Selepas Alara keluar dari rumah mereka di Brussels, penyewa baru adalah seorang lelaki keturunan Belanda yang menguruskan perniagaan import dan eksport. Selama tiga bulan terakhir dia berada di Brussels, dia tidak pernah nampak Alara di mana-mana lagi. Kumpulan Gipsi yang menurut Faizal selalu mengadakan persembahan di sekitar kawasan The Grand Place juga sudah tidak ada. Nombor telefon bimbitnya juga sudah tidak aktif.
Lamunannya tiba-tiba dikejutkan oleh bunyi azan subuh yang mendayu-dayu dari sebuah masjid berdekatan. Benji menghela nafas panjang dan cuba untuk berkalih tidur. Matanya masih tidak dapat terlelap. Dia membuat keputusan untuk bangun dan bersolat subuh. Mungkin hatinya akan lebih tenang selepas solat nanti.
Ketika Benji terjaga, waktu sudah pun melepasi pukul 4.00 petang. Badannya masih lesu walaupun dia tidur agak lama. Seperti kebiasaan pada petang Sabtu, Puan Maria akan mengukir halua betik yang selalu dibuatnya secara sampingan.
“Siapa yang nak kahwin ni, mama?” Benji bertanya sebaik sahaja dia masuk ke ruang dapur.
“Fatima Zahra nak bertunang,” jawab ibunya lembut dan perlahan.
“Fatima Zahra? Siapa tu?” Benji bertanya.
“Eh, kamu ni! Zahra, kawan kamu tulah. Dia akan bertunang dengan Ustaz Amir dua minggu lagi. Isy, takkan kamu tak tahu?” ibunya melemparkan soalan.
“Ha?”
“Itulah kamu ni, asyik bekerja ke luar negeri, sampai kawan-kawan kamu pun kamu tak tahu cerita,” ibunya mula mengomel.
Gelas yang diambil oleh Benji tiba-tiba jatuh menghempas lantai. Kedengaran bunyi kaca berderai seperti hatinya juga.
“Benji! Kamu ni tak sihat ke?” Lekas-lekas Puan Maria mengambil penyapu.
Benji memegang kepalanya. Air matanya dirasakan mahu tumpah keluar. Puan Maria menyentuh dahi Benji untuk memeriksa suhu badannya.
“Benji, kamu berehat dulu. Badan kamu panas. Nanti mama bawakan ubat,” Puan Maria memberi arahan.
Tanpa menjawab, Benji terus masuk ke biliknya semula dan menghempaskan badannya ke atas katil. Hatinya sakit bagaikan dihiris-hiris.
3 bulan kemudian...
Alara mula memerhatikan keadaan di sekelilingnya. Banyak makanan yang dihidangkan dalam jamuan pada malam itu. Beberapa orang pelayan memakai baju berwarna hitam putih sedang sibuk menghidangkan minuman kepada mereka yang hadir. Beberapa orang tukang masak yang memakai baju serba putih pula sedang menyediakan berbeku.
Ruang tepi kolam mandi itu diterangi dengan beberapa lampu tambahan berwarna-warni. Beberapa pasang pemuda-pemudi yang kebanyakannya orang putih sudah mula masuk ke kolam mandi. Terdengar hilai dan gelak ketawa mereka sambil bermain-main air.
Alara membawa kumpulan tarian yang datang bersamanya berkumpul di sudut kolam mandi. Mereka akan mengadakan persembahan tarian di tepi kolam mandi selama 30 minit untuk menghiburkan hadirin poolside party malam itu.
...bersambung
Bab akan datang:
Mengapa begitu terhiris perasaan Benji apabila mengetahui Zahra bakal bertunang dengan Ustaz Amir?
Share this novel