Bab 26

Romance Completed 41738

Persembahan bunga api yang berwarna-warni selama lima minit itu amat menghiburkan. Kedengaran suara-suara yang penuh dengan kekaguman di sekeliling mereka.

“Jangan pergi, Alara.” Benji menarik tangan Alara sebaik sahaja orang ramai bersurai setelah persembahan tersebut tamat.

“Awak tak selamat di sini, Benji, dan saya perlu pergi sekarang,” Alara cuba memberi penjelasan.

“Saya rasa ini adalah tempat yang paling selamat untuk saya, berada di sisi awak,” Benji membalas.

Kata-kata Benji itu membuatkan hati Alara menjadi semakin berdebar-debar.

Seorang lelaki berkot hitam dan berbadan tegap menghampiri Alara.

“Cik, Tuan Notarbartolo, lelaki yang berkot putih itu, mahu menempah seluruh persembahan kumpulan cik di kediamannya pada hari dan waktu yang sama minggu hadapan.” Lelaki berkot hitam itu menuding ke arah lelaki berkot putih yang ditemui oleh Alara pada awal majlis tadi.

“Tuan Notarbartolo ingin bertemu dengan cik sekarang,” lelaki berkot hitam itu menyambung.

Alara mengangguk tanda bersetuju. Hatinya gembira kerana rancangannya berjalan lancar malam itu. Alara terus pergi tanpa menghiraukan Benji. Setelah berjalan beberapa tapak, Alara berpaling ke arah Benji tetapi malangnya Benji sudah tidak ada di situ lagi. Alara cuba melihat-lihat ke seluruh kawasan kolam renang untuk mencari kelibat Benji. Hatinya benar-benar berharap Benji akan datang menemuinya kembali nanti.

Zahra mengambil sehelai tudung bawal yang selalu dipakai oleh adiknya.

Zahra datang daripada keluarga yang agak kurang didikan agama. Bapanya ialah seorang jurutera yang bekerja di beberapa buah negara. Semasa dia kecil, dia pernah tinggal di Afrika, Timur Tengah dan Eropah. Cuma setelah bapanya membuat keputusan untuk membuka perniagaan sendiri, barulah dia kembali ke Malaysia. Pada waktu itu, umur Zahra sudah pun menjangkau 14 tahun.

Zahra hanya mempunyai seorang adik perempuan bernama Siti Aishah. Adiknya itu mempunyai personaliti yang amat berlainan daripada dirinya. Zahra lebih gemarkan muzik dari Eropah tetapi Siti Aishah lebih gemarkan muzik dari Timur Tengah. Zahra lebih senang bergaul dengan orang putih tetapi Siti Aishah lebih suka bergaul dengan orang-orang Arab. Zahra lebih suka memakai gaun, seluar dan aksesori moden tetapi Siti Aishah lebih suka memakai jubah dan tudung.

Mereka tidak pernah sepakat dalam banyak hal tetapi selepas kehadiran Ustaz Amir, Zahra mula meluangkan masa dengan Siti Aishah. Ustaz Amir perlukan seorang isteri yang sesuai dengan dirinya sebagai seorang ustaz. Sejak dia mula jatuh cinta dengan Ustaz Amir beberapa tahun lalu, dia sedar dia harus berubah menjadi wanita yang lebih solehah. Orang terbaik yang dapat membantunya melalui perubahan itu adalah Siti Aishah.

“Cubalah pakai.” Tanpa disedari, Siti Aishah sudahpun berada di belakangnya.

...bersambung

Bab akan datang:
Adakah Zahra akan terbuka hati untuk memakai tudung?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience