Di dalam dewan kuliah, Aidan tidak dapat menumpukan perhatiannya dalam pelajaran. Fikirannya melayang kepada peristiwa bisikan misteri yang didengarinya sebaik sahaja tiba di kampus tadi.
Dia menarik nafas dalam-dalam dan cuba untuk fokus semula dengan membaca nota yang ditulis oleh Encik Robert di papan putih, tetapi tidak berjaya. Bisikan suara yang didengarinya di pagar kampus masih lagi bermain difikirannya.
"Siapa dia sebenarnya? Apa yang dia mahu dariku? Adakah ini melibatkan Inderapati? Kalau betul, bagaimana keadaan Rendra dan Melur? Selamatkah mereka disana?" pelbagai persoalan mula muncul di benak Aidan.
Habis sahaja waktu kelas, Aidan bergegas pulang ke bilik sewanya. Tony yang sedang sibuk berbincang dengan rakan sekelas tentang tugasan yang diberikan oleh pensyarah hanya memandang Aidan meninggalkan dewan kuliah dengan penuh tanda tanya.
Dalam perjalanan menuju ke bilik sewanya, tiba-tiba muncul susuk tinggi berjubah hitam ditengah-tengah kesesakan orang ramai. Wajah susuk itu ditutupi oleh kain penutup kepala, hanya senyuman ngeri sahaja yang ditunjukkan. Anehnya, orang ramai seolah-olah tidak perasan kehadiran susuk tersebut.
"Masa kau akan tiba, Penjejak Mimpi." bisik susuk itu memberi amaran kepada Aidan.
"Siapa kau? kenapa kau mengganggu hidup aku? Adakah kau di pihak kebenaran atau sebaliknya?" soal Aidan, memberanikan diri.
Susuk itu hanya ketawa mendengar soalan Aidan. Dia menaikkan jari telunjuknya ke arah Aidan. "Kau Penjejak Mimpi hanyalah penghalang kepada cita-cita kami untuk menguasai dunia mimpi dan realiti. Kami, kerajaan Berlian Sebutir akan pastikan kau dihapuskan."
"Berlian Sebutir?" Aidan terkejut mendengar nama itu. Itu adalah nama kerajaan dimana pahlawan lagenda Tok Mamba berasal. Dalam ragu-ragu Aidan bertanya kepada susuk tersebut. "Apakah kau ini Tok Mamba? Mengapa kau berbuat demikian? Bukankah kau sudah mengundurkan diri dari dunia ini?"
"Tok Mamba?" soal susuk itu sambil ketawa. "Siapa dia? aku tak kenal nama itu." sambungnya lagi.
Terasa seperti dipermainkan, Aidan melangkah untuk menyerang susuk tersebut. Tetapi belum sempat dia bertindak, bahunya tiba-tiba ditepuk oleh seseorang.
Apabila Aidan menoleh, Tony sudah berada di belakangnya. "Apa kau buat kat sini Aidan? Bukankah kau patut pulang?" tanya Tony, wajahnya penuh kerisauan.
"A...aku...aku...ada sesuatu disana." Aidan menjawab sambil menunjuk ke arah tempat susuk tersebut berdiri. Malangnya, kelibat susuk tersebut sudah tiada. Yang ada hanyalah orang ramai yang lalu lalang disitu.
"Kau okay ke tak? Aku rasa kau kurang rehat ni Aidan. Mari aku temankan kau pulang." pelawa Tony.
Aidan yang masih dalam kekeliruan hanya menganggukkan kepala. Dia masih lagi dilanda kerisauan tentang keselamatan dunia Inderapati. Namun, tiada apa yang mampu dilakukannya untuk masuk ke dunia itu kembali.
Share this novel