Bab 54

Romance Series 33257

Sofia menatap sejenak ke arah katil hospitalnya yang kini kosong, menghela nafas panjang. Doktor baru sahaja mengesahkan yang dia boleh keluar hospital hari ini, cuma perlu hadir untuk sesi temujanji kaunseling dan pemeriksaan susulan. Tangannya tangkas menyusun barang-barang ke dalam beg kecilnya. Hatinya lega, tetapi fikirannya masih berserabut dengan pelbagai perkara yang belum selesai. Dia memandang jam di dinding. Jam 10:00 pagi. Dia terfikir untuk menghubungi abangnya, Aidil, tetapi dengan cepat membatalkan niat itu. Aidil pasti sedang sibuk bekerja, jadi Sofia mengambil keputusan untuk memesan perkhidmatan e-hailing saja.

Ketika dia berpusing untuk mencapai telefon di atas meja, tiba-tiba dia terkejut dan menjerit kecil. Emir berdiri betul-betul di belakangnya, tanpa dia sedari. Emir melangkah ke belakang, tangannya memegang dada, terkejut dengan reaksi spontan Sofia.

Emir tersenyum tipis, tetapi nada suaranya menyimpan sedikit kejutan, "Penyakit cepat terkejut awak tu tak hilang-hilang. Terkejut saya,"

Sofia memandangnya tajam, masih terkejut. "Eh, awak yang jalan tak ada bunyi. Mestilah saya terkejut!"

Kedua-duanya terdiam sebentar, sebelum akhirnya mereka ketawa bersama-sama. Suasana yang tegang sebentar tadi bertukar menjadi lebih santai. Emir masih berdiri di hadapannya, matanya tertancap pada beg pakaian Sofia yang sudah siap.

"Nak ke mana?" Emir bertanya, memandang barang-barang yang Sofia sudah kemas. "Kenapa kemas barang ni?"

Sofia mengangkat bahunya. "Doktor kata saya dah boleh keluar hari ni."

Emir memandang Sofia dari atas hingga ke bawah, matanya tertancap pada baju tidur berwarna merah jambu yang dipakai Sofia, lengkap dengan gambar arnab kecil di bahagian hadapannya. Dia mengetap bibirnya menahan ketawanya, Sofia menyedari pandangan Emir dengan cepat menyilangkan tangannya di depan dada.

Sofia mencebik, wajahnya merah menahan malu. "Janganlah tengok! Baju ni aje yang Hani hantarkan hari tu,"

Emir tersentak, kedua matanya membuntang, wajahnya memerah sedikit. "Eh! Saya tak tengok apa pun. Jangan salah faham!" Dia menepis tuduhan itu dengan cepat, tetapi masih tersenyum.

Dia segera mengeluarkan telefon bimbitnya dan menelefon Jeremy. "Jer, bawa jaket saya ke Wad Kenanga, sekarang."

Sofia memandang Emir, sedikit hairan dengan tindakannya, tetapi dia memilih untuk diam sementara menunggu Jeremy tiba. Kedua-duanya berdiri dalam keheningan sejenak sebelum Emir membuka mulut semula.

"Awak tengoklah saya sekarang," Emir berkata perlahan, sambil berdiri tegak. "Saya dah tak guna kerusi roda lagi."

Sofia mengangguk, perasan akan perubahan itu, tetapi tak sempat berfikir lebih lanjut. "Dah okey sepenuhnya?"

"Dalam seminggu tu hari-hari saya jalani fisioterapi. Doktor kata saya makin pulih, jadi sekarang saya cuba jalan sendiri. Tapi masih perlukan masa. Tak boleh cergas sangat,"

Dengan ketukan halus kedengaran, pintu wad terbuka. Jeremy muncul dengan jaket di tangannya.

"Jer, tunggu di luar dulu," kata Emir ringkas.

Jeremy menurut, dan selepas dia keluar, Emir mengekori Jeremy. Selepas itu, dia muncul semula dan menyerahkan jaket itu kepadanya. "Pakai ini, jangan keluar dengan baju tidur tu. Nanti semua orang ketawakan awak."

Sofia tersipu malu, tetapi mengambil jaket itu dan memakainya. Selepas dia memakai jaket itu, Emir dengan segera menguruskan pembayaran wad Sofia, meminta Jeremy membawa barang-barang Sofia ke kereta. Tidak lama kemudian, mereka berdua berada di luar hospital, siap untuk masuk ke dalam kereta.

"So, Emir," Sofia memulakan, suaranya sedikit perlahan, "Bila perasmian hotel awak tu? Dah nak dekat, kan?"

Emir berpaling memandang Sofia, senyuman kecil di bibirnya. "Perasmian ditunda."

Sofia terkejut. "Tunda? Saya ingatkan semuanya dah siap?"

Emir hanya mengangguk perlahan, senyuman masih di bibirnya tetapi tidak memberikan penjelasan lebih lanjut. Sofia hanya mengeluh perlahan, tetapi dia mengalih topik.

"Saya tak sabar nak masuk kerja semula. Rindu dengan kawan-kawan," kata Sofia sambil memandang ke luar tingkap.

Emir memandangnya dari sudut mata. "Awak tak boleh cuti lagi? Alvin belum ditangkap lagi, Sofi,"

Sofia terdiam. Nama Alvin itu sentiasa menghantui fikirannya, tetapi dia cuba bersikap tenang. "Saya tahu. Tapi saya tak boleh duduk diam saja. Kerja adalah satu-satunya cara untuk saya lupakan semua ini,"

"Cuti ajelah dulu. Nanti saya maklumkan dengan Tuan Samat, ya?" pujuk Emir.

"Tengoklah macam mana. Kalau saya seorang kat rumah lagi bahaya," jawab Sofia.

Emir menghela nafas perlahan, memikirkan sesuatu tetapi memilih untuk tidak berkata apa-apa. Mereka meneruskan perjalanan dalam diam, masing-masing tenggelam dalam fikiran sendiri.

Kereta yang membawa Sofia dan Emir meluncur perlahan menuju rumah Sofia. Emir masih menoleh sesekali ke arah Sofia, seolah-olah memikirkan sesuatu, sementara Sofia tenggelam dalam fikirannya sendiri.

"Emir," Sofia tiba-tiba bersuara, nadanya sedikit lembut, "Thank you sebab luangkan masa lawat saya. Padahal awak sibuk dengan kerja, sibuk kena pergi unit fisioterapi,"

Emir menoleh, senyum nipis di bibirnya. "Tak susah pun. Saya gembira dapat luangkan masa dengan awak,"

"Ada hikmah juga benda ni jadi, awak dah tak tolak kehadiran saya," tambah Emir.

Sofia tersenyum. Ada perasaan terharu di dalam hatinya, namun dia cuba menafikan perasaan itu daripada terlalu menguasai.

Setibanya di rumah Sofia, suasana sunyi menyelubungi ruang. Sofia melangkah masuk ke dalam rumahnya dengan beg pakaiannya dijinjit Emir, dan disambut dengan keheningan yang luar biasa. Anak-anaknya mereka ke sekolah, manakala yang lain keluar bekerja. Rumah yang biasanya dipenuhi dengan keriuhan suara kini sepi.

Emir menoleh ke arah Sofia setelah memastikan dia selesa. "Kalau perlukan apa-apa, saya kat sebelah. Jangan segan nak call."

Sofia mengangguk sambil tersenyum. "Terima kasih, Emir. I think i'm going to be okay,"

Emir dan Jeremy kemudian meninggalkan rumah Sofia. Mereka menuju ke rumah sewa Emir, rumah yang sudah lama tidak dia kunjungi sejak kecederaannya tempoh hari. Ketika berada di muka pintu, Emir menarik nafas panjang melihat rumah yang dipenuhi dengan kenangan lamanya. Dia membuka pintu, bau nostalgia menusuk masuk ke dalam hidungnya. Tanpa membuang masa, Emir duduk di meja dan mula membuka laptopnya, bersiap untuk memeriksa kerja-kerjanya yang tertangguh.

Namun, tidak sampai lima minit dia menumpukan perhatian pada skrin laptop, telefonnya berbunyi. "Datin Fauziah," Jeremy menyuakan telefon Emir.

"Mama?" suaranya tenang menjawab panggilan telefon itu.

"Angah, mama nak jumpa dengan kamu. Sekarang," suara Datin Fauziah kedengaran tegas di hujung talian.

Emir mengerutkan dahi. "Jumpa? Sekarang? Angah ada kat rumah sewa ni."

"Tak apa. Mama datang sana," jawab Datin Fauziah tanpa menunggu jawapan.

Emir tidak sempat membantah. Datin Fauziah sudah memutuskan panggilan. Dia menarik nafas panjang lagi, menoleh ke arah Jeremy yang sedang menyusun beberapa barang di ruang tamu.

"Jeremy, mama nak datang," kata Emir pendek. Jeremy hanya mengangguk tanda faham.

15 minit kemudian, kereta mewah Datin Fauziah berhenti di hadapan rumah Emir. Dari tempat Sofia berada, di dalam rumahnya, dia terlihat pergerakan kereta itu dari celahan langsir yang diselaknya sedikit. Hatinya tiba-tiba bergetar. Mata Sofia terbeliak saat melihat Datin Fauziah keluar bersama Isha.

Sofia segera menyelak langsir dengan lebih luas, memerhatikan kedua-dua wanita itu melangkah masuk ke rumah Emir. Dalam hati, Sofia cuba menenangkan dirinya, tetapi fikirannya mula bercelaru.

"Kenapa tiba-tiba rasa tak senang ni?" monolog Sofia mula bermain di kepalanya. "Takkanlah sebab Isha? Dia datang sebab ada urusan penting. Tak ada kena-mengena dengan aku pun."

Sofia menggeleng perlahan, cuba memarahi hatinya sendiri. "Kenapa tiba-tiba macam ni, Sofia? Kau dengan Emir tak ada apa-apa pun lagi. Jangan nak overthinking sangat." Namun, seberapa kuat dia cuba menafikan, perasaannya tetap bergelora. Setiap langkah Isha yang masuk ke rumah Emir terasa seperti paku mencucuk perasaannya.

Tersedar yang fikirannya semakin bercelaru, Sofia memutuskan untuk melakukan sesuatu untuk mengalihkan perhatian. 'Tak boleh biarkan hati ni terus melayang-layang begini,"'dia berkata dalam hati. Akhirnya, dia membuat keputusan untuk memasak. Aktiviti memasak sentiasa membantu menenangkan dirinya, terutama apabila fikiran mula berserabut.

Dia segera menuju ke dapur, mengeluarkan beberapa bahan dan mula menyiapkan hidangan. Walaupun hatinya masih terganggu, dia berjaya mengalihkan perhatiannya buat seketika dengan memotong sayur dan menumis bahan. Bunyi renyah minyak di dalam kuali memberi sedikit ketenangan kepada fikirannya. Namun, selepas sejam, tiba-tiba dia terdengar bunyi kereta masuk ke dalam garaj rumahnya.

Sofia segera menyelak langsir sekali lagi, kali ini terlihat kereta Hani, yang baru pulang dari kerja. Dengan pantas, Sofia berlari keluar dari rumah untuk menyambut Hani. Sambil berjalan ke arah Hani, matanya masih terpaku pada rumah Emir di sebelah, seolah-olah memandang rumah itu boleh memberitahunya apa yang sedang berlaku di dalamnya.

"Sofi!!! Bila kau discaj?" Hani berseru gembira sambil menghampiri Sofia yang sedang manis tersenyum. Dia segera memeluk Sofia erat. "Aku rindu kau! Kau dah sihatkah?" Hani memusingkan badan Sofia.

Sofia ketawa kecil, memeluk Hani semula. "Aku okey. Alhamdulillah, dah boleh discaj,"

Hani mengangguk, memandang Sofia dari atas ke bawah. "Alhamdulilah... Siapa yang hantar kau balik?"

"Oh Emir yang hantarkah?" soal Hani setelah terpandang kereta biru Emir terletak elok di garah rumahnya.

Sofia mengangguk sambil tersenyum kecil. "Ya, dia yang hantar. Kebetulan dia datang kat hospital tadi."

Hani tersengih nakal. "Alah, kau ni. Ada 'kebetulan' ke? Macam dia memang selalu ada je masa untuk kau"

Sofia ketawa, menggeleng perlahan. "Eh, tak adalah. Aku hempuk kang! Dia memang sibuk. Tapi entah macam mana, dia ada masa pula hari ni."

Hani ketawa sambil memaut lengan sahabatnya itu. "Ala, baguslah tu. Sekurang-kurangnya kau tak sorang-sorang."

Sofia tersenyum, tapi dalam hatinya masih terasa tak tenang. Matanya sekali lagi melirik ke arah rumah Emir. Apa yang sedang berlaku di dalam sana?

Sofia menghela nafas panjang sambil tersenyum hambar. Langkahnya sengaja dilambat-lambatkan. Hani memandang Sofia dengan kerutan jelas di dahinya. "Kau kenapa? Sakit perutkah?" soal Hani.

Sofia mengaru dagunya. "Tak ada apalah. Jom masuk. Aku dah masak," Sofia mengulum senyuman tipis.

Mereka berdua terus masuk ke dalam rumah, dan Hani mula membantu Sofia menyusun makanan di meja makan. Gerak-geri Sofia diperhatikan Hani lama. Sebaik saja mereka berdua duduk Hani memandang Sofia lama.

"Kenapa? Ada apa-apa kat muka akukah?" tanya Sofia.

"Kau apasal nampak macam tak kena ni? Kau okaykah tak? Kau betul ni doktor dicaj? Bukan kau lari dari hospitalkan?" 

Soalan Hani memecahkan tawa Sofia. Sampai ke situ fikirannya. Sofia mengeleng sambil tertawa.

"Habis tu kau macam tak senang hati aje? Kau okaykah tak ni?" soal Hani lagi.

"Aku okay, Ni. Jom makan," jawab Sofia setelah tawanya reda.

"Aku dengar Emir ajak kau kahwin semula. Kau dah fikir?" soalan Hani menyebabkan Sofia tersedak. 

Air minuman bertukar tangan. "Kalau nak kata nak, jangan jual mahal sangat. Orang tu masih sayang," Hani bersuara lembut sambil tersenyum. 

Sofia memandang Hani dengan muka tak puas hatinya. Sahabatnya yang satu ini, kadang-kadang bercakap tak tengok kiri kanan.

"Betullah aku cakap,kan? Emir tu masih sayangkan kau Sofi, aku nampak keikhlasan dia.Tapi tak apa, bagi diri kau masa. Apa-apa pun, aku ada dengan kau. Jangan risau," Walaupun hatinya masih belum bersedia untuk sepenuhnya membuka pintu kepada Emir, kata-kata Hani sedikit sebanyak memberikan kelegaan. Dia tahu akan tiba masanya suatu hari nanti dia perlu membuat keputusan—sama ada untuk memberikan peluang kedua kepada Emir atau terus menjaga jarak antara mereka.

Di dalam rumah Emir, suasana yang tadinya tenang mula tegang dengan tangisan Isha. Dia duduk di sofa, wajahnya tertunduk sambil sesekali menyeka air mata yang mengalir. Tangannya menggenggam kuat, seolah-olah sedang menahan perasaan yang terpendam sekian lama. Datin Fauziah duduk di sebelahnya, memandang Isha dengan penuh simpati. Air dalam gelas dihulurkan pada Isha.

"Minum dulu Sha" pinta Datin Fauziah dengan nada risau, cuba meraih perhatian Isha.

Isha menarik nafas panjang, menahan esakannya sebelum bersuara, "Sha tak tahu nak cakap macam mana lagi, ma. Sha nak datang sini pun terpaksa menipu papa, Sha terpaksa buat semua ni untuk lari dari sekatan dia. Setiap kali nak pergi kerja, mesti ada orang yang jemput dan hantar. Sha tak boleh bebas lagi,"

Emir yang berdiri di sudut bilik memandang Isha dengan wajah yang semakin tegang. Dia masih belum faham sepenuhnya apa yang berlaku, tapi jelas sekali situasinya semakin rumit.

"Kenapa papa awak sekat pergerakan awak?" Emir akhirnya bersuara, cuba mendapatkan penjelasan.

Isha memandang Emir dengan mata yang masih basah. "Sebab dia tak nak saya bertemu dengan siapa-siapa selain orang yang dia pilih. Saya... dah tak dapat nak jumpa Hakeem," ujar Isha. Dia mengerling ke arah Datin Fauziah yang tidak mengetahui berkenaan Hakeem. Lelaki yang sudah membuka pintu hatinya selepas Emir Faiq.

"Bolah tak Isha nak jumpa Uncle Emran? Mungkin uncle boleh faham, " Isha memandang Datin Fauziah.

"Buang masa aje jumpa dia, Sha. Sama aje keras kepala macam papa kamu," jawab Datin Fauziah.

"Isha dah tahu kenapa papa dengan Uncle Emran berkeras hendak perkahwinan antara kita diteruskan," Isha menyeka air matanya. Emir dan Datin Fauziah memandang Isha menanti ayat seterusnya.

"Jutaya Holdings," pendek jawapan Isha namun dapat ditangkap terus oleh Datin Fauziah.

Emir mula merasa panas punggung. Nama Jutaya Holdings yang jarang didengarnya menambah tekanan yang sedia ada. "Jutaya Holding?" soal Emir mengulangi ayat Isha, matanya tertancap pada Isha kemudian beralih pada mamanya, Datin Fauziah.

"Jutaya Holdings tu tempat papa dengan Uncle Is kerja sebelum masing-masing ada bisnes sendiri. CEO Jutaya Holdings tu, Kamal Mustapha tak ada anak. Dia anggap papa kamu berdua macam anak dia sendiri,"

Isha menarik nafas panjang, kemudian menunduk. Suaranya hampir berbisik, seolah-olah setiap kata yang keluar sangat sukar baginya. "Ini bukan tentang perasaan atau apa-apa yang kita fikirkan. Ini semua tentang harta,"

Emir mendengus, seolah-olah dia sudah menduga ada sesuatu yang lebih besar di sebalik semua ini, tetapi mendengar kata-kata Isha membuatkan amarahnya semakin memuncak. "Apa maksud awak? Kenapa nak kita berkahwin? Apa kaitannya dengan Jutaya Holdings?"

Isha menggigit bibirnya, cuba menahan air mata yang mula mengalir lagi. "Sebab... Untuk Papa dan Uncle Emran menjadi pemilik sah Jutaya Holdings, Tuan Kamal tu nak keluarga kita disatukan supaya tak ada perebutan kuasa berlaku," 

"Long story short, untuk mereka berdua diiktiraf sebagai CEO Jutaya Holdings kita perlu bersatu sebagai satu keluarga,"

Datin Fauziah yang mendengar penjelasan itu terkejut, wajahnya serta-merta berubah pucat. Dia memandang Isha dengan mata terbeliak. "Macam mana Isha tahu semua ini?"

Emir memandang Datin Fauziah dengan perasaan tidak percaya. "Mama pun tak tahu?" Datin Fauziah mengeleng pantas.

"Isha call kak Ika kat NZ. Dia yang bagitahu Isha, dia lari ke sana sebab tak nak kahwin dengan along," cerita Isha.

Emir mencekak pinggangnya. "Awak dengan Along? Hubungan kamu?"

"Hubungan kami benar, Emir. Saya dengan along awak memang bercinta sebab tu Kak Ika lari, dia tak nak kahwin dengan along awak sebab tahu hubungan kami," cerita Isha

"Sekejap," Emir bersuara, dia memicit dahinya. 

Isha menarik nafas dalam-dalam sebelum memandang Emir dengan berat hati. "Jutaya Holdings sekarang hanya mengiktiraf papa dan Uncle Emran sebagai penggerak projek-projek terbesar mereka, tapi bukan pemilik sebenar. Kalau kita bersatu melalui perkahwinan, barulah dia orang akan diiktiraf sebagai pewaris sah. Kalau tidak, harta itu akan dibahagikan kepada pihak lain, mungkin kepada konglomerat asing."

"Projek terbesar Jutaya Holdings?" Emir mencelah, masih tak dapat memahami sepenuhnya penjelasan Isha.

Isha mengangguk perlahan. "Ya, projek-projek terbesar macam  Pembangunan Mega Komersial Jaya Towers  kat tengah-tengah bandar Kuala Lumpur tu, itu projek syarikat papa. Projek Perumahan Mewah Jutaya Residences – perumahan eksklusif untuk golongan elit di pinggir bandar. Jutaya Ports Expansion – pengembangan pelabuhan utama di wilayah utara yang bakal menjadi hab perdagangan terbesar di Asia Tenggara. Projek Tenaga Hijau Jutaya Energy yang melibatkan tenaga solar dan angin yang sedang diteroka untuk menjadi sumber tenaga utama negara.Jutaya Global Hotels and Resorts – rangkaian hotel mewah yang berskala antarabangsa bawah syarikat Uncle Emran. Awak tak tahukah semua ni?" soal Isha.

Emir mengeleng. Dia memandang mamanya. Datin Fauziah memandang kosong ke arah lantai, suaranya hampir berbisik. "Mama tak percaya, selama 34 tahun berkahwin dengan papa, tak pernah sekalipun papa ceritakan semua ini dengan mama," 

Emir bangun dari kerusi, berjalan ke arah tingkap sambil menahan marah. "Kenapa semua orang gilakan harta?" suaranya keras, hampir menjerit. "Abah Sofi, sekarang papa sendiri... semua sama. Masing-masing sanggup mengorbankan anak-anak hanya untuk kekayaan. Apa nilai hidup kita pada dia orang?"

Isha memandang Emir dengan wajah penuh kekesalan. "Kita ni anak dia orang Sha, kenapa dia orang utamakan duit, harta dari kita?"

Suasana di dalam rumah itu semakin tegang. Emir berdiri di hadapan tingkap, memandang keluar dengan mata yang membara, memikirkan apa yang bakal dia lakukan seterusnya. Jutaya Holdings, Rasa Riang, perkahwinan—semuanya kini terasa seperti perangkap yang menjerat hidupnya.

Datin Fauziah masih terdiam, cuba memahami bagaimana suaminya yang dikenali sebagai lelaki penyayang boleh berubah menjadi seseorang yang sanggup meletakkan anak mereka dalam situasi seperti ini. Sementara itu, Isha hanya mampu menunduk, menyesali segala kekusutan yang kini terbongkar.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience