Bab78

Romance Completed 59279

Di ruang tamu, Ziyad masih sibuk menaip di laptopnya, sesekali keningnya berkerut, seolah-olah menemui sesuatu yang pelik dan mencurigakan.

Emir menghampiri. "Ada apa-apakah? Mana Aidil?"

Ziyad menoleh sekilas. "Aidil dah balik. Saya pun nak balik tadi... tapi saya jumpa something."

Jari-jarinya laju menekan beberapa butang di keyboard, sebelum dia memusingkan skrin laptop ke arah Emir.

Paparan peta digital muncul. Emir menajamkan pandangan.

"Apa ni?"

Ziyad menghela nafas berat.

"Aku tak tahu kenapa 'Boss' tiba-tiba boleh dikesan, tapi sekarang dia ada kat sini."

Emir melihat lokasi yang tertera di skrin.

Dan serta-merta wajahnya berubah.

Jantungnya terasa seperti dihentak dengan kuat.

Dia kenal tempat itu. Sangat kenal. Darahnya mendidih.

Tanpa membuang masa, Emir mencapai kunci kereta dan meluru keluar.

"Emir! Tunggu dulu, jangan gopoh..." Ziyad belum sempat menghabiskan ayatnya, Emir sudah menghempas pintu rumah dan masuk ke dalam kereta.

Dia menekan pedal minyak kuat-kuat.

Enjin meraung, tayar bergesel dengan jalan tar.

Panduannya kasar, setiap kali dia menukar gear, stereng digenggam kuat hingga buku jarinya memutih.

Darahnya bergelegak, dadanya terasa seperti mahu pecah. Matanya membara dengan kemarahan yang tidak terbendung. Dia menghentak stereng dengan kasar.

Apa lagi yang dia mahukan? Kenapa dia masih tidak berpuas hati? Bukankah Emir sudah lepaskan semuanya? Bukankah Emir sudah hilang segalanya? Kenapa dendam itu masih membelenggu dirinya? Selama ini Emir fikir segalanya sudah berakhir. Tetapi rupa-rupanya dia silap.

Sangat silap.

Genggamannya pada stereng semakin erat, tangannya menggeletar menahan kemarahan.

"Aku takkan biarkan papa buat apa-apa pada keluarga angah lagi, pa?!"

Bunyi enjin kereta bergema di sepanjang jalan, membawa seorang lelaki yang sedang dihimpit oleh kemarahan, kekecewaan, dan tekad yang membara.

Dan malam itu, Emir tahu, ini belum berakhir dan dia akan pastikan semuanya selesai malam ini juga.

Kereta Emir berhenti di hadapan rumah dua tingkat itu. Rumah yang penuh dengan kenangan.

Dia menghela nafas dalam-dalam, cuba menenangkan debaran di dadanya. Tangannya erat menggenggam stereng, sedangkan fikirannya sudah berkecamuk. Dia mengetap rahangnya, dia segera keluar dari perut kereta.

Rumah itu gelap. Tetapi ada suara sayup-sayup dari dalam. Emir melangkah lebih dekat. Semakin dekat dengan pintu, semakin jelas bunyi pertengkaran yang sedang berlaku. Suara lelaki bergema dalam kemarahan.

"Selama ini semua rancangan yang kita buat tak jadi sebab kau gagal jadi ketua rumah! Aku nak kau bertanggungjawab!"

Suara Datuk Emran membalas, tegang.

"Takkan aku nak paksa anak aku? Gara-gara benda ni, aku hilang anak aku tahu tak!?"

"Habis tu aku?! Aku hilang segala-galanya! Bini aku, anak-anak aku? Syarikat yang aku usaha macam nak mati! Semua sebab kau tak tepati janji!"

"Janji apa maksud kau ni? Aku pun dijanjikan benda yang sama dengan kau!"

"Tak sama! Aku dah tengok kontrak perjanjian kau! Kau memang penipu, Emran!"

Kedengaran bunyi sesuatu dihentak kuat diikuti bunyi pergelutan kedengaran. Jeritan nyaring Datin Fauziah bergema di ruang rumah. Tanpa berfikir panjang, Emir menerpa masuk. Pintu dihempas kuat ke dinding. Darahnya serta-merta membeku. Papanya terbaring di lantai dengan dahi berlumuran darah dan di tengah ruang tamu, seorang lelaki sedang mengacukan pistol ke arah Datin Fauziah.

Iskandar!

Datin Fauziah menggigil ketakutan, matanya basah. Emir meluru ke arah Iskandar. Dia merempuh tubuh lelaki tua itu hingga terhumban ke lantai. Pistol terlepas dari genggamannya, jatuh beberapa inci dari mereka. Iskandar menahan sakit, tetapi masih mampu ketawa. Ketawa yang penuh dengan kebencian dan kegilaan.

"Tahniah, Emir."

Emir mencengkam kolar baju lelaki itu dengan kasar.

"Apa uncle buat ni?!"

Iskandar menolak tangan Emir dengan kuat lalu bangkit, menyapu darah yang mengalir dari hujung bibirnya. Matanya merah. Penuh dendam.

"Kaulah punca semua hal buruk berlaku dalam keluarga aku!"

"Aku akan pastikan kau rasa apa yang aku rasa!"

Serentak itu, Iskandar mengacukan pistolnya ke arah Datin Fauziah dan Elly.

"NO!" Emir melangkah ke hadapan, menghalang.

Serentak itu,bunyi telefon bimbit kedengaran. Iskandar menarik telefon keluar dari poket seluarnya. Dia tersenyum sinis sebelum menghulurkan telefon itu kepada Emir.

"Jawab!"

Emir menelan air liur, tetapi tangannya segera mencapai telefon itu. Skrin telefon menayangkan satu paparan video yang membuatkan jantung Emir serta-merta berhenti berdetak. Di skrin, Sofia sedang tidur nyenyak. Tetapi di kepalanya, sepucuk pistol diacukan tepat ke arah pelipisnya. Tangannya mengetap telefon erat, hampir meremukkannya.

"Uncle nak apa?!!" Suara Emir bergema dalam ruang rumah, dipenuhi kemarahan dan ketakutan yang menggila.

Iskandar ketawa kecil, menikmati kesengsaraan Emir. Jarinya mula menyentuh picu pistol. Emir tidak berfikir panjang. Dia melompat ke arah Iskandar, cuba merebut pistol itu dengan menumbuk pergelangan tangan Iskandar tetapi genggaman Iskandar kejap. Dia memutar tubuhnya, menghayunkan siku ke arah perut Emir.

Emir terhuyung ke belakang, tetapi segera menendang lutut Iskandar. Iskandar jatuh berlutut, pistolnya hampir tergelincir. Emir melompat ke hadapan, mencuba lagi sekali untuk merebut pistol itu, tetapi Iskandar lebih pantas!

DOR!!

Satu das tembakan dilepaskan ke atas. Datin Fauziah dan Elly menjerit ketakutan. Emir tidak berputus asa. Dia menekan tubuh Iskandar ke lantai, menekan lengan lelaki itu ke bawah untuk menghalang tembakan seterusnya.

Tetapi Iskandar masih melawan. Dengan tangan kirinya, dia menarik rambut Emir dan menghentakkan kepala lelaki itu ke lantai. Emir mengerang kesakitan, penglihatannya berpinar seketika.

Iskandar mengambil kesempatan itu untuk menendang Emir ke belakang. Emir memegang perutnya, sebelum dia mengagahkan dirinya berdiri lalu melayangkan penumbuk ke pipi Iskandar. Darah mula mengalir di tepi bibir lelaki itu. Iskandar mendengus, mengesat darah di hujung mulutnya. Kemudian dia ketawa. Ketawa yang menggila.

"Itu aje kau mampu?"

Emir berdiri, nafasnya masih kencang, matanya merah dengan kemarahan yang membara. "Apa uncle nak? Kenapa uncle buat macam ni, papa ni best friend uncle tahu tak?!"

Iskandar memandangnya dengan mata yang berkilat.

"Kau!" Dia menunjuk jari ke arah Emir. "Aku nak kau, Emir..."

"Aku nak kau rasa apa yang aku rasa bila mak, bapa, anak-anak dan isteri kau dah tak ada di sisi! Aku nak kau rasa tinggal sendiri dalam muka bumi ini!"

Emir mengeraskan rahangnya. Emir melayangkan satu tumbukan tepat ke rahang Iskandar.

Darah bersembur keluar dari bibir lelaki itu.

Tetapi Emir tidak berhenti di situ.

Dia menumbuk lagi.

Dan lagi.

Dan lagi.

Amarahnya bagai api yang disimbah gasolin.

Iskandar sudah hampir tidak bermaya.

Tetapi wajah Emir masih penuh dendam dan kemarahan. Satu lagi tumbukan tepat ke perut Iskandar. Lelaki tua itu menggeliat kesakitan, terbatuk darah, tetapi masih tersenyum sinis. Emir mengangkat tangannya sekali lagi—

Tetapi tiba-tiba ada tangan yang kuat menariknya ke belakang.

"Cukup! Cukup!"

Seorang polis berbadan tegap dan bermisai menahan Emir daripada terus menyerang.

Beberapa anggota polis lain segera mengerumuni Emir, yang terus meronta hendak mengerjakan Iskandar. "Apa dosa kami sekeluarga dengan kau!"

Polis bermisai itu menekan bahu Emir, cuba menenangkannya. "Kami akan uruskan dia, encik. Encik jangan buat sesuatu yang akan buat tuan menyesal nanti."

Emir menggertakkan gigi, dadanya naik turun dengan kencang. Matanya masih merah.

"Tuan!" Satu jeritan menghentikan segalanya.

Seorang polis berpangkat Lans Koperal mengacukan pistolnya. Dan matanya tertumpu pada seseorang di belakang Emir.

Iskandar.

Lelaki itu sudah berdiri semula. Di tangannya memegang pistol dan muncungnya dihalakan tepat ke arahEmir.

"Encik, jangan buat benda bodoh encik!" Jerit polis.

Tetapi Iskandar hanya tersenyum. Senyumannya meleret.

"Benda bodoh?" Dia ketawa kecil.

"Benda paling bodoh yang aku buat... ialah percaya pada keluarga kau, Emir."

Emir mengeraskan rahangnya, tetapi dia tidak bergerak.

Dia tahu, sebarang pergerakan kecil boleh menyebabkan Iskandar menarik picu pistolnya.

"Uncle dah kalah, uncle" suara Emir tegang.

Iskandar menyeringai.

"Kalah?"

"Aku tak pernah kalah, Emir."

Dan serentak itu dia menarik picu. Satu das tembakan dilepaskan. Tetapi bukan dari pistol Iskandar.

Tembakan itu datang dari arah lain. Tubuh Iskandar tersentak ke belakang. Matanya membesar. Tangannya terketar-ketar. Pistol di genggamannya terlepas, jatuh ke lantai. Darah mula merembes keluar dari dadanya. Nafasnya mulai tersekat-sekat.

Dia cuba berdiri tegak, tetapi lututnya gagal menampung berat tubuhnya. Perlahan-lahan, dia jatuh berlutut. Mulutnya ternganga, seolah-olah ingin berkata sesuatu. Tetapi yang keluar hanyalah darah yang mengalir di tepi bibirnya. Beberapa saat kemudian tubuhnya rebah ke lantai.

Datin Fauziah menekup mulutnya, terkejut. Elly menangis dalam ketakutan. Emir hanya berdiri kaku, melihat bagaimana Iskandar akhirnya tumbang.

Untuk selama-lamanya.

Dan dalam bilik itu, hanya bunyi nafas kasar yang memenuhi udara. Rumah orang tua Emir sekelip mata berubah menjadi lokasi kejadian jenayah. Lampu-lampu biru merah berkelip-kelip, menerangi kegelapan malam.

Beberapa anggota polis berpakaian seragam bergerak aktif di sekitar kawasan rumah, mengumpul bukti, mengambil gambar, dan mencatat keterangan saksi. Garis kuning melingkari pintu masuk rumah, menandakan kawasan itu kini dikawal rapi. Beberapa pegawai forensik memakai sarung tangan putih, mengumpul bukti dari pistol yang digunakan.

Datuk Emran dan Emir dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut bersama-sama Datin Fauziah dan Elly.  Datuk Emran dibawa ke bilik kecemasan, luka di dahinya dijahit. Doktor memutuskan untuk menjalankan pemeriksaan penuh, kerana Datuk Emran pengsan selepas dipukul di kepala. Walaupun keadaannya stabil, mereka perlu memastikan tiada kecederaan dalaman yang serius.

Emir pula dibawa ke bilik rawatan. Seorang doktor muda memeriksa bahagian rusuknya yang sakit, menekan perlahan di beberapa bahagian untuk mengenal pasti tahap kecederaan. Emir mengerang perlahan, terasa nyilu setiap kali doktor menyentuh rusuknya. Doktor itu mengangguk kecil, lalu menulis sesuatu dalam failnya.

"Encik Emir, berdasarkan pemeriksaan, saya syak encik mengalami costochondritis, keradangan pada tulang rawan yang menyambungkan tulang rusuk ke tulang dada."

Emir mengerutkan dahi. "Tak patah apa-apakan?"

Doktor senyum sedikit. "Tak adalah, cuma ada keradangan dan mungkin lebam dalaman akibat impak kuat. Itu sebabnya encik rasa sakit bila bernafas dalam atau bergerak terlalu banyak."

Emir menghela nafas perlahan, terasa sedikit lega.

"Jadi saya boleh balik?"

Doktor mengangguk. "Boleh, tapi kena berjaga-jaga. Jangan banyak bergerak dan kalau sakit makin teruk, datang balik ke hospital."

Emir mengangguk perlahan.

Doktor menulis sesuatu di kertas preskripsi lalu menyerahkannya kepada Emir.

"Saya akan bagi ubat tahan sakit jenis NSAID. Encik perlu ambil bila perlu, jangan lebih daripada dos yang disyorkan."

Emir menerima kertas preskripsi itu, membaca nama ubat yang tertulis di atasnya.

Doktor menyambung, "Kalau rasa terlalu sakit, boleh tuam bahagian dada dengan tuala suam. Kurangkan pergerakan yang boleh menegangkan bahagian dada. Pastikan tidur dalam posisi yang selesa, dan elakkan tidur meniarap kerana itu boleh menambah tekanan pada rusuk."

Emir mengangguk, menghafal semua pesanan itu dalam kepala.

Selesai lukanya dirawat dan tubuhnya dibalut dengan pembalut elastik untuk menyokong rusuknya, seorang pegawai polis datang untuk soal siasat.

"Baiklah, kalau ada apa-apa perkembangan kes nanti saya maklumkan pada encik ya," polis itu menutup buku notanya sebelum melangkah keluar dari bilik rawatan.

Emir menoleh. "Ya tuan,"

"Bagaimana dengan uncle Is? Dah call family dia?"

Pegawai polis menarik nafas perlahan sebelum mengangguk.

"Kami dah hubungi keluarganya."

Emir mengangguk, tetapi dadanya terasa berat.

Dia terbayangkan Isha.

Wanita itu mungkin sedang menerima berita tentang ayahnya sekarang.

Bagaimana dia hendak berdepan dengannya nanti?

Bagaimana dia mahu menjelaskan semua ini?

Dia hanya mampu menunggu dan berdoa agar keadaan tidak menjadi lebih rumit.
Selepas segala urusan selesai, Datuk Emran dan Emir akhirnya dibenarkan pulang.

Elly, yang kini sudah lebih tenang, memandu kereta Emir. Di dalam perjalanan, tiada siapa bersuara.

Masing-masing terbenam dalam fikiran sendiri, masih cuba menghadam apa yang telah berlaku. Sebaik tiba di Taman Greenview, Elly memberhentikan kereta di hadapan rumah.

Sebelum keluar, Emir mengeluarkan kunci rumah White Cottage dan menyerahkannya kepada Elly.

"Tidur sini malam ni. Angah tidur kat sini, anak-anak dengan Sofi semua ada kat sini,"

Elly memandang kunci itu, kemudian menatap wajah abangnya. Matanya penuh dengan emosi. Tetapi dia hanya mengangguk perlahan.

"Terima kasih, Ngah."

Emir mengangguk kembali, kemudian keluar dari kereta dengan langkah perlahan, masih terasa kesan sakit di tubuhnya. Setiap langkah terasa perit, dia menolak daun pintu perlahan-lahan sebelum menutupnya dengan penuh berhati-hati. Dia tidak mahu mengejutkan sesiapa dalam rumah. Namun, sebaik sahaja dia mengangkat kepala, dia tersentak sedikit.

Semua mata tertumpu kepadanya. Wajah mereka penuh dengan kebimbangan dan kelegaan.

Emir menghela nafas perlahan, tetapi saat itu juga rasa nyilu di dadanya menyengat kembali.

"Ugh..." Dia mengerang kecil, refleks memegang rusuknya.

Tanpa menunggu, Sofia segera mendekatinya. Matanya sembap, jelas sekali dia menangis sebelum ini.

"Kalau awak tak sakit, saya nak aje pukul awak!" Sofia bersuara dengan nada separuh marah, separuh risau.

Emir tersenyum kecil. Walaupun badannya sakit, hatinya terasa hangat melihat Sofia begitu risaukannya.

Tangannya naik ke pipi isterinya, menyapu perlahan sisa air mata yang masih bersisa.

"Saya dah balik, sayang..." suara Emir perlahan penuh ketulusan lalu mengucup lembut ubun-ubun Sofia.

"Kalau bukan sebab Ziyad, saya tak tahu awak kat mana!"

Matanya masih berkaca, tetapi nada suaranya penuh bebelan.

"Awak kata sekejap aje. Lama tahu tak?!"

Bunyi ketukan di pintu mengejutkan semua, Hani bergerak ke pintu lalu dibuka perlahan. Riak mukanya terkejut kemudian dia memandang ke arah Emir.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience