Hati Benji terasa pedih melihat mereka berdua. Mahu sahaja rasanya dia menjerit dan menghalau mereka berdua dari rumah itu. Dia masuk semula ke dapur menemui ibunya.
“Eh, mana kawan-kawan kamu tu?” Puan Maria bertanya.
“Mama tolong panggilkan, saya sakit perut, tak tahan ni!” Benji terus menuju ke dalam bilik air tanpa menunggu jawapan daripada ibunya.
Benji mengambil masa hampir 10 minit untuk menenangkan hatinya sebelum makan bersama mereka. Sebaik sahaja keluar dari bilik air, Benji terlihat kotak hadiah tali leher itu berada di sudut meja makan. Semua sedang menunggunya untuk makan.
“Ada satu hadiah lagi daripada Amir. Nanti awak bukalah!” Zahra menegur Benji sebelum dia duduk.
Hampir setahun Benji tidak membuka kotak hadiah tersebut kerana dia tahu hadiah itu bukan untuknya. Lama-kelamaan, dia mula berfikir. Amir mempunyai adik-beradik yang ramai yakni sebelas orang dan bapanya hanya seorang nelayan. Ibunya pula hanya suri rumah dan dia adalah anak sulung. Dia harus memastikan adik-adiknya berjaya. Itulah yang menyebabkan Benji merasakan bahawa dia mempunyai peluang dengan Zahra. Dia lebih stabil dan dia boleh lebih membahagiakan Zahra. Jika dia berusaha untuk meluahkan perasaan hatinya kepada Zahra, ada kemungkinan dia akan menang.
Semenjak hari itu, dia mula memakai tali leher biru yang dihadiahkan oleh Zahra sehingga kini!
Seperti biasa sebelum ke pejabat, Benji membancuh secawan kopi di dapur dan duduk di ruang tamu. Menghirup aroma kopi pada waktu pagi membuatkan dia berasa lebih cergas. Sofa yang didudukinya terasa lebih lembut daripada biasa.
Telinganya tiba-tiba menangkap bunyi besi yang dicungkil. Dia cuba menumpukan perhatian dari mana datangnya bunyi tersebut dan matanya tertumpu kepada pintu utama. Tombol pintu utama itu nampak bergerak-gerak. Benji bangun menghampiri pintu itu sambil mengambil sebatang payung yang ada di ruang dapur, bersedia untuk memukul sesiapa sahaja yang masuk melalui pintu tersebut.
Pintu itu tiba-tiba terbuka. Tanpa berlengah, Benji terus sahaja memukul ke arah pintu itu tetapi pukulannya tidak tepat, terus mengenai daun pintu.
“Benji!” satu suara yang biasa didengarnya memanggil namanya.
“Alara!” Benji menjawab dengan terkejut.
“Apa yang awak buat ni, Alara? Awak pecah masuk rumah awak sendiri? Kenapa?” Benji melemparkan payung itu ke tepi sebaik sahaja dia mengenali Alara.
“Saya hilang kunci saya, Benji. Dan... Dan saya rasa sangat penat!” Sebaik sahaja Alara mengucapkan kata-kata itu, dia rebah.
Benji menyambut tubuh Alara. “Alara! Bangun, Alara!” Benji menggoncang tubuh Alara berkali-kali tetapi Alara masih kaku dalam rangkulannya. Benji memegang dahi Alara. Suhu badannya agak tinggi daripada biasa.
...bersambung
Bab akan datang:
Apakah yang terjadi dengan Alara sehingga dia rebah?
Share this novel