Bab 67

Romance Completed 59279

Sofia terjaga apabila terasa ada sesuatu menarik tubuhnya. Matanya yang masih berat perlahan-lahan terbuka. Dia tersentak apabila mendapati ada tangan melingkari pinggangnya. Matanya membuntang. Dengan nafas tertahan, dia berpusing perlahan untuk melihat siapa pemilik tangan itu.

Serta-merta dia menjerit. "Arghhh!" Sofia menolak tubuh Emir untuk menjauhkan dirinya. Dalam keterkejutannya, Sofia bergerak ke tepi katil tetapi hilang keseimbangan. Dia terjatuh ke lantai dengan bunyi hentakan yang membuatkan Emir segera terjaga.

"Sofia!" panggil Emir dengan wajah penuh kebimbangan.

Sofia hanya mengerang, memegang pinggangnya yang terasa sakit akibat terhentak di lantai. Muka Sofia berkerut menahan kesakitan.

Emir segera turun dari katil, melutut di hadapan Sofia. Tangannya hendak membantu Sofia bangun, tetapi Sofia mengangkat tangan, menahan Emir. "Jangan... tunggu dulu. Pinggang saya sakit,"

Melihat keadaan Sofia yang kesakitan, wajah Emir bertukar serius. Tanpa banyak bicara, dia terus mengangkat Sofia. Tangannya menyokong belakang dan lutut Sofia dengan penuh hati-hati.

"Emir! Apa awak buat ni? Turunkan saya!" Sofia membulatkan matanya, terkejut dengan tindakan suaminya.

"Awak nak saya biar aje awak atas lantai tu?" balas Emir dengan nada tegas.

Sofia cuba melawan, tetapi rasa sakit di pinggangnya membuatkan dia menyerah. Dia hanya mampu memandang Emir dengan mata yang penuh kejutan. Emir meletakkan Sofia perlahan-lahan di atas tilam, memastikan tubuhnya berada dalam posisi yang selesa.

Kedudukan mereka begitu dekat. Wajah Emir berada hanya beberapa inci dari wajah Sofia. Dia menunduk sedikit, memandang Sofia dengan penuh perhatian.

"Sakit kat mana? Awak nak pergi klinik tak?" soal Emir lembut, matanya masih melekat pada Sofia.

Sofia menggeleng perlahan. "Tak perlu... Sakit sikit aje ni," Dia cuba bergerak sedikit tetapi wajahnya jelas menahan sakit.

"Betul? Kalau sakit lagi saya bawa awak ke klinik sekarang juga." Emir memandang Sofia dengan penuh kebimbangan.

"Saya tak apa-apa, Emir. Serius," balas Sofia, suaranya lebih perlahan. Dia menunduk memandang tangannya yang masih bergetar sedikit.

Emir menarik nafas panjang, dia mengurut dadanya. Sofia menghela nafas perlahan, cuba menenangkan dirinya. "Sorry... saya tak sangka..." suaranya tersekat, wajahnya sedikit merah.

"Tak sangka apa? Saya tidur sebelah awak? Sofia, saya suami awak." Emir tersenyum kecil, cuba mencairkan suasana.

Sofia memandang ke arah lain, mengelak mata Emir. Wajahnya yang merah padam hanya membuat Emir tertawa kecil.

"Teringat pula masa kita baru kahwin dulu. Sama aje perangai awak, malu-malu kucing..." usik Emir sambil tersenyum nakal, cuba mengurangkan ketegangan.

"Sebelum ni, garang aje awak dengan saya. Dah kahwin ni, macam kahwin dengan orang lain pula," tambah Emir lagi.

Sofia menjeling tetapi tidak berkata apa-apa, hanya menutup mukanya dengan tangan. Emir memegang tangan Sofia yang terkulai di atas katil, genggamannya lembut tetapi cukup untuk membuatkan mata Sofia membuntang memandang tangan mereka yang bertaut erat lalu perlahan mengangkat wajah, bertemu dengan mata Emir.

"Sofia Irdina," Emir memulakan bicara, nadanya penuh usikan. "Saya rasa awak kena biasakan diri dengan saya sekarang. Saya ni dah jadi suami awak, tahu?"

Sofia menjeling kecil sambil cuba menarik tangannya, tetapi Emir mengeratkan genggamannya.

"Saya tahu," balas Sofia perlahan, cuba menjaga nada suaranya.

"Tahu, tapi macam tak nak percaya aje," Emir mengusik lagi, senyumannya penuh makna.

"Saya masih dalam proses, Emir. Jangan paksa saya," Sofia membalas, cuba mengelak tatapan mata Emir yang terasa seperti menembusi jiwanya.

Mata mereka bertaut seketika. Detik itu terasa panjang, seolah-olah masa terhenti hanya untuk mereka berdua. Tetapi, pandangan mata mereka terlerai saat bunyi azan Subuh yang berkumandang dari telefon Sofia. Emir tersentak kecil, tetapi senyumannya tidak luntur. "Azan dah. Jom, kita solat jemaah."

Sofia mengangkat kening, sedikit terkejut. "Solat... jemaah?"

"Ya. Kan dah sepatutnya kita mula biasakan diri buat benda baik sama-sama," jawab Emir tenang sambil bangkit dari sisi katil.

Sofia hanya mengangguk perlahan. Dia segera bangun perlahan-lahan dan masuk ke bilik mandi untuk mandi dan mengambil wuduk.

Beberapa minit kemudian, Sofia sudah bersedia dengan telekung putihnya, duduk di sisi katil sambil menunggu Emir keluar dari bilik mandi. Jantungnya masih berdebar memikirkan semua ini terasa baru baginya.

Ketika Emir melangkah keluar dari bilik mandi, wajahnya tampak segar selepas berwuduk. Matanya segera menangkap Sofia yang sedang membetulkan telekungnya. Dia tersenyum nakal sebelum melangkah mendekati Sofia.

"Hmm, sekarang awak kena biasakan satu lagi perkara, Sofi," Emir memulakan usikannya.

Sofia memandang Emir dengan kening terangkat. "Apa dia?"

"Kena taat pada suami." Emir menundukkan sedikit wajahnya, membuatkan matanya sejajar dengan mata Sofia. "Dan peluk suami awak sebelum solat Subuh. Cepat."

"Emir!" Sofia berseru perlahan, wajahnya serta-merta merah padam. "Jangan mengada-ngada. Saya dah ambil wuduk. Awak ni mengarut sangat."

Emir ketawa kecil, tetapi dia tetap melangkah ke tempat solat tanpa berkata apa-apa lagi. "Okey, okey. Lepas solat nanti, saya tunggu, ya?" katanya sambil tersenyum.

Usai mengaminkan doa Emir, Sofia bersila sambil memandang Emir di sebelahnya. Wajahnya penuh ketenangan. Emir bergerak menghampiri Sofia, dan dengan penuh kasih, dia mengucup ubun-ubun isterinya. Sofia membalas dengan mencium tangan suaminya.

"Sofi," Emir akhirnya memecahkan kesunyian. Suaranya perlahan, tetapi Sofia dapat menangkap nada serius di sebaliknya.

"Ya?" Sofia menjawab tanpa menoleh, matanya masih terpaku pada telekung di pangkuannya.

"Hujung minggu ni saya kena pergi Kuala Lumpur. Ada expo perhotelan. Saya nak cari pelabur untuk HLKK," kata Emir.

Sofia mengangguk perlahan. "Okey."

Emir memandang isterinya dengan pandangan yang dalam. Sofia menyedari itu tetapi tidak mahu memandangnya kembali. Dia dapat merasakan pertanyaan yang akan muncul.

"Okay aje?" tanya Emir, kali ini suaranya sedikit tegas.

"Habis tu nak cakap apa?" Sofia akhirnya menoleh. "Awak nak cari investor, kan? Saya okay,"

Emir tidak berkata apa-apa seketika, matanya tetap melekat pada wajah tenang Sofia. Kemudian, dengan nada yang lebih lembut tetapi penuh makna, dia berkata, "Awak tak nak ikut?"

Sofia menggeleng perlahan sambil cuba tersenyum kecil. "Tak apalah, Emir. Awak pergilah kerja. Saya tunggu kat sini."

Air muka Emir berubah sedikit, tetapi dia segera mengawal ekspresinya. "Awak tak nak ikut? Suami awak ni nak ke KL," katanya seakan tak berpuas hati.

Sofia tidak terus menjawab. Dia membuka telekungnya perlahan-lahan, bersedia untuk bangun, tetapi Emir menahan tangannya.

"Sofi," panggil Emir, tangannya menggenggam erat tangan Sofia. Sofia kembali duduk, pandangannya beralih ke tangan mereka yang kini bertaut.

"Awak tak nak pergi honeymoon?" soal Emir, nada suaranya kini lebih mendalam. Tangannya yang mengusap lembut tangan Sofia.

Sofia hanya mampu menatap tangan mereka, perasaan yang tidak menentu menguasai hatinya. Jantungnya bagai hendak tercabut dengan setiap belaian tangan Emir. Dia cuba mengatur nafasnya agar tidak terbawa-bawa dengan emosi.

Emir tersenyum kecil, menarik tangan Sofia ke bibirnya dan mengucupnya perlahan. Sofia tersentak, menarik tangannya pantas sambil menatap Emir dengan mata yang membulat.

"Sorry..." ujar Emir, senyumannya tidak pudar.

Dia meletakkan semula tangannya di atas tapak tangan Emir, seolah-olah cuba menebus perbuatannya tadi. Emir diam, pandangannya tetap tertumpu kepada Sofia.

Sofia menundukkan wajahnya, cuba menyembunyikan perasaan yang berbaur. "Awak kata nak kerja. Tiba-tiba nak honeymoon pula. Mana satu ni?" Suaranya kecil, hampir tidak kedengaran.

"Dua-dualah. Lepas dari Kl, kita pergi Langkawi," ucap Emir. Sofia diam.

"Kenapa? Awak takut dengan saya?" soal Emir tiba-tiba, nadanya lembut tetapi jujur.

Sofia mengangkat kepala, matanya bertembung dengan mata Emir. Dia cuba mencari jawapan, tetapi hanya kebisuan yang menyelubungi.

"Saya tak akan paksa awak buat apa-apa, Sofi. Just be there. Itu dah cukup untuk saya."

"Anak-anak macam mana?" soal Sofia.

"Kita minta tolong mama atau Aidil," jawab Emir.

Sofia memandang Emir, dan tanpa disedari, dia menggenggam erat tangan suaminya. "Okay..."

Emir tersenyum, kali ini lebih tulus. "I love you so much..."

Suasana kembali tenang, tetapi hati Sofia masih berdebar-debar mendengar kata-kata Emir. Suaminya tersenyum ikhlas mengusap pipinya.

"Assalamualaikum, pengantin baruuuuu!" Suara riang Hani dan Wafa kedengaran dari luar bilik, membuatkan Sofia dan Emir tersentak. Kedua-duanya saling berpandangan sebelum mata mereka tertumpu pada jam meja.

"Waalaikumsalam!" Sofia berseru perlahan, segera bangun dari tempat duduknya. Emir hanya tergelak kecil, menyandar kembali sambil memandang isterinya yang kelam-kabut menuju ke pintu.

Sebaik sahaja pintu dibuka, Hani dan Wafa melangkah masuk dengan senyuman nakal.

"Ha, ingatkan pengantin belum bangun tadi!" usik Hani sambil melepaskan tawa kecil.

Sofia mengetap bibir, wajahnya merona merah. "Kami dah bangunlah. Baru je nak bersiap," jawab Sofia perlahan.

"Wah, lain betul gaya kau sekarang. Selalu kau ni yang paling bising pagi-pagi, tapi sejak kahwin ni, pemalu semacam aje," usik Wafa pula.

"Dah-dah, jangan kacau dia. Kalau tak, nanti pengantin lelaki tak izinkan korang masuk lagi," Emir bersuara dari belakang sambil tersenyum, membuatkan kedua-dua wanita itu menoleh ke arahnya.

Hani dan Wafa ketawa kecil. "Emir dah tahu perangai kau, Sofi. Tak payah malu-malu dah!" ujar Hani sambil mengenyitkan mata ke arah Sofia.

"Siapa kata aku malu? " Sofia menjawab sambil memeluk tubuh, cuba mengawal rasa malunya.

"Hmm, pengantin lelaki nampak relaks aje," Wafa mengusik lagi sambil memandang Emir yang hanya tersenyum santai.

"Biasalah, saya dah kahwin dengan wanita yang saya sayang. Takkanlah saya nak stres," balas Emir, nadanya penuh gurauan tetapi bermakna.

Sofia menjeling tajam ke arah Emir, tetapi senyuman kecil di bibirnya menunjukkan dia tidak mampu menahan rasa geli hati.

"Okeylah, Sofi," Hani menukar nada kepada yang lebih serius. "Jurumekap akan sampai pukul tujuh. Kau kena bersedia cepat, ya? Hari ni kan ada majlis makan tengahari dengan keluarga sebelum pengantin berangkat balik ke rumah."

Sofia mengangguk perlahan. "Aku nak siaplah ni. Aku dah mandi, tahu?"

"Alhamdulilah, kalau tak berdarah telinga kita oleh Mia, " kata Wafa sambil membayangkan muka Mia. "Aku takkan lambatlah," Sofia membalas sambil membuat muka.

Emir yang memerhatikan mereka hanya tersenyum. Dia tahu betapa beruntungnya Sofia mempunyai kawan-kawan seperti Hani, Mia dan Wafa yang sentiasa ada untuk menyokongnya.

"Saya macam mana pula?" soal Emir sambil bangun dari kerusi.

"Aidil yang akan tolong awak, dia suruh awak datang kat bilik dia," ujar Hani.

Dia melangkah ke arah Sofia dan sempat membisikkan sesuatu. "Jumpa nanti sayang, love you,"  Dia mengucup lembut pipi Sofia.

Hani dan Wafa yang memerhatikan mereka saling bertukar pandangan sebelum menahan tawa.

"Amboi, sweet sangat. Boleh buat drama cinta ni," usik Hani sambil mengipas-ngipas dirinya sendiri, pura-pura terharu.

Sofia menjeling tajam. "Hani, kau nak aku halau kau keluar sekarang?"

Semua ketawa serentak, memenuhi ruang bilik dengan suasana ceria pagi itu.

xxxxx

Majlis makan tengah hari bersama keluarga berjalan dengan penuh mesra di dewan yang dihias sederhana tetapi cantik. Suasana terasa hangat dengan kehadiran ahli keluarga dan teman-teman rapat yang telah banyak membantu Sofia dan Emir sepanjang perjalanan mereka bersama.

Emir, yang kelihatan santai tetapi penuh perhatian, berdiri perlahan selepas pengacara majlis menyebut namanya. Mikrofon ditangan diketuk lembut untuk menarik perhatian tetamu. Semua mata tertumpu padanya, dan suara perbualan yang memenuhi ruang mula reda.

"Assalamualaikum semua. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa hari ini untuk meraikan hari istimewa kami. Saya tahu, perjalanan saya dan isteri saya, Sofia tak mudah, dan kalau bukan sebab sokongan semua yang ada di sini, mungkin kami tak akan sampai ke tahap ini." Suara Emir sedikit bergetar, tetapi dia tetap tenang.

Dia memandang Sofia di sisinya, senyuman kecil terukir di wajahnya. Sofia menunduk sedikit, cuba mengawal air mukanya..

"Sofi," Emir memulakan, nadanya lembut tetapi penuh makna. "Awak adalah kekuatan saya, walaupun awak tak sedar. Selama ini, saya tahu betapa banyaknya awak berkorban untuk anak-anak kita. Awak lalui semua tu tanpa saya di sisi, dan saya tak pernah berhenti menyesal kerana tak ada untuk awak waktu tu."

Hadirin mula memandang Sofia, yang kini menyeka air mata yang akhirnya jatuh. Wafa dan Hani di sebelahnya saling menepuk lembut bahunya.

Emir meneruskan, kini menoleh ke arah anak-anak mereka yang sedang duduk di sebelah Mia. "Untuk anak-anak papa, Emir Farish dan Irina Saffiyah,"

Senyuman lebar menghiasi wajah mereka saat mendengar nama mereka disebut. "Papa nak cakap sesuatu," Emir memulakan dengan nada lembut. "Papa minta maaf sebab papa tak ada  untuk anak-anak papa sebelum ni. Tapi papa janji, lepas ni, papa akan sentiasa ada untuk Ayish dan Rin. Kita akan buat banyak memori baru sama-sama, okey?"

Farish mengangguk dengan senyuman ceria, sementara Irina berlari memeluk Emir dengan erat. "Sayang papa," ujar Irina perlahan, membuatkan mata semua yang menyaksikan babak itu berkaca.

"Kepada semua yang ada di sini, terima kasih sebab tak pernah berhenti menyokong Sofia dan anak-anak saya. Terima kasih sebab menerima saya kembali dalam hidup mereka. Saya tahu saya tak sempurna, tapi saya berjanji akan buat yang terbaik sebagai suami, sebagai ayah, dan sebagai seorang lelaki yang awak semua boleh banggakan."

Tepukan kecil dari Aidil memecahkan keheningan, diikuti oleh tepukan gemuruh dari semua tetamu. Datin Fauziah dan Elly kelihatan mengesat air mata sambil tersenyum penuh kebanggaan.

Pengacara majlis tersenyum sebelum mengangkat mikrofon ke bibir. "Hadirin yang dihormati, seterusnya kita akan mendengar sepatah dua kata dari sahabat baik pengantin perempuan yang tidak asing lagi. Saya menjemput Wafa, Hani, dan Mia untuk memberikan ucapan khas buat pasangan pengantin kita hari ini."

Sorakan kecil kedengaran dari kalangan tetamu apabila Wafa, Hani, dan Mia bangun dengan senyuman meleret. Mereka melangkah ke hadapan dengan anggun, mikrofon bertukar tangan kepada Wafa terlebih dahulu.

Wafa menarik nafas dalam-dalam. "Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh," Wafa memulakan dengan suara sedikit bergetar, cuba menahan emosi.

"Pertama sekali, kami nak ucapkan tahniah yang sebesar-besarnya kepada sahabat kami, Sofia, dan suaminya, Emir. Hari ini dan kelmarinadalah hari yang penuh bermakna, bukan sahaja untuk awak berdua, tetapi juga untuk kami yang sudah lama menanti saat ini."

Hani yang berdiri di sebelah Wafa tersengih sambil berkata perlahan tetapi cukup kuat untuk didengar mikrofon, "Sangat lama, tahu. Terpaksa jadi cupid tak rasmi lagi."

Tetamu ketawa kecil, termasuk Emir yang tersenyum sambil mengangguk. Sofia menundukkan kepala, wajahnya sudah memerah.

Wafa menyambung, "Melihat Sofia hari ini, saya teringat lirik lagu After All dendangan Peter Cetera dan Cher yang berbunyi 'After all the stops and starts. We keep coming back to these two hearts.."

Wafa memandang Sofia dan Emir dengan penuh makna. "Saya rasa lirik ini sangat sesuai dengan perjalanan awak berdua. Selepas segala cabaran dan halangan, akhirnya Allah satukan awak berdua. Dan kami bersyukur sangat dapat jadi saksi kepada cerita cinta awak."

Sofia sudah mula menyapu air mata di pipinya. Hani mengambil mikrofon pula.

"Kami tahu, jalan yang awak berdua lalui bukanlah mudah. Sofi, kami tahu betapa banyak kau bertahan untuk sampai ke hari ini. Dan Emir, kami juga tahu awak dah buktikan yang awak adalah lelaki yang layak untuk sahabat kami ini. Jadi, apa lagi yang boleh kami minta untuk dia selain menjaga dia dengan baik,"

Suasana semakin sayu. Beberapa tetamu sudah kelihatan mengesat mata mereka, termasuk Mia yang kini mengambil giliran bercakap.

"Sofi," suara Mia lembut tetapi jelas. "Kaut ahu, tak? Hari ini aku bangga sangat dengan kau. Bangga sebab kau tak pernah berhenti percaya pada cinta walaupun kau dah banyak terluka. Dan Emir, terima kasih sebab buktikan yang cinta sejati tu ada. Semoga kamu berdua sentiasa saling menyayangi, saling memahami, dan saling melengkapi."

Mia memandang Sofia dengan senyuman kecil sebelum berkata, "Dan satu lagi, Sofi. Walaupun kau dah kahwin, jangan lupa, kami tetap ada untuk kau. Kalau Emir buat hal, aku dengan Wafa dan Hani ni sedia untuk jadi gangster  bila-bila masa."

Hadirin ketawa kecil mendengar gurauan itu, tetapi air mata Sofia mengalir semakin deras. Dia menutup wajahnya dengan kedua tangan, teresak-esak tanpa mampu mengawal emosi.

Wafa kembali mengambil mikrofon, "Tahniah sekali lagi untuk kamu. Semoga perkahwinan ini dipenuhi kasih sayang, kesabaran, dan keberkatan dari Allah SWT. Kami doakan kamu berdua bahagia sampai ke syurga."

Tepukan gemuruh memenuhi ruang dewan. Emir meletakkan tangannya di belakang Sofia, menepuk bahunya lembut sambil tersenyum, cuba menenangkan isterinya.

Sofia mengangkat wajah, air mata masih mengalir tetapi senyuman tetap menghiasi bibirnya. "Terima kasih, korang. Aku sayang korang semua," ucap Sofia dalam nada tersekat-sekat, membuatkan seluruh dewan tersenyum dengan penuh rasa haru.

Hari itu menjadi satu kenangan indah yang tidak akan dilupakan oleh Sofia dan Emir, dikelilingi kasih sayang keluarga dan sahabat-sahabat yang sentiasa menyokong mereka.

Setelah majlis itu selesai, Sofia dan Emir bersama Farish dan Irina akhirnya menuju ke White Cottage. Suasana di dalam kereta penuh dengan suara ceria Farish dan Irina yang tidak henti-henti bertanya.

"Kita nak balik mana ni, mama? Papa?" soal Farish sambil memandang ke luar tingkap, matanya bercahaya dengan rasa ingin tahu.

Irina menyambung, "Lepas ni kita semua tinggal sama-sama ke? Tak payah balik rumah lama dah?"

Sofia menoleh ke arah Emir yang sedang memandu, tersenyum kecil sambil berkata, "Ayish dengan Rin kena tunggu dan tengok. Papa ada kejutan untuk korang."

"Kejutan apa?" Irina memanjangkan lehernya untuk memandang Emir di tempat pemandu.

Emir hanya tersenyum, tidak menjawab. Farish dan Irina saling berpandangan, masing-masing semakin tidak sabar.

Sebaik sahaja kereta mereka berhenti di hadapan White Cottage, jeritan kecil dari Irina memecahkan keheningan malam.

"Wahhhh! Cantiknya!" serunya sambil menekan mukanya ke tingkap kereta.

Farish melompat keluar sebaik pintu kereta dibuka, berlari ke arah pintu masuk rumah yang bercahaya lembut di bawah lampu taman. Sofia tersenyum melihat kegembiraan anak-anaknya, sementara Emir berjalan ke belakang untuk mengambil beg.

"Mama, papa, rumah ni besar! Kita semua tinggal sini ke?" tanya Farish dengan nada teruja.

Sofia mengangguk, tersenyum lembut.  Emir menjawab dari jauh, "Ya, sayang. Ini rumah kita sekarang."

Irina segera menarik tangan Farish masuk ke dalam rumah. Mereka menjerit kegembiraan apabila melihat bilik masing-masing.

"Mama, papa! Tengok bilik Rin! Cantik sangat!" Irina melambai dari dalam biliknya.

Farish pula berteriak dari seberang koridor, "Papa, boleh tak nanti bilik Farish ada dinding gambar ultraman?"

Emir tergelak kecil sambil menjawab, "Papa janji, bilik korang boleh hias ikut apa yang korang nak."

Kedua-dua anak itu melompat kegembiraan, berlari semula ke ruang tamu sambil berbual rancak tentang perabot dan warna cat bilik yang mereka mahukan.

Setelah memastikan anak-anak sudah tenang dan selesa di bilik mereka, Emir melangkah masuk ke bilik tidur utama. Dia duduk di tepi katil, melepaskan nafas panjang. Tangannya memegang dahi seolah-olah tenggelam dalam fikirannya.

Sofia keluar dari tandas dengan wajah yang segar, rambutnya disisir rapi. Melihat Emir duduk termenung, dia mendekati suaminya.

"Kenapa? Awak okay?" soal Sofia lembut, duduk di sebelah Emir.

Emir memandang Sofia dan tersenyum kecil. "Entahlah. Tiba-tiba rasa rindu dengan papa."

"Awak dah buat apa yang perlu. InsyaAllah, satu hari nanti hubungan awak dengan papa akan pulih,"

Emir mengangguk perlahan. "Saya harap macam tu, Sofi. Mama selalu kata hubungan kami akan baik semula, tapi entah... saya rasa macam jauh sangat nak sampai situ."

Sofia tersenyum sambil memandang Emir. "Perlahan-lahan, Emir. Setiap luka perlukan masa untuk sembuh. Awak dah buat bahagian awak. Itu dah cukup buat sekarang."

Emir memandang Sofia, rasa syukur terpancar di matanya. "Terima kasih sebab sentiasa ada untuk saya, Sofi."  Mereka berdua kemudian diam sejenak, menikmati detik tenang dalam rumah baru yang kini akan menjadi permulaan baru untuk keluarga kecil mereka.

Sorry readers! Busy sangat. Hutang dulu bab lain ya. Baru dapat update 2 bab..

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience