Bab 9

Romance Completed 41738

“Awak dari Malaysia. Orang Malaysia saja yang bercakap begini. Orang Indonesia bunyinya lain sedikit. Orang Brunei pun lain sedikit caranya.”

“Awak memang pandai meneka. Sudah lama saya nak bertanya. Bagaimana awak boleh begitu fasih berbahasa Melayu? Awak pernah tinggal di Malaysia?” Benji akhirnya berpeluang bertanya.

“Saya orang Belgium dan saya mahir dalam lima bahasa di Asia.”

“Lima bahasa?” Benji agak terkejut.

“Sebab itulah saya selalu dapat kerja-kerja terjemahan di Asia. Mungkin dalam beberapa bulan lagi, saya akan mulakan tugas di Singapura.”

Benji mengangguk-angguk sambil tersenyum. Semasa Alara berpaling, dia nampak sedikit kesan lebam di pipi Alara. Tetapi sebelum sempat dia menegur, Alara sudahpun berjalan ke biliknya kembali.

BUNYI anjing yang melolong sayup-sayup dari kejauhan membuatkan Benji terjaga daripada tidurnya. Benji melihat jam tangan yang diletakkan di tepi meja. Jam itu menunjukkan pukul 3.00 pagi.

Walaupun masih banyak kerja pejabat yang harus diselesaikan, dia merasakan masih terlalu awal untuknya bangun.

Badannya dikalihkan ke arah kiri. Dia cuba untuk tidur tetapi lolongan anjing itu membuatkan hatinya berasa lebih seram lagi.

Benji duduk di atas katil. Telinganya mula mengesan bunyi tombol pintu yang dibuka dengan pantas. Bunyinya agak keras kerana pintu utama mempunyai tombol kunci yang berkualiti tinggi. Kedengaran suara ketawa seorang wanita bersama–sama seorang lelaki seolah-olah meraikan sesuatu.

Hati Benji berasa kurang senang. Benji bangun dari katil dan cuba mengintai melalui celah pintu biliknya. Lampu di ruang tamu mula dipasang. Alara mula bercakap dengan bahasa yang tidak difahaminya, mungkin bahasa Perancis. Lelaki itu kadangkala membalas kata-kata Alara.

Lelaki itu tiba-tiba mengeluarkan sesuatu dari koceknya. Nampak seperti sebuah kotak kecil yang dibalut dengan kain berwarna hitam. Dia membuka balutan itu dan akhirnya membuka kotak tersebut. Dia mengeluarkan isi di dalamnya, sebutir batu permata yang berkilau.

“The magnificent Noor Chenta.” Lelaki itu tiba-tiba berbahasa Inggeris.

Alara mendekati lelaki itu sambil meneliti batu permata yang dipegangnya. “Noor Chenta Blue Diamond. It means The Light of Love,” Alara juga kini berbahasa Inggeris.

Lelaki itu memasukkan permata itu ke dalam kotak dan membalutnya semula. Dia kemudiannya menyerahkan permata itu kepada Alara. “It’s under your care now,” ujarnya.

Alara mengambil kotak itu dan meletakkannya di atas meja ruang tamu. Lelaki itu bangun lalu menuju ke pintu utama.

“Bye, Adam,” Alara mengucapkan selamat tinggal.

Adam? Ya, itulah nama lelaki yang menjemput Alara untuk makan di restoran Itali beberapa hari sebelum itu. Nampaknya Alara berjaya memikat hati lelaki itu sehingga menghadiahkan batu permata kepadanya.

Hatinya agak berbekas melihat kemesraan antara Adam dan Alara. Adam bertubuh sasa dan berambut hitam, memang sesuai berpasangan dengan Alara yang manis dan menawan. Nama mereka juga sepadan, Alara dan Adam.

Alara menutup lampu dan masuk ke dalam biliknya. Benji kembali semula ke katil. Lolongan anjing yang mengejutkannya tadi sudah tidak ada lagi. Dia memejamkan matanya dan memujuk dirinya untuk tidur.

...bersambung

Bab akan datang:
Adakah Benji sudah menaruh hati kepada Alara?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience