Bab 47

Romance Series 33080

Langit senja mulai kelihatan ketika Datuk Emran dan Datin Fauziah melangkah keluar dari hospital. Cahaya matahari yang perlahan-lahan meredup memberikan suasana yang sedikit menenangkan hati mereka, walaupun hanya seketika. Langkah mereka berat, namun Datuk Emran terus maju dengan tegas, sementara Datin Fauziah masih tenggelam dalam perasaannya yang bercelaru.

"Gee, kita lakukan yang terbaik untuk anak-anak kita. Apa yang kita buat selama ini untuk kebahagiaan diaorang juga," kata Datuk Emran perlahan, seolah-olah ingin meyakinkan bukan hanya isterinya, tetapi juga dirinya sendiri.

"Tapi, bang," balas Datin Fauziah sambil memperlahankan langkahnya, membuatkan Datuk Emran juga terpaksa berhenti. "Gee rasa kita tak bagi Angah pilihan. Kita asyik fikirkan pasal Isha dan tak pedulikan perasaan Angah."

Datuk Emran menghela nafas panjang. "Gee, kita tak boleh berpatah balik sekarang. Pertunangan ini dah terlalu lama  untuk dibatalkan. Kita tak nak memalukan keluarga Is,"

Datin Fauziah terdiam sejenak, merenung jauh ke arah jalan raya yang mulai dipenuhi kenderaan yang berpusu-pusu balik ke rumah masing-masing. Pandangannya kabur, bukan kerana cahaya matahari yang silau, tetapi air mata yang mengalir perlahan di pipinya. Dia tahu suaminya seorang yang keras hati, dan keputusannya jarang sekali berubah.

Namun, jauh di sudut hatinya, Datin Fauziah tidak dapat menahan rasa bersalah yang semakin menebal. Dia menyayangi anaknya, Emir dan Sofia dengan sepenuh hati. Dia juga sayangkan Isha, anak gadis sahabat baik suaminya yang sudah dianggap seperti anak sendiri. Tetapi, sebagai seorang ibu, dia tahu ada sesuatu yang tidak kena dalam perhubungan ini.

"Bang, kalau Angah pilih untuk tak teruskan pertunangan ini, apa yang abang akan buat?" tanya Datin Fauziah tiba-tiba, nadanya serius, cuba menilai reaksi suaminya.

Wajah Datuk Emran berkerut sedikit. Dia tidak menyangka soalan itu akan dilontarkan oleh isterinya. "Gee, Angah tahu apa yang terbaik untuk dirinya. Kita perlu percaya dengan keputusannya."

"Tapi, kita tak pernah tanya dia apa yang dia nak, bang. Kita yang buat keputusan dan berharap dia akan ikut" suara Datin Fauziah semakin tersekat-sekat. "Sofi dengan anak-anak pun perlukan Angah sekarang. Mungkin lebih daripada Isha perlukan dia."

Datuk Emran memandang isterinya dengan penuh kebimbangan. "Gee, kita tak boleh pandang ke belakang lagi. Keputusan dah dibuat."

Datin Fauziah berasa hatinya terlalu berat untuk terus memendam rasa. Dia tahu, berbicara dengan suaminya tidak akan mengubah keadaan, tetapi dia perlu melepaskan apa yang terbuku di hati. Setibanya di rumah, langkah kakinya pantas menuju ke bilik anak bongsunya, Elly. Hanya Elly yang selalu memahami perasaannya.

"Adik..." Datin Fauziah mengetuk pintu. Suara Elly membenarkan Datin Fauziah kedengaran.

"Sorry ma, adik pakai baju tadi. Ada apa ma?" soal Elly melabuhkan punggungnya di atas katil. Wajah Elly kelihatan resah, sebaik sahaja matanya bertaut dengan Datin Fauziah.

"Kenapa ni ma?" Elly pegang tangan Datin Fauziah.

Tanpa membuang masa, Datin Fauziah menumpahkan segala-gala keresahan dalam hatinya. Air mata yang ditahan tadi, mengalir ke pipinya. Dengan hujung baju, dia mengelap pipinya yang basah.

Elly memandang ibunya dengan penuh simpati. "Sebenarnya kan ma, adik pun rasa yang sama. Keputusan papa untuk teruskan pertunangan angah dengan kak Isha ni... Adik tak setuju. Adik tahu angah sayangkan Sofi, it's crystal clear."

Datin Fauziah menghela nafas berat. "Apa kita nak buat ni, dik? Papa kamu bukan jenis yang mmudah nak ubah fikirannya, terutama bila melibatkan uncle Is,"

Elly mengangguk, memahami dilema yang dirasai oleh ibunya. "Adik tahu, ma. Farish dan Irina juga terkesan kalau pertunangan ini diteruskan. Dioarang kecil lagi untuk faham apa yang berlaku, tapi akhirnya diorang juga yang kecewa,"

Datin Fauziah menundukkan kepala, merasakan beban yang semakin menekan dadanya. "Mama tak mahu angah menderita, tapi mama juga tak mahu melukakan hati sesiapa. Mama cuma nak yang terbaik untuk semua."

Elly menggenggam tangan ibunya erat-erat, cuba memberikan sokongan moral. "Ma, adik selalu ada untuk mama. Kita sama-sama cari jalan untuk masalah ni, okay?"

Datin Fauziah mengangguk perlahan, walaupun hatinya masih dipenuhi keraguan. Dia tahu perjuangan ini belum selesai, dan dia mungkin terpaksa berhadapan dengan lebih banyak cabaran di masa hadapan. Tetapi, sekurang-kurangnya, dia tidak keseorangan. Dengan Elly di sisinya, dia merasa sedikit lebih kuat untuk menghadapi hari-hari yang mendatang.

"Mama tak boleh biarkan angah hidup dalam perkahwinan tanpa cinta," kata Datin Fauziah perlahan, seolah-olah sedang berbicara kepada dirinya sendiri.

Elly merenung ibunya, merasakan kesedihan yang terpancar di wajah wanita itu. Dia tahu ibunya seorang yang sentiasa berkorban untuk kebahagiaan keluarganya, tetapi kali ini, keadaan benar-benar mencabar.

"Kita kena buat sesuatu ma. Tapi sebelum tu, kita nak faham betuk-betul apa yang angah nak. Kalau angah betul-betul tak nak teruskan pertunangan ini, kita kena sokong dia. Tapi... kita kena fikirkan sesuatu sebelum bercakap dengan papa. Papa tak akan terima keputusan itu dengan mudah," ujar Elly, nadanya penuh dengan keprihatinan..

"Esok kita pergi lawat angah. Nanti suruh papa temankan Ayish dengan Rin kat rumah."

Elly bersetuju dengan cadangan itu. Sudah tiba masanya suara angah didengari, dan inilah masanya untuk mereka bersatu sebagai keluarga.

Pagi itu, kedua-dua beranak itu bangun seawal jam 6.00 pagi. Selepas menguruskan makan minum Farish dan Irina. Tepat jam 11.00 pagi mereka terus bergerak menuju ke hospital.

Assalamualaikum angah," Datin Fauziah dan Elly mengejutkan Emir yang masih tidur.

Mata Emir terbuka perlahan sebelum senyuman terbit di bibir anak lelakinya itu. Matanya melilau mencari sesuatu.

"Angah cari siapa?" soal Elly.

"Ayish dengan Rin tak ikut?"

Elly geleng. "Takut tak boleh masuk," jawab Elly pendek.

"Mama ada bawa makanan untuk angah ni. Nak makan sekarang atau nanti?" Datin Fauziah meletakkan beg yang dibawanya.

Emir mengangguk terus duduk. "Rindunya makan masakan mama," Emir tersenggih. Tidak putus-putus dia memuji masakan Datin Fauziah. Datin Fauziah hanya tersenyum melihat anaknya makan dengan penuh berselera.

Usai makan, Emir membetulkan duduknya. Perutnya yang kenyang ditepuk lembut. "Alhamdulilah," ucapnya.

Elly dan Datin Fauziah saling bertukar pandangan. Datin Fauziah duduk

"Angah..." Datin Fauziah memulakan perbualan dengan nada lembut, namun serius.  Emir memandang wajah Datin Fauziah.

"Mama nak tanya sesuatu tapi mama nak Angah beritahu mama dengan jujur, boleh?" Emir mengangguk.

"Apa sebenarnya yang Angah rasa tentang pertunangan angah dengan Isha?"

Emir terdiam sejenak. Dia menundukkan kepala, memandang meja seolah-olah mencari kekuatan untuk berbicara. Setelah beberapa saat, dia menghela nafas panjang.

"Tak apa ngah, jawab jujur aje. Mama nak tahu," ujar Datin Fauziah.

"Angah tak ada perasaan pun dengan Isha tapi sebab tak nak kecewakan papa dan masa setuju tu angah ingatkan angah dah tak akan jumpa Sofi dah..." Emir diam seketika. Matanya memandang riak wajah mamanya dan Elly.

"Perasaan angah untuk Sofi masih kuat. Angah tak tahu macam mana nak hadapi semua ini. Angah tak mahu kecewakan sesiapa, tapi angah juga tak nak terikat dalam perkahwinan yang angah tak yakin,"

Datin Fauziah mendengar dengan penuh perhatian. Hatinya pilu mendengar pengakuan anaknya. Dia tahu ini bukan keputusan yang mudah untuk Emir, dan dia semakin yakin pertunangan ini mungkin bukan jalan yang terbaik untuk anaknya.

"Mama dan adik pun rasa sama, ngah. Tapi kita juga tahu papa akan susah nak terima kalau angah ubah keputusan ini," balas Elly, memecah kesunyian yang menyelubungi mereka.

Emir mengangguk, wajahnya jelas menunjukkan betapa berat beban yang ditanggungnya. "Angah tak tahu macam mana nak beritahu papa. Angah tahu papa mesti kecewa lagi,"

Datin Fauziah mencapai tangan anaknya, menggenggam erat sebagai tanda sokongan. "Angah, apa pun yang berlaku, mama akan sokong angah. Tapi kita kena buat ini perlukan masa. Kita tak nak melukakan hati sesiapa, tapi mama nak angah gembira dengan keputusan yang angah pilih,"

Suasana menjadi sunyi sejenak. Masing-masing merenung masa depan yang penuh dengan ketidakpastian. Mereka tahu tindakan ini mungkin mengundang kemarahan Datuk Emran, tetapi mereka juga tahu Emir perlu diberi peluang untuk membuat keputusan sendiri demi kebahagiaannya.

"Mama akan cuba cakap dengan papa. Tapi Angah kena kuat, apa pun yang berlaku nanti. Ini tentang masa depan angah," kata Datin Fauziah dengan suara yang bergetar, manahan tangisnya.

Emir tersenyum sedikit, menghargai sokongan daripada ibunya dan adiknya. "Terima kasih, ma,"

Setelah berbicara dengan ibunya, Emir merasa sedikit lebih tenang, tetapi hatinya masih penuh dengan kebimbangan. Satu perkara yang semakin jelas baginya ialah keperluannya untuk melawat Sofia di ICU sekali lagi. Meskipun Sofia masih dalam keadaan koma, Emir merasakan bahawa dia perlu bercakap dengan Sofia, walaupun hanya untuk meluahkan segala yang terbuku di hati.

"Ma, Angah nak ke ICU. Angah nak jumpa Sofia," kata Emir dengan tekad.

Datin Fauziah terdiam sejenak sebelum mengangguk. "Baiklah, jom mama temankan angah,"

Elly, yang mendengar perbualan itu, segera bangun dan mencapai kerusi roda Emir. "Adik nak ikut sekali. Kita pergi sama-sama."

Emir menolak masuk kerusi rodanya ke dalam bilik Sofia dengan perlahan. Suara mesin yang memantau keadaan Sofia menjadi latar belakang yang hening, membuatkan hati Emir semakin berat. Pandangan matanya tertumpu pada tubuh Sofia yang terbaring kaku, kelihatan begitu lemah dan tidak berdaya. Air mata mula bergenang di matanya, namun dia cuba menahannya agar tidak mengalir.

"Sofi... saya datang lagi ni," suara Emir bergetar, menahan emosi yang semakin menguasai dirinya. "Saya tahu awak tengah tidur tapi saya harap sangat awak dengar suara saya. Awak tahu tak? Selama lapan tahun ni saya tak pernah lupakan awak. Perasaan saya kat awak tak pernah berubah, walaupun dah cuba berkali-kali," 

"Saya tak tahu apa yang saya nak buat sekarang. Majlis besar dengan Isha semakin dekat, tapi hati saya masih kat sini, dengan awak Sofi," Emir berhenti seketika, menarik nafas panjang.

"Mama... mama sokong apa pun keputusan yang saya buat, Sofi. Mama kata saya kena ikut apa yang saya rasa betul. Tapi, saya takut Sofi. Saya takut melukakan hati semua orang, terutama hati awak. Tapi saya juga takut kalau saya teruskan pertunangan ini, saya akan kehilangan awak selama-lamanya." Sambung Emir.

Air mata yang ditahan sejak tadi akhirnya mengalir di pipi Emir. Dia menongkat dagunya di atas katil memandang Sofia dengan lebih dekat. "I need you to function well. I can't think straight when you're like this. Can you wake up and tell me what to do? Tell me how you really feel."

Emir diam, membiarkan air matanya mengalir tanpa ditahan lagi. Dia merasakan beban yang berat di hatinya, tetapi juga merasa sedikit lega kerana akhirnya dapat meluahkan apa yang terbuku di hatinya.

Datin Fauziah melangkah masuk perlahan-lahan ke dalam bilik, mendekati Emir yang kelihatan begitu lemah dan tidak berdaya. Dia meletakkan tangannya di bahu Emir, memberikan sokongan yang dia perlukan.

Emir mengangguk perlahan seakan faham dengan sentuhan ibunya. "Angah okay ma. Angah okay,"

Pandangannya tidak lepas dari wajah Sofia yang tenang di atas katil. "Terima kasih, ma. Angah akan buat keputusan yang betul. Untuk Sofi, untuk semua."

Selepas beberapa lama berada di sisi Sofia, Emir akhirnya meminta Ibunya membawa dia keluar, kembali ke wadnya sendiri.

Datin Fauziah dan Elly berjalan di belakangnya, masing-masing cuba memberikan sokongan moral kepada Emir. Mereka bergerak dengan perlahan menuju ke wad Emir, suasana sunyi menyelimuti mereka. Tiada siapa yang berbicara, namun kehadiran mereka cukup untuk menenangkan hati Emir yang sedang bergolak.

Setibanya di wad, mereka disambut oleh seorang doktor muda yang tersenyum mesra. "Encik Emir, saya ada berita baik. Kami telah memeriksa keadaan Encik dan nampaknya Encik sudah cukup pulih untuk dibenarkan keluar hari ini. Tapi, kaki Encik masih perlu disimen untuk beberapa minggu lagi, jadi Encik perlu berjaga-jaga."

Emir mengangguk perlahan, menerima berita itu dengan wajah yang tenang, walaupun di dalam hatinya perasaannya bercampur baur. "Terima kasih, doktor," balas Emir dengan nada lembut.

Doktor itu tersenyum dan menyambung, "Pastikan Encik mengikuti semua arahan penjagaan yang kami berikan, dan jangan lupa untuk datang ke temujanji susulan. Kami akan pantau perkembangan Encik dengan lebih lanjut nanti."

Setelah doktor itu beredar, Emir terdiam sejenak, merenung ke arah tingkap wad. Fikirannya menerawang jauh. Di satu sudut, dia merasa lega kerana akhirnya dapat pulang ke rumah, berjumpa dengan anak-anaknya, Farish dan Irina. Mereka sudah lama menunggu kepulangannya, dan dia rindu untuk berada di rumah bersama mereka.

Namun, di sudut lain hatinya, rasa sedih dan bimbang semakin mencengkam. Meninggalkan Sofia di hospital dalam keadaan seperti ini bukanlah sesuatu yang mudah. Setiap langkah yang diambil untuk meninggalkan hospital ini terasa seolah-olah membawa dirinya semakin jauh daripada Sofia, dan itu membuatkan hatinya pedih.

"Angah, Angah okay?" suara lembut Elly memecah lamunan Emir. Dia memandang adiknya yang kelihatan prihatin.

Emir mengangguk, namun senyumannya tidak mampu menyembunyikan kesedihan yang terpendam. "Angah okay, dik. Cuma... Angah rasa serba salah. Angah nak balik, tapi angah tak sanggup tinggalkan Sofi di sini."

Datin Fauziah yang duduk di sebelah Emir memandang anaknya dengan penuh kasih sayang. "Angah, mama faham perasaan angah. Tapi Sofi di sini berada dalam jagaan yang baik. Angah pun perlu balik untuk berehat dan fokus pada pemulihan angah sendiri. Ayish dan Rin pun mesti rindu pada angah."

Emir tahu ibunya berkata benar, tetapi hatinya masih terasa berat. Dia memandang ke arah pintu wadnya, cuba mencari kekuatan dalam diri untuk menghadapi situasi ini. "Angah tahu, ma. Angah pun rindu dengan Ayish dengan Rin. Tapi hati angah tak tenang selagi Sofia masih di sini."

Datin Fauziah tersenyum lembut, cuba menenangkan hati anaknya. "Kita boleh datang melawat Sofi setiap hari, angah. Angah tak perlu risau. Yang penting sekarang, angah pulih dahulu. Nanti, angah boleh jaga Sofi dengan lebih baik."

Emir mengangguk perlahan, menerima kata-kata ibunya. Dia tahu Sofia memerlukan sokongannya, tetapi dia juga sedar bahawa dia perlu menjaga dirinya sendiri dahulu agar dapat berada di sisi Sofia dengan sepenuhnya nanti.

Dengan hati yang berat, Emir mula bersiap-siap untuk pulang. Elly membantu mengemas barang-barangnya, sementara Datin Fauziah berbicara dengan jururawat untuk menguruskan proses discaj. Setiap pergerakan terasa perlahan, seolah-olah masa berjalan dengan berat hati, enggan membiarkan Emir meninggalkan hospital itu.

Emir keluar dari wad dengan perasaan berbelah bagi, antara kegembiraan untuk pulang dan kesedihan untuk meninggalkan Sofia. Namun, dia tahu ini bukanlah perpisahan terakhir.

'I'll come tomorrow Sofi,' bisik hati kecilnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience