“Aku tak tahu pun Ustaz Amir nak bertunang dengan Zahra. Kalau aku tahu, dah lama aku beritahu kau, Benji.” Azhari mengambil sebiji bola boling dan melemparkannya ke lorong yang mereka tempah.
“Bukan jodoh aku agaknya,” Benji mengomel.
“Takkan kau tak ada girlfriend lain? Pusing-pusing satu dunia, takkan tak ada perempuan yang berkenan?” Azhari cuba menduga.
“Aku jumpa Alara semalam.”
“Alara? Sedapnya nama. Siapa dia?”
“Aku tinggal serumah dengan dia semasa di Brussels.”
“Apa? Kau orang berdua tinggal serumah?”
“Bukan satu bilik, satu rumah! Panjang ceritanya, tapi sekarang dia ada tugasan di Malaysia.”
“Cantik ke Alara ni? Secantik Zahra?”
“Cantiklah, perempuan Eropah yang cantik molek. Zahra ada kecantikan tersendiri, tak boleh samakan dia dengan perempuan lain.”
Azhari tersenyum sinis mendengar kenyataan Benji.
“Aku juga yang belum dapat girlfriend,” Azhari mengomel seorang diri. Sebaik sahaja tiba gilirannya semula, Azhari memilih bola boling yang sesuai untuknya.
“Mungkin sudah takdir aku tak dapat berkahwin dengan Zahra. Cinta tak semestinya bersatu,” Benji membalas sambil mengeluh berat. Hati kecilnya sudah banyak kali berbisik agar melepaskan Zahra. Ini bukanlah pengakhiran kisah cinta yang dia mahukan tetapi jauh di sudut hatinya, dia mahu Zahra gembira dengan pilihan hatinya.
Selepas membeli tiket, Alara masuk melalui pintu masuk utama dan terus menuju ke tempat menjual aiskrim. Lelaki yang menjual aiskrim itu membunyikan loceng di tangannya berkali-kali untuk menarik perhatian pengunjung fun fair malam itu. Kelihatan seorang kanak-kanak menjerit sambil menunjuk ke arah penjual aiskrim, berharap ibunya mahu singgah membeli. Beberapa orang kanak-kanak lain pula berbaris menunggu giliran untuk membeli aiskrim kegemaran mereka.
Alara menjeling jam tangannya. Waktu sudah menghampiri pukul 8.00 malam dan orang yang ditunggunya masih lagi belum sampai. Apabila kanak-kanak yang mengerumuni penjual aiskrim itu reda, Alara membeli satu kon aiskrim berperisa strawberi.
“Alara!” satu suara menegurnya dari belakang.
“Maaf, saya terlambat sedikit,” lelaki itu terus meminta maaf sebaik sahaja Alara berpaling.
“Saya baru sahaja sampai, Benji. Tak perlu minta maaf,” Alara menjawab sambil menjilat aiskrim yang dibelinya. Alara memesan satu aiskrim lagi untuk Benji. Mereka berjalan beriringan sambil melihat-lihat sekitar tapak fun fair.
“Saya minta maaf, Benji, kerana tidak terus berhubung. Kerja saya banyak melibatkan pihak berkuasa. Malam ini sebahagian tugasan saya sudah selesai dan saya dibenarkan untuk menemui kawan-kawan,” Alara memulakan bicara.
“Awak masih lagi bertugas sebagai penterjemah?” tanya Benji.
“Ya, tugasan saya yang terbaru membawa saya ke Kuala Lumpur.”
“Berapa lama awak akan berada di sini?”
“Mungkin beberapa bulan atau mungkin hanya beberapa minggu. Saya tidak begitu pasti lagi.”
...bersambung
Bab akan datang:
Apakah Benji akan cuba melupakan Zahra dan memulakan hidup barunya bersama Alara?
Share this novel