Bab 64

Romance Completed 59279

Pandangan tajam Sofia menusuk ke arah Emir, yang sedang duduk di ruang tamu bersama keluarganya. Walaupun dalam situasi yang penuh kekalutan, Emir sempat tersenyum kepada Sofia, yang masih berpakaian santai dengan rambutnya disanggul secara ala kadar, membentuk messy bun yang tetap kelihatan menarik di mata Emir. Wajahnya jelas menunjukkan ketidakselesaan, tetapi Sofia tetap diam di balik pintu, cuba memahami apa yang sedang berlaku.

Di ruang tamu, suasana agak santai dengan perbincangan antara keluarga Emir dan keluarga Sofia. Datin Fauziah duduk tegak di sebelah Elly, manakala Emir berada di hadapannya, memandang Zakiah, dan Aidil yang duduk berhadapan. Topik utama perbincangan hari itu adalah sesuatu yang Sofia tidak sangka—merisik dan tarikh pernikahan.

"Jadi, kami di sini hari ini untuk merisik Sofia. Emir dah lama bincang dengan kami. Dia bersungguh-sungguh nak betulkan semua yang pernah berlaku dulu," kata Datin Fauziah dengan penuh kelembutan, matanya memandang Zakiah dan Aidil meminta restu mereka.

Zakiah mengangguk perlahan, tersenyum kecil tetapi wajahnya tetap serius. "Kami hargai niat baik Emir dan keluarga. Tapi, soal Sofia ni... dia dah banyak melalui pahit manis hidup. Kami harap keputusan yang dibuat ini adalah yang terbaik buat dia."

Aidil pula menyampuk dengan nada yang lebih tegas. "Kami nak pastikan Sofia tidak terluka lagi. Sebab tu kami nak pastikan semua ini dibincang elok-elok, supaya semuanya jelas dan Sofia rasa selamat,"

Emir memandang Aidil dan Zakiah dengan penuh hormat. "Saya faham, makcik, Dil. Saya tak akan ulang kesilapan yang sama. Saya di sini bukan hanya untuk membetulkan kesilapan saya, tapi saya mahu Sofia tahu yang saya tak pernah berhenti menyayangi dia dan anak-anak kami."

Zakiah menghela nafas panjang sebelum bersuara. "Baiklah, kalau begitu. Bila keluarga Emir rancang untuk buat majlis pernikahan ni?"

Datin Fauziah tersenyum lembut, matanya melirik ke arah Emir sebelum menjawab. "Kalau boleh, kami nak majlis pernikahan dalam tiga minggu dari sekarang. Kami dah sediakan semuanya. Cuma kami nak berbincang tentang wang hantaran dan dulang hantaran yang pihak Sofia minta."

Zakiah dan Aidil saling berpandangan sejenak sebelum Aidil bersuara. "Wang hantaran yang kami tak nak tetapkan, terpulang dengan Emir. Untuk dulang hantaran... kami minta tujuh dulang hantaran, kalau sesuai dengan keluarga Emir."

Elly yang duduk di sebelah Emir tersenyum sambil memandang abangnya. "Tujuh dulang tu boleh. Kami akan sediakan apa yang sepatutnya. Saya sendiri akan uruskan semua persiapan dulang," katanya penuh yakin.

Emir mengangguk, bersetuju dengan semua yang dipersetujui. "Tak ada masalah, Makcik Zakiah. Saya setuju dengan semua syarat. Apa yang penting sekarang, saya cuma nak Sofia bahagia. Itu saja yang saya harapkan."

Setelah semuanya dipersetujui, Mia yang sibuk di dapur menjemput Emir dan keluarganya makan.

Sofia yang baru sahaja keluar dari bilik, kini sudah berpakaian cantik. Dia meminjam pakaian Mia, gaun panjang berwarna pastel yang menonjolkan kecantikannya yang semula jadi. Rambutnya yang tadi bersanggul ala kadar kini diluruskan rapi. Wajah Sofia kelihatan sedikit gugup, tetapi dia cuba berlagak tenang ketika melangkah masuk ke ruang tamu.

Semua mata tertumpu pada Sofia, termasuk Emir yang kelihatan terpesona melihat penampilan Sofia yang anggun. Mata mereka bertembung seketika, dan Sofia hanya mampu tersenyum kecil, cuba menahan rasa canggung yang membelit dirinya.

"Subhanallah, cantik betullah menantu mama ni," Datin Fauziah bersuara, penuh kagum. "Patutlah Emir tak boleh lepaskan Sofi," katanya sambil tersenyum manis ke arah Sofia.

Sofia tunduk sedikit, tidak tahu bagaimana hendak memberikan reaksi yang betul. Dia masih tidak percaya dengan apa yang sedang berlaku—perbincangan soal perkahwinan, hantaran, tarikh majlis, semuanya terjadi begitu cepat.

"Mama makan dulu ya, Sofi nak tengok Ayish dengan Rin sekejap," Sofia mengukir senyuman simpul.

Dia menghampiri Wafa yang duduk di sudut ruang tamu. Dia membisikkan sesuatu pada Wafa kemudian keluar menuju ke rumahnya.

Sofia melabuhkan punggungnya di sofa. Farish dan Irina yang sedang menonton televisyen terus mengalihkan pandangan mereka ke arah Sofia.

"Cantiknya mama!" Puji mereka. Sofia tersenyum manis.

"Ayish.. Rin.. Boleh tak masuk bilik dulu?" Sofia mengoles lembut pipi Farish dan Irina.

"Papa!" jerit mereka terus berlari mendapatkan Emir.

"Sayang papa!" Emir mendepakan tangannya memeluk erat kedua-dua anaknya.

"Anak-anak papa buat apa hari ni? Esok nak ikut papa tak pergi makan ais krim?" soal Emir diikuti sorakan Farish dan Irina.

"Okay, esok papa datang. Ayish dengan Rin masuk bilik dulu ya," Emir mengusap lembut ubun-ubun Farish dan Irina. Kedua anka itu mengangguk lalu meninggalkan kedua ibu bapa mereka di ruang tamu.

Sofia berdehem sambil berdiri di tengah ruang tamu, tubuhnya sedikit bergetar menahan emosi. Dia memandang Emir dengan dada berombak, cuba menahan perasaan marah dan kecewa yang semakin sukar dikawal. Perasaan terkilan dan terluka bergumpal di hatinya, dan akhirnya dia membuka mulut.

"Apa awak buat ni, Emir? Awak dah janji dengan saya hari tu, apa-apa keputusan awak akan bincang dengan saya dulu," Sofia memulakan, suaranya penuh dengan nada kesal.

Emir berdiri tegak, dahi berkerut memandang Sofia. "Nak bincang macam mana? Saya call awak tak jawab, saya datang, awak tak keluar dari bilik. Saya mesej awak, baca pun tak..."

"Kan saya dah kata hari tu, saya akan call awak nanti. Awak tak boleh tunggu?" Sofia membalas dengan nada yang semakin marah, cuba menahan diri daripada meletup sepenuhnya.

Emir menarik nafas, cuba menenangkan dirinya sendiri. "Sofi, dah dua minggu kita balik dari Mystic Valley. Dua minggu saya tunggu awak cari saya. Awak tak call pun, tak ada langsung mesej. Awak faham tak hati saya ni meronta-ronta nak bincang pasal kita?"

Sofia terdiam seketika, jiwanya berperang antara rasa bersalah dan marah. "Awak tak boleh ambil keputusan besar macam tu sendiri. Awak terus datang meminang tanpa tanya saya dulu. Awak tak fikir perasaan saya?"

Emir menggeleng, kekecewaan jelas terpancar di wajahnya. "Saya tak tahu apa lagi nak buat, Sofi. Saya dah cuba. Saya tak tahu apa yang awak mahukan. Bila saya cuba datang dekat, awak menjauh. Bila saya beri ruang, awak menghilang. Nak awak jelaskan, Sofi, apa sebenarnya yang awak nak?"

Sofia membuka mulut, tetapi tiada kata-kata yang keluar. Emir mendekatinya, wajahnya serius dan terluka. "Awak kata awak sayang saya. Tapi kenapa awak lari, Sofi? Kenapa awak mengelak saya?"

Sofia meraup wajahnya, cuba mengumpul kekuatan. Dia duduk di sofa sambil memegang kepalanya yang terasa berat dengan segala emosi. Suaranya bergetar ketika dia berkata, "You know you're the only man I ever truly love... but you're also the only man who's ever been able to hurt me the way that you do..."

Emir terdiam, terpukul dengan kata-kata itu. "I never meant to—"

"Saya tahu, Emir. Saya tahu," Sofia mencelah, mengangkat tangannya untuk menahan Emir daripada meneruskan. "Tapi itu tak mengubah apa-apa. Perasaan sakit, takut tu masih ada, dan saya tak boleh lupa,"

Emir menunduk sejenak, rasa bersalah menyelubungi dirinya. "I'm so sorry for everything, Sofi. I'm sorry for hurting you. I never wanted to,"

Sofia ketawa kecil, tetapi ketawanya penuh dengan kesedihan dan kepahitan. "I'm still hurting inside, Emir. I'm so scared to be with you again because... if we fail again, I'm gonna be broken all over again. And I don't think I can survive that,"

Emir memejamkan matanya seketika, menarik nafas panjang. Hatinya juga terluka dengan pengakuan Sofia, tetapi dia tahu inilah peluangnya untuk memperbaiki segalanya. "Awak fikir saya tak takut, Sofi? I've been broken too. I know how it feels. I'm scared... really scared. But if it's you... then I'll do it!"

Sofia mengangkat wajahnya, mata mereka bertaut. Emir memandangnya dengan mata yang penuh harapan dan kasih. "There's nothing else I want... 'cause I want you, Sofi. I want you. And you're the only thing I want."

Air mata Sofia mula mengalir di pipinya. Dia tahu Emir ikhlas, tetapi hatinya masih terbelah antara rasa cinta dan takut. Perasaan itu begitu kuat, tetapi dia tahu jika mereka ingin melangkah semula, dia perlu belajar untuk percaya. Mereka berdua telah terluka, tetapi cinta yang masih tersisa adalah sesuatu yang berharga—sesuatu yang tidak mudah dilepaskan begitu sahaja.

Emir mendekatkan dirinya. "Kali ni, kita buat betul-betul, Sofi. Saya tak akan lepaskan awak lagi. Kita akan lalui semua ni sama-sama, okay?" lembut suara Emir menampar gegendang telinga Sofia.

Emir memandang Sofia dengan mata yang serius. "Okay?" dia bertanya sekali lagi, nadanya lembut tetapi jelas mengharapkan kepastian.

Sofia menunduk, merenung tangan yang masih memegang hujung bajunya. "Saya akan cuba," jawabnya perlahan, seakan takut untuk memberikan janji yang lebih besar.

Emir segera menggeleng. "Dah tak ada cuba-cuba lagi, Sofi. Ini betul-betul. Majlis kita akan berlangsung dalam masa tiga minggu lagi." Nadanya tegas dengan harapan.

Sofia terdiam, tidak menjawab. Fikirannya berserabut. Tiga minggu terasa terlalu singkat untuk sesuatu yang begitu besar. Emir memandang Sofia lama, menunggu reaksi.

"Tell me, do you want me or not?" suara Emir pecah kesunyian, serius memandang Sofia, seolah-olah cuba membaca isi hatinya.

Sofia mengangkat kepala, sekilas memandang wajah Emir, namun masih tiada kata-kata keluar dari mulutnya. Rasa bimbang masih bersarang dalam dirinya, tetapi dia tahu, dia tidak boleh terus begini.

Emir menarik nafas dalam. "Kalau awak tak nak... okay, kita postpone," katanya, nadanya mulai kecewa. Dia berpaling, langkahnya perlahan meninggalkan Sofia.

Sofia yang masih teragak-agak, tiba-tiba mengangkat kepalanya. Dari sudut matanya, dia terlihat Farish dan Irina bersembunyi di sebalik tangga, seolah-olah sedang berdoa, berharap kedua ibu bapa mereka tidak bertengkar lagi. Hatinya tersentuh melihat wajah berharap anak-anaknya.

"Okay, saya maklum mama kita postpone sampai awak ready," suara Emir makin berat, namun Sofia tahu dia tidak mahu memaksa.

Tiba-tiba, Sofia bertindak cepat. Dia menarik hujung baju Emir, membuatkan lelaki itu berhenti. "Stop!" arah Sofia dengan suara yang lebih tegas dari tadi.

Emir menoleh, matanya membulat terkejut. "Three weeks it is," kata Sofia perlahan tetapi penuh dengan keyakinan yang baru ditemukan dalam dirinya.

Emir tersenyum lega, senyuman yang jarang sekali terukir di wajahnya dalam beberapa minggu terakhir ini. "Alhamdulilah. Let's trust the process, okay? " bisik Emir, mendekatkan wajahnya sedikit, berharap Sofia benar-benar yakin dengan keputusan mereka.

Sofia mengangguk perlahan, masih cuba menenangkan debaran dalam dadanya. Dia tahu tiga minggu itu pendek, tetapi dia juga tahu, ini adalah keputusan yang perlu diambil untuk masa depan mereka.

Tiba-tiba, telefon bimbit Emir berbunyi, memecah keheningan di antara mereka. Emir membaca mesej seketika sebelum memandang Sofia kembali. "Jom ke sebelah, Elly kata mama dah nak balik."

Sofia mengangguk, tersenyum kecil. "Baiklah, kita ke sana dulu."

Dia menoleh ke arah tangga, memanggil anak-anak mereka. "Mama nampak kamu menyorok kat sana. Jom! Jumpa nenek dulu," kata Sofia sambil melambai ke arah Farish dan Irina yang segera berlari keluar dari tempat persembunyian mereka, wajah mereka penuh dengan kegembiraan dan kelegaan.

Emir berjalan mendahului, diikuti oleh Sofia di belakang. Hampir sahaja Sofia terlanggar belakang Emir apabila lelaki itu tiba-tiba berhenti. Dia berpusing menghadap Sofia, matanya memandang tepat ke dalam mata Sofia, seolah-olah ingin memastikan satu perkara terakhir.

"No more avoiding me, Sofia. Promise me," suara Emir lembut tetapi tegas, seolah-olah menuntut janji yang terakhir.

Sofia memandang wajah Emir lama, akhirnya tersenyum kecil sebelum mengangguk perlahan. "Saya janji," katanya. Kemudian, dengan nada lebih santai, dia menolak bahu Emir sedikit. "Sekarang, cepatlah keluar,"

Emir ketawa kecil, akhirnya melangkah keluar sambil diikuti oleh Sofia dan anak-anak mereka yang berlari riang. Mereka berempat bergerak menuju ke rumah sebelah untuk bertemu Datin Fauziah dan Elly, sambil hati Sofia sedikit demi sedikit mula terbuka untuk masa depan yang lebih cerah bersama Emir.

xxxxxx

Di The White Cottage, suasana petang itu tenang, hanya sesekali angin dari luar tingkap mengalir masuk, membawa kesejukan ke dalam rumah. Emir duduk di sofa, menghadap ke luar jendela dengan pandangan kosong. Di sebelahnya, Datin Fauziah dan Elly duduk bersandar, berbual ringan tentang pelbagai perkara, tetapi satu topik utama yang tak dapat dielakkan ialah hubungan antara Emir dan ayahnya, Datuk Emran.

Datin Fauziah memecah kesunyian dengan suara lembut, tetapi penuh kekhuatiran. "Angah... Mama nak tanya, bila nak buat majlis awak dengan Sofia nanti, mama kena bagitahu papa tak? Kalau nak, mama boleh cakap dengan dia."

Emir menggeleng kepala perlahan, wajahnya masih memandang keluar jendela, seolah-olah cuba menghindari topik itu. "Tak payah, ma. Angah tak nak libatkan papa dalam apa-apa urusan angah,"

Datin Fauziah menundukkan wajah, rasa sedih jelas terpancar di matanya. Hati seorang ibu yang selalu berharap dua anak-beranak itu dapat berbaik semula. "Tak kan sampai sekarang angah tak boleh maafkan papa? Mama tahu papa buat salah, tapi mama nak tengok angah dengan papa berbaik macam dulu. Tak bolehkah angah bagi papa peluang?"

Emir tersentak dengan kata-kata itu, tetapi dia segera menarik nafas dalam dan menggelengkan kepala. "Ma... dah lama hubungan angah dan papa tak okay, ma. Sejak Along meninggal...," suara Emir sedikit tersekat di situ. Ada kesedihan lama yang masih belum padam.

Elly, yang duduk di sebelah Emir, turut merasakan beratnya perbualan itu. Dia meletakkan tangannya di atas lengan Emir, cuba memberikan sokongan. "Ngah, kita semua rindu Along... Tapi papa masih papa kita. Mungkin kalau angah berbaik dengan dia, semua ni boleh berubah."

Emir menundukkan kepalanya, membuang pandangan ke arah luar jendela, memerhati daun-daun yang berterbangan ditiup angin. Memori lama bersama kembarnya kembali menghantui fikirannya—memori sebelum semuanya berubah. Sebelum kematian Emir Faiq, sebelum hubungan dia dan papanya renggang.

"Ma, Dik... Angah tak boleh. Bukan soal maaf atau tak. Angah dah cuba bertahan lama... tapi sejak Along meninggal, papa tak pernah sama. Dia buat angah macam angah ni tak ada perasaan," kata Emir, suaranya perlahan tetapi penuh dengan rasa kecewa yang terpendam sekian lama.

Datin Fauziah menghela nafas panjang, menahan air mata yang mula bergenang di pelupuk matanya. "Papa tu... memang keras hati. Tapi mama tahu, jauh di sudut hati dia, dia masih sayangkan angah. Mungkin dia tak pandai tunjuk. Mungkin dia tak tahu macam mana nak minta maaf,"

Emir menggeleng kepala lagi, kali ini lebih tegas. "Itu masalahnya, ma. Papa tak pernah cuba. Papa tak pernah nampak kesalahan dia. Bagi papa, semua salah orang lain. Angah... Angah tak nak teruskan hidup dalam bayang-bayang papa. Ini masanya angah hidup tanpa papa,"

Kata-kata Emir itu membuat suasana di ruang tamu terasa lebih berat. Elly memandang Datin Fauziah dengan pandangan penuh simpati. Dia tahu hati ibunya pasti terluka mendengar keputusan Emir.

"Ngah, tak salah kalau cuba bagi peluang sekali lagi," Elly bersuara perlahan, cuba meredakan ketegangan. "Mungkin majlis kahwin angah dengan Sofi boleh jadi titik mula untuk semua ni."

Emir mengangkat bahunya perlahan, seolah-olah tidak mahu terus berbincang tentang perkara itu. "Adik... aku tak boleh paksa diri. Aku dah cuba sebelum ni. Tapi sekarang, aku cuma nak fokus pada Sofia, Ayish, Rin... dan hidup aku sendiri. Itu saja."

Datin Fauziah memandang wajah anaknya, rasa sayu jelas tergambar di wajahnya. Dia tahu, Emir sudah terlalu lama terluka. Dan walaupun hatinya sebagai ibu mahu menyatukan kembali keluarga ini, dia terpaksa menerima kenyataan bahawa mungkin, hubungan antara Emir dan Datuk Emran tidak akan kembali seperti dulu.

"Apa pun keputusan angah... Mama cuma harap satu hari nanti angah boleh maafkan papa. Walaupun dia tak pandai tunjuk, mama tahu dia masih sayangkan angah," kata Datin Fauziah perlahan, seolah-olah berbicara lebih kepada dirinya sendiri.

Emir tidak menjawab, tetapi matanya masih terpaku pada jendela, memandang ke arah luar dengan fikiran yang jauh melayang. Hatinya yang terluka bertahun-tahun sukar untuk disembuhkan, dan dia tahu bahawa ada perkara yang tidak boleh dipaksa—termasuklah untuk memaafkan papanya.

Suasana di ruang tamu yang tadi penuh dengan ketegangan beransur tenang. Elly, yang duduk di antara Emir dan Datin Fauziah, cuba menukar topik perbualan yang lebih ringan, memandangkan beratnya bicara tentang hubungan Emir dengan Datuk Emran tadi.

Elly menarik telefon bimbitnya, membuka Google untuk mencari idea tentang hantaran-hantaran buat Sofia. "Okay, sekarang kita bincang hantaran untuk Sofi. Mama, angah.. Jom tengok apa yang sesuai," kata Elly sambil tersenyum kecil, cuba menceriakan suasana.

Datin Fauziah yang duduk di sebelah Elly turut mengangguk. "Betul, mama pun dah fikir. Sofi tu... dia berhak dapat yang terbaik. Jadi, apa kita nak bagi ya?" Elly tersenyum kecil, bersetuju dengan Datin fauziah.

Datin Fauziah memandang Emir dengan penuh kasih. "Angah, mama nak pesan ni, Sofia tu bukan sekadar isteri. Dia wanita yang luar biasa. Kalau dia mampu lalui semua tu dulu seorang diri, tak ada sebab kenapa dia tak mampu jadi isteri yang baik untuk angah sekarang."

"Angah janji, ma. Angah akan jaga Sofi sepenuh hati kali ni. Angah tak akan sia-siakan dia lagi," kata Emir, suaranya penuh dengan keazaman.

Elly tersenyum, wajahnya penuh harapan untuk masa depan abangnya dan Sofia. "Good! Itu yang aku nak dengar. Aku ni saksi tahu, macam mana terseksanya dia dulu,"

Datin Fauziah mengangguk kecil, memegang tangan Emir. "Mama percaya pada angah. Mama sebagai seorang perempuan dapat memahami hati Sofia. Luarannya dia nampak tabah dan kuat tapi percayalah di dalam hati Sofi yang paling dalam, dia dah lama tunggu angah betulkan semua ni. Kalau angah sayang dia, buktikan,"

Emir mengangguk perlahan, merenung kembali apa yang perlu dilakukannya selepas ini. Dia tahu perjalanannya masih panjang, tetapi dia sudah bersedia untuk memperbaiki segalanya—demi Sofia, dan demi cinta yang masih ada di antara mereka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience