“Saya Ahmed. Silakan, encik.” Lelaki yang berdiri di sebelahnya menjemputnya. Mereka memasuki lif sehingga ke tingkat dua.
“Encik Adam akan sampai sebentar lagi. Business Centre di hujung sana. Encik Benji boleh tunggu dia di sana.” Ahmed memberi tunjuk arah dan meninggalkan Benji berseorangan.
Benji berjalan ke Business Centre. Bilik yang bergelar Business Centre itu gelap dan berkunci. Benji duduk di salah sebuah kerusi yang disediakan di luar bilik itu.
Selang beberapa saat, lampu di dalam Business Centre itu terpasang dan pintunya dibuka dari dalam.
“Benji!” Adam memanggil nama Benji sebaik sahaja pintu itu dibuka.
Benji bangun dan masuk ke bilik itu. Dalam bahasa Inggeris, Benji menegur, “Selamat bertemu kembali, Encik Adam.”
Business Centre itu mempunyai beberapa buah bilik kecil dan Adam membawa Benji masuk ke bilik yang berada di hujung sekali. Mereka terus berbicara dalam bahasa Inggeris.
“Panggil saya Adam. Saya kenal awak. Awak pernah duduk serumah dengan Alara di Brussels,” Adam menjawab sebaik sahaja dia duduk di kerusi di dalam bilik itu. Terdapat sebuah meja kecil di situ. Adam meletakkan fail yang dibawanya di atas meja itu.
“Benar. Saya pernah duduk serumah dengan Alara. Cuma untuk tiga bulan. Kemudian, dia hilang tanpa khabar berita,” Benji menjawab dengan ringkas.
“Awak kata awak ada maklumat mengenai Noor Chenta?”
“Saya ada maklumat yang lebih baik daripada itu.”
“Maklumat yang lebih baik daripada maklumat Noor Chenta?”
“Noor Chenta berada dalam simpanan saya.”
“Jadi, betul seperti sangkaan saya. Sebelum Abbas terbunuh, awak sebenarnya berbincang dengannya mengenai Noor Chenta. Itulah sebabnya Abbas dibunuh.”
“Saya tak sangka semua itu akan berlaku kepada Abbas. Sehingga hari ini, saya masih belum faham, mengapa Abbas dibunuh? Dia juga tidak mahu membantu saya. Adakah Notarbartolo yang membunuh Abbas?”
“Jadi, awak tahu kisah Nortarbartolo?”
“Ya, Inspektor Jalil yang memberitahu saya semasa siasatan mengenai kematian Alara dilakukan,” Benji menjawab dengan nada yang agak sedih.
“Saya menjalankan siasatan bersama Inpsektor Jalil untuk kes ini. Dia tidak pernah memberitahu kepada saya awak memiliki Noor Chenta. Awak tidak beritahu kepada Inspektor Jalil yang awak menyimpan Noor Chenta?”
“Saya cuma mahu menjalankan amanat Alara. Dia mahu saya menyerahkan Noor Chenta kepada awak dan hanya kepada awak seorang.”
“Itu maksudnya awak adalah orang yang paling dia percayai.”
“Mungkin ya. Jadi, benarlah Notarbartolo yang membunuh Abbas?” Benji mengulangi pertanyaannya.
"Notarbartolo adalah perompak tapi dia bukan pembunuh. Ramai lagi yang mahukan Noor Chenta kerana nilainya yang tinggi di pasaran. Notarbartolo lebih bijak daripada pencuri-pencuri yang lain. Dia boleh dapatkan kembali Noor Chenta tanpa disedari. Dia tak perlu bunuh sesiapa. Dia lebih bijak daripada itu.”
...bersambung
Bab akan datang:
Siapakah yang membunuh Abbas? Mungkinkah ada orang lain yang turut mahukan Noor Chenta?
Share this novel