Bab 33

Romance Completed 41738

Walau bagaimanapun, Benji akhirnya bangun dan turun ke dapur. Ibunya ada menyediakan bihun goreng di dalam kuali yang bertutup di atas dapur.

Loceng rumahnya tiba-tiba dibunyikan berkali-kali. Semasa Benji melalui ruang tamu, dia sempat menjeling jam dinding. Hari sudahpun hampir pukul 11.00 pagi.

Benji membuka pintu untuk melihat siapa yang datang. Di luar pagar, Benji terlihat seorang gadis berbaju merah jambu melambaikan tangan kepadanya. Hati Benji berbunga melihat gadis itu. Senyumannya semakin lebar. Gadis itu masuk setelah pagar automatik itu dibuka.

“Alara, bagaimana awak tahu saya tinggal di sini?” Benji bertanya sebaik sahaja mereka bertemu.

Alara hanya tersenyum apabila soalan itu diajukan. “Saya datang untuk memberitahu, saya terpaksa pulang ke Brussels hari ini dan saya tidak pasti bila saya akan kembali.” Alara tunduk sedikit semasa memberitahu berita ini kepada Benji.

“Awak tak suka tinggal di sini?” Benji bertanya.

“Saya suka tinggal di sini, saya rasa lebih aman di sini. Laungan azan ada di mana-mana, mudah untuk saya mendapat makanan halal. Cuacanya juga agak baik, seolah-olah musim panas sepanjang tahun,” Alara membalas.

“Tinggal saja di sini, Alara. Saya boleh jaga awak di sini. Saya akan sentiasa pastikan awak selamat,” Benji cuba meyakinkan Alara.

“Saya pasti akan lakukannya, Benji, tetapi saya perlu selesaikan tugasan saya yang satu ini. Saya akan kembali apabila semuanya telah selesai nanti. Tunggu saya, Benji. Saya pasti akan kembali!” Alara menggenggam kedua-dua tangan Benji untuk memberikan keyakinan.

“Saya perlu pergi sekarang. Saya janji saya akan kembali.” Alara melepaskan genggamannya dan berjalan pantas melepasi pintu pagar dan terus masuk ke dalam sebuah teksi yang menunggunya di tepi jalan sejak tadi.

Benji terkedu. Sekali lagi Alara meninggalkannya secara tiba-tiba. Cuma bezanya, kali ini Alara datang dengan janji untuk kembali.

6 bulan kemudian...

Alara cuba membuka matanya. Walaupun terasa agak berat, Alara perlu bangun daripada tidur kerana dia perlu berfikir keras.

Alara menarik nafas dalam-dalam. Nampaknya dadah yang diberikan oleh Notarbartolo sudah semakin hilang kesannya. Alara nampak dengan jelas bagaimana Sodium Pentothal, sejenis ubat pelali yang berbentuk kristal berwarna kuning dilarutkan di dalam air dan disuntik pada lengannya.

Sodium Pentothal bertindak melemahkan sistem saraf utama badan, menurunkan kadar denyutan jantung dan merendahkan tekanan darah. Akibatnya, sesiapa yang disuntik dengan dadah ini akan lebih mudah berkongsi maklumat atau rahsia jika digunakan dengan betul.

Alara sudah dapat mengingati kejadian yang berlaku sebelum ini. Tangannya juga sudah mula terasa sakit akibat ikatan yang terlalu kuat pada kerusi yang didudukinya. Ini tandanya dadah itu sudah hilang kesannya.

Sudah lebih seminggu Alara ditangkap dan diikat sebegitu. Adakalanya dia diikat di katil dan adakalanya dia diikat di atas kerusi. Bibirnya bengkak akibat ditampar berkali-kali kerana tidak mahu membocorkan rahsia identitinya.

...bersambung

Bab akan datang:
Bagaimana Alara berusaha untuk melepaskan dirinya daripada Notarbartolo?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience