Keesokan paginya, udara pagi terasa segar di sekitar rumah sewa Sofia. Isabella tiba di rumah dengan beg pakaiannya, wajahnya ceria walaupun sedikit keletihan selepas perjalanan dari kampus. Pintu rumah dibuka perlahan, dan Sofia segera menyambutnya dengan senyuman hangat.
"Bella! Ya Allah, makin cantik dah sekarang," Sofia memuji sambil memeluk Isabella erat.
Isabella tersenyum malu, namun jelas gembira dengan sambutan Sofia. "Terima kasih, Kak Sofi. Lama dah tak jumpa, rindu betul dengan semua orang!"
Wafa, yang mengambil cuti pagi itu, datang dari dapur sambil membawa dulang yang berisi cawan-cawan dan teko air panas. "Bel, duduklah dulu. Akak dah buatkan minuman panas untuk kau," katanya dengan senyum lebar, meletakkan dulang di atas meja.
Isabella mengambil tempat duduk di meja makan, tersenyum sambil menghela nafas lega. "Terima kasih, Kak Wafa. Seronok dapat datang sini."
Ketika mereka semua duduk, terdengar suara di luar pintu. "Assalamualaikum!" Emir memberi salam, suaranya penuh dengan ceria seperti biasa.
Sofia memandang ke arah pintu dan menjawab, "Waalaikumussalam." Dia berjalan membuka pintu, tersenyum ketika Emir melangkah masuk ke dalam rumah. "Masuklah, Emir."
Emir melangkah masuk sambil menyapa Sofia. Wafa yang sedang berdiri di sebelah Isabella segera berdiri. "Bella, inilah abang Emir yang akak bagitahu tu. Tapi, kalau kat Office nanti tak bolehlah panggil abang ya," Isabelle berdiri hendak menghulurkan tangannya namun cepat ditahan Wafa.
Isabella tersenyum, sedikit tersipu. "Eh, sorry... Betullah ni dapat intern kat pejabat abang?" Emir mengangguk lalu mengambil duduk di sebelah Isabella tanpa mengendahkan Sofia yang sejak tadi menanya sesuatu pada Emir.
"Kos Bella memang sesuai intern tempat abang, Department Event Management memang tengah sibuk sekarang ni," Emir bersuara.
Sofia mengambil cawan lalu menuangkan teh panas di dalamnya. Baru hendak meletakkan di hadapan Emir, lelaki itu tanpa sengaja tertolak tangan Sofia. "Argh!" jeritan Isabella memenuhi ruang dapur mereka. Isabella terkejut, lantas berdiri cepat, cuba menahan kesakitan dari kopi panas yang mengenai kulitnya.
"Allahu... Sorry Bella. Abang tak sengaja," lelaki itu mencapai tisu di atas meja lalu mengelap lengan Isabella.
Sofia juga terkena percikan kopi itu, tetapi dia tetap tenang. Hani, yang duduk di sebelahnya, segera mengambil tisu dan mengelap tangan Sofia dengan lembut. "Kau tak apa ke?" tanya Hani dengan nada risau.
Sofia hanya mengangguk, tetapi matanya tidak lepas daripada memerhatikan Emir yang kelihatan cemas, tergesa-gesa membantu Isabella. Hani menarik Sofia menuju ke singki membiarkan tangan Sofia dilalukan dibawah air paip.
"Merah dah ni," ujar Hani. Dia menyuruh Sofia duduk di kaunter dapur sambil dia mencari kotak kit kecemasan.
Sofia tidak memaparkan sebarang riak kesakitan, perhatiannya tertumpu ke arah Emir dan Isabella. Ada sesuatu dalam cara Emir memandang Isabella yang membuatkan Sofia tidak selesa. Dia cuba mengabaikan perasaan itu, tetapi hatinya mula berasa resah.
Emir masih sibuk memastikan Isabella tidak cedera. "Maaf, Bella. Abang betul-betul tak sengaja," dia berkata dengan wajah penuh rasa bersalah.
Isabella tersenyum kecil, cuba meredakan situasi. "Tak apa, bang. Saya okey. Tak sakit sangat pun,"
Hani yang membantu Sofia menyapu krim di tangannya, menoleh dengan mata penuh pemahaman. Dia perasan perubahan emosi Sofia, tetapi tidak berkata apa-apa. Senyuman kecil terukir di wajahnya seolah-olah dia tahu apa yang sedang bergolak di dalam hati Sofia.
Setelah keadaan sedikit tenang, Wafa bersuara untuk memecah keheningan. Emir memandang Sofia sekilas, akhirnya menyedari Sofia juga terkena kopi tadi. "Sofi, awak pun terkena kopi? Saya tak perasan tadi. Sorry ya," Sofia tersenyum hambar sambil menggeleng.
Selesai insiden kopi tadi, suasana kembali tenang di ruang tamu. Emir memandang Isabella yang duduk di hadapannya, masih dengan senyuman di wajahnya. Dia tahu adik saudara Wafa ini memiliki potensi yang besar, dan dia tidak mahu melepaskan peluang untuk membimbing Isabella di Rasa Riang.
"Bella," Emir memulakan dengan tenang, "Abang dah semak resume dan permohonan intern Bella. Jadi, tak perlu tunggu lama. Kalau Bella nak, esok boleh ikut abang ke pejabat. Abang sendiri akan uruskan proses surat intern Bella."
Isabella tersenyum lebar, jelas teruja dengan berita itu. "Betul ke, Bang? Saya boleh mula secepat tu?"
Emir mengangguk. "Ya, abang rasa tak perlu tunggu lama. Syarikat perlukan tenaga baru, dan bella pun boleh belajar banyak benda di sana. Selain itu, abang sendiri yang akan pantau perkembangan awak."
Isabella mengangguk penuh semangat. Namun, dia kemudian teringat sesuatu yang penting. "Oh ya! Bang, saya kena hantar surat jawapan dari Rasa Riang ke kolej dulu sebelum mula internship. Kena ada pengesahan dari tempat saya buat praktikal."
Emir tersenyum, memandang Isabella dengan penuh yakin. "Tak perlu risau. Abang akan minta PA abang uruskan hal tu. Bella tak payah pening kepala. Esok kita terus ke pejabat, dan Bella boleh mula kenal-kenal dengan tempat kerja."
Wafa yang duduk di sebelah Isabella tersengih, jelas seronok melihat situasi ini. "Hah, senanglah nanti, Bella. Kalau diterima kerja kat Rasa Riang, senang nak ke pejabat. Boleh tumpang Emir. Betul tak, Emir?"
Emir mengangguk sambil tersenyum lagi ke arah Isabella. "Ya, tak ada masalah. Nanti kita pergi sama-sama."
Sofia yang duduk di tepi meja makan, mendengar perbualan itu dengan hati yang bercampur baur. Dia cuba tersenyum untuk tidak kelihatan tertekan, tetapi di dalam hatinya, dia terasa seperti ada sesuatu yang tidak kena. Gelojak perasaan yang sejak tadi cuba dikawal kini mula menguasai dirinya. Melihat Emir yang begitu gembira dengan Isabella, senyuman dan perhatian yang Emir tunjukkan kepada gadis itu membuatkan Sofia terasa pahit di dalam hati.
Sofia Irdina! Stop it! Stop It!" dia berbicara dalam hati. Walaupun cuba untuk kekal tenang, Sofia tak dapat mengelak daripada merasai sedikit rasa cemburu yang semakin menyusup masuk.
"Have fun everyone!" Sofia akhirnya bersuara, memaksa dirinya tersenyum sebelum dia melangkah masuk ke dalam biliknya.
Sebaik pintu biliknya tertutup di belakangnya, Sofia menarik nafas panjang. Perasaannya bercelaru. Emir nampak begitu mesra dengan Isabella, dan walaupun Sofia tahu itu urusan kerja, hatinya tetap tak dapat tenang. Dia cuba menafikan bahawa dia sedang cemburu, tetapi semakin dia cuba, semakin jelas perasaan itu menekan dalam hatinya.
Dengan cepat, Sofia mencapai telefon bimbitnya dan mendail nombor pejabat. Kerani pejabatnya menjawab panggilannya dengan pantas.
"KKTA Ada apa boleh saya bantu ?"
Sofia menarik nafas perlahan sebelum bercakap. "Kak Jia! Sofia ni...Saya nak maklumkan yang saya akan masuk kerja tengah hari ni. Tolong batalkan cuti sakit yang saya dah bagi dengan kak petang semalam tu,"
Suara di hujung talian kedengaran sedikit terkejut. "Oh, kau tak nak rehat lagi? Boleh, nanti saya akan batalkan cuti tu."
"Ya, batalkan cuti saya. Daripada saya diam di rumah, baik saya datang kerja. Terima kasih ya," kata Sofia sebelum menamatkan panggilan.
Dia meletakkan telefon di atas meja dan mengeluh panjang. Daripada aku terus overthinking kat rumah, lebih baik aku sibukkan diri dengan kerja. Sekurang-kurangnya, aku tak akan biarkan perasaan gila ni terus menghantui aku, fikirnya.
Sofia cuba meyakinkan dirinya bahawa bekerja adalah penyelesaian terbaik untuk mengalihkan fikirannya daripada Emir dan Isabella.
Wafa terkejut melihat Sofia yang sedang bersiap untuk keluar. Pakaian kerjanya kemas, dan beg tangan sudah tergantung di bahu.
"Sofia! Kau nak pergi mana ni?" tanya Wafa dengan mata terbelalak, tak percaya melihat Sofia yang sepatutnya masih bercuti.
Sofia tersenyum sambil memeriksa barang-barangnya. "Aku nak ke pejabat. Penat dah duduk rumah lama-lama. Lagipun, aku rasa dah tiba masa untuk aku kembali bekerja."
Wafa mengerutkan dahi, jelas risau. "Tapi kau baru je discaj dari hospital, Sofi. Tak nak sambung rehat dulukah? Kau tak nak cuti panjang sikitkah?"
Sofia menggeleng sambil mengunci pintu rumahnya. "Rehat terlalu lama pun tak elok, Faa. Aku tak boleh duduk diam. Kalau terus berehat, makin banyak benda yang aku overthink. Baik aku sibukkan diri."
Wafa tersenyum kecil, faham perasaan Sofia. "Kalau macam tu, hati-hati ya. Jangan paksa diri sangat."
Sofia hanya mengangguk sebelum melangkah menuju ke keretanya. Dia memandu perlahan, membiarkan fikiran kembali tenang sejenak sebelum tiba di pejabat. Jalan raya tengah hari itu tidak terlalu sesak, dan Sofia dapat menikmati perjalanan dengan tenang. Sesekali, dia melihat cermin pandang belakang, berfikir tentang apa yang akan berlaku sebaik sahaja dia sampai di pejabat.
Sesampainya di pejabat, Sofia disambut oleh Pengarahnya, Encik Samat yang kebetulan baru sampai dari makan tengah hari.
"Wah, Sofia! Tak sangka awak dah balik kerja!" kata Encik Samat.
Sofia tersenyum mesra. "Saya rasa dah cukup lama berehat. Lagipun, ada banyak kerja yang perlu saya uruskan."
Maryam dan Ayu yang baru masuk juga segera menghampiri Sofia, Maryam menyapa dengan nada sedikit hairan, "Cik Piah! Lah, ingatkan akak rehat lama lagi. Baru aje keluar hospital kan?"
Sofia tersenyum lembut, walaupun hatinya sedikit tersentuh dengan keprihatinan mereka. "Cuti panjang sangat tak elok untuk saya. Lagi lama saya duduk rumah, lagi banyak saya fikir macam-macam. Lagipun, saya rindukan suasana kerja."
Ayu, yang terkenal dengan kegilaan pada cerita hindustan, mengangguk sambil menari kecil. "Dah boleh party!" disambut dengan tawa mereka semua.
"Terima kasih sebab risaukan saya. Jangan risau, saya dah okey sekarang." ujar Sofia sambil berjalan beriringan dengan Maryam dan Ayu.
Setelah berbual sebentar, Sofia melangkah menuju ke perpustakaan, ruang kerjanya yang lama dia tinggalkan. Langkahnya terasa berat sedikit, mungkin kerana dia sudah lama tidak berada di situ. Tapi dalam masa yang sama, ada perasaan teruja menyelinap dalam hatinya. Dia memusingkan tombol pintu dan menolak daun pintu itu perlahan.
Sebaik sahaja Sofia menekan suis lampu, seluruh ruang perpustakaan terang benderang dan...
"SURPRISE!" terdengar jeritan beberapa suara serentak.
Sofia terkejut dan hampir melangkah ke belakang. Di hadapannya berdiri ahli-ahli Kelab Perpustakaan, mereka tersenyum lebar, jelas teruja menyambut kedatangannya. Beberapa wajah yang dikenali muncul dengan penuh kegembiraan, ada yang melambai dan ada yang terus berjalan ke arah Sofia untuk menyambutnya dengan pelukan mesra.
"Madam! Kami rindu gila kat Madam!" seru Alva, salah seorang pelajar yang aktif dalam kelab itu. "Tanpa Madam, perpustakaan ni sunyi sepi!"
Sofia tergelak kecil, hatinya terasa hangat dengan sambutan itu. "Rindu sangat ke? Bukankah ada yang menggantikan saya?"
Seorang lagi ahli kelab, Sirhan, mengeluh sambil ketawa. "Ada... tapi tak sama, Madam. Bosan gila kat sini. Kalau madam ada tapi tak ada program pun best!"
"Ya, betul tu!" tambah Amanda. "Madam, kami semua tunggu Madam untuk sambung program Library Festival tu. Jadi, boleh teruskan?"
Sofia tersenyum melihat keterujaan mereka. Program Library Festival yang ditunggu-tunggu memang dirancang sebelum insiden itu, tetapi terpaksa ditangguhkan sementara menunggu keadaannya pulih. "InsyaAllah, kita akan teruskan. Saya nak tengok dulu jadual dan kena ada mesyuarat dengan semua staf, tapi saya tak akan kecewakan kau orang."
Ahli-ahli kelab itu semua bersorak kecil, jelas gembira dengan janji Sofia. Beberapa dari mereka mengucapkan terima kasih dengan pelukan dan senyuman lebar.
Sofia tersenyum lebih lebar kali ini. Keputusan untuk datang bekerja memang keputusan yang tepat, fikirnya. Dia merasakan semangat kembali membara, seolah-olah segala kegelisahan yang dirasainya di rumah mula hilang.
Sofia kembali ke mejanya selepas kejutan yang diberikan oleh ahli Kelab Perpustakaan. Hatinya masih hangat dengan sambutan mesra mereka, dia duduk di kerusi, menghela nafas panjang sambil memandang skrin komputer. Banyak kerja yang menanti untuk diselesaikan, dan dia bertekad untuk fokus sepenuhnya hari ini.
Sejam berlalu, dan Sofia tenggelam dalam kerja-kerjanya. Suasana pejabat tenang, bunyi ketikan papan kekunci dan deruan pendingin hawa menjadi irama latar yang menenangkan. Namun, tiba-tiba telefonnya berbunyi, membuatkan Sofia sedikit tersentak. Tanpa melihat nama pemanggil, dia mengangkat telefon dan menjawab.
"Hello?" katanya dengan nada tenang.
Di hujung talian, suara yang amat dikenalinya menyahut. "Sofia, ni Emir."
Sofia menarik nafas panjang, cuba menenangkan debaran di dadanya. Nak apa lagi ni? fikirnya. Namun, dia cuba mengekalkan nadanya.
"Emir?" Sofia menyahut perlahan, cuba memahami tujuan Emir menelefonnya.
"Ya, saya dapat tahu dari Bella... yang dapat tahu dari Wafa... yang awak dah masuk kerja. Bukankah awak dapat 2 minggu MC?"
Sofia menggigit bibir, kemudian menarik nafas dalam sebelum menjawab dengan nada yang terkawal. "Rindu nak kerja,"
"Awak tak ingatkah? Alvin belum ditangkap, Sofi. Awak tak takutkah?" suara Emir berbunyi risau di seberang talian.
"Ya, saya ingat tapi awak ingat pejabat saya ni tak ada orang lainkah? Tahulah saya jaga diri sendiri," jawab Sofia.
Di hujung talian, Emir ketawa kecil mendengar jawapan Sofia. "Saya tahu awak boleh jaga diri. Tapi tetap saya risaukan awak."
"Dah makan ke? Nak makan sekali?" Emir tiba-tiba mengubah topik.
Sofia memandang jam di dinding, menyedari dia belum sempat menjamah apa-apa sejak pagi. "Belum sempat lagi. Awak nak datang sinikah? Sanggup?"
Suara Emir sedikit berubah, nadanya lembut. "Eh, sorry...Sorry. Saya tengah cakap dengan Bella,"
Sofia terdiam sebentar mendengar nama Isabella disebut. Sebelum dia sempat membalas, terdengar suara Bella di latar belakang.
"Abang nak makan apa? Bella ambilkan," suara Isabella kedengaran jelas.
"Apa-apa aje. Abang lapar sangat dah ni," kedengaran Emir menjawab pertanyaan Isabella dengan lemah lembut.
Sofia mengepal tangan di atas meja, menahan perasaannya yang tiba-tiba bergelora. Sofia... Tenang! Kau tak ada apa-apa lagi dengan Emir. Inhale... Exhale... dia berfikir, cuba menenangkan diri.
"Emir, saya kena sambung kerja. Ada apa-apa lagi tak?" Sofia cuba menukar topik, ingin segera menamatkan perbualan.
"Tak ada apa-apa lagi, Sofia. Saya pun ada urusan penting kat pejabat. Nanti saya call balik." Suara Emir tetap mesra, seperti biasa.
Sofia tidak menjawab. Dia terus meletakkan telefon dengan cepat, sebelum sempat Emir menamatkan panggilan. Jari-jemarinya menggenggam erat telefon bimbitnya, rasa marah dan kecewa mula menyusup masuk dalam hatinya tanpa dia sedar.
"Ada urusan penting kat pejabat" Sofia mengulangi ayat Emir dengan.
"Urusan apa Emir? Urusan menggatal? Arghh!"
"Astagfirullahalazim... Kau ni dah kenapa Sofia Irdina? Gila?" Sofia cuba menenangkan dirinya, tetapi jelas suaranya sendiri tidak memberi kesan yang diharapkan.
Jangan tak makan. Nanti awak sakit, saya juga yang susah.
Mesej dari Emir dibaca. Dia mendengus, tanpa berfikir panjang, Sofia terus melangkah menuju ke surau. Dia tahu, tempat itu adalah satu-satunya tempat di pejabat yang boleh memberi ketenangan untuk meredakan perasaannya yang bergelora. Sebaik sahaja tiba di surau, Sofia melabuhkan diri di sejadah. Matanya terpejam rapat, cuba mencari ketenangan dalam dirinya.
Dia menarik nafas panjang, perlahan-lahan menghembusnya, memohon agar hati dan fikirannya diberi kekuatan untuk menghadapi hari ini. Dia tahu, tiada gunanya memarahi perasaan sendiri. Tetapi Sofia mulai menyedari, perasaannya terhadap Emir masih jauh lebih dalam daripada yang dia mahu akui.
xxxxxx
Sofia tiba di hadapan rumahnya lewat petang itu, tayar keretanya berhenti dengan perlahan. Dia mengerling ke arah dashboard, jam sudah menunjukkan pukul 7.30 malam. Anak-anaknya, Farish dan Irina, sedang bermain di luar rumah bersama Bella dan Emir. Matanya memerhati dari dalam kereta, melihat bagaimana Isabella dan Emir berinteraksi dengan anak-anaknya, ketawa riang tanpa sebarang beban.
Sofia menarik nafas dalam-dalam, cuba menenangkan hati yang mula bergelora. Dia tahu, perasaannya tidak harus dibiarkan mendominasi situasi ini, tetapi semakin dia cuba melawan, semakin hatinya terasa sakit.
Setelah mengumpulkan kekuatan, Sofia melangkah keluar dari kereta. Langkahnya perlahan namun mantap menuju ke arah anak-anaknya.
"Ayish, Rin, kenapa main kat luar? Mama dah pesan kan, tak elok main kat luar malam-malam macam ni," tegur Sofia lembut, walaupun suaranya mengandungi sedikit teguran.
Farish segera berlari ke arah Sofia, tersenyum manis. "Mama! Sorry, Mama. Kami tunggu Mama balik."
Irina pula datang memeluk Sofia erat. "Lambat mama balik, Mama banyak kerja kat pejabat?" tanyanya dengan nada manja.
Sofia mengangguk sambil tersenyum, cuba menyembunyikan keletihan yang jelas di wajahnya. "ya sayang. Mama banyak sangat kerja, sorry sayang. Lama tunggu mama eh?"
Farish dan Irina serentak mengangguk. Kedua-duanya memandang Sofia dengan mata yang bersinar. "Lama jugalah tapi tak apa ada papa dengan Auntie Bella,"
Sofia menahan diri daripada memberikan reaksi yang terlalu ketara. Dia cuba tersenyum mesra kepada anak-anaknya. " Jom, kita masuk dalam dulu. Dah malam ni, tak elok main di luar."
Dia tidak menegur Emir mahupun Isabella. Sebaliknya, Sofia terus menggenggam tangan Farish dan Irina, berpimpinan dengan mereka masuk ke dalam rumah. Emir dan Isabella kelihatan rancak berbual, suara mereka jelas ceria, seolah-olah tidak menyedari kehadiran Sofia.
Sewaktu Sofia melangkah masuk ke dalam rumah, telinganya menangkap suara Emir yang mengucapkan selamat malam kepada anak-anaknya dari luar.
"Good night, Ayish, Rin. Esok tidur rumah papa ya!" ucap Emir dengan suara penuh kasih.
"Good night!" kedua-dua anaknya membalas dengan riang.
Di dalam rumah, Sofia disambut oleh Hani dan Wafa yang sedang duduk di ruang tamu. Mereka segera menyedari Sofia masuk lewat, dan seperti biasa, bebelan mesra dari kedua-duanya tidak dapat dielakkan.
"Eh, kenapa lambat balik hari ni? Baru hari pertama, tahu?" Wafa membuka mulut sambil memandang Sofia dengan kerutan di dahi.
Hani pula menyusul, "Tak makan ke apa ni? Kau nampak penat sangat."
Sofia mengeluh kecil dan memberikan senyuman lemah. "Aku nak selesaikan program perpustakaan, esok nak mesyuarat, jadi tak ada pilihan lain. Kena habiskan hari ni juga."
Wafa dan Hani terus membebel, tetapi Sofia memilih untuk tidak mengendahkan mereka. Dia terlalu letih untuk berdebat atau memberi penjelasan lebih lanjut. Sebaliknya, dia hanya memberi alasan singkat dan terus masuk ke biliknya.
"Tak apa. Aku tak nak makan. Penat. Nak mandi dulu."
Selepas mandi, Sofia keluar dari bilik tidurnya dan duduk sejenak di birai katil. Matanya terasa berat, tetapi fikirannya masih berkecamuk. Dari bawah, dia dapat mendengar gelak tawa Emir yang masih berbual dengan Bella di luar. Hatinya sakit. Dia meraih telefon bimbitnya dan mula menaip mesej.
Gembira sangat awak ya. But can you tone down? Saya nak rehat.
Sofia menghantar mesej itu tanpa menunggu lama. Dia tidak mengharapkan balasan segera, tetapi hatinya berharap Emir akan memahami perasaannya yang sedang kacau. Namun, setelah beberapa minit, mesej itu dibaca tetapi tiada jawapan. Sofia menggigit bibir, hatinya semakin bergolak.
Dia bangun dan menyelak langsir di biliknya. Dari celahan langsir, dia melihat Bella melangkah masuk ke dalam perut kereta Emir. Emir duduk di tempat pemandu, dan mereka berbual seketika sebelum kereta itu meluncur keluar dari kawasan rumah.
Sofia menghela nafas panjang dan turun ke bawah. Wafa, yang duduk di ruang tamu, segera menegur dengan nada pelik.
"Eh, bukan kau kata tak nak makan tadi? Apa hal turun ni?"
Sofia hanya menjawab ringkas, "Haus." Dia berjalan ke arah dapur dan meneguk air dari penapis Coway dengan cepat, tetapi matanya terus melilau ke arah bilik sebelah yang kosong.
Sambil meneguk air, dia bertanya perlahan, "Bella mana?"
Hani, yang sedang duduk sambil menonton televisyen, menjawab tanpa memandang Sofia. "Keluar dengan Emir tadi. Baru sekejap tadi."
Sofia mengangguk sambil terus meneguk air. Matanya sedikit kabur, namun dia cuba menenangkan diri. Dia menghela nafas panjang, berusaha menyembunyikan perasaannya.
Share this novel