Bab 62

Romance Completed 59279

Sofia sedang mengemas pakaiannya ketika telefonnya berbunyi, menandakan ada mesej masuk. Dengan hati yang sedikit berat, dia mencapai telefon bimbitnya dan melihat nama pengirim—Emir.

Awak dah kemas baju? Saya lambat sikit sampai, ada urusan kat luar. Saya dah book villa atas nama awak, khemah tu saya dah minta. Nanti Jeremy datang untuk tolong set up the tent

Sofia membaca mesej itu dengan dahi berkerut. Baru nak bagitahu aku? Apa aku ni halimunankah? Fikirannya terus bercelaru. Dia mula menaip balasan dengan cepat.

Kenapa tak bagitahu saya nak camping hari ni?

Tidak lama kemudian, mesej balasan dari Emir masuk.

Lah kan dah bagitahu.

Sofia mengetap bibir, jelas tidak puas hati dengan jawapan itu. Tangannya lincah menaip balasan lagi.

Bila? Awak cakap dengan anak-anak, bukan dengan saya.

Tidak lama selepas itu, mesej balasan Emir masuk lagi, nada balasannya seolah-olah cuba menganggap semuanya biasa.

Tapi awak dah tahu kan? Aidil kata awak tengah kemas pakaian. Ala, dengan anak-anak atau dengan awak sama je kan?

Sofia mendengus geram. Fikirannya bergolak, tetapi dia memilih untuk tidak membalas mesej itu lagi. Sebelum sempat dia merenung lebih lama, suara Farish tiba-tiba kedengaran dari luar bilik.

"Mama, cepat! Kita nak pergi dah ni!" teriak Farish dari arah luar.

"Sekejap sayang, mama tengah kemas barang ni..." jawabnya lembut.

Sofia menghela nafas panjang, cuba menenangkan diri sebelum mengemaskan apa yang perlu. Dia tahu, walaupun perasaan marahnya pada Emir sedang berapi, melihat keterujaan anak-anaknya. Dia tidak mahu merosakkan kegembiraan mereka.

Sofia memasukkan pakaian terakhir ke dalam beg, menarik zip dengan cepat, lalu melangkah keluar dari bilik. Dia bergegas turun, namun langkahnya tiba-tiba terhenti sebaik sahaja matanya tertancap pada sebuah van hitam yang besar terparkir di hadapan rumah.

Aidil, yang berdiri di sebelah van itu, melirik ke arah Sofia sambil bersuara, "Emir sewakan van ni untuk kita. Nak bawa semua barang-barang dan kita sekali ke Mystic Valley."

Sofia memandang van itu dengan perasaan bercampur-baur. Dia tahu Emir selalu berusaha untuk kegembiraan anak-anak mereka, tetapi segala yang dilakukan Emir kebelakangan ini membuatkan dia rasa terasing.

Sofia menarik nafas panjang, cuba membuang segala kekusutan dan kekesalan dalam hatinya. Ini untuk anak-anak. Fokus pada mereka, fikirnya. Dia berjalan ke arah van itu, tersenyum kecil kepada Aidil, lalu menyerahkan beg yang sudah dikemas.

"Farish dan Irina mana?" tanya Sofia, cuba mengalihkan perbualan dari fikirannya yang berkecamuk.

"Dah masuk dalam van. Teruja sangat tu," Aidil tersenyum. "Semua orang dah ready. Kita tunggu Jeremy aje."

Sofia mengangguk perlahan. Walaupun perasaannya bercampur-baur, dia tahu, dia perlu tenang untuk anak-anaknya. Mystic Valley seharusnya menjadi perjalanan yang menyeronokkan, dan dia tidak mahu kekecewaannya terhadap Emir merosakkan suasana ini.

"Baiklah, aku masuk van dulu. Biar aku tengok Farish dan Irina," kata Sofia sambil tersenyum kecil kepada Aidil.

Aidil mengangguk. "Okey. Nanti Jeremy sampai, kita terus gerak."

Sofia melangkah masuk ke dalam van, hatinya masih bergolak. Namun, Sofia tahu, buat masa ini, dia perlu fokus kepada anak-anak dan menikmati masa bersama mereka—walau apa pun yang berlaku antara dia dan Emir.

Tidak lama selepas Sofia masuk ke dalam van, bunyi deruman enjin sebuah kereta kedengaran dari arah pintu pagar. Jeremy tiba dengan membawa beberapa bakul berisi makanan yang kebanyakannya makanan ringan unruk anak-anak Emir. Dia keluar dari kereta dengan senyuman mesra, memandang ke arah van dan melambaikan tangan.

"Hai, semua! Dah ready nak pergi?" tanya Jeremy, sambil berjalan ke arah van dengan gaya tenang.

Aidil yang sedang berdiri di luar van menjawab sambil tersenyum. "Yes, Jeremy. Semua dah siap kemas. Kami tunggu awak aje."

Jeremy tersenyum lebar dan mengangguk. Dia memasukkan barang-barang ke dalam van. Semua bekalan makanan, dipindahkan dengan cermat. Farish dan Irina yang sudah duduk di dalam van kelihatan semakin teruja melihat Jeremy membawa barang-barang tersebut.

"Uncle Jeremy, boleh kita pasang khemah sendiri nanti?" tanya Farish dengan mata bersinar penuh harapan.

Jeremy tertawa kecil dan menjawab, "Mestilah boleh! Tapi kena dengar cakap Uncle Jeremy dulu, okay? Nanti kita pasang khemah sama-sama." Farish tersenyum lebar, begitu juga dengan Irina. Kedua-dua mereka kelihatan semakin teruja untuk ke Mystic Valley Resort.

Setelah semua barang dimuatkan ke dalam van, Jeremy menepuk bahu Aidil. "Semua dah siap. Kita boleh gerak sekarang."

"Jom!!" Mia, Wafa dan Hani bersorak sambil menepuk tangan.

Aidil mengangguk dan segera naik ke tempat pemandu. Sofia, yang sudah berada di dalam van bersama anak-anaknya, memandang keluar ke arah Jeremy yang sedang menyusun barang terakhir di keretanya. Hatinya masih sedikit berkecamuk, tetapi dia cuba untuk tidak menunjukkan apa-apa di hadapan anak-anak. Ini untuk mereka, bukan untuk aku atau Emir, fikirnya sambil menarik nafas panjang.

Tidak lama kemudian, Jeremy masuk ke dalam van dan mengambil tempat di sebelah Aidil. "Okey, Mystic Valley, here we come!" katanya dengan semangat.

Van itu mula bergerak perlahan, meninggalkan rumah Sofiay. Sepanjang perjalanan, Farish dan Irina tidak henti-henti berbual mengenai apa yang mereka ingin lakukan di sana—membakar marshmallow, memasang khemah, dan mungkin sekali berenang di sungai berhampiran. Sofia hanya tersenyum mendengar keletah mereka, cuba memfokuskan dirinya pada kegembiraan anak-anaknya.

Perjalanan ke Mystic Valley tidak mengambil masa lama. Semakin mendekati destinasi, suasana mula berubah—udara terasa lebih sejuk, dengan pepohon hijau yang menjulang tinggi di kiri dan kanan jalan. Farish dan Irina semakin tidak sabar, sesekali bertanya, "Dah sampai ke, mama?" dengan penuh keterujaan.

Akhirnya, selepas mereda lautan kereta, van mereka tiba di pintu masuk Mystic Valley. Resort itu penuh dengan keindahan semula jadi—dikelilingi oleh hutan menghijau, sungai yang jernih mengalir perlahan, dan gunung-ganang yang berdiri megah di kejauhan. Sofia menarik nafas dalam-dalam, menikmati keindahan pemandangan itu. Dia teringat kenangan mereka sekeluarga tempoh hari, dan hati kecilnya berbisik, Mungkin ini memang peluang untuk buat memori baru.

Aidil memarkir van di kawasan yang telah disediakan untuk mereka, bersebelahan dengan villa yang dibooking oleh Emir. Jeremy segera keluar dari van dan mula menurunkan barang-barang, bersiap untuk memasang khemah.

"Okay, semua! Jom pasang khemah dulu sebelum kita buat apa-apa," kata Jeremy dengan nada ceria.

Farish dan Irina melompat keluar dari van dengan penuh semangat, berlari ke arah Jeremy, siap untuk membantu. Sofia perlahan-lahan turun dari van, cuba menenangkan fikirannya. Hari itu mungkin permulaan sesuatu yang baru, tetapi bagaimana ia akan berakhir—itu masih belum dapat dijangkanya.

"Khemah ni besar, boleh muat semua orang ke, Uncle Jeremy?" tanya Farish dengan wajah penuh minat, matanya terpaku pada kain khemah yang masih dalam bungkusan.

Jeremy tersenyum sambil mengeluarkan tiang khemah. "Mestilah, kehmah ni muat untuk semua orang. Nanti Farish tengok, siap khemah ni, kita boleh duduk dalam sama-sama."

Irina melompat kegirangan. "Yeah! Kita boleh tidur dalam khemah besar!"

Sofia yang sedang berdiri tidak jauh dari mereka, mengeluarkan beberapa barang lain dari van sambil tersenyum melihat keletah anak-anaknya. Hati yang tadi sedikit berat mula terasa lega. Mungkin ini bukan idea yang buruk... fikir Sofia. Walaupun hatinya masih sakit, sekurang-kurangnya anak-anaknya gembira.

Di sebelahnya, Hani dan Wafa juga sibuk membantu mengeluarkan makanan dan peralatan memasak. "Aku tak sabar nak buat BBQ nanti," kata Wafa sambil memandang ke arah ruang lapang yang sesuai untuk memulakan api. "Harap-harap kita tak kena bakar ayam macam kali terakhir aku cuba masak."

Hani ketawa kecil. "Jangan risau, Fa. Kali ni aku sendiri akan pastikan ayam tu tak jadi arang."

"Good luck with that," balas Mia sambil menjeling. "Aku masih ingat kita terpaksa makan mi segera malam tu sebab ayam kita dah hangus." dia menyiku Wafa.

Suasana di tapak perkhemahan itu semakin meriah. Jeremy mula membuka khemah besar yang bakal menjadi tempat tidur mereka malam nanti, tetapi tiang-tiang khemah itu kelihatan lebih rumit daripada yang disangkakan. Sofia, yang sedang memerhatikan dari jauh, menyedari Jeremy kelihatan sedikit bingung.

"Jeremy, awak okay ke dengan khemah tu?" Sofia bertanya sambil mendekati.

Jeremy tergelak kecil, menggaru kepalanya. "Erm, rasanya tiang-tiang ni ada yang tertukar. Aku kena pastikan semula mana yang betul."

Farish dan Irina, yang sedang menunggu khemah dipasang, mula berlari-lari sambil menjerit, "Uncle Jeremy tak pandai pasang khemah!" sambil ketawa besar.

"Hey, hey! Belum siap lagilah!" Jeremy tergelak sambil cuba membetulkan tiang yang terbelit. "Uncle pandai, cuma... tiang ni yang tak bagi kerjasama!"

Semua orang ketawa melihat Jeremy yang kelihatan 'bertarung' dengan tiang khemah. Sofia mendekati dan memegang satu hujung tiang, cuba membantu. "Awak ni macam betul-betul tengah berlawan dengan tiang ni, Jer,"

Jeremy mengeluh, sambil mencuba memasukkan satu tiang ke tempatnya. Namun, entah bagaimana, tiang itu terlepas dan Jeremy hampir terjatuh ke belakang. Semua yang melihat adegan itu tidak dapat menahan ketawa.

Farish dan Irina tertawa terbahak-bahak, sambil melompat-lompat di sekeliling khemah yang belum siap. "Uncle Jeremy kalah! Khemah menang!"

Jeremy hanya tersenyum, sambil berkata, "Okay, okay, kali ni kita pastikan khemah kalah, okey?"

Setelah beberapa percubaan, akhirnya khemah itu berdiri tegak dengan betul. Semua orang bersorak gembira, terutama Farish dan Irina yang segera masuk ke dalam khemah untuk melihat ruang di dalamnya.

"Wah, besar la khemah ni!" kata Irina dengan mata yang bersinar-sinar.

"Boleh main sorok-sorok dalam ni, mama!" tambah Farish, berlari keluar masuk khemah.

Sofia tersenyum sambil memandang Jeremy. "Terima kasih, Jeremy. Dah menang dah awak," usik Sofia.

Jeremy mengangguk dengan senyuman bangga. "No problem. Apa-apa pun, khemah dah sedia. Sekarang masa untuk rehat," Jeremy duduk kelelahan.

Wafa dan Hani datang dengan wajah gembira. "Okay, khemah dah siap, sekarang masa untuk masak!" Wafa berkata sambil menepuk tangannya. "Jeremy, awak dah siap nak jadi tukang bakar ayam?"

Jeremy tersenyum lebar. "Saya tukang pasang khemah aje. Bab masak saya angkat bendera putih,"

Hani tergelak kecil. "Kalau macam tu, kita masak. Tapi kau jangan lari, Jeremy. Kami perlukan kau untuk jaga api nanti."

Wafa menambah, "Betul tu. Kami tak nak ulang tragedi ayam hangus lagi."

Dengan suasana penuh ceria, mereka mula membuat persiapan untuk makan malam. Farish dan Irina bermain di sekitar kawasan khemah sambil ketawa riang. Sofia hanya memerhatikan mereka dari jauh, tersenyum melihat anak-anaknya gembira.

Ini bukan sekadar tentang Emir atau Isabella, bisik Sofia dalam hatinya. Ini tentang kebahagiaan anak-anak aku. Dan selagi mereka gembira, aku akan teruskan.

Selesai semua persiapan di Mystic Valley, suasana semakin nyaman dengan cahaya senja yang mulai jatuh perlahan-lahan. Jeremy, yang telah membantu memasang khemah dan mengatur segala keperluan, meminta diri untuk mandi. Bajunya basah lencun

Tidak lama selepas itu, bunyi enjin kereta kedengaran—Emir akhirnya sampai. Seperti yang dijangka, sebaik sahaja Emir keluar dari kereta, anak-anak mereka terus berlari mengerumuni Emir dengan penuh keterujaan.

"Papa! Papa dah sampai!" jerit Farish sambil melompat ke arah Emir. Emir, yang memakai kaca mata hitam dan berjalan sedikit tempang, tersenyum lebar, memeluk kedua-dua anaknya erat-erat.

Sofia berdiri tidak jauh dari situ, memerhatikan Emir dengan perasaan yang bercampur-baur. Ada sedikit rasa sayu, marah, dan keliru yang bermain di dalam hatinya. Matanya tertancap pada cara Emir berjalan.

Bukan hari tu kaki dia dah okaykah? fikir Sofia, baru hendak melangkah merapati Emir untuk bercakap dengannya.

Namun, sebelum Sofia sempat berbuat apa-apa, dari belakang Emir, Isabella muncul, berlari anak ke arah Sofia.

"Akak!" seru Bella dengan suara riang, tiba-tiba memeluk Sofia dengan erat.

Sofia terkebil-kebil, terkejut dengan tindakan Isaella yang tidak dijangka. Apa ni? bisiknya dalam hati, hampir tidak percaya apa yang baru berlaku. Walaupun cuba menyembunyikan perasaan, Sofia berasa sangat tidak selesa.

Selepas melepaskan pelukan dari Sofia, Bella segera memeluk Wafa pula. "Kak Wafa! Seronoknya kita boleh camping sama-sama!"

Sofia memandang ke arah Emir, yang kini sedang tersenyum sambil memerhatikan situasi itu. Pandangan Emir seolah-olah berkata sesuatu yang Sofia tidak dapat terima—senyuman yang membuatkan darah Sofia mendidih perlahan-lahan. Dia senyum macam tak ada apa-apa berlaku?

Tanpa berkata apa-apa, Sofia menahan marahnya dan memilih untuk mengabaikan Emir. Dia memalingkan badan dan terus masuk ke dalam villa dengan langkah cepat. Jantungnya berdegup laju, menahan perasaan yang semakin membuak di dalam dadanya. Kenapa dia bawa Bella? hatinya memberontak.

Di dalam villa, Mia sedang sibuk memotong sayur untuk makan malam. Melihat Sofia masuk, Mia menyapa dengan ceria, tetapi segera menyedari wajah Sofia yang suram.

"Mesti Emir sampai dah kan? Suara gembira anak-anak kuat sampai ke sini," tanya Mia sambil meneruskan kerjanya, menghiris bawang dengan hati-hati.

Sofia tidak menjawab. Dia hanya mengangguk perlahan sambil membuka beg barang dapur, cuba mencari sesuatu untuk dibuat, mungkin untuk mengalih perhatiannya daripada perasaan marah yang semakin kuat.

Mia memandang Sofia sejenak sebelum menyambung bercerita, tidak mahu suasana menjadi canggung. "Eh, Bella pun ada?" soal Mia sebaik sahaja mendengar suara Isabella.

"Aku tengok Emir jaga kebajikan staf dia including Bella, yang intern aje. Zaman aku dulu, lah budak intern selalu kena buli,"

Sofia masih tidak memberi sebarang respons, tangannya sibuk menyiapkan kerja di dapur, tetapi fikirannya melayang jauh.

Mia terus berbual, tanpa menyedari Sofia sedang tenggelam dalam perasaan sendiri. "Aku kalau tak tahu Emir ajak kau kahwin semula, memang aku sokong aje dia dengan Bella. Bella tu cutee sangat..."

"Yes! Dia cantik, dia comel, dia matang. Good for her!" Sofia bersuara geram. Tangannya yang lincah memotong sayur tiba-tiba berhenti, Dia tidak mahu mendengar lagi tentang Isabella dan Emir.

Mia terdiam, menyedari ada sesuatu yang tidak kena. Dia tidak berkata apa-apa lagi, hanya memandang Sofia dengan wajah keliru. Sofia meneruskan kerja di dapur, tetapi fikirannya berkecamuk. Kenapa mesti ajak Bella? Kenapa Emir langsung tak peduli tentang perasaan aku?

Hatinya berasa semakin sesak, tetapi Sofia menahan diri dari meluahkan lebih banyak kata-kata. Dia cuba fokus pada apa yang perlu dilakukan—menyiapkan makan malam untuk semua orang, tetapi dalam diam, dia tahu luka di hatinya semakin dalam.

Share this novel

Zainabzety
2024-10-07 14:39:01 

bila nk hbh ntah dok lwn tarik tali lgi

Gina Seman
2024-10-06 18:13:51 

kan..sakit nye hati..Allah je tahu..sian Sofia..


NovelPlus Premium

The best ads free experience