Bab 1

Romance Completed 41738

Kuala Lumpur International Airport (KLIA) agak lengang malam itu. Benji menjeling ke arah jam tangannya. Sudah hampir pukul 10.30 malam. Walaupun semua yang datang pada malam itu rancak bercerita, tetapi Benji tidak tahu secara terperinci apa yang mereka bualkan. Hanya tubuhnya yang berada di situ tetapi mindanya sedang menerawang.

Ibu kesayangan Benji, Puan Maria, nampak gembira. Puan Maria ialah Pengetua Sekolah Menengah Taman Permata dan terkenal dengan sifat garang dan penuh disiplin. Tanpa sifat-sifat itu, tidak mungkin Benji mampu menjadi seorang yang berjaya seperti sekarang. Cuma kadangkala Benji dapat merasakan ibunya merindui arwah bapanya, Dr. Ashraf Lee, yang pulang ke rahmatullah beberapa tahun lalu.

Seperti kakitangan kerajaan yang lain, Puan Maria sentiasa memakai baju kurung berserta selendang. Tidak lupa sedikit solekan agar nampak bergaya.

Gelak ketawa Zahra kini kedengaran. Benji mengalihkan pandangannya kepada Zahra. Zahra adalah salah seorang kawan baiknya semenjak sekolah menengah lagi. Benji selalu memanggilnya “Cikgu Zahra” ketika mereka sama-sama bersekolah dahulu kerana dialah yang telah membantu Benji mendapatkan keputusan yang baik bagi mata pelajaran Matematik Tambahan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) beberapa tahun dahulu. Kini “Cikgu Zahra” benar-benar menjadi seorang guru Matematik Tambahan di Sekolah Menengah Taman Permata, sekolah yang dipimpin oleh ibunya, Puan Maria.

Masih seperti dahulu, Zahra nampak manis dengan lesung pipit yang dalam pada kedua-dua belah pipinya. Senyumannya, walaupun kadangkala hanya dibuat-buat untuk menjaga hati orang di sekelilingnya, sentiasa nampak menawan. Gaya rambutnya malam ini nampak ringkas dan segar.

Ustaz Amir juga hadir pada malam itu. Ustaz Amir adalah rakan sekelas Benji dan Zahra ketika mereka di tingkatan lima. Sejak di bangku sekolah lagi, Ustaz Amir mempunyai tarikan karisma yang tidak dapat ditandingi oleh sesiapa. Air mukanya sentiasa nampak tenang dan dipercayai oleh semua, termasuk Pengetua, Guru Disiplin dan semua pelajar. Mungkin kerana itulah dia telah terpilih sebagai Ketua Pelajar. Dia kemudiannya menuntut di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dalam bidang Syariah dan kini menjadi pegawai di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Hanya satu perkara yang selalu merunsingkan Benji mengenai Ustaz Amir. Setiap kali Ustaz Amir ada bersama, senyuman Zahra selalunya lebih manis daripada biasa. Matanya juga seolah-olah lebih bercahaya.

Benji meramas-ramas tangannya sendiri, masih ragu-ragu sama ada rancangannya akan berjaya pada malam ini. Benji mengalihkan pandangan kepada Azhari pula untuk mencari sedikit keyakinan.

Azhari pula adalah rakan karibnya semasa dia menuntut jurusan Teknologi Maklumat di salah sebuah universiti di luar negara. Hanya Azhari yang tahu mengenai perasaan Benji terhadap Zahra dan dia telah menyimpan rahsia itu dengan baik selama ini.

...bersambung

Bab akan datang:
Adakah Benji akan meluahkan perasaan hatinya kepada Zahra?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience