Bab 79

Romance Completed 59376

Telefon bimbitnya nyaring berdering, dan sebaik sahaja dia menjawab panggilan. Suara cemas mamanya bergema di talian.

"Jer, balik sekarang! Ada kecemasan!"

Jantung Jeremy berdegup kencang.

Tanpa berfikir panjang, dia memecut laju pulang ke rumah. Namun, sebaik sahaja tiba di halaman rumah, dunia Jeremy terasa berhenti berputar.

Di kaki lima, mamanya terduduk menangis, wajahnya penuh dengan ketakutan.

"Mama... kenapa ni?!" suara Jeremy bergetar.

Matanya liar mencari adiknya.  Namun, Jenny tiada.

Jeremy segera berlutut di hadapan ibunya. "Mama, cakap dengan saya. Apa yang jadi?!"

Dengan air mata yang masih bercucuran, wanita itu mengangkat sesuatu ke arah Jeremy. Sebuah telefon bimbit berwarna hitam.

"Diaorang tinggalkan ni,"

Jeremy menelan air liur. Tangannya terketar-ketar menyambut telefon itu.

Bunyi deringan tiba-tiba bergema. Nombor yang tidak dikenali.

Jeremy memandang ke kiri dan kanan, seolah-olah cuba memastikan tiada sesiapa yang sedang memerhatikannya. Dan akhirnya, dia menjawab panggilan itu.

"H-Hello?"

"Jenny ada dengan kami."

Suara dingin seorang lelaki bergema di talian. Jeremy terus bangun, nafasnya mula tidak teratur.

"Kau nak apa?! Jangan apa-apakan adik aku!"

Tawa kecil kedengaran. "Kalau kau tak nak apa-apa jadi pada adik kau, ikut arahan aku."

Jeremy mengepal tangannya erat.

"Kau nak aku buat apa?"

Lelaki itu menghela nafas seolah-olah bosan.

"Bagus. Tak payah banyak soal."

"Mulai sekarang, kau buat apa saja yang aku suruh. Kalau kau cuba lari atau laporkan pada polis... adik kau akan berakhir di Thailand."

Jeremy terduduk. Matanya membulat.

"Kau?! Jangan apa-apakan adik aku!"

Tawa lelaki itu kedengaran lagi. "Down syndrome kan? Pasaran dia tinggi tahu? Lagi rare, lagi mahal."

Jeremy hampir kehilangan nafasnya. Darahnya terasa beku. Lututnya terasa longlai.

Dan di saat itu, dia tidak punya pilihan. Dia harus mengikut arahan mereka. Demi Jenny.

Misi pertama adalah memastikan Sofia menangkap Emir dan Sabby di hotel.

"Aku nak kau pastikan Sofia dapat tangkap Emir dengan perempuan lain."

Jeremy terdiam.

Matanya tertancap pada skrin telefon.

"Apa maksud kau?"

"Jangan tanya. Kau cuma perlu pastikan benda tu jadi. Dan aku nak ada bukti, gambar atau video. Kalau tidak..." 

Jeremy merasakan tekak dan perutnya mengecut. Dia sangat mengenali Emir. Tak mungkin Emir akan mengancam hubungannya dengan Sofia yang baru hendak pulih. Tetapi... jika itu yang mereka mahu, dia perlu mencari jalan untuk memastikan rancangan itu berjalan.

Pada malam itu, Jeremy sendiri yang mencadangkan pada Emir untuk mengajak Sabby ke hotel malam itu.

"Bos, apa kata kalau bos dengan Sabby aje ke hotel. Kite tengok nanti sampai atau tak gambar pada Sofi? Nanti saya sendiri explain dengan wife bos.."

Dan seperti yang dijangka, Emir bersetuju. Malam itu, semua dirancang dengan teliti oleh Jeremy. Hatinya dipagut kesedihan dengan apa yanga kan berlaku, tetapi apa pilihan dia ada? Demi adiknya, dia terpaksa. 

Selang beberapa hari selepas kejadian di hotel itu, Jeremy terus berdiri tegak apabila pintu rumahnya diketuk dengan kuat. Degupan jantungnya bertambah laju apabila melihat figura di hadapannya.

Lelaki itu memakai jaket kulit hitam, wajahnya kelihatan tegang, rahangnya menegang seolah-olah menahan marah.

Jeremy menelan air liur.

"Alvin?"

"Aku nak bincang something," Alvin berkata tanpa sebarang sapaan, menolak dirinya masuk ke dalam rumah tanpa menunggu jemputan.

Jeremy menggenggam penumbuknya di sisi badan. Dia tidak suka perasaan ini.

"Aku dah buat semuanya. Apa lagi kau nak?" Jeremy bertanya, nada suaranya lebih kasar daripada yang sepatutnya.

"Itu semua atas arahan Iskandar. Aku nak benda lain," Alvin duduk tanpa dijemput. Dia menaikkan kakinya di atas meja.

"Aku nak Emir." Alvin berkata tanpa basa-basi.

Jeremy terdiam. Dia menjangkakan ini, tetapi mendengarnya secara terus dari mulut Alvin tetap membuatkan dadanya terasa berat.

"Berapa lama nak kena tunggu? Berapa lama Iskandar nak berfikir-fikir lagi?!" Alvin menyambung dengan suara sinis.

Dia mengangkat tangannya sedikit, menunjuk ke udara seolah-olah sedang membayangkan sesuatu. Jeremy memejam mata sesaat. "Tunggu ajelah. Dia dah bayar kau untuk ikut arahan dia, kan?"

"Kau boleh tunggu dia buat keputusan." Alvin menekan suaranya. "Tapi aku tak akan tunggu lagi."

Jeremy menarik nafas dalam-dalam. "Habis tu? Apa kaitannya dengan aku?"

Alvin tersenyum puas. "Aku nak Emir datang sendiri ke perangkap aku. Tapi, aku perlukan bantuan kau..." Jeremy menelan air liur.

"Dan sebagai balasan, aku akan pastikan Iskandar lepaskan Jenny."

Matanya membeliak. "Kau serius?"

"Aku tak main-main, Jeremy. Aku dah bosan tunggu pergerakan Iskandar," Alvin berdiri menghadap Jeremy, menyeluk tangan ke dalam poket jaketnya.

"Tapi syaratnya, aku nak Emir datang tanpa ada rasa syak wasangka. Aku nak dia datang dengan rela hati, bukan sebab dipaksa. Aku tak nak dia bersedia."

Jeremy menggigit bibir. Alvin memerhatikan reaksi Jeremy, sebelum mendekatkan diri dan berbisik dengan nada penuh licik.

"Kau lebih kenal Emir daripada aku. Kau tahu cara dia fikir. Fikirkan sesuatu... yang boleh buat dia datang tanpa curiga."

Jeremy mengetatkan rahangnya. "Aku... aku akan cuba."

Alvin menepuk bahunya dengan kuat.

"Bagus. Jangan sampai aku ubah fikiran tentang Jenny."

Setelah semalaman berfikir, Jeremy akhirnya membuat keputusan. Dia tahu satu perkara tentang Emir. Lelaki itu tidak akan pernah membiarkan sesiapa dalam kesusahan, terutama sekali orang yang dia rapat. Jadi, Jeremy menggunakan dirinya sendiri sebagai umpan.

Sengaja dia tidak menjawab semua panggilan dan mesej dari Emir sepanjang hari. DIa mahu Emir mengesan lokasinya menggunakan Ziyad.  Dan seperti yang dijangka, Emir tanpa ragu-ragu datang menyelamatkannya.

Namun, sebaik sahaja Emir berusahan membuka tali yang terikat di kakinya, dia mengambil kayu dari belakangnya lalu dipukul Emir dengan kuat. Badan Emir rebah ke lantai simen yang keras.

Jeremy menarik nafas dalam. Dia tahu Emir cuba untuk memahami apa yang berlaku. Jeremy menutup matanya seketika. Hatinya perit. Tetapi ini sahaja cara untuk menyelamatkan Jenny.

Saat itu, dia tahu inilah peluang terakhirnya untuk memberitahu Emir perkara sebenar. Dengan tangan yang menggigil, Jeremy mengeluarkan sekeping nota kecil dari poket seluarnya. Dia melihat sekeliling, memastikan Alvin tidak memerhatikan. Kemudian, dia menjatuhkan nota itu di hadapan Emir sebelum berlalu keluar dari kilang tersebut. Dalam hatinya tidak putus berdoa agar Emir mengambil nota yang ditinggalkannya. 

Dia ingatkan itulah misi terakhirnya, dia silap. Iskandar datang ke rumahnya dengan emosi yang tidak stabil. Mengugut akan membunuh Jenny kalau dia tidak mengikut arahannya. 

"Aku janji, ini yang terakhir. Tapi, kalau kau tak buat macam aku nak, aku letupkan kepala adik kau," 

Jeremy berdiri di hadapan pintu rumah Hani. Tangannya sedikit menggeletar. Bukan kerana takut tetapi kerana beban yang sedang dia pikul semakin menghimpit jiwanya. Di dalam rumah ini, Sofia sedang tidur dengan tenang. Dia tidak tahu apa yang bakal berlaku. Dan Jeremy... terpaksa menjadi 'pemusnah' ketenangan itu.

Hanya kerana seorang lelaki bernama Iskandar. Seorang lelaki yang rakus dengan dendam. Jeremy menarik nafas panjang, kemudian menekan lututnya, berjongkok di hadapan tombol pintu.

Dengan satu pergerakan pantas, Jeremy berjaya membuka pintu rumah itu.. Bunyi 'klik' lembut berkumandang di sunyi malam, menandakan pintu kini tidak berkunci.

Perlahan-lahan, dia menolak daun pintu itu. Matanya menerjah ke dalam ruang tamu yang samar, diterangi cahaya dari luar. Rumah itu sunyi. Semuanya sudah tidur.

Jeremy mengatur langkah dengan berhati-hati, memastikan tiada bunyi lantai berkeriut setiap kali dia bergerak. Hanya satu bilik yang dia tuju, bilik Sofia.

Sofia tidur dalam keadaan berbaring ke sisi, nafasnya teratur. Wajahnya tampak tenang, seolah-olah beban yang menghimpit hatinya sudah berkurang.  Tangannya masih bergetar saat dia mengeluarkan pistol dari jaketnya. Dia menekup mulutnya seketika, cuba menenangkan diri.

Ini untuk Jenny. Ini untuk Jenny.

Kemudian, dengan tangan yang menggigil, Jeremy mengacukan pistol itu ke kepala Sofia.

Dia mula merakam.

Bip!

Lampu merah kecil pada telefon mula menyala, menandakan rakaman sudah bermula.

Namun, saat dia melihat Sofia dalam skrin telefon—hatinya terasa seakan dirobek.

Aku minta maaf, bos.

Aku minta maaf, Sofia.

Tetapi tiada jalan lain. Jenny sudah hampir empat hari dalam tawanan Iskandar. Makan dan minumnya entah bagaimana. Dan dia, sebagai abang... Hanya mampu tunduk kepada kezaliman.

Rakaman berjalan selama beberapa saat sebelum Jeremy mematikannya. Sofia tidak sedarkan diri sepanjang rakaman itu.

Dan sebaik sahaja selesai, Jeremy segera keluar dari rumah itu, menutup pintu kembali dengan senyap. Dia perlu kembali ke headquarters Iskandar.

Jeremy memasuki ruang kecil yang dipenuhi dengan skrin komputer dan wayar berselirat. Di tengah-tengah bilik itu, seorang lelaki berkaca mata tebal duduk di hadapan komputer, menaip sesuatu dengan pantas.

Namanya Apit.

Dia bukan penjahat. Dia hanya seorang hacker yang diupah untuk tugas ini menembusi sistem telefon Emir dan memastikan segala maklumat tidak dapat dihidu oleh sesiapa pun.

Tetapi hakikat sebenar, Apit sendiri ketakutan.

"Bro..." suara Apit perlahan.

Jeremy menarik kerusi, duduk bertentangan dengan lelaki itu.

"Aku dah buat apa yang dia suruh."

Apit menekan bibir.

"Kau pasti benda ni takkan makan diri kau balik?"

Jeremy tersenyum tawar.

"Aku tak ada pilihan."

Apit menolak cawan berisi air ke arah Jeremy.

"Kau nampak teruk. Minum dulu."

Jeremy menggeleng.

"Tolong aku hantar video tu cepat."

Apit memandang Jeremy lama. Seolah-olah cuba membaca hatinya. Kemudian, dia menghela nafas. "Done! Aku nak keluar dari sini."

Apit menolak kerusi ke belakang, bersandar. "Aku takut kena tangkap. Aku tak nak masuk dalam sebab kerja bodoh ni."

"Macam mana kau boleh terlibat dengan Iskandar?" soal Jeremy. 

"Aku scam wife dia." jawapan Apit membuatkan kening Jeremy hampir bertaut.

"Lepas aku siap ni, aku nak chow. Aku dengar, abang yang jaga kat depan dah suruh beberapa orang tinggalkan tempat ni,"

Jeremy mengangkat kepala. Baru dia perasan sesuatu. Tidak ada sesiapa di luar bilik ini. Dia segera bangun, membuka pintu, menjenguk ke luar. Kosong. Pengawal Iskandar sudah tiada. Jeremy melangkah keluar, cuba melihat lebih jauh.

Dia hanya nampak kelibat beberapa orang berlari jauh ke hujung lorong. Hatinya mula tidak sedap. Apa yang sedang berlaku? Dan tidak lama kemudian, bunyi siren polis kedengaran.

Beberapa minit kemudian, pasukan polis menyerbu masuk. Apit terus mengangkat tangan. Jeremy juga tidak melawan. Mereka berdua ditangkap. Namun, di dalam kepalanya, Jeremy hanya memikirkan satu perkara.

Jenny.

"Tuan, adik saya. Adik saya kat mana?! Iskandar culik adik saya tuan. Adik saya down syndrome tuan," Jeremy menjerit saat polis menggari tangannya.

Seorang pegawai polis menepuk bahunya. "Jangan risau. Dia dah selamat. Kami dah bawa dia ke hospital."

Jeremy hampir rebah ke lantai. Tangannya terketar-ketar. Matanya mula berkaca.

Jenny selamat.

Akhirnya.

Selepas dua jam disoal siasat, Jeremy dibenarkan balik. 

"Selepas ini, kalau ada apa-apa, jangan berlengah untuk buat laporan ya,"

Jeremy hanya mengangguk lemah.

Sebelum dia keluar dari balai, seorang pegawai polis menyebut sesuatu yang membuatkan dia berhenti melangkah.

"Awak dah tak perlu risau, Iskandar mati ditembak."

Jeremy terhenti di depan pintu. Dia menoleh. "Apa?"

"Dia cuba melawan. Polis tak ada pilihan."

Jeremy akhirnya menarik nafas lega untuk pertama kali dalam beberapa hari. Selepas keluar dari balai polis, Jeremy terus ke hospital. Dia perlu melihat Jenny dengan matanya sendiri. Di dalam wad, Jenny sedang tidur di atas katil, manakala mama dan papa duduk di sisinya.

Mama mengangkat wajahnya, matanya penuh air mata.

"Jeremy..." Mamanya memeluk erat anak sulungnya itu.

Jeremy tersenyum, cuba menahan emosinya.

"Jenny okay?" soalnya

Papa mengangguk.

"Doktor kata dia cuma perlu rehat. Tak ada kecederaan serius."

Jeremy memandang Jenny lama. Adik istimewanya itu masih di sini. Masih bersama mereka. Dia ingatkan mereka akan kehilangan Jenny Tetapi kini, semuanya sudah selamat.

Setelah memastikan Jenny selamat, Jeremy tahu ada satu perkara lagi yang dia perlu lakukan. Dia perlu bertemu Emir. Selepas apa yang dia lakukan, dia tahu dia perlu berdepan dengan bosnya itu. Jadi, dia memandu ke Taman Greenview.

Sampai sahaja di hadapan rumah Emir, dia menarik nafas panjang. Tangannya berpeluh. Kakinya melangkah perlahan mendekati pintu, kedengaran suara mereka di dalam. 

Dia mengetuk pintu. Beberapa saat kemudian, pintu dibuka. Hani berdiri di hadapannya.

Pandangan mereka bertaut. Jeremy menelan air liur. Kemudian, Emir berjalan ke muka pintu. Jeremy bersuara perlahan. "Bos... saya datang nak jelaskan semuanya."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience