"Aku terima nikah Sofia Irdina binti Sofian dengan mas kahwin seratus ringgit tunai," ungkap Emir dengan lancar, suaranya tegas namun penuh emosi. Suasana semasa berlangsungnya majlis akad nikah itu sunyi, hanya diselangi bisikan doa dari ahli keluarga dan kenalan yang hadir.
Sebaik sahaja tok kadi mengesahkan akad tersebut, ucapan "Sah!" bergema dari saksi-saksi, diikuti dengan senyuman dan tepukan kecil dari para tetamu. Sofia yang duduk di ruang bersebelahan menundukkan kepala, cuba mengawal debaran di dadanya yang semakin kencang. Dia kini isteri kepada lelaki yang pernah menghancurkan hatinya, tetapi juga lelaki yang masih dicintainya.
Emir berjalan ke arah Sofia untuk upacara membatalkan air sembahyang. Dengan tangan yang sedikit bergetar, Sofia menyarungkan cincin ke jari manis Emir. Kemudian, Emir melakukan hal yang sama, tangannya menyentuh jari Sofia dengan lembut sebelum menyarungkan cincin itu.
Usai menyarungkan cincin ke jari masing-masing, Emir berdiri di sisi Sofia. Senyuman kecil menghiasi wajahnya, namun matanya tidak lekang dari memandang Sofia yang anggun dalam busana putih gading. Sofia cuba mengawal debaran di dada, wajahnya tersipu-sipu setiap kali pandangan mereka bertaut.
"Baiklah, pasangan pengantin! Sedia untuk sesi bergambar," ujar jurugambar yang sudah siap sedia dengan kameranya.
Sofia dan Emir mengalihkan perhatian mereka ke hadapan, berdiri tegak seperti yang diarahkan. "Kakak, senyum sikit, jangan tunduk," usik jurugambar sambil ketawa kecil.
Sofia memaksa diri untuk mengangkat muka, senyumannya sedikit kaku tetapi tetap manis. Emir yang menyedari kegugupan Sofia tiba-tiba mengangkat tangan, memegang lembut pinggang isterinya. "Relaks, Sofia. Just be yourself," bisik Emir perlahan, cukup hanya Sofia yang mendengar.
Sofia menoleh sedikit ke arah Emir, senyuman kecil terbit di bibirnya. "Awak ni pandai-pandai aje," jawabnya perlahan, tetapi nadanya lembut.
"Senyuman macam tu bagus, teruskan," arah jurugambar sambil mengambil beberapa gambar mereka dalam posisi formal.
Kemudian jurugambar mencadangkan pose lain. "Okay, sekarang pandang satu sama lain. Bang, cuba pegang tangan akak,."
Emir tersenyum lebih lebar sambil menghulurkan tangan. Sofia menyambut dengan rasa segan, tetapi dia cuba mengawal perasaannya. Mata mereka bertaut, dan Sofia dapat merasakan debaran jantungnya semakin kuat.
"Perfect! Jangan gerak dulu," kata jurugambar sambil mengambil beberapa gambar dari sudut berbeza.
"Sekarang, bang, tengok isteri abang dengan pandangan paling romantik abang boleh bagi. Akak pula jangan pandang kamera, pandang suami," arah jurugambar lagi.
Emir tidak perlu berlakon. Pandangannya yang penuh kasih terhadap Sofia memang sudah tulus. Sofia cuba menahan rasa gugupnya, tetapi akhirnya dia tertawa kecil.
"Kenapa ketawa?" tanya Emir dengan nada geli hati.
"Awak ni macam betul-betul serius pula," jawab Sofia sambil menundukkan sedikit wajahnya.
"Memang betul pun, awak tak tahukah? Dulu sebelum kenal awak, saya model buletin uni tahu," balas Emir dengan nada bergurau, membuatkan Sofia sekali lagi tertawa kecil.
Jurugambar turut tersenyum melihat kemesraan pasangan itu. "Cantik, natural sangat! Baiklah, sekarang pose terakhir. Abang, pegang bahu akak. Akak, cuba senyum dan pandang ke hadapan," arah jurugambar sebelum mengambil beberapa gambar terakhir.
Selepas selesai sesi bergambar, jurugambar memberi isyarat kepada Hani dan Wafa. "Okay, selesai untuk sesi ini. Terima kasih, pengantin!"
Emir dan Sofia diiringi masuk ke bilik khas yang telah disediakan. Jurusolek dan pembantu terus mendekati mereka untuk memastikan setiap helai pakaian dan sentuhan solekan dalam keadaan sempurna.
"Sofia, duduk dulu sini," arah Mia. Sofia menurut, mengambil tempat di kerusi berhampiran meja dandanan.
Sementara itu, Emir berdiri di tepi, matanya tetap memandang ke arah Sofia. Jurusolek menghampirinya, membetulkan butang baju melayu biru lembut yang dipakainya.
"Awak okey?" tanya Emir, memecah kesunyian kecil dalam bilik itu.
Sofia memandang Emir melalui cermin, senyuman kecil terukir di bibirnya. "Okey...Penat aje,"
"Sekejap aje lagi," jawab Emir pendek, tetapi nadanya penuh makna.
Sesi persiapan itu berlangsung dengan penuh ketelitian. Selepas hampir sejam, kedua-duanya sudah bersiap sedia untuk melangkah ke majlis persandingan mereka. Wajah Sofia berseri-seri, sementara Emir tampil segak dan penuh keyakinan.
"Ready?" soal Emir, menghulurkan tangan kepada Sofia yang berdiri di sisinya. Sofia mengangguk, teragak-agak hendak menyambut huluran tangan Emir. Emir terus memegang tangan Sofia dan bersama-sama melangkah keluar untuk menyempurnakan hari istimewa mereka. Paluan kompang menyambut pasangan mempelai yang melangkah penuh anggun menuju pelamin. Datin Fauziah berada di barisan depan, wajahnya jelas menunjukkan kegembiraan yang tak dapat disembunyikan.
"Tahniah, Sofi. Mama doakan awak dan angah kekal bahagia sampai akhir hayat," ucap Datin Fauziah dengan lembut sebelum mengucup pipi Sofia. Air mata Sofia hampir tumpah, tetapi dia sempat menahan sambil membalas senyuman wanita itu.
Datin Fauziah kemudian berpaling ke arah Emir. Matanya yang berkaca memandang anak lelakinya lama. "Angah..." panggilnya perlahan, tetapi penuh dengan makna yang hanya seorang ibu mampu sampaikan.
Emir memandang ibunya dan tersenyum kelat. "Papa tak datang, ma," katanya, suaranya lirih tetapi cuba menyembunyikan kekecewaannya.
Datin Fauziah menarik nafas panjang dan memegang tangan Emir dengan erat. "Mama tahu papa awak keras kepala, tapi mama percaya satu hari nanti dia akan terima keputusan angah. Awak jangan berhenti cuba, ya?"
Emir menunduk, cuba memproses kata-kata ibunya. "Angah dah cuba pujuk, kan? Angah rasa dah cukup. Tak akan kita nak paksa dia lagi, ma," jawab Emir perlahan.
Datin Fauziah memegang pipi Emir dengan lembut, memandang tepat ke matanya. "Mama tahu ini berat untuk angah. Tapi percayalah, walau apa pun papa buat, dia tetap sayangkan anak-anak dia. Cuma dia tak tahu cara nak tunjuk,"
"Apa yang penting sekarang ni, angah sekarang dah jadi suami, tanggungjawab angah lebih besar. Jangan jadikan hal dengan papa tu halangan untuk bina keluarga yang bahagia, ya?" tambah Datin Fauziah.
Emir diam, matanya hampir berkaca tetapi dia segera berpaling, mengawal emosinya. "Angah faham, ma. InsyaAllah," balasnya ringkas.
Datin Fauziah tersenyum kecil, lega mendengar jawapan itu. "Macam tu lah anak mama..." katanya sebelum turun dari pelamin.
Setelah itu, pengacara majlis memanggil Zakiah untuk naik ke pelamin bagi menyempurnakan adat merenjis tepung tawar. Semua mata tertumpu kepada dirinya yang tampil sederhana tetapi tetap anggun mengenakan baju kurung berwarna lembut yang serasi dengan tema majlis.
Zakiah melangkah perlahan menuju ke pelamin, wajahnya sarat dengan emosi yang sukar diterjemahkan. Dia memandang Sofia, anak yang bertahun-tahun hidup dalam luka dan duka yang tidak terucap. Kini, melihat Sofia bahagia di atas pelamin, air matanya bergenang.
Zakiah mengambil bekas berisi air mawar dengan tangan yang sedikit bergetar. Dia perlahan-lahan merenjis air mawar pada tangan Sofia dan Emir, diiringi doa-doa kecil yang terbit dari hati seorang ibu. Selesai merenjis, Zakiah memandang Sofia lama sebelum menarik anak itu ke dalam pelukannya.
"Maafkan mama, Sofi... atas semua yang berlaku selama ini," bisik Zakiah, suaranya serak dan hampir tenggelam oleh emosi.
"Mama doakan Sofi dan suami bahagia sampai akhir hayat," sambung Zakiah.
Sofia terdiam seketika, tetapi air matanya terus mengalir deras. Pelukan Zakiah menghangatkan hati yang sangat merindui arwah ibunya. Tanpa ragu, Sofia mengangguk perlahan di bahu Zakiah.
"Ma... Dah lama Sofi maafkan mama," balas Sofia dalam suara yang tersekat-sekat.
Zakiah mengusap belakang Sofia dengan penuh kasih sayang. "Sofi pun banyak salah dengan mama, tuduh mama bukan-bukan," kata Sofia lagi.
Di sisi, Wafa yang bertindak sebagai pengapit memandang penuh simpati. Melihat Sofia yang mulai teresak-esak, Wafa segera menyerahkan tisu pada sahabatnya itu. "Sofi, jangan nangis banyak sangat. Nanti make-up kau cair, habis gambar kahwin tak lawa!" usik Wafa sambil tersenyum kecil, cuba menceriakan suasana.
Sofia tertawa kecil di celah tangisannya. Dia mengambil tisu dari tangan Wafa dan mengelap pipinya dengan berhati-hati.
Selesai sahaja majlis merenjis selesai, pengacara majlis kembali mengambil alih mikrofon, mengumumkan acara seterusnya dengan penuh semangat.
"Para tetamu yang dihormati, pasangan pengantin kita akan bergerak ke meja-meja untuk bertemu dan beramah mesra dengan semua hadirin. Sila beri laluan kepada pasangan bahagia kita!"
Suasana bertukar sedikit riuh dengan bunyi tepukan dan sorakan para tetamu. Emir dan Sofia berdiri di pelamin, bersedia untuk turun. Sofia sempat menarik nafas panjang, cuba menenangkan debaran di hatinya.
Wafa segera melangkah menghampiri Sofia, tangannya cekap membetulkan gaun panjang Sofia yang tersangkut sedikit pada kain pelamin.
"Kau okey, Sofi?" bisik Wafa sambil membetulkan lipatan kain di bahagian belakang.
Sofia mengangguk perlahan, tersenyum kecil. "Agak nervous... Tapi okey."
Sofia dan Emir mula bergerak dari meja ke meja, bertemu dengan para tetamu yang tidak putus-putus mengucapkan tahniah dan doa.
"Tahniah, bos! Tahniah, Sofi! Semoga bahagia sampai ke syurga!" ujar Jeremy sambil bersalaman dengan mereka.
"Amin, terima kasih banyak," balas Emir sambil tersenyum, Sofia turut mengangguk tanda berterima kasih.
Di satu meja, Alana menarik tangan Sofia dengan penuh mesra.
"Sofi! Cantik betul kau malam ni. Sama cantik sama padan dengan Emir," puji Alana.
Sofia memeluk Alana dengan erat. "Kau kata kau tak dapat balik!"
"Surprise!" Serentak ketawa mereka meledak.
"Tahniah! Aku doakan kau dengan Emir bahagia sampai bila-bila," Alana memandang Emir.
Emir hanya tersenyum, membiarkan Sofia berbual seketika sebelum mereka meneruskan ke meja seterusnya.
"Alhamdulilah, dah sah jadi adik ipar aku," Emir dan Aidil berjabat tangan.
"Kau cium sekarang," usik Aidil menunjuk tangannya.
"Baik abang," Emir membalas usikan Aidil. Serentak mereka ketawa.
"After all the challenges and obstacles, the ups and downs, finally!" Aidil menepuk-nepuk belakang Emir.
"Jaga dia baik-baik. Komunikasi kena mantap lepas ni. Jangan ikut hati," pesan Aidil lagi sambil menaikkan ibu jarinya.
Matanya beralih ke arah Sofia. "Dah kena kurangkan keras kepala tu ya. Dah ada suami, kan?" Sofia tersengih seraya mengangguk faham maksud abangnya.
Majlis berjalan lancar, dan Sofia semakin selesa melangkah di sisi Emir. Meskipun keletihan mulai terasa, wajahnya tetap dihiasi senyuman, menyambut setiap tetamu dengan rasa syukur dan penghargaan.
Hani dan Wafa mendekati Sofia yang baru selesai berbual dengan tetamu. Melihat wajah Sofia yang sedikit merah kerana keletihan, Hani terus mengusik dengan senyuman nakalnya.
"Amboi pengantin baru kita, nampak lain macam je senyuman dia hari ni," kata Hani sambil menjeling Wafa, meminta sokongan.
"Iyalah, kalau semalam tidur sorang, malam ni dah berteman," tambah Wafa sambil ketawa kecil.
Sofia menjeling tajam ke arah kedua-dua sahabatnya. "Tak sah kan kalau tak usik aku dalam sehari,"
Hani menepuk bahu Sofia sambil tersengih. "Of course! Ini hari bahagia kau, jadi kami nak pastikan kau betul-betul bahagia... dengan cara kami."
"Betul tu," sokong Wafa sambil memeluk lengan Sofia. "Lagipun, lepas ni kau dah susah nak keluar lepak dengan kami. Kan dah jadi isteri orang."
Sofia hanya mampu menggeleng kepala sambil tersenyum nipis, cuba menyembunyikan rasa segannya. Namun, sebelum sempat dia membalas, Mia datang berlari-lari kecil ke arah mereka sambil menarik tangan Farish dan Irina yang berkejaran di belakangnya.
"Sofia! Anak-anak kau ni sempat lagi bergaduh depan orang ramai. Kau tahu tak apa yang mereka gaduh?" rungut Mia sambil memegang kedua bahu Farish dan Irina supaya mereka berhenti berlari.
Sofia mengangkat kening, memandang kedua anaknya yang kini berdiri dengan wajah masam. "Apa ni? Kenapa gaduh? Boleh bagi mama sehari tak pening ke?"
Farish menjawab dengan suara kecil tetapi tegas. "Ayish nak tidur dengan mama malam ni!"
"Eh, tak boleh! Rin nak tidur dengan mama juga!" balas Irina, menghentak kakinya ke lantai.
"Mana boleh, Ayish dulu!"
"Tak, Rin dulu!"
Mia menepuk dahi sambil menghela nafas panjang. "Kau tengoklah, Sofia. Aku dah cuba pisahkan, tapi mereka tetap nak gaduh. Kalau macam ni, tak payah tidur dengan mama atau papa. Tidur dengan aku je dua-dua!"
Sofia menepuk dahinya sendiri sambil berjongkok, cuba bercakap dengan kedua-duanya. "Ayish, Rin... boleh tak jangan gaduh sekarang? Nanti mama tidur dengan kamu berdua, okey?"
"Papa?" Soal anak kembar itu serentak.
"Hah! Er... Kita bertiga je, papa tidur sendiri."
Mendengar itu, Wafa dan Hani serentak menahan ketawa, tetapi gagal.
"Sofi! Bukan main kejam ya kau. Dahlah baru kahwin, dah tidur sendiri member tu," usik Wafa sambil menutup mulutnya cuba menahan ketawa lebih besar.
Hani pula menambah, "Amboi, pengantin baru dah buat perancangan pelik. Papa tidur sendiri? Kesiannya Emir!"
Sofia berpaling dengan wajah memerah menahan malu. "Syyyhh! Tengah pujuk anak-anak ni."
Namun, Mia pula tidak mahu melepaskan peluang. "Eh... Pujuklah. Kami tak cakap tak boleh pujuk pun," katanya sambil tersenyum nakal ke arah Sofia.
Sofia berdiri sambil memeluk tubuhnya, cuba mempertahankan diri. "Tak adalah! Aku cuma tak nak anak-anak rasa terabai je."
"Alah, alasan. Jujur aje, Sofi. Kau mesti rasa lain macam kan nak mula hidup baru ni?" kata Hani sambil tersenyum lebar.
Sofia menghela nafas, tetapi senyuman kecil akhirnya terukir di wajahnya. "Memang rasa lain... Nervousnya..."
"Ala, awal-awal dulu pun macam ni juga kan? Nanti okaylah tu," balas Wafa sambil menepuk bahu Sofia.
"Mama..." Farish dan Irina masih menuntut perhatian, menyebabkan Sofia terpaksa kembali melayan mereka.
Mia memandang Wafa dan Hani sambil berbisik, "Aku rasa malam ni Ayish dan Rin menang. Emir? Kesian..."
Ketiga-tiga mereka tergelak sambil memandang Sofia yang sedang cuba memujuk anak-anaknya, wajahnya penuh kasih walaupun ketara keletihan.
Sementara Sofia masih sibuk melayan karenah Farish dan Irina, Emir tiba-tiba muncul dan menyertai mereka. Tanpa berkata apa-apa, dia melingkarkan tangannya di pinggang Sofia dengan santai. Sofia tersentak. Nafasnya seakan tersekat, dan badannya terasa kaku seperti patung.
"Papa! Ayish nak tidur dengan mama malam ni!" rungut Farish sambil memandang Emir dengan wajah penuh harapan.
"Tak boleh! Rin yang nak tidur dengan mama dulu," sambut Irina, menghentak kaki kecilnya dengan geram.
Emir tertawa kecil sambil menatap kedua anaknya dengan penuh kasih sayang. "Ayish, Rin... mama dah penat hari ni. Bagi mama rehat dulu, nanti esok mama tidur dengan Ayish dan Rin, boleh?" Pujuk Emir sambil mengusap lembut pipi anak-anaknya.
Sofia yang masih kaku hanya mampu mengerling Emir dengan wajah merah padam. Hani yang memerhatikan adegan itu tidak dapat menahan ketawa. Sambil menyiku Mia, dia berbisik, "Mia, tengok tu..."
Dengan suara separuh berbisik, Hani berkata, "tarik nafas Sofi, tarik nafas..." Mia menahan gelak, tetapi akhirnya ketawa kecil terlepas juga.
Sofia mengetap bibir, cuba menenangkan dirinya sambil mengelakkan pandangan dari kedua sahabatnya.
"Nanti mama dengan papa datang temankan dulu sebelum tidur, bolehkan?" Irina berkata sambil merengek kecil, matanya penuh harapan.
Emir berlutut untuk mendekati kedua anaknya. "Boleh...Takkan tak boleh tapi kena tidur dalam bilik sendiri. Deal?"
Farish dan Irina berpandangan sejenak sebelum mengangguk setuju. "Deal!" jawab mereka serentak.
Sofia menghela nafas lega, namun tubuhnya kembali tegang apabila tangan Emir kembali melingkar di pinggangnya. Emir tersenyum kecil sambil berbisik perlahan, "Awak okey tak? Kenapa kaku semacam ni?"
Sofia menjeling Emir, cuba bersuara tetapi hanya mampu berbisik perlahan, "Awak ni... jangan buat macam ni depan orang ramai."
Emir ketawa kecil, tetapi sebelum sempat dia mengusik lagi, dari jauh dia melihat kelibat Isha berjalan menuju ke arah mereka. Tanpa berkata apa-apa, Emir terus meraih tangan Sofia dan menggenggamnya erat, menariknya mendekati Isha.
Sofia terkedu tetapi menurut langkah Emir. Isha yang baru tiba tersenyum kecil melihat mereka berdua. Sebaik sahaja mereka hampir dengan wanita itu, Isha tersenyum kecil.
"Isha," Emir memulakan, nada suaranya lembut tetapi penuh penyesalan. "Kau sihat tak ni? Aku minta maaf sebab sejak kau masuk hospital hari tu, aku tak cari kau..."
Isha menggeleng, memotong kata-kata Emir. "Tak apa, Emir. Itu yang terbaik sebenarnya. Lagi pun, kalau kita masih berhubung, semua benda akan jadi lebih susah untuk semua pihak."
Dia memandang Sofia dan tersenyum ikhlas. "Tahniah untuk awak berdua. Saya doakan kebahagiaan awak berdua."
"Terima kasih, Isha," Sofia membalas, sedikit segan dengan keikhlasan wanita itu.
"Cuma... saya tak boleh lama," tambah Isha. "Saya nak pergi jumpa kak long. Flight ke NZ malam ni,"
Sebelum sempat Emir membalas, seorang lelaki tinggi berkulit sawo matang muncul tergesa-gesa.
"Maaf lambat, Isha. Baru dapat parking," katanya sambil menghela nafas.
Isha segera tersenyum ke arah lelaki itu dan berkata, "Tak apa, Hakeem. Emir, Sofia... kenalkan, ini Hakeem."
Hakeem menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Emir dan menundukkan sedikit kepala ke arah Sofia. "Assalamualaikum. Emir, Sofia. Saya banyak dengar cerita tentang awak berdua dari Isha. Selamat pengantin baru," ucapnya, nada suaranya tenang dan penuh hormat.
Emir tersenyum sambil menyambut salam lelaki itu. "Terima kasih. Saya doakan kamu berdua kuat untuk perjuangkan hubungan kamu,"
"Tahniah sebab berjaya membuka pintu hati Isha. Dah lama dia kunci hatinya tak bagi siapa-siapa masuk. Awak jaga dia elok-elok ya," Emir tersenyum lega.
Hakeem mengangguk sambil memandang Isha dengan penuh kasih. "Saya tahu, Emir. Saya akan pastikan dia sentiasa ada tempat untuk bergantung."
Emir menepuk bahu Hakeem perlahan. "Saya tahu bukan mudah dengan keadaan dengan papa Isha, tapi jangan berhenti berjuang, Hakeem. Kalau awak yakin dengan Isha, teruskan usaha. Awak ada sokongan kami."
Mata Isha mula berkaca mendengar kata-kata Emir. "Terima kasih, Emir. Itu banyak membantu."
Sofia tersenyum kecil, cuba memecahkan suasana. "Isha, semoga berjaya di New Zealand. Saya doakan awak dan Hakeem kuat menghadapi apa saja."
Isha mengangguk sambil memeluk Sofia. "Terima kasih, Sofia. Awak pun, jaga diri."
Habis sahaja majlis dan tetamu sudah balik, Emir dan Sofia diiringi Hani dan Wafa ke suite yang telah disediakan untuk mereka. Emir berjalan dahulu, tetapi Sofia menahan kedua sahabatnya.
"Hani, Wafa... anak-anak aku okey ke? Siapa yang jaga?" tanya Sofia sambil memegang tangan Hani, nada suaranya penuh risau.
Hani tersenyum sambil menepuk bahu Sofia. "Relakslah, Mia dengan Aidil yang uruskan Ayish dengan Rin. Kau tak payah risaulah, bukan dia orang tak reti urus anak-anak kau,"
Sofia mengangguk perlahan, tetapi wajahnya masih menunjukkan kegelisahan. Hani membuka pintu suite dan mengarahkan Sofia masuk. "Dah, masuklah, Sofi. Emir tengah tunggu tu,"
Namun, Sofia segera menahan tangan Hani. "Nanti dulu. Bilik anak-anak aku kat mana?"
Wafa yang berdiri di sebelah memandang Sofia dengan dahi berkerut. "Kau nak ke mana lagi ni? Anak-anak kau kat Mystic River Suite, suite sebelah kanan blok ni. Jangan risau, Aidil dengan Mia ada kat situ,"
"Tapi aku nak tengok mereka dulu," Sofia berkeras, matanya penuh harapan memandang Hani dan Wafa.
Hani menghela nafas panjang. "Sofia Irdina, kau tu baru kahwin. Utamakan dulu suami kau. Anak-anak kau tu tak payah fikir sangat, esok kau jumpa juga. Dahlah, pergi masuk sekarang!"
Namun, Sofia masih berkeras. "Kau... Kau, temankan aku masuk. Sekejap aje. Awkward pula kalau berdua aje..."
Hani memandang Sofia dengan wajah tak percaya. "Eh!Mak cik ni pun, tak akan aku nak temankan kau sampai pagi?"
Sofia menggenggam tangan Hani dengan lebih erat. "Tolonglah... temankan aku sekejap je. Aku... aku takutlah."
Hani tersenyum kecil, cuba menenangkan sahabatnya. "Tak ada apa yang nak ditakutkan, Sofi. Emir bukannya orang lain, suami kau tahu tak?" sengaja Hani menekan perkataan suami itu.
Sofia mengetap bibir, wajahnya memerah. Wafa menarik tangan Hani dan berkata, "Dah, jangan dilayan sangat. Sofi, kami sayang kau, tapi kau kena hadap sendiri. Emir lelaki yang baik, takkan makan kau hidup-hidup. Jangan drama sangat,"
Wafa membuka pintu dengan tangan satu lagi, sementara Hani menolak perlahan Sofia masuk ke dalam suite. Sofia meronta kecil, cuba menarik Hani masuk bersamanya.
"Hani, please! Teman aku sekejap!" Sofia mengawal suaranya.
Namun, Hani menepis tangan Sofia dengan lembut sambil tersenyum. "Sofi, dah cukup. Kau dah besar. Emir tunggu tu. Selamat malam, pengantin baru," Pintu tertutup, dan Sofia terdorong sedikit ke belakang. Tubuhnya hampir hilang keseimbangan, tetapi Emir sempat menyambutnya sebelum dia jatuh.
"Hati-hati Sofia," kata Emir lembut, wajahnya dihiasi senyuman nakal.
Sofia terkejut dengan tindakan spontan Emir, lalu segera menjauhkan diri darinya. Wajahnya merah padam, matanya memandang ke arah lain, cuba mengelak pandangan lelaki itu.
Emir melangkah mendekati Sofia, senyumannya makin lebar. "Kenapa? Takut dengan saya?"
Sofia menggeleng pantas sambil mundur ke hujung bilik. "Tak... saya tak takut."
Namun, tubuhnya yang kaku dan langkahnya yang terburu-buru jelas menunjukkan sebaliknya. Emir mendekati Sofia lagi, tangannya didepakan.
"Stop!" Sofia mengangkat tangannya, cuba menahan Emir daripada mendekat. "Saya nak... err... saya nak makan!" katanya, senyumnya janggal.
Emir ketawa kecil melihat wajah Sofia yang jelas gugup. Dia berhenti beberapa langkah di hadapan Sofia dan menunduk sedikit, selaras dengan mata Sofia.
"Awak ingat saya nak buat apa? Saya cuma nak minta tolong..." katanya dengan nada lembut.
Sofia mengerutkan dahinya. "Tolong apa?"
"Buka butang baju saya," jawab Emir, senyuman nakalnya makin lebar.
Sofia terpinga-pinga seketika sebelum menyedari maksud Emir. Wajahnya serta-merta menjadi merah padam, dan dia menundukkan kepalanya, cuba mengelak daripada bertentang mata dengan Emir.
"Awak ni... kan boleh buat sendiri," katanya perlahan, tetapi tangannya tetap bergerak untuk membantu Emir.
Emir membalas dengan senyuman lembut. "Terima kasih, sayang." Kemudian, Emir membuka bajunya di hadapan Sofia dan masuk ke dalam tandas.
Sofia menarik nafas dalam sambil melabuhkan punggungnya di atas katil, tangannya cuba membuka zip bajunya tetapi gagal. Dia segera menggenggam telefon. Matanya meleret memandang ke arah pintu tandas yang tertutup rapat, bunyi air pancuran menandakan Emir masih mandi. Dia mengeluh perlahan sambil menarik nafas dalam-dalam, cuba menenangkan debaran di hatinya.
Dia mengangkat telefon dan membuka aplikasi WhatsApp. Nama Mia segera dipilih, dan dia menaip mesej dengan laju.
Mia, kenapa kau pilih baju ni? Kau tahu tak zip dia kat belakang. Macam mana aku nak buka ni?
Tidak lama selepas itu, mesej balasan masuk.
Hahaha, Sofi... Emir mana? Kenapa tak minta tolong dia?
Sofia mendengus membaca mesej itu, matanya menjeling ke arah pintu tandas sekali lagi. Dia mengetap bibir, tidak puas hati dengan jawapan Mia.
Mia, kau ni tak membantu langsung! Aku tengah serius ni!
Aku pun serius. Suami kau ada, kan? Apa susah? Mintalah tolong dia. Itulah gunanya suami, betul tak?
Sofia memejamkan mata, cuba menenangkan hatinya yang bergelora. Dia tahu Mia betul, tetapi tetap sukar untuknya meminta bantuan Emir.
Dia meletakkan telefon di atas meja sisi katil, berdiri, dan cuba mencapai zip di belakang bajunya sekali lagi. Tangannya melingkar ke belakang, tetapi zip itu terlalu tinggi untuk dicapai.
"Aduh, susahnya..." rungut Sofia perlahan sambil mencuba sekali lagi.
Sambil dia bergelut dengan zip itu, pintu tandas tiba-tiba terbuka. Emir melangkah keluar dengan rambut basah dan tuala kecil di tangan. Dia memandang Sofia yang sedang membelakanginya, dengan tangan melingkar ke belakang cuba membuka zip.
"Sofi?" panggil Emir dengan nada hairan.
Sofia terkejut dan berpaling pantas. Dia terdiam melihat Emir yang sedang memandangnya dengan senyuman nakal di wajahnya.
"Awak buat apa tu? Nak saya tolong? " tanya Emir, keningnya terangkat sedikit.
"Tak... tak ada apa-apa!" jawab Sofia cepat, cuba menyembunyikan rasa malunya.
Emir dengan tuala di pinggang mendekati Sofia yang sedang cuba mundur, tetapi sebelum sempat dia melangkah jauh, Emir sudah memalingkan badan Sofia. Dengan tenang, Emir memegang zip baju Sofia dan menariknya perlahan ke bawah. Sofia terasa kulit belakangnya sedikit terdedah, dan rasa malunya makin bertambah.
"Nampak? Senang je kan? Tak perlu susah-susah," kata Emir sambil tersenyum.
Sofia berpusing pantas, matanya memandang Emir dengan wajah yang merah padam. Dia mengangkat baju tidur yang sudah dilipat di atas katil dan memeluknya erat di dada. Di dalam tandas, Sofia berdiri di hadapan cermin sambil memegang dadanya yang berdebar kencang.
"Ya Allah...Ya Allah..." bisiknya perlahan, cuba menenangkan dirinya. Selepas beberapa minit dia terus membersihkan dirinya.
Sesudah itu, Sofia keluar dari bilik mandi dengan rambut yang masih lembap, terurai di bahunya. Matanya meleret memandang katil yang besar itu—dan Emir yang sedang duduk di satu sudut katil sambil memerhatikan telefon bimbitnya.
Sofia menggigit bibirnya, cuba mencari alasan untuk tidak duduk di atas katil. Dia melangkah perlahan ke arah sofa yang terletak di penjuru bilik, lalu melabuhkan badan di situ.
Emir mendongak dan memandang ke arahnya. "Kenapa duduk jauh sangat? Sini lah," pelawanya sambil menepuk tempat di sebelahnya di atas katil.
Sofia menggeleng perlahan. "Tak apa. Saya selesa kat sini."
Emir tersenyum kecil sambil menggeleng kepala. "Ikut suka awaklah."
Belum sempat perbualan mereka bersambung, bunyi ketukan pintu kedengaran. Emir bangkit dan membuka pintu, menyambut makanan yang dihantar oleh pekerja resort. Sofia memandang dengan wajah keliru apabila Emir membawa dulang makanan dan meletakkannya di hadapannya di atas meja kecil berdekatan sofa.
"Nah, awak kata tadi nak makan, kan? Makanlah," ujar Emir sambil tersenyum lebar, matanya memandang Sofia dengan penuh maksud.
Sofia terdiam sejenak, mukanya sedikit merah. "Err... terima kasih," katanya perlahan sambil mencapai sudu dan garfu.
Emir kembali duduk di katil tetapi memerhati Sofia dari jauh. Dia menyilangkan tangannya sambil tersenyum tipis. Sofia cuba memaksa dirinya untuk makan. Namun, seleranya seakan mati. Fikirannya melayang-layang memikirkan apa yang akan berlaku selepas ini. Lapan tahun dia tidur sendirian—tidak pernah terfikirkan bahawa satu hari nanti dia akan tidur di bilik yang sama dengan Emir.
"Kenapa tak makan? Tak sedap ke?" suara Emir memecah lamunannya.
Sofia tersentak dan menoleh ke arah Emir yang sedang memandangnya dengan dahi sedikit berkerut. Wajahnya segera merah padam, malu kerana kantoi termenung.
"Tak... tak ada apa," jawab Sofia tergagap-gagap sambil menundukkan kepala.
Emir bangun dari katil dan berjalan ke arahnya. Sofia semakin gelisah apabila lelaki itu berdiri betul-betul di hadapannya.
"Awak ni kenapa? Muka merah semacam. Awak demam ke?" tanya Emir sambil tunduk sedikit, cuba melihat wajah Sofia dengan lebih jelas.
"Tak! Saya tak apa-apa," Sofia cepat-cepat menjawab sambil mengalihkan wajahnya ke sisi, cuba mengelak pandangan Emir.
Emir tersenyum kecil, seolah-olah memahami apa yang sedang bermain di fikiran isterinya itu. Dia melangkah ke belakang dan kembali duduk di atas katil.
"Sofia, saya tahu awak mungkin rasa kekok malam ni. Saya pun sama tapi saya lebih rasa gembira sebab kita dah sah jadi suami isteri semula," katanya perlahan tetapi jelas, nadanya lembut dan penuh pengertian.
Sofia mengangkat kepalanya perlahan-lahan, memandang Emir dengan pandangan ragu.
"Tapi saya janji, saya tak akan buat awak rasa tak selesa. Kalau awak nak tidur dulu, tidur aje. Saya tak akan kacau."
Sofia menggigit bibirnya, hatinya tersentuh mendengar kata-kata Emir. "Terima kasih... sebab faham."
Emir tersenyum nipis, lalu mengambil jaket dari beg pakaiannya sambil mencapai telefon bimbitnya dan dimasukkan ke dalam poket. Sofia memandang Emir sejenak. "Awak nak pergi mana?" soalnya apabila suaminya bergerak menuju ke pintu.
"Nak temankan anak-anak tidur," jawab Emir.
Sofia mendekati Emir. "Saya nak ikut," Emir senyum nipis, tangannya menyelitkan rambut Sofia di telinga. "Awak rehat dulu, biar kali ni saya temankan anak-anak," ujar Emir.
"Tapi..."
"Tak ada tapi Sofi, hari ni awak rehat aje. Nanti esok boleh temankan Ayish dengan Rin tidur kat rumah kita,"
Dalam terpaksa Sofia akur. "Good night, " ucap Emir lalu mengucup dahi Sofia lama menyebabkan wajah Sofia merah seperti tomato. Emir mengetap bibirnya menahan tawa. Dia terus meninggalkan isterinya di dalam bilik.
Share this novel