“Tak mengapalah, mungkin kita akan bincangkan semula selepas Benji pulang nanti.” Ustaz Amir menepuk belakang Benji beberapa kali.
“Bincangkan mengenai apa?” Benji tiba-tiba bersuara seolah-olah baru tersedar daripada mimpi.
“Kamu ni Benji, selalu saja berangan!” ibunya, Puan Maria pula menegurnya dengan senyuman sinis.
“Maaf, saya memang betul-betul tak dengar tadi,” Benji menjawab dengan sedikit perasaan malu.
“Kami tahu, Benji. Memang nampak jelas tadi awak berangan. Entah-entah dah sampai ke Brussels!” Zahra menyahut sambil tersenyum.
Puan Maria, Azhari dan Ustaz Amir ketawa sedikit.
“Tak ada apa-apalah, Benji. Kami sengaja mengusik. Dah pukul berapa ni? Rasanya dah sampai masanya untuk kau check in.” Azhari melihat jam tangannya.
Puan Maria mengangkat tangan memanggil pelayan restoran tersebut untuk menyelesaikan bil.
Malam itu Benji akan mengambil penerbangan tengah malam ke London dan kemudian akan menyambung penerbangannya ke Brussles dengan pesawat lain.
“So? Dah keluarkan isi hati kau tu?” Azhari berbisik ke telinga Benji.
“Belum lagi!” Benji menjawab dengan nada tertekan.
“Bila lagi? Melepaslah nanti kalau lambat sangat. Terlepas ke tangan orang lain,” Azhari menjawab sambil menjeling ke arah Zahra.
Benji mengurut-urut kepalanya.
“Jom!” Puan Maria memanggil semua sebaik sahaja dia selesai membuat pembayaran. Semua bangun dari kerusi masing-masing.
“Aku akan tarik perhatian Puan Maria dan Ustaz Amir. Kau cuma ada satu jam setengah saja lagi sebelum berlepas. Good luck!” Azhari menepuk bahu Benji.
Benji menelan air liurnya sendiri.
Azhari memanggil Puan Maria dan Ustaz Amir dan mereka berjalan beriringan.
Benji kemudiannya terus memanggil Zahra.
“Zahra, tengoklah mereka tu, tinggalkan kita.” Benji cuba menarik perhatian Zahra.
Zahra tersenyum lagi, senyuman manis yang selalu bermain dalam mimpi-mimpinya. Benji menolak troli yang dibawanya sambil berjalan seiringan dengan Zahra.
“Berapa lama awak perlu berada di Brussels kali ini?” Zahra bertanya.
“Sekurang-kurangnya, enam bulan. Klien kali ini adalah pengusaha berlian dan batu permata yang terbesar di dunia,” Benji menjawab.
“Wah, bolehlah belikan satu cincin permata untuk saya nanti,” Zahra membalas.
Hati Benji menjadi kecut. Lidahnya kelu. Memang Benji berniat untuk membeli sebentuk cincin untuk Zahra nanti, sebaik sahaja dia berjaya meluahkan isi hatinya kepada Zahra.
“Err...” Lidah Benji benar-benar kelu, beku dan keras.
“Saya main-main sajalah,” Zahra menjawab.
“Tak!” Tiba-tiba perkataan itu keluar daripada mulut Benji.
“Tak?” Zahra bertanya dengan kehairanan.
“Maksud saya, err...” Benji cuba memberi penjelasan tetapi lidahnya kembali terkunci.
“Benji, tarik nafas perlahan-lahan. Saya tahu awak selalu rasa panik sebelum naik kapal terbang. Jangan fikirkan mengenai perjalanan awak sekarang. Kita berbual mengenai topik lain,” Zahra memberi cadangan.
...bersambung
Bab akan datang:
Akan terucap juakah rasa hati Benji sebelum dia berangkat ke Brussels?
Share this novel