Selepas anak-anak tidur, Sofia berjalan perlahan menuju ke meja kecil di biliknya. Komputer ribanya yang sudah tersedia di atas meja dibuka. Jika dia tidak dapat tidur, sekurang-kurangnya dia boleh fokus pada kerja. Mesyuarat esok memerlukan persiapan yang rapi, dan Sofia tahu dia perlu memberikan yang terbaik untuk memastikan program perpustakaan berjalan lancar.
Dia membuka beberapa fail dan sesekali menonton video di YouTube, mencari inspirasi untuk menjadikan program perpustakaan lebih menarik kepada pelajar kolej. Namun, ketika dia sedang khusyuk bekerja, terdengar suara Wafa dari luar bilik.
"Jangan lewat sangat balik, Bella." Suara Wafa jelas kedengaran, nadanya agak serius.
"Tak balik? Kau jangan jalan dengan orang lain pula, tau! Kalau dengan Emir tak apa," Wafa menambah, dengan nada gurauan.
Sofia terdiam. Matanya melirik ke arah jam di sudut kanan laptop—12:50 pagi. Fikirannya mula berputar. Dia segera menyelak langsir bilik dan melihat ke luar. Kereta Emir tiada di tempat biasa. Sofia menarik nafas panjang, cuba menenangkan hatinya yang mula tidak tenteram.
Dia menyimpan semua fail kerjanya, menutup komputer riba, dan memasang alarm di telefon bimbitnya. Namun, fikiran tentang Emir dan Isabella yang masih keluar bersama mengganggu perasaannya. Sofia memadamkan lampu, cuba melelapkan mata, tetapi bayangan Emir dan Bella terus menghantui fikirannya.
Entah pukul berapa Sofia akhirnya tertidur, tetapi apabila dia terjaga, jam sudah menunjukkan 5:30 pagi. Dia terkejut, melompat dari katil, dan segera bersiap, risau anak-anaknya sudah terlewat untuk ke sekolah. Selepas mandi dan berpakaian, dia tergesa-gesa turun ke bawah.
Namun, apabila Sofia sampai di ruang tamu, dia terkejut melihat anak-anaknya, Farish dan Irina, sudah siap sedia. Mereka sedang berbual sambil menunggu di ruang depan.
"Mama lambat bangun hari ni. Tapi kami dah siap!" Farish berseru riang.
"Mama, dah mandi? Kami nak jalan dah ni," Irina menambah sambil tersenyum.
Sofia memeluk mereka dengan penuh kasih sayang sebelum membiarkan mereka keluar ke pintu. Di luar, Emir sudah menunggu di pagar sambil tersenyum melihat Farish dan Irina. Selepas mereka melambai kepada Emir, Sofia perlahan-lahan keluar dari rumah, rasa aneh menjalar di dalam hati.
Emir memandang Sofia dengan senyuman biasa. "Nak saya jemput balik nanti?" tanyanya dengan lembut.
Sofia menolak pada mulanya. "Tak apalah, saya boleh balik sendiri."
Namun, Emir berkeras. "Lebih baik saya jemput. Untuk keselamatan awak. Please..."
Sofia akhirnya mengalah dan setuju. "Baiklah."
Mereka memasuki kereta, dan Emir mula memandu menuju ke pejabat Sofia. Suasana di dalam kereta agak tenang, namun Sofia tidak dapat menghilangkan rasa gelisah di hatinya. Beberapa minit berlalu dalam keheningan sebelum Emir tiba-tiba mula berbual.
"Saya bising eh semalam?" Emir memulakan, matanya masih memandang ke arah jalan.
Sofia, yang sedang cuba mengawal perasaannya, mengangguk sedikit. "Ya, macam awak tengah berbual di sebelah saya aje,"
Emir tersenyum tipis, seolah-olah teringat sesuatu yang menyenangkan. "Best berbual dengan Bella. Saya kagum sangat dengan cara dia berfikir. Masih muda tapi dah tahu dia nak apa dalam hidup. Kalau orang tak kenal dia mesti terkejut umur dia baru 23 tahun,"
Sofia memandang ke luar tingkap, cuba mengelak dari memberi reaksi, namun hatinya semakin resah. Dia tahu perasaan cemburu itu tidak sepatutnya ada, tetapi mendengar Emir tak putus-putus memuji Isabella membuatkan dia tidak senang duduk.
Emir terus bercerita, nampaknya semakin terbuka untuk berkongsi. "Lepas awak mesej malam tu, saya ajak Bella lepak kedai mamak. Tapi dia ajak pula tengok wayang,"
"Rasa diri sebaya terus dengan Bella. Zaman tengok midnight movie ni dah lama berlqlu tapu malam tadi terasa macam balik semula ke umur 20an . Dengan awak dulu pun saya dah tak tengok wayang sangat. Happy betul saya malam tadi,"
Sofia menggenggam beg laptopnya dengan lebih kuat, cuba menahan diri dari memberikan reaksi. Hatinya semakin bergelora mendengar betapa seronoknya Emir bersama Isabella. Tetapi Sofia tetap memilih untuk berdiam diri.
Tiba-tiba, telefon bimbit Emir berbunyi, dan dia menyambungkan panggilan itu kepada bluetooth kereta.
"Hello, Bella," suara Emir kedengaran ceria.
"Thank you, abang awal-awal lagi dah hantarkan sarapan. Hari ni Bella pergi kerja sendiri dengan kawan. Tak payah jemput," suara Bella kedengaran jelas dari pembesar suara.
"Okay, hati-hati ya. Jumpa nanti," Emir membalas lembut, nadanya penuh perhatian.
Sofia mengetap bibir, hatinya semakin terasa pedih. "Baru dua hari kenal, tapi awak bagi layanan princess ya dengan dia. Awak dah bercinta dengan diakah?" jerit Sofia.
"Awak kata nak tunggu saya bagi jawapan?Dasar buaya!" Sofia mengangkat beg laptop paras kepalanya lalu dihempaskan di atas kepala Emir.
Lamunan Sofia mati apabila Emir memandang ke arahnya dengan wajah hairan.
"Kenapa muka awak macam nak pukul orang?" tanya Emir dengan nada berseloroh, tetapi jelas dia perasan perubahan di wajah Sofia.
Sofia tersenyum paksa, cuba menutup perasaannya. "I might hit someone later. So just shut up and drive," Gumam Sofia.
"Ha?" Soal Emir. "Tak dengar, apa dia?"
"Just drive,Emir. Saya tak nak lambat," jawab Sofia dengan nada tegang. Dia terus memandang ke luar tingkap, cuba mengawal perasaan yang semakin bergelora.
Emir kelihatan tergamam dengan nada Sofia, tetapi dia tidak membalas. Dia hanya menumpukan perhatian kepada jalan di hadapan.
Sebaik sahaja dia sampai di lobi pejabat, Sofia turun dari kereta selepas mengucapkan terima kasih. Yusoff dan Maryam dua rakan sekerjanya yang baru balik dari sarapan, datang mendekatinya dengan penuh semangat.
"Akak! Emir yang hantar tadi?" Maryam bertanya dengan nada teruja.
"Jangan nak deny, Ayu nampak okay!" sampuk Ayu yang entah datang dari mana sambil tersenyum nakal, matanya bercahaya penuh dengan soalan-soalan yang ingin ditanyakan. "Dah together-gether kah?"
"Kau hati-hati Cik Piah, nanti salah pilih lagi macam Alvin," pesan Yusoff. "Lainlah macam aku ni, dahlah kacak, baik hati pula. Lepas tapisan keselamatan CGSO tahu?"
Sofia mengetap bibirnya, berusaha menahan senyuman yang ingin terbit di wajahnya. Dia memandang kedua-dua mereka sebelum menjawab, "Kami kawan aje. Tak ada apa-apa pun."
Dia berhenti seketika, kemudian menambah dengan nada yang lebih tajam, "Dia tengah try someone baru untuk nak dijadikan makwe. Pucuk muda. Kita ni..." Sofia memandang ke arah Ayu dengan senyum sinis, "...Eh, you not on his list apparently,"
Ayu yang mendengar penjelasan Sofia, mencebikkan mulutnya. Mukanya tak puas hati jelas terbit di wajahnya selepas mendengar kenyataan Sofia. Lengan Sofia dipukul.
Maryam yang mendengar perbualan itu ketawa besar, hampir tidak dapat menahan diri. "Eh, marahkah cik kak? Macam nak try Emir aje gaya kau ni," usik Maryam.
Sofia turut tergelak, hatinya sedikit lega melihat Ayu yang cuba menutup mukanya yang merah padam. Mereka bertiga ketawa bersama, namun di dalam hati Sofia, dia masih terasa sedikit perit setiap kali nama Emir disebut. Gelak ketawa mereka memenuhi ruang lobi, menarik perhatian beberapa pekerja lain yang lalu lalang.
Namun, di tengah-tengah suasana yang penuh tawa itu, ketika Sofia panggung kepala, dia terperasan sesuatu yang membuatkan jantungnya berdegup laju. Emir sedang berdiri dihadapan pintu masuk bangunan pejabatnya, memandang tepat ke arah mereka. Matanya bertaut dengan Sofia, seolah-olah dia telah mendengar segalanya.
Sofia tergamam seketika. Dia menatap Emir dengan wajah yang sedikit tegang, namun cepat-cepat berpaling dan melangkah laju menuju ke lif. Di dalam hati, dia cuba menenangkan debaran yang tiba-tiba muncul, tetapi pandangan Emir yang tajam tadi terus menghantui fikirannya.
Maryam dan Ayu tidak menyedari apa yang berlaku, mereka masih terhibur dengan perbualan tadi. "Akak, cepatlah masuk, nanti meeting akak lambat!" Maryam berseloroh sambil menolak perlahan bahu Sofia.
Sofia hanya tersenyum kecil sebelum melangkah masuk ke lif, hatinya sedikit kacau dengan kehadiran Emir.. Dia berasa seperti dipantau oleh Emir, dan itu membuatkan dia semakin tidak selesa.
Awak buat apa kat sini?
Mesejnya tidak dibalas. Sofia menarik nafas dalam sebelum menuju ke bilik mesyuarat. Tepat jam 9.00 pagi, Sofia duduk di meja mesyuarat, memandang sekilas kepada staf yang hadir. Mesyuarat hari ini akan membincangkan program perpustakaan yang telah lama tertangguh. Program ini penting bagi kelab perpustakaan, dan Sofia mahu memastikan semuanya berjalan lancar. Di hadapannya, Encik Samat, Pengarah KKTA, memimpin mesyuarat sebagai pengerusi.
"Sofia," Encik Samat membuka mesyuarat dengan suara tenang, "kita akan dengar perkembangan program perpustakaan dari awak. Sila mulakan."
Sofia mengangguk dan mula membentangkan perkembangan terkini, perancangan program yang sudah disiapkan, serta pelbagai aktiviti yang akan dilaksanakan oleh ahli kelab perpustakaan. Namun, sebaik sahaja mesyuarat hampir selesai, suasana berubah sedikit apabila Encik Samat memberikan kata-kata penutup.
"Sebelum kita tamatkan mesyuarat hari ini," Encik Samat memulakan dengan nada lebih tegas, "saya ingin tegur sedikit, Sofia." Semua mata di bilik mesyuarat tertumpu pada Sofia, yang tiba-tiba terasa sedikit gugup.
"Saya tahu awak dah buat kerja keras untuk program ini sebelum kejadian menimpa awak baru-baru," kata Encik Samat sambil memandang Sofia dengan penuh kebimbangan, "tetapi saya rasa program ini perlu ditangguhkan buat sementara waktu."
Sofia tergamam. "Kenapa, Encik Samat?" tanyanya, tidak dapat menyembunyikan rasa kecewanya.
Encik Samat menarik nafas panjang sebelum menjawab, "Sofia, saya perhatikan leher awak masih ada bandage. Saya juga difahamkan,awak masih perlu berjumpa dengan unit kaunseling setiap dua minggu, kan? Saya tahu doktor bagi awak cuti rehat,"
Wajah Sofia berubah, namun dia tetap cuba mengekalkan senyuman kecil. "Saya rasa okey, Encik Samat. Tak ada masalah untuk saya terus bekerja."
Encik Samat menggeleng perlahan. "Saya faham awak rasa macam tu, tapi saya lebih risaukan kesihatan awak. Saya tak mahu awak overwork dan kemudian terjejas lebih teruk. Kalau apa-apa berlaku, macam mana saya nak jawab dengan HQ?"
Sofia diam sejenak, merasakan beban peringatan itu. Encik Samat jelas tidak mahu mengambil risiko dengan kesihatan Sofia, dan dia ada sebab untuk berbuat demikian. Namun, Sofia tak mampu menahan rasa kecewa yang semakin mendalam.
Selepas mesyuarat tamat, Sofia segera berjumpa dengan Encik Samat di pejabatnya. Dia tahu, ada sesuatu yang perlu diperjelaskan.
"Encik Samat," Sofia memulakan perbualan dengan hati-hati, "Saya janji saya dah sihat, tak ada apa-apa. Boleh tak benarkan saya teruskan program ni?"
Encik Samat menghela nafas panjang sambil memandang Sofia dengan mata penuh prihatin. "Sofia, untuk kita bekerja lama di satu pejabat, kesihatan kita kena utamakan dulu. Macam mana nak kerja sampai pencen kalau tak jaga kesihatan,"
Sofia mengerutkan dahi. "Saya faham tapi saya tak rasa sakit. Lagipun, saya tak boleh duduk rumah terlalu lama. Ia akan buat saya rasa tak produktif."
Encik Samat memandang Sofia dengan serius. "Whether you like or not, awak rehat di rumah. Saya diamanahkan untuk jaga kebajikan staf saya, misalnya ada apa-apa berlaku, saya kena jawab dengan KP,"
Sofia diam, merenung kata-kata Encik Samat. Fikirannya mulai terfikir sesuatu. Perlahan-lahan, dia memandang ke arah Encik Samat dengan sedikit curiga.
"Encik Samat..." Sofia bertanya dengan nada berhati-hati, "Macam mana Encik Samat tahu pasal ni? Dari Emir? Er... Tuan Emir?"
Encik Samat terdiam sejenak, tidak terus menjawab. Wajahnya menunjukkan sedikit kekeliruan, seolah-olah dia tidak mahu mengatakan kebenaran secara langsung.
Akhirnya, Encik Samat berkata, "Dia cuma bimbangkan kesihatan awak, Sofia. Dia tak mahu awak paksa diri."
Sofia menggenggam tangannya erat, cuba menahan rasa marah yang mula timbul. Fikirannya berputar dengan pelbagai emosi—marah, sakit hati dan kecewa.
Dia menarik nafas dalam-dalam, cuba menenangkan dirinya sebelum berkata, "Saya faham, Encik Samat. Kalau macam tu, saya minta satu hari saja untuk kerja hari ini. Saya nak maklumkan dengan semua ahli kelab berkenaan program ini. Mereka sangat mengharapkan program ini diteruskan. Lepas tu, saya akan berehat."
Encik Samat memandang Sofia lama, seolah-olah mempertimbangkan permintaan itu. Akhirnya, dia mengangguk perlahan.
"Baiklah, Sofia. Saya benarkan awak kerja hari ini saja. Tapi selepas itu, awak mesti ikut arahan doktor. Rehat, dan jangan overwork. Saya tak mahu ada apa-apa berlaku."
Sofia mengangguk, lega dengan kebenaran itu. "Terima kasih, Encik Samat. Saya akan pastikan semuanya selesai hari ini."
Sofia cuba untuk tidak memedulikan perasaanya saat ini, dia perlu fokus pada tugasnya buat masa ini. Setelah mengadakan mesyuarat tergempar bersama ahli kelabnya, Sofia segera menyiapkan beberapa kerja yang tergendala.
Dia tahu, selepas hari ini, dia perlu berehat seperti yang diminta oleh Encik Samat. Fikirannya masih penuh dengan kemarahan yang cuba ditahan—kemarahan yang menunggu masa untuk dihamburkan kepada Emir. Nanti bila dia jemput aku balik, aku akan lepaskan semuanya, bisik hati Sofia dengan penuh tekad.
Namun, ketika jam sudah menunjukkan pukul 5.00 petang, Emir masih tidak kunjung tiba. Sofia mula rasa gelisah. Dia mula menyesal kerana menolak tawaran Maryam untuk menghantarnya balik tadi. Kenapalah aku degil sangat? Fikirannya mulai berputar, tapi dia cuba bertenang.
Dia mengambil telefon dan menelefon Emir. Panggilannya tidak dijawab. Mungkin dia tengah drive, fikir Sofia, cuba menenangkan hati. Tetapi apabila menunggu lagi beberapa minit, masih tiada tanda-tanda Emir akan tiba. Jam terus berdetik, dan Sofia semakin gelisah.
Seorang staf bernama Farhan datang menyapanya. "Puan, dah jam 5.50 dah ni. Puan belum balik?"
Sofia tersenyum hambar sambil menekan-nekan telefon bimbitnya, cuba menghubungi Emir sekali lagi. Namun, panggilannya tetap tidak dijawab. "Belum, Farhan. Saya tengah tunggu..."
Farhan mengangguk, seakan-akan memahami kegelisahan di wajah Sofia, tetapi dia tidak berkata apa-apa lagi. Sofia hanya mengeluh perlahan, berharap Emir akan segera muncul. Tetapi setelah beberapa minit lagi berlalu tanpa sebarang respon, Sofia akhirnya membuat keputusan untuk menghubungi Aidil, abangnya.
"Hello, Aidil? Boleh jemput aku kat pejabat tak? Aku tunggu dekat sejam dah ni."
Aidil, yang selalu siap sedia membantu, segera setuju. Namun, Sofia perlu menunggu sejam lagi sebelum Aidil sampai.
Ketika akhirnya Aidil tiba, Sofia melangkah masuk ke dalam kereta abangnya dengan wajah penuh kecewa. Aidil segera perasan ketegangan di wajah adiknya.
"Kenapa tak bawa kereta sendiri hari ni?" tanya Aidil dengan nada prihatin.
Sofia menjawab dengan nada sarkastik, sambil memandang tajam ke arah jalan di hadapannya, "Sebab BFF kau kata nak jemput aku balik."
Aidil terdiam sejenak, memahami maksud Sofia. "Kenapa tak call dia?" Aidil bertanya lagi, cuba mencari punca.
Sofia mengerutkan dahi, menekan-nekan telefon bimbitnya sebelum menunjukkan log panggilannya kepada Aidil—semua panggilan kepada Emir yang tidak berjawab.
Aidil memandang senarai panggilan itu, dan dia segera faham situasinya. Melihat Sofia yang sudah jelas marah, Aidil memilih untuk tidak berkata apa-apa lagi. Kereta mereka terus meluncur di jalan raya dalam kesunyian.
Sebaik sahaja mereka tiba di rumah, Sofia melihat kereta Emir sedang berlalu pergi selepas menurunkan Bella di hadapan rumah. Nafas Sofia turun naik menahan marah yang semakin membara di dalam dirinya.
Aidil, yang turut perasan situasi itu, meletakkan tangannya di bahu Sofia. "Sofi, sabar. Jangan terbawa-bawa. Mungkin ada sebab kenapa Emir lambat."
Sofia tidak membalas kata-kata Aidil. Sebaik saja kereta berhenti dan gear ditolak ke P, Sofia turun dari kereta tanpa mengendahkan Isabella yang sedang melambai sambil tersenyum padanya.
"Akak! Hai! Dah balik kerja?" Bella menyapa mesra, tetapi Sofia langsung tidak menoleh, seolah-olah gadis itu tidak wujud.
Sofia terus melangkah masuk ke dalam rumah tanpa berkata apa-apa, pintu utama dikuaknya dengan kasar sebelum ditutup dengan bunyi yang kuat. Mia, yang berada di ruang tamu bersama Hani dan Wafa, memandang Aidil dengan penuh tanda tanya.
Aidil hanya mengangkat bahu, memberikan isyarat bahawa dia tidak tahu apa yang sedang berlaku. Hani dan Wafa yang duduk di sebelah Mia bertukar pandangan.
"Sofi..." Hani segera bangun dan cuba mengejar Sofia yang sudah melangkah menuju ke bilik. "Sofia, tunggu! Apa hal ni?" Hani memanggil dari belakang, tetapi Sofia tidak mengendahkan.
Sebelum Hani sempat mendekati Sofia, pintu bilik Sofia ditutup rapat. Hani mengetuk pintu dengan lembut, tetapi tiada balasan daripada Sofia di dalam. Wafa dan Mia hanya memandang dari ruang tamu, tidak tahu apa yang berlaku tetapi jelas ada sesuatu yang sedang mengganggu perasaan Sofia.
Di dalam biliknya, Sofia terduduk di atas katil, cuba menahan tangis yang mula membuak di dalam hati. Amarah, kecewa, dan rasa dikhianati bersatu menjadi satu.
Share this novel
Allah..sakit nya hati n geram pd emir..sian Sophia