Bab 7

Romance Series 33080

Pagi Sofia berlalu dengan kelam kabut. Dia hampir tidak sempat menyediakan bekal untuk Farish dan Irina. Wafa yang selalu menyediakan makanan mereka menghadiri kursus bermula hari ini. Mia dan Aidil juga masing-masing sibuk dengan mengejar kerja masing-masing. Hani yang baru tiba dari Johor Bahru subuh tadi dibiarkan tidur.

Gelak tawa dan pertengkaran antara kedua kembar itu menjadi latar belakang multitasking Sofia. Seperti lipas kudung dia menyiapkan mereka berdua. Sebaik sahaja tiba di hadapan kelas, tangannya dikucup Farish dan Irina.

"Ingat tahu. Tunggu tempat biasa. Nanti balik sekolah, ayah yang akan menjemput kamu," pesannya.

"Kenapa bukan mama yang datang?" Irina menyoal. Dahinya berkerut mempersoalkan perubahan rutinnya.

"Mama ada kerja di perpustakaan, sayang. Tapi mama akan jumpa kamu malam ini, janji," Sofia meyakinkan anak kecil itu. Rambut Irina dikemaskan, lalu memandang pada Farish.

"Tunggu tempat biasa, okay?"

Kembar itu mengangguk, Selepas melambai Sofia, mereka terus berlari masuk ke dalam kelas.

Di perpustakaan, dia disapa dengan suasana hening berbeza dengan paginya.

"Pagi, Sofia. Saya dah sediakan backdrop macam yang awak nak tu,," kata Alvin sambil menawarkan senyuman hangat yang sedikit membantu untuk meredakan rasa bersalah yang menggunung pada Alvin.

"Alvin, you're a lifesaver," katanya dengan senyuman paksa.

"No Biggy. I'm happy to help," balas Alvin.

Suaranya cerita tetapi Sofia perasan sedikit keletihan di sebalik matanya.

"Mesti awak penatkan? Sofia memandang wajah Alvin seketika. "Nanti saya belanja makan ya,"

Alvin mengangguk laju.

"Sorry," Sofia bersuara perlahan.

"Macam saya ambil kesempatan pula," tambahnya lagi.

"Tak adalah. Saya ikhlas tolong awak. Tapi, janji tau kita lunch sama-sama," Alvin menunjukkan jari kelingkingnya. Sofia angguk.

Sepanjang program berlangsung, telefon Sofia berdering tanpa henti. Setiap getaran adalah notifikasi pesanan dari Emir, yang nampaknya telah menemui hobi baru iaitu menghubunginya melebihi keperluan komunikasi antara mereka.

Selesai slot Jom Membaca Bersama 10 Minit, dia dan Alvin makan tengah hari Bersama di pejabat Sofia. Masing-masing lega kerana selesai satu slot untuk program itu. Perbualan mereka diselang selikan dengan gelak tawa.

Bunyi pintu terbuka secara tiba-tiba, mematikan gelak mereka. Membuntang mata Sofia melihat Emir berdiri di situ. Ekspresi lelaki itu menjadi kelam ketika pandangannya bertaut dengan Alvin.

Emir mengomel sesuatu tentang hal kerja sebelum dia berundur perlahan-lahan meninggalkan mereka. Dengan sekelip mata, selera makan Sofia lenyap begitu juga dengan gelaknya.

"Semuanya okay?" tanya Alvin. Suaranya rendah.

"Ya, Everything okay" Sofia mengemas makannya sambil tersenyum. Sofia meminta diri untuk ke surau. Alvin angguk. Dia segera mengemas makannya sebelum terus naik ke bilik pensyarah.

Saat lampu perpustakaan dimalapkan dan pengunjung terakhir menapak keluar, Sofia mendapati dirinya duduk dalam keheningan. Wajah Emir tadi terbayang-bayang dikotak mindanya.

Mengapa dia perlu merasa bersalah? Mengapa dia merasakan seakan-akan sudah melakukan satu kesalahan di belakang Emir? Boleh dikira dengan jari pertemuannya dengan Emir tetapi hidupnya sudah mulai disinggahi seribu satu rasa. Kehadiran Emir masih bermain di mindanya seperti tetamu yang tidak diundang yang enggan pergi.

Kenangan suka duka mereka bermain seperti adegan dari filem yang tidak dapat dia tamatkan. Dia nekad. Dia perlu memastikan komunikasi mereka selepas ini adalah secara profesional.

"Sofia," pintu utama perpustakaan dibuka perlahan.

"Awak okay tak ni?" dahi Alvin berkerut.

Sofia tersenyum paksa. Bebanan emosinya disembunyikan. "Okay aje. Banyak benda nak difikirkan. Slot esok lagi nak kena ready," mereka berjalan beriringan.

Apabila mereka sampai di kereta, Sofia berpaling menghadap Alvin dengan senyuman nipis terukir di wajahnya.

"Alvin, saya nak ucapkan... terima kasih. Bukan untuk hari ini aje. Hari-hari sebelum ni yang awak tolong saya. Thank you so much,"

Alvin membalas senyum Sofia. Pandangannya tepat ke anak mata Sofia. "Awak tak perlu ucapkan terima kasih pun, Sofia. Itulah fungsi seorang kawan,"

Cetusan kata-kata Alvin menusuk jauh ke sanubarinya. Terkenang kembali ke satu masa beberapa bulan lalu. Pejabat mereka menganjurkan Program Pemantapan Staf selama 3 hari 2 malam di sebuah resort.

"Awak kat mana?" Alvin menghubungi dia selepas habis solat Isya.

"Saya kat depan dewan ni. Makanan dah sampai. Jomlah," sambung Alvin.

Sebaik sahaja kakinya memijak dewan utama, Alvin memegang lengannya menahan dia daripada masuk.

"Kenapa? Saya lapar ni," Sofia memegang perutnya

"Saya dah asingkan makanan untuk awak. Emm... Saya ada nak cakap sikit boleh tak?" mata Alvin tidak lepas dari menatap wajah itu.

"Terbaik! Ni yang best ada kawan AJK Makanan ni," Sofia menaikkan dua ibu jarinya.

"Saya minta maaf kalau benda yang saya nak cakap ni akan buat awak tak selesa. Tapi, saya rasa kalau saya tak cakap. Nanti saya akan menyesal," Alvin tampak gementar.

"Em... Okay?" Sofia mengaru pipinya.

"Saya sukakan awak. Dah lama dah saya sukakan awak, Sofia. Cik Mary kata awak masih single,"

Sofia terkebil-kebil mendengar pengakuan Alvin. Hatinya masih tertutup dan tidak bersedia untuk menerima sesiapa.

"Sorry Alvin. I can't. But I promise you, we still can be friends,"

"Hello?" suara Alvin memancung lamunanya.

"Pandu kereta elok-elok. Jumpa esok," ulang Alvin. Sofia angguk.

Selepas tiba di rumah, Sofia menceritakan kejadian hari ini kepada kawan-kawannya semasa sedang masak.

"Aku nak sangat tengok muka Emir!" kata Wafa sambil tergelak kecil.

"Sama! Mesti dia fikirkan kau dah ada 'pengganti'! Mesti kacau-bilau malamnya" serentak mereka bertiga ketawa.

"Alvin pun binggung agaknya nampak Emir menerjah macam tu," sambung Hani pula.

Sofia menggelengkan kepala, wajahnya memerah. "Kamu semua, janganlah main-main! Ini serius, tahu!"

Setelah gelak tawa reda, Hani tiba-tiba mengingatkan Sofia tentang undangan ke majlis pertunangan Elly. "Dia nak kenalkan kau dengan abang dia tu."

Wajah Sofia berkerut. "Tak nak aku! Kau lupa ke abang dia dah bertunang? Aku tak nak jadi penyondol okay,"

"Kau ni, bukan dia dah kata ke abang dia bertunang tu atas dasar paksaan keluarga," jawab Hani lagi.

Mereka bertukar pandangan. Senyuman mereka penuh dengan makna. "Sofi, ini peluang bagus! Siapa tahu abang dia lebih baik daripada Emir!" Wafa berkata dengan nada bergurau.

Sofia menggelengkan kepala sambil tersenyum, Meskipun kawan-kawannya ini sering mengusik dia tetapi dia sangat bersyukur dengan kehadiran mereka. Mereka banyak membantu dan memberikan semangat baru kepada dirinya untuk melangkah ke hadapan.

"Dahlah korang! Aku nak masuk. Tak kuasa nak berbual kalau macam ni,"

Sofia melabuhkan badannya di atas katil. Pandangannya jatuh ke sebuah kotak baldu merah di atas almarinya. Dia mengambil kotak tersebut lalu dibuka. Mendedahkan khazanah kenangan pahit manis yang terperangkap dalam gambar-gambar yang kini sudah pudar. Di antaranya adalah gambar dia dan Emir. Mereka tersenyum dengan gembira merenung ke arah kamera, Jelas terpancar kebahagiaan mereka yang dibekukan masa.

Saat membelek gambar itu satu persatu segala memori perjalanan kisah mereka ditelusuri. Cinta yang pernah hadir menyulam impian dan janji. Dalam kenangan manis itu, ada satu kenyataan yang menyakitkan menjadi punca perkahwinan mereka musnah di tengah-tengah bahagia. Akhirnya mereka akur dengan takdir dan memilih untuk berpisah dengan hati yang remuk dan penyesalan yang tidak terucap.

Pertengkaran dan kesedihan seolah-olah hidup semula dari gambar-gambar itu. Memaksa Sofia untuk berhadapan dengan kepahitan realiti yang dia berusaha untuk melupakan. Saat dia menutup album itu, dia berjanji dengan dirinya untuk menghadapi masa hadapannya dengan lebih kuat dan lebih rasional. Sementara ingatan Sofia terperangkap dalam kenangan, perhatiannya terganggu oleh bunyi notifikasi WhatsApp. Dengan mengerling ke dada telefonnya, mesej Emir sedang menanti untuk dibaca.

Sofia, Sibuk?

Saya nak minta maaf. Td sy dtg pejabat atas urusan kerja. Tak tahu pula, awak ada lunch date.

Jantungnya berdegup laju ketika dia membaca mesejnya. Rasa gelisah menyelubungi dirinya. Lunch date? Penyataan yang menambahkan kerumitan pada situasi yang sensitif. Sofia berkira-kira antara hendak mengabaikan atau membalas mesej lelaki itu. Dia menarik nafas dalam-dalam mengumpul keberanian dan menaip mesej balasan.

Tak sibuk.Tgh rehat. Tak apa.

Ding!

Kenapa awak tk balas mesej saya tgh hari td?

Sofia segera membalas

Sibuk.

Sofia menyimpan semula kotak berisi memorinya dengan Emir. Dia segera dia menunaikan solat isyak. Dalam doanya tidak putus meminta agar dia dapat meneruskan kehidupannya jauh daripada bayangan Emir.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience