Bab 43

Romance Series 33080

Emir duduk di ruang tamu berdepan dengan ibu bapanya, Datin Fauziah dan Datuk Emran, adik bongsunya, Elly serta anak kembarnya, Irina dan Farish. Wajah kedua ibu bapanya kelihatan tegang, terutamanya Datuk Emran.

"Emir Faiz, bagitahu mama hal sebenar? Betulkah Rin dan Ayish tu anak kamu? Sofia tu bekas isteri kamu? Mama dengan papa nak tahu hal sebenar." suara Datin Fauziah bernada keras.

Emir menelan air liurnya. Jarang benar mamanya memanggil nama penuhnya melainkan tengah marah. Matanya beralih ke arah Elly yang sedang tunduk mengelak pandangan matanya. Dia tahu bahawa dia tidak boleh lagi menyembunyikan kebenaran.

"Dik, bawa Rin dan Ayish masuk bilik," pinta Emir. Elly mengangguk sambil memimpin tangan dua anak kecil itu.

Terasa lama menanti jawapan Emir, Datuk Emran bersuara tegas. "Angah, ini bukan masa untuk bersembunyi. Kami nak tahu hal sebenar."

Emir menghela nafas panjang, mengumpul kekuatan untuk menceritakan segalanya. Dia tahu sudah tiba saatnya kebenaran perlu didedahkan. "Ya ma, pa...Rin dan Ayish tu anak-anak angah. Sofia memang bekas isteri angah."

Mata Datin Fauziah mula berkaca mendengar pengakuan dari Emir. Wajahnya berubah, penuh dengan perasaan kecewa dan marah. "Macam mana kamu boleh rahsiakan semua ini dari kami, Emir? Kami ni ibu bapa kamu! Kenapa tak pernah cerita sebelum ni?"

Emir tunduk, merasa bersalah. "Angah minta maaf, ma. Angah takut... Angah takut mama dan papa kecewa."

Datuk Emran menahan marah, wajahnya tegang. "Bila masa aje kamu tak pernah kecewakan kami ngah? Bila?"

"Lapan tahun ngah! Lapan tahun kamu rahsiakan benda ni dari kami. Boleh pula bertunang dengan Isha. Isha tahukah hal ini?" Datuk Emran mendengus.

"Kamu tahu tak betapa besar kesalahan kamu? Kami ni keluarga, ngah. Kami patut tahu segala-galanya tentang hidup kamu. Kami rasa tertipu dan sangat kecewa." sambung Datuk Emran. Dahinya dipicit menahan marah dan sebak.

Datin Fauziah memegang tangan suaminya, air matanya mulai mengalir. "Kami ni keluarga kamu, ngah. Kalau pun kamu tak boleh percaya pada kami, pada siapa lagi? Kami sangka kami dah cukup rapat dengan kamu, tapi rupa-rupanya..."

Emir merasa semakin bersalah, melihat betapa kecewa dan marahnya kedua orang tuanya.

"Ma, bukan angah tak percayakan mama atau papa. Angah jadi takut nak maklumkan pada mama dengan papa. Angah tak nak kecewakan mama dan papa sebab tu angah setuju aje masa papa nak angah bertunang dengan Isha," suara Emir bergetar.

"Lagipun rancangan asal kami tangkap khalwat itu cuma lakonan. Bukannya betul. Tak tahu siapa yang laporkan dengan majlis agama," cerita Emir lagi.

"Sekejap, kami?" Datuk Emran membetulkan posisi duduknya.

"Yang angah beria sangat nak tolong Sofia tu kenapa? Macam mana boleh kenal dengan Sofia?" sambung Datuk Emran.

Emir menghela nafas panjang sebelum menjawab soalan itu.

"Kami tu antara angah dengan Aidil." jawab Emir pendek.

"Sofi dengan Aidil adik-beradik," tambah Emir.

Datuk Emran terdiam. Dia mengenali Aidil sebagai kawan baik Emir yang telah menyelamatkan nyawa anak perempuan tunggalnya dahulu. Puan Fauziah tidak dapat menahan air matanya lagi. Wajah Sofia terbayang di tubir matanya, mengingatkan betapa kuatnya wanita itu dalam menghadapi semua dugaan.

"Angah minta maaf sembunyikan semua hal ini," Emir tunduk.

"Pasal Rin dengan Ayish? Angah tahu tak?" soal Datin Fauziah. Emir mengelang pantas.

"Masa adik bertunang tu baru angah tahu ma," jawabnya.

"Angah tak tahu kehadiran Sofi dalam hidup angah akan bawa seribu satu kemanisan, ma. Angah cintakan dia tapi..."

Datuk Emran mengetap giginya menahan marah setelah mendengar pengakuan dari Emir. Wajahnya berubah tegang, dan dia tidak dapat menyembunyikan kekecewaan dan kemarahannya.

"Habis tu macam mana dengan Isha? Macam mana kita nak berdepan dengan keluarga Isha? Isha tu anak kawan baik papa!" bentak Datuk Emran.

Emir terdiam, tidak tahu bagaimana untuk menjawab soalan itu. Emran terus bersuara, suaranya semakin meninggi.

"Kamu ni dari dulu memang suka malukan papa! Kalau along hidup, Isha tak akan sakit sampai macam ni. Semua ini salah kamu, kamu punca semua ini terjadi!"

Puan Fauziah cuba menenangkan suaminya, tetapi Emran terlalu marah untuk mendengar.

"Tak, Gee. anak awak ni kena sedar betapa besar kesalahan dia. Dia perlu bertanggungjawab atas semua ini."

Emir merasa terpukul dengan kata-kata ayahnya. "Papa, angah tahu angah salah. Angah tahu angah kecewakan semua orang. Tapi sekarang, angah perlu selamatkan Sofi,"

"Selamatkan Sofia?" dahi Datin Fauziah berkerut.

"Sofi hilang ma. Dah tiga hari dah dia hilang," jawab Emir. Serta-merta wajah Datin Fauziah berubah.

"Macam mana sekarang? Dah lapor polis?" soalnya lagi.

"Dah, tapi penculik ugut kalau libatkan polis diorang nak buat sesuatu pada Sofi," cerita Emir.

Emir mengerling ke arah Datuk Emran. Wajah lelaki itu tidak berubah langsung mendengar perkhabaran mengenai Sofia.

"Angah janji dengan mama dan papa, kalau Sofi dah selamat, angah akan selesaikan semua,"

Datuk Emran ketawa sinis. "Nak selesaikan macam mana? Kamu dah hancurkan kepercayaan semua orang. Isha yang tak bersalah tu menderita sekarang semua sebab kamu!"

"Angah akan lakukan apa sahaja untuk selesaikan semua ini, papa. Angah janji," Emir mengawal nada suaranya.

Datin Fauziah memegang tangan suaminya, cuba menenangkan keadaan. "Abang, ingat cucu-cucu kita ada di sini. Mereka perlukan kita sekarang,"

Datuk Emran menghela nafas panjang, cuba menenangkan dirinya. Mengenangkan wajah polos cucu-cucunya, kemarahannya perlahan-lahan reda.

"Kita perlu beri masa pada angah. Keselamatan Sofia adalah keutamaan saat ini. Kita tak boleh biarkan keadaan ini terus berlarutan." ujar Datin Fauziah.

Datin Fauziah memandang Emir dengan penuh kasih sayang dan harapan. "Jaga diri juga. Anak-anak perlukan angah dengan Sofia,"

Emir mengangguk, merasakan beban di bahunya sedikit terangkat. Dia tahu bahawa dia tidak sendirian dalam perjuangan ini. Dengan sokongan keluarganya, dia yakin dapat mengatasi segala cabaran yang mendatang.

Datuk Emran terus masuk ke bilik dengan hati yang penuh dengan kekecewaan. Perasaannya bercampur-baur antara marah dan sedih terhadap Emir.

"Abang..."panggilannya tidak diendahkan suaminya.

Datin Fauziah memandang suaminya dengan risau sebelum memalingkan pandangannya kembali kepada Emir. "Nanti mama pujuk papa,"

"Tidur sini malam ni ya," sambung Datin Fauziah. Dia tersenyum memandang Emir. Sungguh dia tidak menyangka gurauan yang meniti di bibirnya selama ini sebenarnya sudah pun berlaku. Dia berdoa agar urusan anaknya dan Sofia dipermudahkan, sudah cukup derita yang dilalui Sofia sebelum ini.

Emir mengangguk setuju. Dia segera menuju ke biliknya. Dua anak kecil itu melompat kegirangan melihat Emir. Emir memeluk kedua-dua anaknya dengan penuh kasih sayang. Dia tahu bahawa perjuangannya belum berakhir, tetapi dengan sokongan dan kasih sayang keluarga, dia yakin mereka akan dapat mengharungi segala cabaran yang mendatang.

"Abang cuma nak Isha jadi menantu Kita. Kita berhutang kebahagian pada Isha, Gee. Kita tak boleh nak lepas tangan macam itu aje," Datuk Emran bersuara saat kaki isterinya melangkah masuk ke dalam bilik mereka.

"Abang, Gee faham perasaan abang. Tapi, kita kena fikir pasal Rin dan Ayish. Anak-anak tu membesar kenalah dalam keluarga yang stabil. Abang tak kasihan dengan Sofia? Tak akan kita nak pisahkan anak-anak tu dari Sofia?" pujuk Datin Fauziah.

Datuk Emran mengetap rahang, merasa terperangkap antara kewajipannya kepada keluarga Isha dan kasih sayangnya kepada cucu-cucunya.

"Habis tu? Sakit Isha siapa yang nak kasihan? Awak lupakah macam mana derita Isha lepas along meninggal?"

"Gee faham, abang. Tapi abang kena ingat, Rin dan Ayish masih kecil. Anak-anak itu perlukan kestabilan dan kasih sayang dari ibu bapa diaorang. Kalau Sofia dan Emir kembali bersama, anak-anak itu akan dapat apa yang mereka perlukan." terang Datin Fauziah lagi.

Emran menghela nafas panjang, matanya memandang jauh, seakan cuba mencari jawapan dalam kesunyian malam.

"Tapi macam mana dengan Isha?"

"Kita kena buat keputusan yang terbaik untuk semua pihak. Mungkin kita boleh bantu Isha dengan cara lain. Kita boleh beri dia sokongan yang dia perlukan untuk pulih dan teruskan hidup."

Emran terdiam sejenak, memikirkan kata-kata isterinya. Namun, dia masih berpegang teguh pada keputusannya. "Tak, Gee. Keputusan abang muktamad. Isha akan jadi menantu kita. Abang tak akan biarkan dia terus menderita. Angah perlu bertanggungjawab."

Fauziah menarik nafas panjang, cuba memahami keputusan suaminya.

"Iyalah bang, tapi kita juga perlu pastikan Irina dan Farish dapat kasih sayang dan kestabilan yang mereka perlukan. Sofia adalah ibu mereka. Kita tak boleh abaikan itu."

"Kita akan cari jalan untuk menguruskan semua ini. Tapi buat masa sekarang, keputusan abang tetap. Isha adalah keutamaan kita." Datuk Emran berkata dengan tegas.

Fauziah mengangguk perlahan, walaupun hatinya berat menerima keputusan itu. "Baiklah, kita akan cuba uruskan semua ini dengan sebaik mungkin. Tapi bang, tolong ingat, kita juga perlu jaga kebajikan cucu-cucu kita tu,"

Emran mengangguk, bersetuju walaupun dengan berat hati. Mereka berdua tahu bahawa perjalanan ini tidak mudah, tetapi mereka bertekad untuk menghadapi segala cabaran bersama-sama demi kebahagiaan keluarga mereka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience