu mengenai Islam, makan makanan halal. Yang lain, saya kurang arif. Setiap kali saya ada tugasan di luar negara, saya akan cari makanan halal.”
...bersambung
Share this novel