“BAGAIMANA dengan rumah hari tu, okey tak?” Faizal bertanya semasa mereka makan tengah hari bersama.
“Rumah okey, cuma...”
“Cuma apa?”
“Cuma aku rasa waswas dengan Alara, teman serumah aku tu,” Benji menjawab.
“Apa yang kau waswaskan?”
“Menurut katanya, dia adalah penterjemah, tapi sepanjang seminggu aku di sini, dia keluar pada waktu petang dan pulang sebelum subuh. Setahu aku, kerja penterjemah selalunya dalam waktu pejabat.”
“Hmm... keluar petang, balik sebelum subuh? Macam kupu-kupu malam mencari pelanggan.”
“Tiap-tiap pagi dia akan balik dihantar oleh kereta mewah yang berlainan.”
“Mungkin dia kupu-kupu kelas atasan tu, bukan kupu-kupu biasa.”
“Kau ni, tak baik tuduh yang bukan-bukan!” Benji cuba mempertahankan Alara.
“Eh, bukan ke kau yang waswas tadi?” Faizal membalas.
“Tapi aku rasa memang betul dia adalah penterjemah, sebab dia boleh berbahasa Melayu dengan fasih sekali.”
“Dia boleh cakap Melayu? Bolehlah aku bawa balik jumpa mak aku sebagai calon isteri.” Faizal agak teruja.
“Maaflah, Faizal. Kau dah terlambat. Adam dah hadiahkan batu permata kepadanya.”
“Siapa pula Adam ni?”
“Adam, lelaki kacak yang hadiahkan the magnificent Noor Chenta Blue Diamond. Tak mungkin kau boleh lawan dia,” Benji menjawab dengan nada mengejek lelaki yang bernama Adam itu.
“Tapi dia belum kahwin lagi, bukan? Selagi belum kahwin, masih ada peluang. Mungkin berlian adalah hadiah yang terlalu biasa di sini kerana berlian adalah dagangan utama negara ini. Hadiah berlian di sini seumpama hadiah coklat di Malaysia. Mungkin dia mahukan hadiah lain. Sesuatu yang berlainan.”
“Okey, jangan mengarut. Makan sampai habis. Lepas ni kena sambung kerja.” Benji tidak mahu melayan fikiran Faizal lagi.
“Aku serius ni. Jom kita makan malam bersama; aku, kau dan Alara.”
“Tak naklah. Aku nak cakap apa pada Alara?”
“Cubalah dulu. Kau ni tak pandai nak memikatlah. Patutlah tak ada girlfriend.”
“Eh, ni dah kira kau cabar aku ni,” Benji menjawab dengan hati yang panas.
Faizal hanya tertawa.
Telefon bimbit Benji berdering.
“Benji, maaf, aku tak dapat makan malam dengan kau berdua,” Faizal memberitahu melalui telefon.
“Ha? Habis tu, takkan aku nak makan berdua saja dengan Alara? Nanti dia ingat aku tipu dia pula,” Benji menjawab, tidak berpuas hati.
“Ada panggilan mengejut daripada klien. Aku memang tak boleh tidur malam ni untuk selesaikan masalah ni. Lain kalilah.” Faizal terus sahaja memutuskan talian.
“Tak mengapa. Kita makan berdua sajalah. Three is a crowd.” Alara merenung Benji dengan pandangan yang tenang. Kelihatan kabus keluar daripada mulut Alara semasa dia bercakap.
“Maaf, Alara. Saya akan marah dia nanti.”
Alara ketawa. “Tak perlulah, Benji. Kalau kawan awak tak ada, apa kata kita makan di kedai makan kegemaran saya?”
...bersambung
Bab akan datang:
Apakah yang berlaku sewaktu makan malam Benji dan Alara?
Share this novel