Bab 59

Romance Completed 59279

Keadaan Emir di hospital semakin baik. Kakinya yang retak tempoh hari telah disahkan doktor, tidak mengalami kecederaan serius, hanya bengkak di otot akibat hentakan. Bahagian atas keningnya telah dijahit dengan beberapa jahitan kecil, sementara lebam masih menghiasi beberapa tempat di wajah dan tubuhnya. Emir tampak lebih baik dari malam tadi. 

Sebelah petang keesokan harinya, Emir dibenarkan keluar dari hospital setelah menjalani pemeriksaan susulan. Jeremy, yang setia menemaninya sepanjang waktu, tidak berganjak dari sisi Emir, memastikan segala keperluan bosnya dijaga dengan baik. Makanan yang dihidangkan di atas meja hospital masih tidak disentuh, menunjukkan betapa Emir tidak punya selera makan.

Jeremy memandang telefon bimbit Emir yang terletak di atas meja. Sudah berulang kali telefon itu berbunyi—panggilan daripada Datin Fauziah. Namun, mengikut arahan Emir, Jeremy tidak menjawab walaupun hatinya berat. 

"Jangan jawab, tak kira siapa pun," pesan Emir kepadanya semalam. Rasa kasihan pada Emir makin menebal setiap kali Jeremy memandang wajah bosnya yang lelah dan terluka.

Jeremy berdiri dan mengeliat perlahan, meregangkan badannya yang letih kerana duduk terlalu lama di kerusi hospital. Ketika itu, Emir tiba-tiba membuka mata. Menyedari Emir sudah bangun, Jeremy segera mendekati katil.

"Bos, dah bangun," kata Jeremy, suaranya ceria.

Emir memandang Jeremy dengan mata separuh terbuka, kemudian mengangguk perlahan. Wajahnya masih kelihatan letih, namun dia cuba untuk bangun dari tempat tidur.

"Bos nak apa-apa? Nak makan? Atau nak minum air?" Jeremy bertanya dengan nada prihatin.

Emir menggeleng perlahan. "Tak ada apa-apa, Jer," jawabnya dengan suara serak.

Jeremy mengambil nafas panjang sebelum berkata, "Bos, doktor cakap awak dah boleh balik. Kita boleh keluar sekarang kalau awak dah bersedia."

Emir mengangguk sekali lagi, kali ini dengan lebih yakin. Dia sudah tidak mahu lagi berada di hospital, keletihan mental dan emosinya terasa lebih berat daripada luka fizikal yang dialaminya. Dengan bantuan Jeremy, Emir berdiri perlahan-lahan, cuba menahan kesakitan yang masih terasa di segenap tubuhnya. Setiap langkah terasa berat, tetapi Emir tetap berusaha berjalan dengan tenang.

Selepas selesai urusan pembayaran di kaunter, mereka menuju ke kereta. Langit petang kelihatan mendung, seolah-olah mencerminkan suasana hati Emir yang kelam. Jeremy, yang sentiasa prihatin, memandang bosnya melalui cermin pandang belakang setelah mereka duduk di dalam kereta.

"Kita nak balik ke rumah sewa, bos?" tanya Jeremy dengan harapan Emir mahu pulang dan berehat.

Namun, Emir menggeleng perlahan. "Tak. Bawa aku balik ke The White Cottage."

Jeremy tidak terkejut mendengar permintaan itu. Dia tahu, The White Cottage adalah tempat di mana Emir selalu mencari ketenangan, jauh dari segala kekusutan hidup.

"Baik, bos." jawab Jeremy sambil menghidupkan enjin kereta.

Sebelum kereta mula bergerak, Jeremy bertanya dengan sedikit keraguan, "Bos, tak nak balik jumpa Sofia atau anak-anak bos dulu?"

Emir menghela nafas panjang, matanya memandang ke luar tingkap. "Tak. Aku tak nak dia orang nampak aku macam ni,"

Jeremy mengangguk, memahami maksud Emir. Dia menekan pedal minyak dan mula memandu menuju The White Cottage. Sepanjang perjalanan, suasana di dalam kereta sunyi. Emir duduk diam, tenggelam dalam fikirannya sendiri, sementara Jeremy memandu dengan berhati-hati, memastikan bosnya selesa sepanjang perjalanan.

Ketika mereka tiba di The White Cottage, suasana sepi menyelubungi rumah itu. Matahari hampir terbenam, langit berwarna jingga lembut menghiasi latar belakang. Emir keluar dari kereta dengan langkah yang lemah, berjalan tempang sambil menahan sakit di kakinya. Jeremy segera bergerak untuk membantunya, tetapi Emir hanya menggeleng dengan senyuman kecil.

"Aku boleh jalan sendiri, Jer,"

Walaupun jelas Emir masih menahan sakit, dia tetap melangkah masuk ke dalam rumah dengan penuh ketenangan. Jeremy mengikut dari belakang, membawa bakul plastik kecil berisi ubat-ubatan Emir.

Setelah semuanya berada di dalam rumah, Jeremy berdiri di pintu, memandang Emir yang kini duduk di sofa, memejamkan mata seketika untuk menenangkan dirinya.

"Bos, kalau ada apa-apa yang awak perlukan, saya ada di sini. Jangan segan nak panggil," kata Jeremy dengan nada lembut, tidak mahu meninggalkan Emir dalam keadaan begini.

Emir membuka mata, memandang Jeremy dengan penuh kesyukuran. Namun, dia tetap berkata, "Jer, kau baliklah. Kau pun perlu rehat. Esok aku call kalau aku perlukan apa-apa."

Jeremy memandang bosnya dengan keraguan. "Bos, awak betul-betul okey?"

Emir hanya mengangguk. "Aku okey, Jer. Terima kasih sebab jaga aku."

Jeremy tersenyum kecil sebelum mengangguk, menerima permintaan Emir. "Baiklah, bos. Saya balik dulu. Tapi kalau ada apa-apa, call saya, ya?"

Emir mengangguk lagi, dan Jeremy pun keluar dari rumah, menutup pintu dengan perlahan. Emir mendengar bunyi enjin kereta Jeremy semakin jauh. Dia kemudian bersandar pada sofa, menghela nafas panjang.

Matanya memandang keluar tingkap, melihat kegelapan malam yang semakin meliputi The White Cottage. Rumah itu sunyi, melambangkan kesunyian yang sedang dirasakan dalam hatinya.

Sebelum dia sempat terlena, dia terdengar bunyi pintu rumahnya dibuka. Degup jantungnya meningkat mendadak. Rumah ini sepatutnya sunyi, dan Jeremy baru sahaja pulang.

"Jeremy?" jerit Emir, memanggil nama pembantunya dengan suara yang sedikit goyah.

Tiada jawapan. Rasa risau semakin mencengkam hatinya. Dia segera bangun dan memandang sekeliling—rumah itu gelap, tiada cahaya yang menyala di mana-mana. Dengan kaki yang masih tempang, Emir berjalan perlahan-lahan ke arah pintu biliknya, mengambil kayu baseball yang selalu diletakkan di tepi pintu, langkahnya berhenjut mengekor bunyi itu.

Semakin dia menghampiri pintu tumah, semakin dia bersedia untuk menghadapi apa sahaja yang menanti. Tiba-tiba, suara jeritan serentak memenuhi ruang itu.

"AHHHHH!"

Emir dan Elly, yang kini berdiri di hadapan satu sama lain, menjerit kuat.

"Elly?! Apa kau buat kat sini?!" sergah Emir dengan mata terbelalak, mengangkat sedikit kayu baseball yang dipegangnya.

Elly, yang terkejut dengan jeritan Emir, memegang dadanya. "Angah dah gilakah?! Nak bunuh aku dengan kayu baseball?" dia membalas dengan nada kesal, namun ada kekeliruan di wajahnya. "Aku ingat rumah ni kosong! Kereta kau tak ada kat luar, dan rumah ni gelap."

Emir mengerutkan dahi, menurunkan kayu baseball sambil memandang Elly dengan hairan. "Kenapa kau kat sini? Kenapa tak balik rumah sewa? Kau cari aku kat sini?"

Elly meletakkan beg tangannya di meja. Tangannya meraba-raba mencari suis lampu. "Aku nak tahu keadaan kau. Masa aku sampai kat rumah sewa, kereta kau tak ada, rumah tu gelap. Aku ingat kau kat sini, jadi aku datang."

Emir berjalan perlahan-lahan ke sofa dan merebahkan dirinya sambil mengeluh. "Kalau aku pukul kau tadi dik, silap-silap batal terus majlis kahwin kau,"

Elly melangkah ke arahnya dengan senyuman sinis. "Baguslah tu. Aku pun dah tak minat nak kahwin dengan sesiapa buat masa ni."

Emir mengangkat kening. "Oh ya? Jadi kau datang sini sebab nak aku pukul dengan kayu baseball aku, macam tu?"

Elly menjeling. "Huh, kau sanggup nak pukul adik kau yang cantik ni?"

Mereka saling mengejek satu sama lain seperti biasa, suasana menjadi lebih santai seketika. Elly menekan suis lampu ruang tamu, dan cahaya yang menyala terang memancarkan wajah Emir yang penuh dengan lebam dan luka.

Elly tiba-tiba terhenti, matanya terbeliak melihat keadaan Emir yang parah. Air mata mula menitis tanpa sedar.

"Ngah..." suara Elly bergetar, penuh dengan rasa sayu. Dia berjalan perlahan ke arah Emir, memandang wajah abangnya dengan penuh keprihatinan. "Kenapa... kenapalah papa buat semua ni..."

Emir yang tadinya bersantai di sofa, terkedu melihat Elly menangis. Dia segera bangun perlahan-lahan, memandang Elly dengan rasa bersalah. "Adik, kau tak perlu risau. Ini bukan urusan kau. Jangan masuk campur," kata Emir tegas, cuba menghindarkan Elly dari beban masalahnya.

Elly menyeka air matanya sambil tersenyum sinis. Dia menunjukkan luggage yang dibawanya. "Terlambat, Ngah. Papa halau aku juga. Sebab aku pertahankan kau."

Emir memandang luggage itu dengan terkejut, kemudian matanya kembali memandang Elly dengan kerutan di dahi. "Dik, kau bodohkah apa? Kenapa kau buat macam tu?"

Elly memandang abangnya dengan mata yang masih basah, tetapi nadanya penuh dengan ketegasan. "Sebab kita berhak untuk hidup ikut pilihan kita sendiri. Kita ada hak tentukan jalan hidup kita. Bukan ditentukan dengan harta, kekayaan... semua tu tak ada maknanya kalau kita hidup dalam tekanan dan paksaan,"

Emir mendengar kata-kata Elly dengan hati yang terharu. Dia tahu Elly selalu punya pandangan yang berbeza tentang hidup, tetapi tidak sangka adiknya akan berani menentang keputusan keluarga, walaupun itu bermakna dia juga perlu keluar dari rumah dan menghadapi masalah sendirian. Rasa bersalah mula menyelubungi hati Emir, tetapi dia juga berasa bangga dengan keberanian adiknya.

"Dik..." Emir memanggil dengan nada lembut, suaranya tersekat-sekat, namun dia tidak mampu berkata apa-apa lagi. Air mata yang sejak tadi ditahan mula terasa di hujung mata, tetapi dia segera berpaling, tidak mahu Elly melihatnya.

Elly menghampiri Emir, duduk di sebelahnya. "Kita mungkin dah hilang tempat di rumah, tapi kita tak hilang satu sama lain, Ngah. Itu yang paling penting."

Mereka duduk diam di ruang tamu, membiarkan suasana malam yang tenang mengambil alih perasaan yang selama ini berkecamuk. 

xxxxx

Sofia kini lebih banyak menghabiskan masa di biliknya, hanya keluar apabila perlu menguruskan urusan anak-anaknya. Selebihnya, dia memilih untuk berada sendirian, mengelak daripada bertembung dengan Isabella. Sudah lebih 12 jam lelaki itu tidak menghubunginya. Tidak ada mesej, tidak ada panggilan, apatah lagi permohonan maaf.

Sofia memandang skrin telefon bimbitnya, memerhatikan nama Emir di aplikasi WhatsApp. Jarinya hampir menyentuh butang panggilan, tetapi dia menarik kembali tangannya, cuba menahan keinginan untuk menghubungi Emir. Kalau aku yang call dulu, macam mana nanti? bisiknya perlahan, cuba bertegas dengan perasaannya.

Tiba-tiba terdengar suara memanggil namanya dari bawah.

"Makan jom!" panggil Hani dengan ceria.

Sofia menghela nafas perlahan, menutup laptopnya dan bangun dari katil. Dengan langkah perlahan, dia turun ke ruang makan. Matanya melilau mencari kelibat Isabella, gadis tinggi lampai itu yang sering mencuri perhatian sejak kebelakangan ini. Dan seperti yang diduganya, Bella sedang duduk di meja makan, tersenyum-senyum sendiri sambil memandang telefon bimbitnya.

Sofia memusingkan anak matanya dengan geram, tetapi cuba mengekalkan wajah tenangnya. Dia melangkah ke meja makan, menyertai yang lain.

"Eh, Akak Sofi, akak okay tak? Dari malam tadi asyik dalam bilik aje. Risau tengok," tegur Isabella, memandang Sofia dengan senyuman manis.

Sofia tersenyum tipis, berusaha menunjukkan yang dia baik-baik sahaja. "Okey. Cuma penat sikit."

Di meja makan, Wafa yang sedang menyuap nasi memandang Sofia dengan kening terangkat. "Sofi, dah dua hari aku tengok kau tak kerja? Bukankah kau dah kata  kau dah mula kerja?"

Sofia terdiam sejenak, kemudian berbohong dengan wajah tenang. "Pengarah suruh aku habiskan cuti sakit dulu. Katanya, lebih baik aku rehat sampai betul-betul sembuh."

Hani, yang duduk di sebelah Wafa, segera menyampuk. "Memang betul. Aku setuju sangat dengan arahan pengarah kau tu. Kau patut rehat, Sofi. Jangan paksa diri."

Sofia hanya tersenyum kecil mendengar sokongan Hani, tetapi hatinya masih berasa resah. Di dalam kepalanya, fikiran tentang Emir terus berlegar, dan dia cuba menepisnya dengan menumpukan perhatian pada makanan di hadapannya.

Namun, ketenangan itu tidak bertahan lama. Tiba-tiba kedengaran suara Isabella berbual lembut, suaranya kedengaran sedikit manja. Sofia segera menghentikan suapannya dan menajamkan telinga. Bella sedang berbual di telefon.

"Oh, Abang... tak apa. Bella okey je. Abang tak perlu risau." Suara Isabella lembut dan kedengaran penuh mesra.

Sofia terhenti mengunyah. Mendengar panggilan abang terbit dari bibir Isabella membuatkan jantungnya berdebar kencang. Tanpa memberikan apa-apa reaksi, Sofia memasang telinga, cuba menangkap perbualan Bella dengan lebih jelas.

"Abang dah makan? Kalau tak, Bella boleh hantarkan nanti..."

Sofia terasa hatinya semakin berat. Dia cuba mengalihkan pandangan, tetapi fikiran tentang Emir yang kini berbual mesra dengan Bella menghantui kepalanya. Makanan di hadapannya tiba-tiba terasa pahit. Walaupun dia cuba untuk tidak memikirkan perbualan itu, hatinya tidak dapat tenang. Setiap kata-kata Isabella seolah-olah mencucuk perasaan Sofia.

Tidak dapat menahan rasa resah dan kecewa yang semakin menebal, Sofia perlahan-lahan meletakkan sudu dan garpu di atas pinggan. Dia memandang ke arah pinggan yang masih penuh dengan makanan, tetapi selera makannya hilang begitu sahaja.

"Sofia, kau dah habis makan?" tanya Wafa, yang menyedari Sofia berhenti makan.

Sofia hanya mengangguk perlahan. "Aku kenyang. Nak naik atas dulu," jawabnya ringkas, cuba menahan suaranya daripada bergetar.

Sofia bangun dari meja menuju ke singki. Selepas membasuh pinggannya, dia melangkah perlahan ke tangga tanpa menoleh ke belakang. Hatinya yang sarat dengan perasaan kecewa dan cemburu membuatkan dia ingin segera menjauh dari suasana itu. Ketika dia sampai di bilik, Sofia menutup pintu dengan perlahan dan bersandar pada pintu, cuba menenangkan diri.

Rasa marah pada diri sendiri membuak-buak dalam dadanya. Kau yang tak nak bagi jawapan segera, kau pula nak menangis bila dia cuba untuk move on? Hatinya membentak, mencemuh dirinya sendiri. Sofia menutup wajahnya dengan tangan, menahan perasaan yang bergelora di dalam dirinya. Dia berasa kecewa, keliru, dan sakit hati—tetapi pada siapa? Pada Emir atau pada dirinya sendiri?

Dengan emosi yang meluap-luap, Sofia tidak dapat lagi menahan rasa perit itu. "ARGHH!" jeritnya dengan kuat, menekup wajah ke bantal. Suara jeritannya teredam, tetapi kepedihan dalam hatinya terasa semakin kuat.

Ketukan di pintu bilik memaksa Sofia berhenti menangis. Dia segera menyeka air matanya dengan cepat, cuba menenangkan diri sebelum orang yang di luar masuk. Nafasnya masih tersangkut-sangkut ketika dia mengucapkan, "Masuk."

Pintu dikuak, dan Irina serta Farish masuk dengan wajah masam, jelas mereka juga tidak berada dalam mood yang baik. Sofia cuba tersenyum walaupun hatinya berat, tetapi senyuman itu terasa terpaksa.

"Mama," Irina memulakan dengan suara perlahan, tetapi jelas penuh dengan kebimbangan. "Papa mana? Kenapa papa tak call atau datang sejak semalam?"

Farish, yang biasanya ceria, juga kelihatan muram. "Papa janji nak datang. Tapi sampai sekarang tak ada pun. Mama cuba call papa boleh?"

Sofia terasa serba salah. Dia sendiri sedang bergelut dengan perasaannya terhadap Emir, dan kini anak-anaknya pula mencari lelaki itu. "Mama please... Tadi papa Dil call, papa tak jawab. Selalunya kalau mama call papa akan jawab, kan?" tambah Farish dengan nada kecewa.

Sofia memandang kedua-dua anaknya yang jelas merindui papa mereka. Hatinya tergerak untuk melakukan sesuatu, tetapi ego dan rasa sakit hati terhadap Emir masih kuat mencengkam. Namun, melihat wajah sayu Irina dan Farish, Sofia akhirnya mengalah.

Sofia menarik nafas panjang. "Mama... mama cuba call, ya." Dengan berat hati, dia mengambil telefon bimbitnya. Tangannya teragak-agak sebelum menekan butang panggil pada nama Emir di telefon. Jantungnya berdebar kencang sewaktu menunggu panggilan bersambung, tetapi tiada jawapan. Emir tidak menjawab panggilan itu.

Irina dan Farish saling berpandangan, kecewa. Sofia memandang mereka dengan rasa simpati. Dia tidak sanggup melihat anak-anaknya kecewa seperti ini. Akhirnya, dia membuat keputusan untuk menghantar mesej ringkas kepada Emir. 

Anak-anak cari. Tolong call balik.

Tidak lama selepas itu, telefon Sofia berbunyi. Nama Emir muncul di skrin, dan Sofia terus menyerahkan telefon itu kepada Irina dan Farish tanpa berkata apa-apa. Kedua-duanya segera menyambut dengan wajah penuh harapan.

"Papa! Papa kat mana?" tanya Irina dengan nada gembira yang terselit dengan kebimbangan.

"Papa janji nak datang semalam. Kenapa tak datang?" Farish menambah, suaranya penuh dengan pertanyaan.

Sofia hanya memerhati dari tepi, mendengar perbualan anak-anaknya dengan Emir. Dia cuba menangkap jawapan Emir, tetapi Irina dan Farish terlalu bersemangat bercakap sehingga suara Emir tidak jelas. Setelah beberapa minit, Irina memandang Sofia sambil tersenyum kecil. "Papa cakap dia busy sikit. Tapi papa janji nak bawa camping nanti!"

"Yay! Tak sabarnya nak camping!" Farish bersorak riang, kelihatan begitu teruja.

Setelah anak-anak habis berbual, Sofia mengambil telefon dari tangan mereka dan memegangnya di telinga, ingin bercakap dengan Emir. Namun, sebaik sahaja dia menekap telefon ke telinganya, dia hanya mendengar bunyi talian diputuskan. Emir telah mematikan talian. Sofia memandang kedua-dua anaknya dengan senyuman kecil, cuba menahan rasa kecewa dalam hati. Sekurang-kurangnya, anak-anaknya gembira.

Farish melompat di atas katil dengan gembira, manakala Irina tersenyum lebar. "Papa janji nak bawa kita camping nanti. Yay!" Farish bersorak sambil memandang Sofia, wajahnya kembali ceria.

"Yay... camping," Sofia berkata perlahan, cuba menenangkan dirinya. Apa yang penting sekarang adalah kebahagiaan anak-anak, bisiknya dalam hati, walaupun hatinya masih sakit.

Deny it all you want, but the heart knows what it wants ? #FeelingsUnmasked

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience