Bab 14

Romance Completed 41738

“Dari mana awak tahu laluan ini?”

“Inilah tempat saya menyorok masa kecil-kecil dahulu. Menyorok daripada semua masalah,” Alara menjawab. Dia membawa Benji masuk.

Suasana gelap pekat di dalam ruang itu langsung tidak menggentarkan Alara. Beberapa kali Benji memanggil nama Alara setiap kali pegangan tangannya terlepas. Berulang kali juga Alara menenangkan Benji. Alara berjalan dengan perlahan dan berhati-hati sambil memimpin Benji. Alara meraba-raba dinding mencari suis lampu.

Klik!

“Nasib baik lampu masih boleh digunakan lagi!” Alara menarik nafas lega.

Benji berjalan meneliti tempat itu. Ruang kawasan itu hanya sebesar sebuah bilik tidur yang sederhana besar dan kebanyakan barang yang ada di situ sudah berhabuk.

Alara membuka kotak kecil yang diserahkan oleh pengemis itu tadi. Dia membawa keluar kandungan kotak itu dan menelitinya di bawah cahaya mentol berwarna kuning di bilik tersebut. Sebutir permata berwarna kekuning-kuningan sebesar ibu jari menarik perhatian Benji.

“Berlian?” Benji bertanya.

“Ya, masih belum digilap. Berlian mentah.”

“Daripada pengemis itu tadi, bukan?”

“Ya.”

“Jadi mereka yang membelasah pengemis itu tadi sebenarnya mencari berlian ini?”

“Ya,” Alara menjawab dengan perlahan sambil merenung ke dalam anak mata Benji.

“Siapa awak sebenarnya, Alara? Awak pedagang berlian?” Benji bersuara.

“Bapa saya adalah pedagang berlian tapi dia sudah meninggal dunia. Inilah tempat dia menggilap berlian dahulu.”

“Apa yang berlaku sebenarnya, Alara? Mengapa mereka semua sampai bergaduh tadi kerana berlian ini?”

“Mereka adalah kumpulan samseng yang memeras ugut semua peniaga di kawasan ini. Saya tak tahu bagaimana pengemis itu boleh mendapat berlian mentah ini tapi tugas saya adalah untuk menggilapnya dan mengikatnya menjadi cincin untuk dihadiahkan kepada anak perempuannya yang akan berkahwin tidak lama lagi.”

Benji mendengar penjelasan Alara dengan penuh perasaan curiga. Dia masih ingat bagaimana Alara membaling pisau ke arah samseng-samseng itu tadi dengan tepat tanpa mencederakan mereka.

Alara juga fasih dalam lima bahasa Asia dan dia juga boleh menggilap berlian. Alara bukan gadis biasa!

“Dah lewat sekarang, Benji. Sudah hampir pukul 2.00 pagi. Saya rasa kita kena tunggu beberapa jam lagi, baru kita boleh keluar dari sini,” Alara tiba-tiba bersuara.

“Nasib baik saya tak bekerja esok,” Benji membalas.

“Saya minta maaf, Benji. Awak tak sepatutnya terlibat dengan masalah ini.” Alara memegang bahu Benji sambil meminta maaf.

Alara kemudiannya membuka suis lampu meja. Terlihat beberapa keping gambar dilekatkan pada dinding. Benji menghampiri meja tersebut untuk melihat gambar-gambar itu dengan lebih teliti.

Gambar-gambar itu kesemuanya gambar beberapa butir berlian yang berwarna kebiru-biruan dengan saiz yang berbeza-beza.

Hanya satu gambar yang agak berlainan di situ, gambar seorang wanita Eropah memakai seutas rantai dengan aguk sebuah permata berwarna biru sebesar bola pingpong.

...bersambung

Bab akan datang:
Benarkah kata-kata Alara mengenai dirinya? Siapakah wanita di dalam potret itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience