Bab 84.

Romance Completed 86682

Perjalanan sepanjang dirinya pulang ke rumahnya hanya ditemani dengan corong radio kereta teksi yang dinaikinya itu. Dia membuang pandang melihat ke arah tingkap.

Senja sudah melabuhkan tirainya, kepekatan malam sudah mula hadir. Dia menyepi, sepuluh patah kata yang disoal oleh pemandu teksi, hanya sepatah kata dijawabnya. Entah, fikirannya berserabut pada ketika itu. Tiada mood untuk dirinya berborak bersama dengan pemandu teksi itu dan dia hanya termenung sepanjang perjalanan pulang ke rumahnya.

" Ramainya orang dekat rumah adik. Mak adik buat kenduri ker? Tak sangka orang Kuala Besut buat kenduri malam-malam ni "

Bunga berkerut, tidak memahami dengan apa yang disampaikan oleh pemandu teksi itu. Pantas sahaja matanya dilirikkan melihat ke arah halaman rumahnya.

Terbeliak luas biji matanya setelah melihat penduduk kampung datang bertandang ke rumahnya. Mak buat tahlil arwah abah ker? Tapi..mana mak dapat duit nak buat tahlil semua ni? Soalnya di dalam hati. Tanpa menunggu lama terus dia membawa diri keluar daripada perut kereta itu.

Baju kurungnya yang sedikit terangkat itu diperbetulkan. Tiba-tiba sahaja hatinya berdegup laju usai melihat imam-imam surau turun daripada anak tangga rumahnya. Apa yang sebenarnya sudah berlaku ni? Belum sempat dia ingin membuka langkah terlebih dahulu tudungnya ditarik kasar daripada belakang. Dia menoleh, wajah bengis Mak Cik Kalsom dilihatnya.

" Hoi !! Kau ni, memang anak yang tak guna kan?! Kau ni memang anak derhaka !! DERHAKA !! " Tengking Mak Cik Kalsom sinis.

" Saya tahu..sebab tu saya balik sini. Saya nak mintak maaf dekat mak saya. Saya nak perbetulkan semua kesilapan saya " Luah Bunga jujur. Dia sudah insaf dan dia sudah bertaubat.

" Ooooo, kau nak perbetulkan semuanya? Kau nak perbetulkan apa lagi Bunga oi?! Huhhh?! Kau nak mintak maaf dengan mak kau?! Uishhh, aku rasa macam dah tak ada guna ungkapan maaf kau tu " Perkataan maaf ditekannya cuba untuk menyindir Bunga.

" Apa maksud Mak Cik Kalsom ni? Bunga tak faham "

" Kau tak faham ker, atau buat-buat tak faham?! Tu..kau tengok rumah kau tu, ramai orang kan? " Jari telunjuknya ditunding ke arah rumah kayu usang itu.

Bunga melirikkan biji matanya melihat ke arah tundingan jari telunjuk Mak Cik Kalsom. Dia mengangguk kepala, mengiakan pertanyaan Mak Cik Kalsom.

" Ramai orang tu.. tandanya mengatakan bahawa emak kau dah takda !! Mak kau dah meninggal dunia. Dah hampir seminggu mak kau meninggal. Meninggal semasa tidur dan meninggal selepas kejadian anak perempuan dia yang tak guna macam kau ni, pergi tinggalkan dia dekat hospital tu sorang-sorang "

Ibarat jantungnya luruh ke tanah, dia terbungkam. Sulit untuk dirinya menerima apa yang diperkatakan oleh Mak Cik Kalsom. Kelu lidahnya untuk bersuara pada saat itu.

" Mak kau tu..dah berulat mayat dia tau ! BERULAT !! Aku tak faham la apesal kau ni jahat sangat? Sanggup kau buat mak kau macam tu? Ishhh, aku walaupun jadi mak cik bawang rasanya tak la jahat macam kau ni !! " Hembur Mak Cik Kalsom sinis. Matanya memandang mengejek ke arah wajah Bunga.

Bunga terpanar. Robek hatinya mendengar ungkapan bahawa emaknya sudah tiada. Baru dia ingin membuka langkah menaiki anak tangga rumahnya itu sekali lagi Mak Cik Kalsom menyambar kasar tangannya.

" Setitis air mata seorang emak yang tumpah disebabkan anak derhaka macam kau ni..Allah akan menjunamkan kau dalam api neraka selama enam puluh tahun. Enam puluh tahun Bunga oi !! "

Gementar dirinya usai mendengar ungkapan daripada Mak Cik Kalsom. Air mata gugur membasahi pipi. Lemah longlai lututnya ketika itu dan dia terduduk.

" Tak...tak...tak mungkin mak dah takde. Tak mungkin mak dah pergi tinggalkan Bunga. TAK MUNGKIN !! " Raungnya duka. Ibarat sebutir peluru tepat menembusi hatinya usai mendengar ungkapan daripada Mak Cik Kalsom. Penyesalan hadir dalam dirinya, sukar dan begitu sulit untuk dirinya mempercayai omongan daripada Mak Cik Kalsom itu. Belum sempat dia ingin membuka langkah menaiki anak tangga terlebih dahulu Mak Cik Kalsom bersuara.

" Dah la Bunga..mak kau dah selamat dikebumikan pun. Pergi je la kat kubur tu, kalau kat sini bukannya ada apa-apa pun. Rumah kau ni pun masih lagi bau busuk sebab mayat mak kau tu " Ungkap Mak Cik Kalsom dingin. Sebal hatinya mengenangkan perlakukan Bunga itu. Kalau diikutkan hati, ingin sahaja dia menampar pipi Bunga. Disebabkan dia menghormati kepergian Salmah jer dia tidak tergamak untuk melakukan sebegitu.

Bunga tergamam usai mendengar bait-bait kata bahawa emaknya sudah selamat dikebumikan. Pantas sahaja dia berlari menuju pergi ke hujung kampung. Ingin menuju ke kubur yang menempatkan emaknya itu.

Dia gugup, badannya menggigil terketar-ketar setelah melihat tanah kubur emaknya yang masih lagi merah. Mungkin baru sahaja siap dikebumikan. Perlahan-lahan dia menapak ke arah pusara baru itu. Sampai sahaja dirinya di sisi pusara milik emaknya, dia terduduk.

Empangan matanya pecah. Air mata membanjiri pipinya, terketar-ketar tangannya ingin menyentuh tanah merah pusara emaknya.

" Mak..mak...Bunga dah balik.. Bunga dah balik.." Tuturnya sebak, seolah-olah emaknya masih lagi hidup.

" Mak..mak bangunlah. Kenapa mak duduk dalam ni? Mak bangun la mak. Tengok la Bunga ni haa..Bunga..Bunga betul-betul dah balik.." Rembesan air mata mengalir sejajar dengan ungkapannya itu.

" Maafkan Bunga mak...maafkan Bunga..mak bangun la..mak janganlah duduk dalam tanah ni. Bunga..Bunga dah betul-betul balik ni mak..jangan tinggalkan Bunga mak. Bunga dah balik ni..Bunga janji, lepas ni..Bunga takkan tinggalkan mak lagi. Mak...mak..oo mak..mak dengar tak apa yang Bunga cakapkan ni? MAK !! MAK !! BUNGA DAH BALIK MAK !! " Raungnya duka. Hujan lebat tiba-tiba sahaja turun membasahi bumi. Dentuman kilat saling sabung-menyabung seolah-olah memarahi akan perbuatan derhakanya itu.

Titisan hujan membasahi tanah merah pusara emaknya itu. Dia terbungkam. Sungguh, begitu sulit untuk dirinya mempercayai semua ini. Emak sudah pergi? Tapi kenapa? Dia masih belum sempat ingin meminta maaf daripada emaknya. Dia belum sempat ingin menyalami tangan tua milik emaknya dan dia masih belum puas ingin menatap wajah tua emaknya.

Dia..dia masih perlukan belaian kasih sayang daripada emaknya dan dia menyesal, menyesal kerana terlalu ikutkan rasa cemburu dalam hatinya dan akhirnya..dia..dia telah kehilangan harta yang paling berharga dalam hidupnya.

" Maafkan Bunga mak. Maafkan Bunga.."

Tiada guna erti penyesalan, tiada guna erti ungkapan maaf apabila insan itu sudah pergi buat selamanya. Maka daripada situ, lahirlah erti sebuah rindu yang tidak berpenghujung.

Setitis air mata seorang ibu tumpah disebabkan anaknya.. walaupun sebesar lalat titisan itu...ia sudah cukup untuk Allah menjunamkan anaknya ke dalam api neraka selama enam puluh tahun. Berbuat baik dan berbakti la kepada ibumu yang masih lagi hidup, kerana ia adalah harta yang tiada ganti. Pergi dirinya, maka tiada la dia.

*******************************

Kedinginan malam, tepat pada pukul lima pagi, dia yang baru sahaja siap menunaikan solat hajat serta solat tahajud bertafakur di atas sejadah yang mempunyai hiasan sulaman berbentuk kaabah itu.

Cahaya malap daripada lampu tidur biliknya menemani dirinya menunaikan solat sunat itu. Matanya memandang redup ke arah sejadah. Usai itu, dia menadah tangan memohon pertolongan daripada Allah Yang Satu.

" Bismi-llahi r-rahmani r-rahim. Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah dan lagi Maha Penyayang..engkau juga adalah Maha Mendengar..aku..aku ingin berdoa kepada Mu...meminta pertolongan daripada Mu..engkau permudahkan la urusan pembedahan suamiku yang akan dilakukan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) pada hari besok. Engkau berikanlah kesembuhan pada suamiku, agar suamiku mampu untuk merasai nikmat kesihatan yang telah engkau pinjamkan pada suatu ketika dulu. Aku..aku begitu menyayangi suamiku Ya Allah. Aku tidak mampu untuk meneruskan hidupku tanpa dia disisiku dan anak yang ada dalam kandungan ku ini memerlukan kasih sayang seorang ayah. Maka..aku mohon..aku mohon jangan la engkau pisahkan aku daripada hambaMu yang bernama Eric Darius Arrayan. Pulihkan la kesihatannya, berikanlah kesembuhan untuknya..dan jika engkau tetap ingin mencabut nyawanya..maka aku mohon, engkau cabutkan la juga nyawaku. Kerana aku tidak mampu untuk meneruskan hidup tanpa suamiku di sisi.. "

Tengku Shahril yang mendengar doa rintihan daripada anak perempuannya itu terkedu. Air mata tumpah membasahi pipi tuanya. Dia melangkah masuk ke dalam bilik anak gadisnya. Dilabuhkan punggungnya duduk bersebelahan dengan Alisya. Diusap lembut ubun-ubun rambut anak gadisnya yang berlapikkan dengan kain telekung putih itu.

Alisya menoleh, wajah sugul papanya ditatap hambar. Perlahan-lahan dia membawa tangan tua papanya itu, lalu diletakkan pada perutnya yang sudah mempunyai benih antara dirinya bersama dengan Darius.

" Papa..mampukah anak Alisya dan Darius merasai kebahagian hidup berkeluarga? Mampukah..anak ini lahir disambut oleh Darius? " Soal Alisya sebak.

" In Sya Allah sayang..dengan izin daripadaNya.. "

Alisya tersenyum tipis usai mendengar jawapan daripada Tengku Shahril. Jawapan yang terlalu umum untuk pertanyaannya itu.

" Alisya..Alisya tak mampu dan tak kuat sekiranya..bila Alisya bangun daripada tidur..Darius tiada di sisi Alisya. Alisya tak kuat papa.. Alisya tak kuat.."

Tengku Shahril terdiam. Luruh hatinya mendengar luahan hati daripada anaknya itu. Pantas sahaja dia membawa Alisya ke dalam dakapannya.

" Alisya kena kuat..kuat untuk diri Darius dan kuat untuk baby yang ada dalam perut Alisya ni. Jangan fikir yang bukan-bukan yer sayang. Jom, kita turun bawah..kita sarapan lepastu kita pergi tengok Darius dengan mommy dekat PPUKM " Ungkap Tengku Shahril lembut. Darius terpaksa dipindahkan ke PPUKM kerana di situ terdapat doktor-doktor pakar yang lebih mahir dalam operasi pembedahan tumor dan pada hari ini Melissa yang pergi menemani Darius setelah bergilir-gilir dengan anak gadisnya itu.

" Jom sayang.." Tangan tuanya mengusap lembut belakang tubuh Alisya cuba untuk memberi kekuatan.

Alisya tersenyum tipis. Tiada apa yang dia harapkan pada ketika ini, dia cuma mahu suaminya dapat disembuhkan daripada penyakit berbahaya itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience