Bab 55

Romance Completed 59279

Emir masih berdiri di tepi tingkap, merenung kosong ke luar. Fikirannya berkecamuk, sukar untuk ditenangkan. Perasaannya kini seperti ombak yang bergelora—terkejut, marah, kecewa, semua bercampur baur. Bagaimana dia boleh diperlakukan sebegini rupa oleh ayahnya sendiri? Bagaimana lelaki-lelaki di sekelilingnya, yang sepatutnya dia hormati, hanya memikirkan tentang kekayaan dan kuasa?

"Semua ni sebab harta," Emir berbisik sendiri, tangan menggenggam kuat hingga bergetar. Mamanya dan Isha sudah pulang, tapi kata-kata mereka masih bergema di benaknya. Permintaan yang dipaksakan, perkahwinan yang sepatutnya memperkukuhkan legasi Jutaya Holdings—semua itu hanya menguatkan amarahnya. Dia cuba menenangkan diri dengan menonton televisyen, tetapi gagal. Semua bunyi di sekelilingnya seolah-olah tak bermakna, tenggelam dalam kekusutan fikirannya.

Dengan perasaan yang semakin marak, Emir mencapai telefon bimbitnya. Dia membuka senarai nombor, matanya tertancap pada nama papanya. Jarinya hampir menekan butang panggil, tetapi sebelum sempat dia melakukannya, telefonnya tiba-tiba berdering. Nama yang tertera di skrin membuat jantungnya berdegup kencang.

- Sofia

Dia segera menjawab panggilan itu, cuba menahan suara yang serak dengan emosi yang tertahan.

"Hello, Emir?" suara Sofia di hujung talian kedengaran lembut, namun ada sesuatu yang menenangkan tentangnya. "Awak nak makan tak? Kalau nak, saya suruh Aisyh hantarkan makanan. Ayish dan Rin baru balik sekolah."

Emir menarik nafas panjang, cuba mengendurkan ketegangan di dalam dirinya. "Nak juga tapi... tak boleh ke awak yang hantarkan? Saya tunggu kat pagar."

Sofia terdiam sebentar, sebelum menjawab perlahan. "Okey, saya hantarkan."

Emir tersenyum nipis, walaupun Sofia tidak dapat melihatnya. "Saya tunggu."

Beberapa minit kemudian, Emir sudah berada di luar rumah, berdiri di pagar, menunggu Sofia. Hatinya terasa sedikit lega mengetahui Sofia akan datang. Kehadiran Sofia selalu memberikannya rasa tenang yang sukar dia gambarkan. Ketika dia melihat senyumah Sofia, perasaannya sedikit berubah—daripada marah, bertukar tenang.

Sofia berjalan dengan tenang, membawa bungkusan nasi ayam yang dia masak. Setiap langkahnya semakin mendekat, dan akhirnya mereka berdua berdiri berhadapan di pagar.

Emir merasakan sedikit kelegaan hanya dengan memandang Sofia. Sofia sempat mengerling ke arah rumah Emir. Matanya seolah-olah sedang mencari sesuatu, tetapi dia cuba mengawal riak wajahnya.

"Tengok apa?" Emir bertanya. 

Sofia cepat-cepat menggeleng kepala. "Tak ada apa." Emir seakan dapat membaca riak wajah Sofia tersenyum. Dia melihat bagaimana Sofia cuba menyembunyikan perasaannya. "Awak cari Isha ke?"

Mata Sofia terus memandang Emir, dan ada sesuatu dalam pandangan itu yang membuat Emir tersentak sekejap. Namun dia tetap mengekalkan nada santai. "Isha tidur kat atas tadi. Penat sangat, banyak fikirkan hal kami."

Sofia tersenyum, tetapi senyumannya nampak tidak ikhlas. Dia menyerahkan bungkusan nasi ayam itu tanpa berkata apa-apa. Tanpa menunggu lama, Sofia berpusing dan mula berjalan masuk semula ke dalam rumahnya.

Emir ketawa kecil. "Sofi," dia memanggil dengan nada yang agak nakal, membuatkan Sofia berhenti dan berpusing memandangnya dengan dahi berkerut. "Awak ni, kalau jealous, bagitahulah. Tak payah buat muka macam tu."

Sofia mengangkat kening dan memusingkan anak matanya. "Jealous?" Dia cuba bersikap tidak peduli, tetapi jelas ketegangan itu masih ada.

"Isha dan mama dah balik tadi. Saya tak simpan apa-apa pun dari awak." Emir melemparkan senyuman yang lebih lembut kali ini. "Boleh tak... saya nak makan kat rumah awak?"

Sofia memandang Emir lama, mungkin cuba membaca apa sebenarnya yang Emir mahukan. Setelah beberapa saat, dia menghela nafas pendek dan mengangguk. "Masuklah."

Tanpa perlu menunggu lebih lama, Emir tersenyum gembira dan segera mengikuti Sofia masuk ke dalam rumah. Di dalam, suasana kelihatan lebih riuh dan ceria. Farish dan Irina, anak-anak kembar mereka, sedang duduk di meja makan, masing-masing menghabiskan sisa-sisa makanan mereka.

"Eh, Papa!" Senyuman Farish meleret, nampak jelas dia teruja dengan kehadiran Emir.

Irina juga tersenyum manis, matanya bersinar-sinar. "Papa! Baru dua hari tak makan sama-sama, dah rindu dengan papa!"

Emir ketawa kecil sambil duduk di sebelah mereka, menyuap nasi ayam yang dihidangkan oleh Sofia. Perbualan antara dia dan Isha dilupakan sejenak. Bersama-sama anak-anak dan Sofia  segala kerumitan yang menyesakkan fikirannya pudar.

"Macam mana sekolah hari ni?" Emir memulakan perbualan sambil menghirup air dari gelasnya, memandang Farish dengan penuh kasih sayang.

Farish mengangkat bahu sambil menyuap nasi ayam. "Macam biasa je, Pa. Cikgu Azmi bagi kerja rumah banyak gila! Tapi tadi masa rehat, kami main bola sepak kat padang."

Irina mengangguk dengan kuat, "Betul! Ayish main dengan kawan-kawan dia, semua seronok. Dia cuba jadi penjaga gol tapi... kalah juga." Irina ketawa kecil sambil mengejek Farish, yang hanya tersenyum malu.

"Eh, tak adalah. Ayish tak kalah sebab tak bagus, papa. Ayish kalah sebab bola tu laju sangat. Dah lah padang tu basah, jadi tergelincir!" Farish cuba mempertahankan diri dengan penuh semangat.

Emir ketawa sambil memandang kedua-dua anaknya. "Ayish jadi penjaga gol, ya? Wah, makin suka main bola sekarang. Papa dulu pun selalu main bola masa sekolah dengan Papa Dil. Nanti  papa dengan papa Dil boleh ajar Ayish,"

Farish tersengih. "Betul? Papa ajar betul-betul tau! Nak jadi yang terbaik kat sekolah."

Emir mengangguk penuh semangat, matanya penuh kasih sayang terhadap Farish. Kemudian dia memandang Irina yang nampak seperti sedang menunggu giliran untuk bercerita.

"Rin pula macam mana hari ni? Ada apa-apa menarik kat sekolah?" tanya Emir, tersenyum ke arah anak perempuannya.

Irina mengangguk dengan bersungguh-sungguh, wajahnya bercahaya penuh semangat. "Ada! Kami ada aktiviti melukis hari ni. Cikgu suruh semua orang lukis pemandangan yang paling kita suka, danRin lukis gambar camping dengan keluarga kita semua sekali!"

Emir tersenyum bangga, cuba membayangkan lukisan Irina. "Camping? Kenapa pilih camping?"

Irina tersenyum lebar, "Sebab Rin suka kita camping masa kat Valley Hilltop hari tu. Semua ada masa tu. Rin kalau boleh nak setiap hari camping dengan papa dan mama,"

Emir merasa hatinya tersentuh mendengar cerita Irina. Walaupun dia dan Sofia telah berpisah, mereka masih satu keluarga dalam hati anak-anaknya.

"Wah, mesti cantik lukisan Rin. Nanti bila ada masa, kita camping lagi, okay?" Emir berkata, mengusap kepala Irina dengan penuh kasih.

Irina menepuk tangan penuh kegembiraan. "Betul ni, papa? Rin tak sabar!" Farish yang mendengar turut bersorak.

Emir tersenyum, rasa bangga terhadap anak-anaknya semakin membesar. Walaupun dia terlepas lapan tahun kehidupan bersama mereka, hubungan yang mereka bina semakin kuat. Ini adalah momen-momen yang membuatkan Emir sedar betapa berharga peranan seorang ayah dalam hidup mereka.

"Of course," Emir menjawab. "Nanti, kita camping pula tempat lain. Kita create new memories,"

Selepas makan, Emir terus meluangkan masa bersama Farish dan Irina di ruang tamu, membantu mereka menyelesaikan kerja sekolah. Farish yang sibuk dengan matematik, sambil sesekali bertanya kepada Emir cara penyelesaian masalah, manakala Irina duduk bersandar di sebelahnya, tekun menyiapkan lukisannya.

Sofia yang mendengar dari dapur, sedang membersihkan peralatan memasak, tersenyum kecil mendengar perbualan mereka. Hatinya sedikit tenang melihat Emir begitu rapat dengan anak-anak mereka. Walaupun hubungan dia dan Emir belum pulih sepenuhnya, Sofia tahu Emir adalah ayah yang baik. Itu sesuatu yang tak boleh dinafikan, dan dia menghargai betapa Emir menyayangi Farish dan Irina.

Tiba-tiba, Wafa melangkah masuk ke dapur, baru selesai mandi dan solat. Dia memandang ke arah ruang tamu sebelum melemparkan senyuman nakal kepada Sofia.

"Eh, kat depan tu nampak macam practice jadi whole family balik je," Wafa mengusik sambil mengambil sebiji epal dari dalam peti sejuk.

Sofia tersenyum hambar, tapi tak berkata apa-apa. Tangannya masih ligat mencuci pinggan, cuba fokus pada kerja, walaupun fikirannya jelas terganggu.

Hani, yang duduk di kaunter dapur sambil memerhatikan Sofia, ketawa kecil. "Member kita ni, Fa, tak berhenti-henti renung bakal laki dia. Dari tadi aku perhati aje,"

Sofia mendengus perlahan, cuba mengabaikan usikan itu. "Kepohlah kau otang ni. Mana ada aku asyik renung dia,"

Kedengaran suara lembut memberi salam dari pintu depan. Serentak mereka berpaling.

"Assalamualaikum!" Mia  melangkah masuk ke dapur sambil tersenyum lebar.

"Waalaikumussalam," Sofia menjawab sambil tersenyum kecil. Mia segera menyertai mereka di dapur, berdiri di sisi Sofia.

"Eh, bukan main happy anak-anak kau sekarang, ya? Sejak Emir ada ni, aku tengok kau makin berseri-seri. Ada dah jawapankah?" Mia berkata sambil mencuit lembut bahu Sofia.

Sofia terdiam sejenak, mengucap panjang, dan meletakkan jari telunjuk di bibirnya, memberi isyarat kepada Mia untuk diam. "Jangan kuat sangat. Nanti Emir dengar,"

Mia tergelak kecil, lalu Hani dan Wafa turut sama ketawa melihat reaksi Sofia. "Kami cakap perlahan je ni. Kau tu yang volume tak boleh nak kawal," Hani menjawab sambil tersenyum nakal.

Ketawa mereka makin menjadi, dan Sofia hanya menggeleng kepala sambil meneruskan tugasnya di sinki. Namun, kata-kata Mia tadi terus terngiang-ngiang di kepalanya. Mia, walaupun sering bergurau, kadang-kala kata-katanya mengena di hati. Sebelum ini, perasaan Sofia terhadap Emir memang tak pernah terdetik untuk dibangkitkan, tapi kini, dengan Emir kembali dekat dengan anak-anak, perkara itu mula mengganggu fikirannya.

"Kalau kau sayang dia, jangan tunggu lama-lama, Sofia. Kau pun tahu macam mana Emir tu, kan? Dia ikut cakap mak bapanya. Nanti melepas kali kedua, macam dulu. Kau nak lari ke negeri mana lagi?" Mia berkata dengan nada separuh bergurau, tapi kata-kata itu menusuk hati Sofia seperti panah tepat ke sasaran.

Sofia terpaku seketika. Wafa, yang perasan ketegangan di wajah Sofia, segera menyiku Mia, cuba menyuruhnya berhenti. "Mia, dahlah. Kau ni macam tak ada tapis."

Mia cepat-cepat mengangkat tangan tanda minta maaf. "Sorry, Sofi. Aku tak maksudkan macam tu. Maksud aku..."

Sofia segera memotong kata-kata Mia, menahan perasaannya yang mula goyah. "Tak apa, aku faham. Tapi aku masih fikir lagi. Kalau ada jodoh, adalah. Kalau tak ada, aku move on ajelah."

Suasana sejenak menjadi sunyi. Kata-kata Sofia menggambarkan perasaan dalaman yang dia cuba sembunyikan selama ini—keputusan untuk terus berdiri teguh sebagai seorang ibu tunggal, walaupun hatinya masih bergolak dengan perasaan yang belum pasti.

Hani yang tak mampu menahan diri, menyampuk, "Bukan kau dah move on ke, Sofi? Dah lapan tahun jadi single mother, tak move on lagi ke?" Dahi Hani berkerut, seolah-olah tak faham kenapa Sofia masih terperangkap dalam perasaan yang dulu.

Sofia menarik nafas panjang, lalu meletakkan pinggan terakhir di atas rak pengeringan. "Aku ingat aku dah move on, Ni. Tapi hari ni... aku sedar sesuatu. Aku belajar hidup tanpa dia aje selama ini,"

Wafa yang mendengar, mengangguk seakan-akan memahami situasi Sofia. "Aku rasa aku tahu maksud kau. Kalau dah sayang sekali tu bukannya senang nak buang macam itu aje,"

Sofia tunduk, merenung air yang masih mengalir di dalam sinki. Hatinya terasa berat, di antara rasa takut untuk membuka hati semula kepada Emir dan rasa sayang yang tak pernah hilang sepenuhnya. Selama ini, dia kuat kerana anak-anak, tetapi kini Emir ada semula dalam hidup mereka, mendekati Farish dan Irina. Ia seolah-olah memberi isyarat kepada Sofia untuk mempertimbangkan semula segala yang telah dia putuskan.

"Tapi... aku masih tak pasti. Luka dulu tu masih terasa. Aku tak tahu kalau aku mampu melalui semua ni sekali lagi," Sofia berkata perlahan, hampir kepada dirinya sendiri.

Mia memegang bahu Sofia dengan lembut, senyuman yang lebih lembut kali ini di wajahnya. "Sofi, tak ada siapa yang boleh paksa kau buat apa-apa. Tapi kalau hati kau masih ada rasa, jangan biarkan ia terpendam terlalu lama. Kadang-kadang, kita perlu beri peluang kedua, bukan untuk orang lain, tapi untuk diri sendiri."

Sofia memandang Mia sejenak sebelum mengangguk perlahan. "Aku akan fikirkan. Tapi untuk sekarang... aku tak mahu tergesa-gesa."

Wafa, Hani, dan Mia semua saling berpandangan, tersenyum penuh makna. Mereka tahu Sofia sedang dalam kebinggungan tetapi dalam hati mereka, mereka semua berharap Sofia akan menemui keberanian untuk memberi peluang kedua kepada Emir, walaupun ia mungkin membawa risiko.

"Aku naik dulu, nak solat..." Sofia meninggalkan mereka.

Usai solat, sofia menapak turun dari tangga. Langkahnya perlahan tetapi matanya terus terpaku ke arah pintu depan rumah. Di sana, Wafa dan Mia sedang berbual dengan Emir. Lelaki itu berdiri dengan tangan di dalam poket, sambil sesekali tersenyum dan mengangguk. Wajahnya kelihatan lebih tenang sekarang, berbanding sebelum ini ketika petang tadi. Sofia berhenti seketika di pertengahan tangga, mendengar perbualan yang tidak begitu jelas.

Seketika kemudian, Emir minta diri untuk pulang. Dia melambai kepada Wafa dan Mia, sebelum berpaling dan berjalan ke arah rumahnya. Sofia, yang masih berdiri di tangga, terus melangkah ke arah ruang tamu sebaik sahaja Emir hilang dari pandangan.

"Apa yang kau orang bualkan dengan Emir tu?" Sofia bertanya sambil mengambil tempat duduk di sofa, berhadapan dengan Wafa yang sedang tersenyum nakal.

Wafa mengangkat kening, senyumannya semakin lebar. "Jealous ke?"

Sofia mengeluh dan memukul lengan Wafa dengan perlahan. "Aku tanya aje, tak payah nak buat andaian," balas Sofia sambil tersenyum, cuba menyembunyikan rasa segan.

Mia tersenyum lembut ke arah Sofia. "Tak ada apa pun yang penting. Wafa ni saja tadi tanya Emir kalau Rasa Riang terima intern atau tak. Adik saudara dia, Isabella, tengah cari tempat untuk buat praktikal."

Sofia tergelak kecil. "Isabella? Bella?Dia tengah cari tempat praktikal? Aku ingat dia masih belajar." Membuntang mata Sofia.

Wafa mengangguk. "Haah, dia sekarang dah 23 tahun. Tak lama lagi habis belajar, jadi tengah cari tempat untuk intern. Aku ingat Rasa Riang sesuai, kan? Lagipun, kos dia dalam bidang pengurusan acara."

Sofia tersenyum, membayangkan Isabella—gadis yang dulu dia kenal sebagai seorang remaja tinggi lampai dan comel. "Mesti dah banyak berubah sekarang," Sofia berkata.

Wafa menyambung, "Sekarang kalau kau orang jumpa dia, dah makin lawa. Makin pandai bergaya!"

"Bukan dia ada ikut pertandingan ratu cantik tahun lalu?" soal Sofia pula

Mia tersenyum sambil mengangguk. "Ya, dia second runner up dan Miss Popular kalau tak silap, kan Fa? Aku nampak gambar dia kat Instagram, memang lain macam. Aku rasa Rasa Riang untung besar kalau ambil dia sebagai intern."

Hani ketawa kecil, "Kita dah tua guys. Dulu kita berjumpa kat rumah kau, ada aje dia menyelit kat mana-mana nak ikut,"

Wafa ketawa kecil. "Itulah, kalau berdiri sebelah dia memang rasa diri ini ortu. Nasib baik Emir sudi nak bantu. Nanti dia sendiri akan uruskan internship Bella,"

"Eloklah tu, senang sikit nak berurusan," kata Sofia.

"Mungkin dia akan tinggal kat sini sementara, hostel dia agak jauh," terang Wafa.

"Boleh aje, the more the merrier," jawab Sofia.

"Esok pagi dia datang," ujar Wafa lagi diikuti dengan anggukan Sofia. Sofia yang mulai rasa mengantuk meminta diri untuk naik. Wafa, Mia dan Hani tidak bersuara hanya senyuman meleret terukir di wajah masing-masing.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience