Bab 51

Romance Completed 41738

Lapan belas bulan dia membina kepercayaan dengan komuniti perniagaan berlian di Antwerp agar dia dapat masuk ke pusat simpanan bawah tanah itu. Dia menyamar sebagai peniaga berlian dan membuat urusniaga dengan beberapa orang peniaga tempatan hingga dia dikenali dan dipercayai.

Suatu hari, ketika dia sedang membaca akhbar dan minum kopi di kafe tersebut, seorang lelaki Eropah duduk di sebelahnya. Daripada telor percakapannya, dia dapat meneka yang lelaki itu berbangsa Perancis. Dia memperkenalkan dirinya dengan nama Damien.

Damien datang dengan tawaran yang sangat menarik, perkongsian rompakan Diamond Trade Centre. Damien juga memperkenalkannya kepada ahli kumpulannya yang lain; seorang pakar kunci, seorang pakar sistem penggera keselamatan dan seorang mekanik.

Cuma satu sahaja kesilapannya ketika merancang rompakan tersebut. Dia telah mengambil Freddie menyertai kumpulan itu.

Freddie telah bekerja dengannya selama 15 tahun. Dia adalah pekerja yang paling setia dan sangat ketat menyimpan rahsia. Cuma Freddie berdarah gemuruh dan cepat panik. Kesemua ahli kumpulan itu tidak bersetuju dengan pembabitan Freddie tetapi dia tetap yakin dengan kesetiaan Freddie.

Rompakan itu berjalan dengan lancar pada mulanya. Mereka membuat rompakan pada tarikh yang telah dirancang, hari Khamis, 13 Februari 2003. Hari itu juga merupakan perlawanan terakhir pertandingan tenis Proximus Diamond Games yang dilangsungkan setiap tahun. Mereka memilih tarikh tersebut kerana pada waktu itulah kesemua warga Antwerp leka dengan perlawanan tersebut dan kebanyakan pegawai polis ditugaskan untuk memantau perlawanan itu.

Mereka berjaya melalui sepuluh lapisan keselamatan peti keselamatan bawah tanah itu tanpa kesukaran dan mereka berjaya melarikan separuh daripada kandungan kekayaan yang tersimpan di situ dengan mudah. Senyuman mereka lebar ketika memandu keluar ke lebuh raya menuju ke Milan.

Tetapi semasa mereka mahu melupuskan bukti-bukti kehadiran mereka di Antwerp, Freddie tiba-tiba menjadi panik terutamanya ketika kereta polis berkeliaran di jalan raya dengan siren yang tidak henti-henti sebaik sahaja mereka mengetahui rompakan Diamond Trade Centre.

Bukti-bukti itu tidak dilupuskan dengan baik. Freddie hanya menghumbankannya ke dalam hutan dan mereka terpaksa memecut laju keluar dari Belgium. Sehingga hari ini, dia masih ingat kesilapan itu lagi. Bukti-bukti itu akhirnya dijumpai oleh polis dan mereka berjaya menangkap empat orang yang terlibat termasuk dirinya.
Walaupun dia dipenjarakan selama sepuluh tahun, hatinya puas.

Beberapa guni berlian mentah yang dicurinya tidak berjaya dibuktikan. Tidak ada cara untuk mengenali berlian yang belum diproses. Seguni berlian mentah adalah sama seperti seguni gandum. Jika guni ditukar dan dicampur dengan gandum lain, bagaimana untuk mengasingkannya semula? Apatah lagi kalau gandum itu datang dari ladang yang sama? Sama seperti gandum, jika berlian mentah itu datang dari lombong yang sama, tidak mungkin ia dapat diasingkan.

...bersambung

Bab akan datang:
Adakah suatu hari nanti pihak berkuasa dapat membuktikan bahawa dia adalah pencuri berlian itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience