Bab 37

Romance Completed 41738

“Kalau kau tak mahu pergi, aku boleh bawa kau balik ke rumah,” Azhari memberi cadangan.

Benji masih lagi termenung.

“Atau aku boleh hantar kau ke pekan dan aku akan ambil kau dalam perjalanan pulang nanti,” Azhari menyambung.

Benji menghela nafas. “Aku mahu hadir! Mereka berdua sahabat baik kita.” Benji cuba menguatkan hatinya.

Azhari mematikan enjin dan membuka pintu kereta. Dia membetulkan sedikit samping baju Melayu yang dipakainya agar nampak lebih kemas. Sayup-sayup dari kejauhan, kedengaran paluan kompang memecah kesunyian. Cuaca yang agak panas tengah hari itu dirasakan lebih ceria dengan beberapa bunga manggar yang diarak bersama mempelai dan rombongan yang membawa beberapa dulang hantaran.

Azhari dapat melihat dengan jelas keceriaan pada wajah Ustaz Amir ketika memasuki pekarangan rumah bersama rombongan yang mengiringinya dari belakang. Sebaik sahaja rombongan itu sampai di hadapan rumah, paluan kompang dihentikan seketika.

Azhari merenung semula ke dalam kereta. Benji nampaknya masih lagi belum berganjak dari tempat duduknya. Dia membuka kembali pintu kereta.

“Eh, kenapa tercegat lagi di situ? Jom kita masuk. Tadi kata okey,” Azhari menegur Benji.

“Kau masuk dululah. Aku akan masuk nanti,” Benji menjawab acuh tidak acuh.

Azhari menggaru kepalanya sedikit. “Baiklah, Benji. Nah, kunci kereta. Bila dah masuk nanti, cari aku di dalam,” Azhari membalas sambil mencampakkan kunci kereta kepada Benji.

Hati Benji masih lagi berasa tidak keruan. Walaupun dia telah berusaha keras menerima hakikat, tidak sanggup rasanya dia melihat Zahra bersanding dengan Ustaz Amir hari itu.

Benji bermain-main dengan telefon bimbitnya. Dia mahu menenangkan hatinya sedikit. Benji melihat beberapa gambar yang berada dalam simpanan telefon bimbitnya. Gambar-gambar kenangan antara Zahra, Ustaz Amir, Azhari dan beberapa orang kawannya yang lain.

Zahra sentiasa nampak manis dalam setiap pergerakannya. Walau apapun aksinya, tidak terdapat sedikit pun cacat celanya, Zahra tetap nampak menawan sepanjang masa.

Telefon bimbit yang dipegangnya itu tiba-tiba bergegar. Satu nombor yang tidak dikenalinya muncul beberapa kali minta untuk dijawab. Benji hanya membiarkan sahaja panggilan itu tidak berjawab. Sesiapa yang menelefonnya pada waktu itu tidak penting walau apapun agendanya. Waktu-waktu terakhir melihat gambar kenangan bersama Zahra adalah detik yang paling penting ketika ini.

Benji membuka beberapa fail gambar yang terkandung dalam telefon bimbitnya lagi. Beberapa gambar Alara muncul satu per satu. Alara adalah gadis misteri yang sentiasa mengingatkannya kepada Zahra dahulu.

Sudah enam bulan Alara pergi tanpa khabar berita. Dia masih ingat akan janji Alara untuk kembali kepadanya. Genggaman tangannya yang kemas. Pandangan matanya yang penuh rasa cinta. Pada ketika itu, Benji sanggup melakukan apa-apa sahaja demi Alara, walaupun terpaksa menunggu seribu tahun kerana Alara telah membalas cintanya, cinta seorang lelaki yang tulus ikhlas.

Bibirnya mengukir senyuman kembali setelah melihat gambar-gambar Alara. Hatinya semakin tenang mengingati cinta Alara. Dunianya terasa cerah kembali.

...bersambung

Bab akan datang:
Adakah Benji akan melupakan Zahra dan memulakan hubungan baru dengan Alara?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience