Bab 48

Romance Series 33257

Malam itu, rumah yang sebelumnya sunyi tiba-tiba dipecahkan dengan bunyi langkah kaki yang tergesa-gesa dan suara yang tegang. Datuk Emran melangkah keluar dari bilik pejabatnya dengan wajah yang garang, penuh dengan kemarahan yang tidak dapat disembunyikan.

"Emir!" suara Datuk Emran bergema di seluruh rumah, menandakan ketegangan yang akan datang.

Emir yang baru hendak makan di meja makan segera terkejut mendengar panggilan itu. Dia menoleh ke arah ayahnya, dia dapat merasakan amarah yang sedang membara dalam diri ayahnya, dan dia tahu ini bukanlah pertanda baik.

"Ya, pa?" Emir menjawab dengan nada perlahan, cuba menenangkan keadaan.

Datuk Emran melangkah mendekati Emir dengan langkah berat, wajahnya penuh dengan ketegangan. "Apa yang kamu dan Isha bincangkan semalam masa di wad?" soalnya dengan nada yang dingin tetapi penuh dengan kemarahan yang terkawal.

Emir menelan liur, cuba mencari kata-kata yang sesuai. "Emm...Kami... Kami bincangkan pasal pertunangan kami," jawabnya dengan hati-hati, tidak mahu menambah minyak kepada api kemarahan yang sedang membara dalam diri ayahnya.

Mendengar jawapan itu, wajah Datuk Emran semakin merah. "Apa yang kamu bincangkan sampai Uncle Is call papa untuk bagitahu yang Isha nak putuskan pertunangan? Apa yang kamu dah buat, Emir?" suaranya semakin meninggi, menunjukkan kemarahannya yang tidak dapat dibendung lagi.

Emir merasakan dadanya semakin sesak. Dia membasahkan bibirnya, cuba mencari kekuatan untuk menjelaskan keadaan sebenar. "Pa... yang sebenanrnya angah dengan Isha tak pernah pun ada perasaan. Kami dah cuba tapi tak boleh, kami memang..."

Namun, sebelum sempat Emir meneruskan kata-katanya, Datuk Emran segera menegah. "Diam! Papa tak nak dengar sebarang alasan! Kamu fikir kamu boleh buat keputusan sesuka hati? Papa nak kamu hadam ni, hanya Isha yang layak menjadi menantu di rumah ini. Ini keputusan Papa, dan kamu tak ada hak untuk mengubahnya!" suaranya memecah keheningan, penuh dengan kekerasan yang tidak dapat dikawal lagi.

Emir terdiam, rasa kecewa dan tertekan melingkari dirinya. Dia cuba menahan perasaan marah dan sedih yang bergolak di dalam hatinya.

Datin Fauziah yang sejak tadi hanya berdiri di tepi, menyaksikan perbalahan itu dengan hati yang pilu. Akhirnya, dia memberanikan diri untuk bersuara, cuba meredakan ketegangan yang semakin memuncak. "Bang, jangan buat begini. Angah cuma jujur dengan perasaannya. Kita dengar dulu apa yang dia nak cakap,"

Namun, Datuk Emran tidak memberi ruang untuk bantahan. Dia menoleh ke arah isterinya dengan wajah yang marah, matanya berkilau dengan kemarahan yang membara. "Gee, jangan masuk campur! Ini antara abang dengan angah.Cukup-cukuplah awak nak membela anak awak ni! Keputusan abang adalah muktamad!" bentaknya dengan tegas, membuatkan Datin Fauziah terdiam dengan hati yang remuk.

Datin Fauziah menundukkan kepala, tidak berani membalas lagi. Air matanya mula bergenang, tetapi dia cuba menahan diri daripada menangis di hadapan suaminya. Dia tahu betapa tegasnya Datuk Emran dalam hal ini, dan dia juga tahu apa sahaja yang dia katakan tidak akan mengubah pendirian suaminya.

Emir yang menyaksikan ibunya dimarahi, merasa hatinya semakin berat. Dia tahu ibunya hanya ingin membantu. "Pa... Angah nak yang terbaik untuk semua. Angah tak nak lukakan hati sesiapa, tapi Angah juga tak boleh tipu diri sendiri."

Namun, kata-kata Emir hanya seperti mencurah air ke daun keladi. Datuk Emran tetap dengan pendiriannya. "Kamu ingat baik-baik, Emir. Apa pun yang berlaku, kamu tetap akan berkahwin dengan Isha. Papa tak nakdengar lagi soal ini! Kamu jangan buat papa malu di hadapan Uncle Is dan keluarganya. Faham?!" Jari telunjuk Datuk Emran lurus menghala ke muka Emir.

Emir hanya mampu mengangguk perlahan, walaupun hatinya penuh dengan rasa kecewa dan kesedihan. Dia tahu ini bukan pertempuran yang boleh dia menang. Ayahnya sudah membuat keputusan, dan buat masa ini dia terpaksa akur walaupun hatinya menjerit untuk memberontak.

Emir menolak kerusi rodanya masuk ke bilik. Pintu ditutup rapat, meninggalkan ayahnya yang masih diselubungi kemarahan. Dia tahu, perjalanan ini semakin sukar, dan masa depannya bersama Sofia semakin kelam. Namun, jauh di sudut hatinya, Emir berdoa agar ada jalan keluar dari kemelut ini, dia dapat menemukan kebahagiaan tanpa melukakan hati orang yang disayanginya.

Tiba-tiba, pintu biliknya diketuk perlahan. Emir mengangkat kepala dan melihat pintu terbuka sedikit. Elly muncul di balik pintu.

"Angah, boleh Elly masuk?" tanya Elly dengan nada lembut, cuba untuk tidak menambahkan lagi tekanan yang dirasakan oleh Emir.

Emir mengangguk perlahan. "Masuklah,"

Elly melangkah masuk dan menutup pintu di belakangnya. Dia duduk di tepi katil, memandang Emir. "Angah, okay tak? Elly tahu ini semua tak adil untuk Angah."

Emir menghela nafas panjang, dengan bantuan Elly, Emir duduk di atas katil "Entahlah dik, aku ni bukan tak bertaubat, dah bertaubat, dada ni penuh dengan penyesalan. Tak tahulah papa nak hukum aku sampai bila?"

Elly menggenggam tangan abangnya dengan erat. "Mungkin angah boleh minta tolong dengan Isha. Manatau papa dengar,"

Emir terdiam sejenak, memikirkan kata-kata Elly. Memang benar, Isha mungkin memahami perasaannya, tapi dia juga tahu Isha berada dalam tekanan yang sama.

"Aku kalau boleh dik, tak nak libatkan Isha. Dia pun tengah hadap benda sama dari Uncle Is,"

Elly menghela nafas perlahan. "Tahu... Tapi ngah, sekarang ni papa memang dah tak pandang kau dah. Isha aje harapan sekarang ni sebab dia sayang sangat dengan Isha sampaikan suruh kau gantikan tempat Along. Lebih baik daripada papa terus memaksa kamu untuk berkahwin,"

Emir memandang adiknya dengan perasaan syukur. "Thank you sebab selalu ada," Elly tersenyum kecil, cuba memberi semangat kepada abangnya. "Apa pun yang berlaku, Elly tetap di sini untuk Angah. Kita hadapi semua ini bersama-sama."

"Plus, I want you to make my friend happy. Dah lama dia menderita," sambung Elly

Emir mengangguk perlahan. "Aku tahu, Dik. Insya-Allah,"

Mereka berdua duduk dalam diam seketika, masing-masing tenggelam dalam fikiran sendiri. Emir tahu perbualan seterusnya dengan Isha mungkin akan menjadi titik penting dalam hidupnya. Dia perlu bersedia untuk apa sahaja kemungkinan, sama ada baik atau buruk.

Selepas adiknya menapak keluar dari bilik,  Emir duduk sendirian di biliknya, merenungkan apa yang telah dibincangkan. Walaupun perasaannya masih bercampur baur, dia mula merasa sedikit lebih tenang.

Di waktu yang sama, ketukan perlahan di pintu bilik Emir mengejutkannya dari lamunannya. Pintu terbuka sedikit, dan Farish dan Irina, muncul dengan wajah penuh kebimbangan.

"Papa..." suara Ayish memanggil Emir perlahan dan penuh kerisauan. Irina menolak Farish masuk. "Kami nak masuk boleh?" soal Irina.

Emir cuba tersenyum, walaupun hatinya masih gundah. "Masuklah, sayang," dia memanggil lembut, mengundang anak-anaknya masuk ke dalam bilik.

Farish dan Irina melangkah masuk perlahan-lahan, menghampiri ayah mereka. Emir dapat melihat bahawa anak-anaknya benar-benar terkesan dengan apa yang berlaku. Kedua-duanya sudah cukup besar untuk memahami situasi ini, tidak dapat menyembunyikan rasa cemasnya.

"Papa...Papa okay tak? Mama? Macam mana dengan Mama? Ayish risau sangat. Mama bila nak balik rumah?" tanya Farish dengan suara yang serak, cuba menahan tangis.

Emir menarik nafas panjang dan cuba memberi penjelasan dengan tenang. "Ayish, Rin... Mama masih di hospital, tapi Mama ada dalam jagaan doktor-doktor yang baik. Mereka akan pastikan Mama cepat sembuh. Papa janji, Mama akan balik rumah bila dia dah betul-betul sihat."

Irina, yang sejak tadi berdiam diri, akhirnya bersuara dengan suara yang kecil tetapi penuh harapan. "Rin rindu Mama... Rin nak Mama balik..."

Emir terasa pedih di hati mendengar kata-kata anak-anaknya. Dia menarik kedua-dua anaknya ke dalam pelukan, cuba menenangkan hati mereka yang resah. "Papa tahu, sayang. Papa pun rindu Mama. Tapi sekarang Mama perlu rehat dulu di hospital. Kita kena sabar, ya? Mama perlukan masa untuk sembuh."

Ayish memandang wajah ayahnya, cuba mencari kepastian dalam kata-kata yang diucapkan. "Betul, Papa? Mama akan okay, kan?"

Emir mengangguk sambil tersenyum, cuba meyakinkan anak-anaknya. "Ya, Ayish. Papa janji, Mama akan okay. Nanti, bila Mama dah sihat, Papa akan bawa Ayish dan Rin pergi jumpa Mama di hospital."

Anak-anaknya akhirnya mengangguk, walaupun masih kelihatan bimbang. Emir tahu mereka memerlukan kepastian, sesuatu yang hanya dapat diberi melalui janji-janji yang mungkin dia sendiri tidak pasti dapat ditepati. Namun, untuk sekarang, dia perlu membuatkan anak-anaknya berasa tenang dan yakin.

"Papa pula macam mana? Papa okay?" mata bulat Rin ditatap seketika.

"Papa okaylah. Papa Rin ni kuat tahu? Jangan risau, nanti dah okay. Papa dah boleh jalan macam biasa,"

Riak wajah Irina tidak berpuas hati. "Bukan itu. Kan tadi atok jerit kat papa. Papa okay tak? Atok nak auntie Isha eh? Kenapa papa tak panggil auntie Isha datang sini?"

"Papa okay aje. AUntie Isha sibuk," jawab Emir pendek.

"Kalau mama dah sihat, boleh tak kita balik rumah mama? Atok marah kuat-kuat nanti mama terkejut," Farish pula bersuara.

"Okay, sayang... Sekarang pergi rehat dulu, ya? Nanti, papa bagitahu kalau ada apa-apa perkembangan tentang Mama," kata Emir lembut sambil menyentuh kepala mereka.

Ayish dan Rin mengangguk lagi sebelum keluar dari bilik. Emir memandang mereka pergi dengan hati yang penuh rasa bersalah dan kasih sayang. Dia tahu anak-anaknya memerlukan sokongan dan keyakinan, tetapi di sudut hatinya, dia sendiri masih bergelut dengan perasaan yang tidak menentu.

Share this novel

Gina Seman
2024-08-29 08:59:08 

sakitnyee hati dgn bapak x tau perasaan anak..geramnyee...emir kene pertahankan rasa cinta pd sofia n anak²..hu..hu..

Zainabzety
2024-08-27 20:19:28 

ya ya

Zainabzety
2024-08-27 20:18:47 

?


NovelPlus Premium

The best ads free experience