Bab 52

Romance Series 33080

Emir sudah pun bersiap sedia untuk mengadakan mesyuarat tergempar melalui aplikasi Zoom. Walaupun dia terpaksa bekerja dari rumah ibu bapanya, tanggungjawab besar yang dipikulnya sebagai Ketua Pengarah Operasi Rasa Riang Resort milik keluarganya tidak pernah terhenti. Dia menatap skrin komputernya, memastikan semua staf pengurusan telah bersedia dalam mesyuarat maya itu.

Wajah-wajah pekerja pengurusan muncul di skrin, dengan riak wajah masing-masing mencerminkan kebimbangan yang sama. Emir menarik nafas dalam, bersedia untuk menyampaikan berita penting yang menjadi fikirannya dari malam tadi.

"Terima kasih kerana semua dapat hadir dengan segera, walaupun secara maya," Emir memulakan mesyuarat dengan nada yang tenang namun tegas. "Saya tahu awak semua sudah bekerja keras untuk persiapan perasmian dan pembukaan Hotel Library Kota Kinabalu (HLKK). Namun, saya perlu memaklumkan kepada awak semua, perasmian HLKK mungkin akan ditunda,"

Para pekerja saling berpandangan, jelas terkejut dengan pengumuman tersebut. Aliya, pengurus operasi, yang terkenal dengan keberanian dalam bertanya soalan sukar, segera mengajukan soalan yang terlintas di fikirannya.

"Encik Emir, boleh kami tahu sebab penundaan ini? Adakah ini berkaitan dengan masalah dalaman atau ada sebab lain yang perlu kami ketahui?" Aliya bertanya dengan nada prihatin, tetapi tetap profesional.

Emir terdiam seketika, mencari kata-kata yang tepat. "Saya mohon maaf, tetapi saya tidak dapat berkongsi butiran lanjut mengenai sebab penundaan ini buat masa ini. Apa yang boleh saya katakan ialah, ia melibatkan perkara yang di luar kawalan saya. Namun, saya minta semua staf kekal fokus dan terus menjalankan tugas seperti biasa di Rasa Riang Resort."

Zainal, ketua bahagian penyelenggaraan, mengangguk dengan ragu-ragu sebelum bertanya, "Adakah ini bermakna kita perlu mengubah jadual kerja kita atau ada perubahan lain yang perlu dilakukan, Encik Emir?"

Emir memandang mereka dengan serius, menjelaskan keputusannya. "Tidak perlu ada perubahan drastik buat masa ini. Saya mahu semua jabatan meninjau semula tugas masing-masing dan memastikan operasi di Rasa Riang Resort berjalan lancar. Kita akan terus fokus pada perkhidmatan pelanggan dan memastikan setiap aspek operasi berada pada tahap terbaik."

Para pekerja mengangguk dalam persetujuan, walaupun wajah mereka jelas penuh dengan tanda tanya. "Awak semua tak perlu risau, kerja awak semua masih selamat. Saya tak akan sembunyikan apa-apa perkara penting yang melibatkan staf saya tapi saya sangat berhjarap awak semua faham, keputusan yang saya buat ini untuk kebaikan HLKK secara menyeluruh,"

Sebelum mengakhiri mesyuarat, Emir menambah, "Saya mahu kita semua bekerja dengan semangat yang tinggi. Jangan jadikan penundaan ini sebagai halangan, tetapi anggaplah ia sebagai peluang untuk kita memperbaiki lagi apa yang kita ada. Saya yakin kita akan melalui semua ini dengan baik,"

Setelah mesyuarat selesai, Emir menghela nafas panjang, menutup laptopnya dan merebahkan diri di atas katil di bilik lamanya. Dia memandang crutches yang diletakkan di sisi katilnya setelah dia bercadang untuk berhenti menggunakan kerusi rodanya. Kedua-dua peralatan itu menjadi peringatan betapa rapuhnya hidup ini.

Sedang dia berbaring sambil memejamkan mata, dia mendengar ketukan perlahan di pintu. Dia membuka matanya dan mendengar suara lembut yang sudah dikenali.

"Papa, boleh kami masuk?" suara Rin, anak perempuannya, bertanya dengan lembut.

"Masuklah," jawab Emir dengan senyuman kecil, walaupun dia masih merasa letih.

Pintu perlahan-lahan terbuka, dan dua anak kembarnya, Farish dan Irina, masuk dengan senyuman ceria. Mereka melangkah ke arah papa mereka dengan hati-hati, memahami Emir masih belum pulih sepenuhnya.

"Pa, kami rindu papa Dil. Rindu rumah, rindu bilik? Kami dah lama tak balik sana," kata Irina dengan suara penuh harapan.

Emir terdiam seketika. Sejak kehilangan Sofia sebelum ini, dia telah membawa anak-anaknya tinggal bersama nenek dan datuk mereka di rumah ini untuk keselamatan anak-anaknya.

"Pa... please.." Farish menambah dengan nada lembut, cuba mempengaruhi keputusan ayahnya.

Emir duduk tegak dan memandang anak-anaknya dengan penuh kasih sayang. Emir tahu dia tak boleh menolak permintaan anak-anaknya.

"Baiklah," akhirnya Emir mengalah. "Papa minta acik Elly hantar esok pagi ya. Tapi, kena janji dengan papa. Tak boleh asyik bergaduh aje,"

"Terima kasih, papa! Kami janji!" balas kedua-dua anaknya serentak dengan kegembiraan yang tidak dapat disembunyikan. Mereka segera mendekati Emir, memberikan pelukan yang membuat hati Emir menjadi lebih tenang.

"Amboi! Gembiranya cucu-cucu nenek ni," Datin Fauziah menapak masuk ke dalam bilik Emir.

"Nak kemas barang dulu! Bye nek!" Irina mengucup pipi Datin Fauziah.

Datin Fauziah memandang cucu-cucu kembarnya yang meninggalkan bilik dengan langkah ringan, menuju ke bilik mereka. Namun, hatinya masih diselubungi kegelisahan yang tidak dapat diungkapkan. Emir menyedari riak wajah ibunya yang tampak tidak tenang.

"Ma, ada apa-apa yang mengganggu fikiran Mama?" tanya Emir perlahan, cuba membaca perasaan ibunya.

Datin Fauziah menghela nafas panjang sebelum menjawab, "Entahlah, Angah. Mama tak sedap hati. Sejak malam tadi... Papa tak keluar dari bilik kerja. Mama cuba bercakap dengannya, tapi dia tak melayan. Dia lebih banyak diam, mama rasa ada sesuatu yang tak kena."

Emir merenung ibunya dengan penuh simpati. "Tak ada apa-apa kot, Ma. Mungkin papa cuma perlukan masa untuk bertenang. Mungkin dia terkejut dengan cara Angah menjawab semalam," kata Emir, cuba meyakinkan ibunya.

Datin Fauziah terdiam seketika, namun riak wajahnya masih dibayangi oleh kerisauan. Dia akhirnya mengangguk perlahan, seolah-olah menerima penjelasan Emir, namun jelas sekali bahawa kegelisahan masih menyelubungi hatinya.

"Nanti Angah jumpa papa ya, mama tak payah risau la," kata Emir sambil mengengsot ke hujung katil.

"Iyalah... " jawab Datin Fauziah. "Nak ke mana ni?" soalnya pula.

Tanpa menanti jawapan anaknya, dia memimpin tangan Emir menuju ke halaman rumah yang teduh, angin sepoi-sepoi bahasa menyapa wajah mereka. Pohon-pohon di sekitar rumah itu bergoyang lembut, memberikan suasana yang menenangkan. Emir duduk di bangku kayu yang terletak di bawah pohon besar, sementara Datin Fauziah berdiri di sisinya.

"Mari duduk, Ma," ajak Emir, menepuk tempat di sebelahnya.

Datin Fauziah duduk dengan perlahan, menenangkan dirinya. Beberapa saat berlalu dalam keheningan sebelum dia akhirnya membuka mulut. "Macam mana dengan Sofi? Angah dah cakap dengan dia?"

Emir terdiam, matanya merenung jauh. Nama Sofia sentiasa membawa beban di hatinya. Wanita yang pernah menjadi isteri, yang pernah menjadi sumber cahaya dalam hidupnya.

"Dah... Angah dah cakap dengan dia. Tapi, Angah tak nak terlalu mendesak. Apa aje keputusan dia Angah terima ma. Kalau pun dia tak nak, Angah tetap tak akan berkahwin dengan Isha," kata Emir dengan suara yang perlahan, tetapi sarat dengan emosi.

Datin Fauziah mengusap tangan anaknya dengan lembut, memberikan sedikit kekuatan yang dia mampu. "Berdoalah, serahkan semuanya pada Allah SWT. Kalau ada jodoh, takkan ke mana,"

Emir mengangguk perlahan. "Ma, Angah tak pernah tahu yang hidup Angah akan berubah 360 selepas kenal Sofi. Sofi buat Angah rasa ada tujuan untuk hidup, Ma. Sebelum kenal dia, matlamat Angah cuma satu, puaskan hati mama dan papa,"

Datin Fauziah menatap wajah anaknya dengan rasa hiba. Dia baru tersedar, selepas kematian Emir Faiq, anak sulung mereka yang juga kembar Emir Faiz, hidup anak keduanya ini berubah. Emir yang dulu ceria berubah menjadi seseorang yang dingin, hampir seperti robot yang hanya melakukan apa yang diminta tanpa jiwa.

"Ngah, mama dan papa tak pernah salahkan kamu atas apa yang berlaku pada Along. Kamu masih muda masa tu, dan kamu tak perlu tanggung beban tu seorang diri. Kami cuma nak kamu bahagia, nak kamu teruskan hidup dengan hati yang lapang," kata Datin Fauziah dengan penuh kasih sayang.

"Tapi papa tidak ma. Papa tak pernah salahkan Angah sejak malam itu. Dari pandangan papa pun Angah dapat tangkap isi hati papa ma," Emir menundukkan kepala, cuba menahan perasaan yang bergolak di dalam hatinya. Kata-kata ibunya menyentuh jauh ke lubuk jiwanya. Dia tahu dia perlu berhenti menyalahkan diri sendiri atas apa yang berlaku, tetapi itu lebih mudah dikatakan daripada dilakukan.

Datin Fauziah mengusap lembut bahu Emir, bangun dari tempat duduknya. "Dengar mama cakap ni, kematian Along bukan berpunca daripada Angah, berhenti salahkan diri. Kalau Along hidup lagi mesti Along marah sebab suka fikir bukan-bukan," Kata-kata ibunya menyentuh jauh ke lubuk jiwanya. Dia  tahu dia perlu berhenti menyalahkan diri sendiri atas apa yang berlaku, tetapi itu lebih mudah dikatakan daripada dilakukan.

Mereka berdua bangkit dari bangku itu, berjalan perlahan kembali ke dalam rumah. Malam semakin larut, tetapi di hati mereka, ada harapan kecil yang mula tumbuh, harapan yang suatu hari nanti, kebahagiaan akan kembali menyinari hidup mereka.

xxxxxxxxxx

Pagi yang tenang itu dirasakan sedikit kacau bilau bagi Emir dan Elly. Mereka berdua sedang bersiap sedia untuk menghantar Ayish dan Rin ke rumah Aidil. Pergaduhan dua beradik itu menyebabkan Emir mengugut untuk menukar keputusannya.

"Alaa.. Pa, sorry... Sorry... Tak gaduh dah ni. Sorry Rin," Farish dan Irina segera berpelukan dan bermaaf-maafan.

Emir memandang Elly. Seakan faham pandangn Emir. "Dah call tadi, boleh aje masuk. Tapi kena inform dengan Sofi supaya tutup leher dia," terang Elly. Emir mengangguk faham.

"Angah, yakinkah yang dia orang dah bersedia untuk ini?" tanya Elly, cuba memastikan keputusan itu tepat untuk anak-anak saudaranya itu.

Emir menarik nafas panjang sebelum menjawab, "Dia orang dah rindu sangat pada mama dia orang. Angah rasa sudah tiba masanya mereka berjumpa. Lagipun, kita tak tahu bila doktor akan tahan Sofi di hospital,"

Elly mengangguk perlahan. Dia memahami kerisauan Emir. Sudah hampir seminggu Sofia dirawat di hospital, dan walaupun keadaannya sedikit demi sedikit menunjukkan tanda-tanda pemulihan, Doktor masih belum memberikan kata putus mengenai Sofia.

Sebaik mereka siap, Emir memanggil anak-anak kembarnya yang sedang bermain di ruang tamu. "Ayish, Rin, jom kita pergi sekarang," katanya dengan suara lembut.

Kedua-dua anak itu segera bangkit dan menghampiri papa mereka. Emir memaklumkan destinasi pertama mereka hari ini adalah hospital. Perjalanan ke hospital itu sunyi, dipenuhi dengan fikiran yang berlegar-legar dalam kepala masing-masing.

Setibanya di hospital, mereka berempat melangkah keluar dari kereta dengan hati yang sedikit berdebar. Irina, anak perempuan Emir yang biasanya periang, tiba-tiba kelihatan resah. Langkahnya yang tadinya yakin kini menjadi perlahan, dan akhirnya dia berhenti betul-betul di hadapan pintu utama hospital. Emir menyedari perubahan sikap anaknya itu.

"Rin, kenapa sayang?" tanya Emir lembut, sambil membongkok sedikit untuk berada pada ketinggian mata anaknya.

Rin memandang ayahnya dengan mata yang berair, lalu menjawab dengan suara yang lemah, "Papa... Rin takut nak tengok Mama. Rin tak sanggup nak tengok mama sakit..."

Kata-kata Irina itu membuatkan hati Emir sedikit tersentak. Dia tahu perasaan itu. "Rin, dengar sini... Mama dah sihat dah macam dulu, cuma doktor masih nak mama tidur kat sini supaya senang untuk tengok keadaan mama. Rin jangan risau, mama tak ada apa-apa yang serius," ujar Emir sambil memegang erat tangan kecil anak perempuannya.

Irina terdiam seketika, merenung wajah ayahnya. Kata-kata Emir membawa sedikit ketenangan dalam hati kecilnya. "Okey, papa... Rin boleh peluk mama tak?"

Emir tersenyum dan mengangguk. Dia tahu ini bukanlah perkara mudah bagi seorang kanak-kanak. Setelah Irina sedikit tenang, Elly memegang tangan Irina dan Farish melangkah bersama menuju ke wad Kenanga.

Sebaik sahaja mereka tiba di hadapan pintu wad, Elly yang menemani mereka sejak tadi hanya berdiri di luar, membiarkan Emir dan anak-anaknya melangkah masuk dahulu. Elly menolak pintu perlahan-lahan, dan sebaik sahaja pintu itu terbuka, mata Farish dan Irina serta-merta tertumpu kepada figura yang terbaring di katil.

Mereka berlari ke arah katil dan memeluk mama mereka dengan erat, seolah-olah tidak mahu melepaskan pelukan itu. Air mata yang tertahan sekian lama akhirnya pecah, mengalir deras di pipi kecil mereka.

"Mama... Mama, kami rindu Mama sangat-sangat," suara Farish kedengaran serak kerana menangis. "Mama cepatlah sembuh, kami nak Mama balik rumah... Kami nak Mama jaga kami macam dulu."

Rin tidak dapat berkata-kata. Dia hanya terus menangis di dada ibunya, memeluk Sofia dengan seluruh kekuatannya yang ada. Sofia mengusap lembut belakang kedua-dua anaknya. Dia mengucup ubun-ubun mereka silih berganti.

"Mama... Maafkan kami kalau kami buat Mama susah... Kami janji akan jadi anak yang baik, Mama," kata Irina dalam esak tangisnya.

Sofia tersenyum, mengusap kepala kedua-dua anaknya dengan kasih. "Janji? Jadi anak yang baik? Tak gaduh?" soalannya dijawab dengan anggukan saja.

Emir yang menjadi pemerhati. melihat adegan itu dengan hati yang hiba. Dia tahu anak-anaknya terlalu merindui Sofia. Melihat bagaimana Farish dan Irina menangis dalam dakapan Sofia, air matanya yang cuba ditahan akhirnya mengalir juga.

"Mama cepat sihat ya, boleh balik rumah kita. Lama-lama kat rumah nenek buat Ayish rindu sangat dengan mama. Kalau kat rumah kita taklah rindu sangat sebab ada umi, mummy dengan ibu," Farish senyum.

"Ya lah sayang... Hari ni balik rumah,kan? Nanti tolong mama kemas bilik mama ya. Nanti mama dah sihat boleh terus rehat dalam bilik," kata Sofia.

"Sorry papa tapi Rin pun sama. Macam rasa sakit kat sini bila hari nak malam sebab rindu mama," Irina tunjuk dadanya.

"Amboi... Banyaknya aduan," ujar Emir sambil perlahan-lahan bergerak untuk duduk di kerusi.

"Kalau nenek dengar, mesti nenek kecil hati. Tak naklah cakap macam tu," lembut Sofia mengingatkan anak-anaknya.

"Ala...Bukan tak suka tinggal dengan neneklah, mama. Kami rindu mama jadi tinggal dengan nenek buat kami tambah rindu," terang Farish.

Sofia dan Emir serentak ketawa. Wajah masam Farish dicuit Emir. "Acik Elly mana?" soal Irina sebaik perasan Elly tiada.

Farish segera menuju ke pintu. Sesaat kemudian, Elly masuk bersama kedua-dua anak kecil itu. "Acik nak bagi peluang dengan kamu sekeluargalah. Acik tak ke mana-mana pun," ujar Elly.

"Kesianlah Aci tunggu kat luar aje," Irina senyum.

"Terima kasih tau, jagakan anak-anak aku. Nanti aku belanja makan ya," Sofia gelak kecil.

"Anak-anak kau ni anak-anak saudara aku juga," jawab Elly.

"Kenapa kau tak bagitahu aku Sofi?" soal Elly lagi.

Mendengar tona suara Elly, Emir terus mengalihkan perhatian anak-anaknya. "Okay, anak-anak... Mari sini kita makan buah. Nak tak?" Farish dan Irina segera membontoti Emir ke hujung bilik.

"Hebatnya perancangan Allah, kan? Dia temukan kita begitu..." kata Elly sambil menyeka air matanya. Rasa sebak tiba-tiba mengetuk pintu hatinya.

"Aku bersyukur sangat kenal kau sebagai kawan aku sebab kaulah satu-satunya anak Datuk yang tak berlagak," kata-kata Sofia disambut dengan tamparan melekap di lengannya oleh Elly.

"Aku serius kau boleh pula bermain ya," Elly tergelak kecil.

"Aku tak naklah sedih-sedih. Aku nak happy aje supaya aku cepat sihat. Anak-anak aku perlukan aku," jawab Sofia.

"Abang aku tu pun perlukan kau," penyataan yang mematikan kata-kata Sofia.

"Aku kasihankan dia, Sofi. Dah lama hak dia dinafikan semata-mata untuk memuaskan hati papa. Buat pertama kali sejak along kami meninggal, dia cuba untuk menuntut haknya sebagai anak yang dah hampir 10 tahun dinafikan," serius Elly bercerita.

Terkenang perbualan dia dan Emir semalam. "Saya... saya penat, Sofi. Penat dengan segala-galanya. Tapi, untuk kali ini, saya cuba buat sesuatu untuk diri saya sendiri. Saya harap awak ada untuk saya dan sokong saya,"

Matanya segera dialihkan ke arah Emir. Riak wajahnya, suaranya, layanannya pada anak-anak seakan bergerak perlahan di mata Sofia. 'Adakah kami dipertemukan kerana perangai papa kami sama? Adakah pertemuan kami untuk saling membantu satu sama lain?'

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience