Dua hari berlalu tanpa sebarang khabar dari Emir. Tiada mesej, tiada panggilan. Tiada usaha daripada suaminya untuk memujuk atau menjernihkan keadaan. Sofia meletakkan telefon bimbitnya di atas meja sisi katil. Matanya sudah mula memberat. Penat. Fikirannya kusut. Dia tidak mahu fikirkan tentang Emir, tetapi semakin dia cuba, semakin wajah lelaki itu menghantui mindanya.
Baru sahaja kelopak matanya hampir terkatup, telefon bimbitnya bergetar. Matanya terbuka semula. Dia segera mencapai telefon.
Hotel Vista Perdana.Bilik No. 811, tingkat 10
Dahi Sofia berkerut. Hatinya mula tidak sedap. 'Apa ini?'
Jari-jarinya laju menaip.
Apa ni? Siapa awak?
Tidak sampai beberapa saat, satu lagi mesej masuk.
Tengok sendiri supaya awak kenal siapa suami awak sebenarnya.
Diikuti dengan satu lampiran gambar. Dengan tangan menggigil, Sofia membuka gambar tersebut.
Nafasnya tersekat.
Darahnya terasa berhenti mengalir.
Wajah Emir.
Wajah Sabby.
Mereka berjalan bersama di satu lorong hotel, menuju ke sebuah bilik. Dalam gambar itu, Sabby berdiri rapat di sisi Emir. Pintu bilik dikuak, dan Emir masuk bersama Sabby sebelum pintu ditutup.
Air matanya bergenang. Cuba menafikan apa yang dia lihat. 'Tidak! Tidak mungkin Emir buat macam ni! Jerit hati kecilnya.
Hatinya bergelora, dadanya terasa sesak. Dia cuba mengawal perasaannya, cuba mencari rasional di sebalik gambar itu, tetapi fikirannya sudah berperang dengan emosi.
Telefon masih di tangannya, air matanya menitis satu persatu. Tidak! Dia tidak boleh duduk diam. Dia tidak boleh sekadar menangis tanpa berbuat apa-apa.
Dengan rasa pilu mencucuk-cucuk tangkai hatinya, dia menekan nombor Aidil.
"Aidil...tolong aku," suara Sofia bergetar, tangisannya hampir pecah.
Aidil di hujung talian terdiam beberapa saat sebelum bertanya dengan nada cemas. "Sofi, kenapa ni? Kau kat mana?"
"Aku kat bilik. Bawa aku pergi ke alamat ni." Sofia menyebut alamat yang dihantar kepadanya tadi.
Aidil menarik nafas panjang. Dia tahu nada suara itu. Tanpa bertanya lebih lanjut, dia bersetuju. "Okay, jom!"
Sofia menamatkan panggilan. Dengan jantung yang berdegup laju, dia segera mengambil jaketnya dan keluar dari bilik.
Wafa yang sedang menonton televisyen menoleh. "Sofi, kau nak pergi mana?"
Sofia menggeleng, cuba menyembunyikan air matanya. "Aku nak keluar sekejap, tolong tengok-tengokkan anak-anak aku ya,"
Hani bangun dari sofa. "Sofi! Aku ikut!"
Sofia mengangguk tanpa melihat mereka. Langkahnya laju menuju ke pintu.
Aidil sudah menunggu di dalam kereta. Sebaik sahaja Sofia dan Hani masuk ke dalam kereta, lelaki itu menoleh memandangnya dengan pandangan penuh tanda tanya. "Apa yang sebenarnya jadi ni, Sofi?" Aidil dan Hani memandang Sofia mengharapkan jawapan.
Sofia tidak menjawab. Dia hanya menyerahkan telefonnya kepada Aidil.
Aidil membaca mesej dan melihat gambar yang dihantar. Wajahnya berubah. Rahangnya menegang.
"Bila ni?" suara Aidil hampir berbisik, seakan tidak percaya. Perasaan marah perlahan-lahan menyelinap masuk dalam hatinya melihat Sofia begitu.
Sofia menjungkit bahunya. "Tapi, aku nak tengok sendiri, Dil. Kalau betul—" suaranya tersekat, air matanya kembali menitis.
Aidil menghela nafas panjang, cuba mengawal emosinya sendiri. Tanpa membuang masa, dia menekan pedal minyak.
Selepas beberapa minit, Sofia berdiri kaku di hadapan hotel. Hatinya terasa seperti dihimpit batu besar—berat, sakit, dan penuh dengan ketidakpastian.
Telefon dalam genggamannya bergetar lagi.
Naik terus. Tak payah jumpa front desk.
"Kau yakin nak buat ni, Sofi?" tanya Aidil, suaranya berat.
Sofia tidak menjawab. Dengan langkah berat, dia masuk ke dalam lif diekori Aidil dan Hani. Fikirannya berserabut. Dadanya berdebar kuat. Tangannya terasa sejuk, menggigil dalam diam. Setiap tingkat yang mereka lewati terasa begitu lambat.
Bunyi 'ding' lif membuatkan Sofia tersentak.
Lif terbuka. Mereka bertiga melangkah keluar, menuju ke bilik 811. Sampai di hadapan bilik tersebut, Sofia tiba-tiba rasa seakan seluruh tubuhnya kehilangan tenaga. Perutnya terasa kecut. Gelombang mual mula datang. Mulutnya terasa pahit.
Satu lagi mesej masuk.
Nampak troli sebelah kanan? Bawah bucket ada kad bilik.
Sofia berpaling. Matanya tertancap pada troli yang dimaksudkan. Sebuah baldi ais diletakkan di atasnya, bersama beberapa tuala yang tergantung kemas. Dengan nafas yang tidak sekata, dia melangkah perlahan ke arah troli itu. Tangannya menggigil ketika menyeluk bawah baldi ais.
Betul.
Kad bilik.
Dia menggenggam kad itu erat, seolah-olah nyawanya bergantung kepadanya.
"Buka aje, Sofi. Lagi lama kau tunggu, lagi sakit kau rasa," bisik Hani.
Sofia memandang Hani. Wajah sahabatnya itu jelas menunjukkan kerisauan yang mendalam.
"Aku takut..." suara Sofia hampir tidak keluar.
Hani mengusap lengannya. "Kami ada. Don't worry,"
Sofia mengangguk lemah. Dengan jari yang hampir tidak mempunyai kekuatan, dia menekan kad itu ke pengimbas pintu.
Bip. Lampu hijau menyala.
Dengan satu tarikan nafas panjang, Sofia menolak pintu itu. Dan dunianya terasa seakan berhenti.
"EMIR!!" Sofia menjerit.
Keadaan menjadi kacau bilau dalam sekelip mata.
Di hadapannya, Emir sedang berdiri di hadapan katil, wajahnya jelas terkejut. Sabby berdiri di tepi katil terpinga-pinga dengan kehadiran Sofia.
Aidil yang melihat itu terus meluru ke arah Emir tanpa menunggu sebarang penjelasan.
BAM!
Satu tumbukan padu hinggap di pipi Emir, menyebabkan lelaki itu terbaring terus di lamtai.
Sofia terjelopok di lantai. Tangisannya pecah.
"Apa awak buat ni?" suaranya bergetar, penuh dengan rasa sakit dan kecewa.
Emir menahan rasa pening akibat tumbukan Aidil. Dia melihat Sofia di lantai, menangis, dan cuba menghampirinya.
"Sayang, dengar dulu..."
Sofia menepis tangan Emir dengan kuat. "Jangan sentuh saya!"
Sabby melangkah ke depan, ingin berkata sesuatu, tetapi Aidil lebih pantas.
"Kau diam!" bentak Aidil.
Hani datang menghampiri Sofia dan membantu mengangkatnya. Tetapi sebelum sempat mereka keluar, Hani menoleh ke arah Emir—dan dalam sekelip mata, satu tamparan kuat hinggap di pipi lelaki itu.
"Dasar lelaki tak guna!" marah Hani.
Sofia menahan esakannya. Dengan suara serak, dia bersuara, "Ini sebabnya awak suruh saya balik rumah Hani,kan? Supaya senang nak buat maksiat..."
Emir menahan nafas. Matanya kelam, hatinya terasa hancur mendengar kata-kata Sofia.
"Sofi, dengar dulu..."
Tetapi Sofia tidak menghiraukannya. Dengan air mata yang masih mengalir deras, dia terus melangkah keluar dari bilik itu. Emir mengejar isterinya.
Dengar dulu, please!"
Emir menggenggam lengan Sofia, suaranya penuh dengan ketakutan dan harapan.
Tetapi Sofia sudah terlalu hancur.
Tangannya terangkat, memukul dada Emir berkali-kali, seolah-olah mahu melepaskan segala luka yang terbuku dalam hatinya.
"Lepaskan saya! Perkahwinan kita ni dah tak ada makna lagi! Lepaskan saya!" jeritnya, suaranya bergetar dengan amarah dan kesedihan yang bercampur menjadi satu.
Emir menarik Sofia ke dalam pelukannya, merapatkan tubuh wanita itu ke dadanya.
"Sayang, dengar dulu... saya boleh jelaskan semua ni."
Tetapi Sofia tidak peduli lagi.
Dadanya terasa seperti dirobek, hatinya seperti dihimpit batu besar yang menyesakkan nafasnya.
Dengan seluruh kekuatan yang masih bersisa, Sofia menolak tubuh Emir sekuat hatinya.
Matanya merah, nafasnya tersekat-sekat.
Dan dengan suara yang penuh luka—
"Saya benci awak!"
Tanpa menoleh ke belakang, Sofia mengatur langkah pergi, membiarkan Emir berdiri kaku dalam kesakitan dan penyesalan.
"Aku menyesal benarkan kau kahwin dengan Sofia semula!" bentak Aidil.
"Dil... aku boleh jelaskan!" suara Emir penuh dengan kegelisahan.
Aidil tidak mahu mendengar. Sebaliknya, satu lagi tumbukan hinggap di rahang Emir, menyebabkan lelaki itu terhuyung-hayang. Sabby menangkap lengan Emir menghalang lelaki itu sekali lagi menyembah bumi.
xxxxx
Sofia duduk di dalam kereta dengan tubuh menggigil. Nafasnya tersekat-sekat, dada terasa sempit, seolah-olah dunia sedang menghimpitnya dari segala arah. Tangannya menekup wajah, cuba menahan esakan yang semakin kuat, tetapi gagal.
Air mata mengalir deras, membasahi pipinya tanpa henti. 'Kenapa, Emir? Kenapa?' soalnya dalam hati.
Hani di sebelahnya menahan tangis. Dia menggenggam bahu Sofia, cuba memberi kekuatan, tetapi bagaimana mahu menenangkan sahabat yang hatinya sedang hancur berkeping-keping?
Kereta meluncur laju meninggalkan hotel itu, tetapi dalam hati Sofia, luka itu masih tertinggal di sana—bersama seorang lelaki yang telah mengkhianatinya.
"Aku benci dia! Aku benci dia, Hani!" Sofia menjerit sambil menekup wajahnya.
Hani menarik tubuh Sofia ke dalam pelukannya. "Menangislah semahunya Sofi, aku ada..."
Sofia menangis tersedu-sedu dalam pelukan Hani. Badannya bergegar kuat, esakannya memenuhi ruang kecil kereta itu.
Dari tempat duduk pemandu, Aidil mengetap rahang. Matanya menajam ke atas jalan, tetapi sesekali dia menghela nafas panjang, cuba menahan emosinya.
"Kau sabar, Sofi... Aku sumpah, aku takkan biarkan dia buat kau macam ni lagi," suara Aidil kedengaran serak.
Sofia menggelengkan kepala berulang kali, tangisannya semakin kuat, seakan menjerit kepada dunia yang dia benar-benar sudah penat dan terluka. Aidil mengetatkan genggaman pada stereng. Matanya mula berkaca.
Hani menutup mulutnya, menahan esakan sendiri. Luka lama yang hampir sembuh itu dikoyakkan semula—lebih dalam, lebih perit. Dia mengusap lembut belakang Sofia.
Sofia memejamkan mata rapat-rapat, tetapi bayangan Emir dan Sabby masih terlayar di hadapan matanya. 'Allahu...' dia berbicara dalam hati. Tangisnya pecah lagi.
Hani terus memeluknya erat, membiarkan bahu bajunya basah dengan air mata sahabatnya. "Sofi, lepaskan aje, menangislah sepuas hati," bisik Hani, suaranya juga bergetar menahan tangis.
"Astaghfirullahalazim..." Aidil mengeluh berat, cuba mengawal emosinya yang kian membuak-buak.
Aidil menggigit bibir, menahan rasa marah yang semakin menyesakkan dada. Dia mahu marah, mahu berpatah balik dan menghancurkan wajah lelaki yang telah menghancurkan hati Sofia, tetapi dia tahu, sekarang bukan masanya.
Sekarang, Sofia perlukan dia.
Aidil berhenti di hadapan rumah mereka Sofia lalu mematikan enjin tetapi dia tidak terus turun. Dia menoleh ke belakang, melihat Sofia yang masih menangis di dalam pelukan Hani.
"Jangan bagi dia peluang lagi, Sofi. Jangan biarkan dia buat kau macam ni lagi," Aidil bersuara, tegas tetapi penuh dengan kelembutan.
Sofia tidak menjawab. Dia terlalu penat untuk berkata apa-apa lagi. Aidil dan Hani membantu Sofia masuk ke dalam rumah. Kepala Sofia terasa berdenyut kuat, seakan-akan ada batu besar menekan dari dalam. Dia mengusap dahinya perlahan, cuba menghilangkan rasa sakit yang kian mencengkam.
"Kenapa ni?" Wafa mengalihkan selimutnya di atas sofa.
"Kita ada panadol tak?" Soal sofia sebelum baring.
Melihat tingkah Sofia. Mia segera membawa segelas air suam dan dua biji Panadol.
Sofia mengangkat pandangan, matanya yang membengkak kelihatan sayu. Dia tidak berkata apa-apa, hanya mengambil pil itu dan menelannya perlahan.
Wafa menahan sebak. Hatinya sakit melihat sahabatnya dalam keadaan begini.
Selepas memastikan adiknya tenang, Aidil kembali ke rumahnya. Dia duduk di ruang tamu dengan tangan di kepala, masih mengenangkan apa yang berlaku.
Mia datang menghampiri, meletakkan secawan teh di hadapan suaminya. "Aidil, calm down..."
Aidil mendengus kasar. "Macam mana saya nak bertenang, Mia? Saya kasihankan Sofi,"
Mia duduk di sebelah Aidil, mengusap perlahan bahunya. Aidil meraup wajahnya. "Saya tak faham, Mia. Saya tak faham... Emir tu, saya nampak sendiri macam mana dia sayangkan Sofi. Saya nampak betapa dia usaha nak dapatkan Sofi balik. Tapi kenapa... kenapa dia buat benda macam ni?"
Mia diam, memikirkan kata-kata Aidil. Dia sendiri sukar percaya Emir sanggup melakukan sesuatu yang akan menghancurkan rumah tangganya sendiri.
Aidil menggenggam jari-jarinya erat, masih dikuasai amarah. "Saya janji, Mia. Saya takkan biarkan dia dekat dengan Sofia dan anak-anak lagi."
Mia mengangkat wajah, memandang Aidil dengan riak terkejut. "Awak ni, awak tak boleh buat macam tu..."
"Kenapa tak boleh?" suara Aidil tegang. "Lepas apa yang dia buat, awak nak saya biarkan dia terus sakitkan Sofi?"
Mia menarik nafas panjang, cuba menenangkan keadaan. "Dengar sini, sayang... saya pun marah, kecewa. Tapi kita tak boleh nafikan satu benda, Emir tetap ayah kepada Ayish dan Rin. Dia tetap suami kepada Sofia."
Aidil mengerutkan dahi. "Tapi dia dah khianati semua tanggungjawab tu!"
"Faham... Tapi sayang, itu antara dia dan Sofi," kata Mia perlahan tetapi tegas. "Kita tak boleh buat keputusan untuk Sofi. Kita boleh ada pendapat, kita boleh bagi dia sokongan, tapi apa-apa keputusan tetap milik dia."
Aidil terdiam. Dadanya masih naik turun menahan perasaan marah. Telefonnya berdering minta dijawab, nombor tidak dikenali. Dia terus tekan butang merah.
Aku boleh explain Dil, jawab call aku. Aku nak cakap dengan Sofi. come on Dil, you know me better.
Aidil senyum sinis. Dia menunjukkan mesej dari Emir pada Mia. "Jawab ajelah. Kita dengar dulu penjelasan dia," kata Mia lembut.
Kau lepaskan adik aku! Esok aku sendiri akan ke mahkamah. Jangan tunjuk muka kau depan aku kalau kau tak nak mati!
Sebaik sahaja mesejnya bertanda biru. Dia terus menyekat nombor itu. Perasaan marahnya semakin meluap-luap.
Share this novel