Bab Terakhir

Romance Completed 59279

Sofia membantu suaminya masuk ke dalam bilik dengan penuh hati-hati. Setiap langkah yang diatur Emir terasa berat, seolah-olah kesakitan di tubuhnya masih belum reda. Tetapi lebih dari itu, fikirannya jelas masih berserabut.

Sebaik sahaja pintu bilik ditutup, Sofia tidak dapat menahan dirinya lagi. Tanpa berkata apa-apa, dia terus merangkul tubuh Emir, wajahnya disembamkan ke dada lelaki itu.

Air matanya yang sejak tadi ditahan, akhirnya jatuh juga. Teresak-esak dia menangis, bahunya terhinjut-hinjut menahan esakan yang tidak mampu dikawal lagi. Emir tersentak.  Perlahan-lahan, tangannya mengangkat wajah Sofia, kedua belah pipi isterinya dipegang lembut.

"Sayang..." Emir mengusap pipi Sofia, mengelap air matanya yang semakin laju mengalir.

Sofia menggeleng perlahan, cuba menenangkan dirinya, tetapi gagal.

"Saya... saya takut, Emir," suaranya pecah di tengah-tengah tangisan.

Emir tidak berkata apa-apa. Dia hanya memandang isterinya, memberi ruang untuk Sofia meluahkan semuanya.

"Saya ingatkan saya dah cukup kuat. Saya ingat saya boleh hadap semua ini dengan tenang. Tapi bila Ziyad beritahu saya, awak kat mana tadi... Bila saya tahu awak pergi seorang diri..." Sofia menggeleng lagi, suaranya semakin sayu. "Saya tak boleh fikir apa-apa lagi, Emir. Saya takut saya akan kehilangan awak... lagi."

Emir menarik nafas perlahan. Hatinya terasa berat mendengar luahan itu.

"Saya tak tahu apa saya akan buat kalau sesuatu terjadi pada awak," Sofia menyambung, suaranya hampir berbisik.

Mata mereka bertaut.

Sofia menggenggam kuat baju di dada Emir, dadanya masih berombak menahan emosi.

"Saya tak mahu kehilangan awak lagi."

Emir menutup matanya seketika, cuba mengawal emosinya sendiri.

Tanpa berkata apa-apa, dia menarik Sofia ke dalam dakapannya.

Memeluk isterinya erat, seolah-olah cuba menenangkan kegelisahan yang bergolak dalam hati wanita itu.

"Saya tak akan pergi ke mana-mana, sayang," bisik Emir di telinga Sofia. "Saya janji."

Sofia memejamkan matanya, menikmati kehangatan pelukan itu.

Tangisannya masih belum reda, tetapi pelukan Emir memberi sedikit ketenangan dalam hatinya.

"Jangan tinggalkan kami," Sofia merayu, suaranya teresak.

Emir mengusap lembut belakang kepala isterinya. "Tak pernah terlintas pun dalam fikiran saya untuk tinggalkan awak dan anak-anak, sayang."

Sofia menahan esakan, jemarinya masih mencengkam erat baju suaminya. Emir mengangguk, mencium ubun-ubun Sofia dengan penuh kasih sayang.

Selepas, Sofia tenang, Emir membersihkan diri dan berbaring di sebelah Sofia dengan wajah berkerut-kerut menahan sakit. Setiap pergerakan kecil pun terasa seperti menyucuk rusuknya, tetapi lebih daripada itu, hatinya terasa lebih sakit melihat Sofia yang masih menangis di sebelahnya.

Sofia menarik nafas dalam-dalam, cuba mengawal emosinya. Dia menggeleng perlahan sambil mengelap air matanya yang masih bersisa.

"Marah yang semalam pun belum habis... hari ini awak bagi saya sebab baru untuk marah."

"Silih berganti emosi awak malam ni ya," ejek Emir. Panahan mata Sofia terasa amat tajam mebuatkan emir terus diam.

Emir tersenyum kecil, memandang isterinya dengan mata penuh rasa sayang. "Awak ingat saya sengaja cari penyakit?"

Sofia menjeling. "Saya tak tahu... mungkin? Sebab dari awal kenal awak sampai sekarang, hidup awak penuh risiko."

Emir mengangkat kening sedikit. "Risiko yang paling besar dalam hidup saya...kehilangan awak, " Dia menarik Sofia lebih dekat, wajahnya hanya beberapa inci dari wajah isterinya. 

Sofia terkedu. Jantungnya tiba-tiba berdegup kencang. Dia berdehem dan memusingkan matanya ke atas, berpura-pura tidak terkesan. "Haah... Mulalah tu nak ubah topik.. Saya cakap pasal..."

Emir ketawa kecil. Dia mengucup pipi Sofia dengan lembut, menyebabkan wanita itu terus terdiam. Sofia berdecit, tidak puas hati dengan reaksi lelaki itu. "Gatallah awak ni!"

Emir mengangkat bahu, matanya bersinar penuh usikan. "Saya gatal dengan awak aje tahu. Awak nak ke saya menggatal dengan orang lain?" 

Sofia menepuk dada Emir dengan geram. Emir mengerang kesakitan serta-merta. "Ahh!"

Sofia terkejut besar, panik serta-merta. "Astaghfirullahalazim! Sorry, sorry! Saya lupa awak tengah sakit!"

Dia terus duduk, mengusap lembut dada Emir seolah-olah itu boleh menghilangkan kesakitan.

Emir masih mengerang, tetapi matanya bersinar penuh dengan drama. "Saya rasa... ini penghujung hidup saya."

Sofia mengetap bibir. "Emir..."

"Sampaikan salam saya pada Farish dan Irina..."

Sofia mengetap gigi. "Emir!"

"Beritahu mereka papa mereka seorang lelaki yang kacak..."

"Awak nak saya tambahkan sakit awak eh?!" ugut Sofia sambil mencubit lengan suaminya.

Emir ketawa kecil tetapi masih meringis. "Aduh, sayang, janganlah garang sangat. Saya kan tengah sakit?" Emir tersenyum lebar, walaupun jelas wajahnya masih terasa sakit.

"Sorry sayang tapi mata awak bengkak sangat. Comel pula," Emir gelak kecil

Sofia mengosok matanya, kemudian menggeleng perlahan. "Lain kali, jangan buat saya risau sampai menangis macam ni lagi."

Emir menggenggam tangan Sofia dan meletakkannya di dadanya. "Saya janji, sayang."

Sofia menghela nafas panjang. "Haih, janji awak tu... saya harap saya boleh percaya."

Emir mengangkat tangan kanan, seolah-olah sedang bersumpah. "Janji kali ni ada cop mohor."

Sofia tergelak kecil akhirnya. Emir tersenyum puas. Malam itu mereka tidur dengan tenang. 

Keesokan oaginya, Sofia terjaga apabila terasa hembusan nafas hangat di telinganya, disusuli dengan suara yang perlahan tetapi jelas di telinganya.

"Bangun pun princess ni," usik Emir, suaranya lembut tetapi menggoda.

Sofia mengerutkan dahi sedikit sebelum membuka matanya perlahan-lahan. Cahaya matahari yang masuk dari jendela membuatkan dia sedikit silau. Dia memisat-misat matanya, kemudian meraba telekung yang masih tersarung di kepalanya sebelum membukanya perlahan.

Dia menguap kecil, masih dalam keadaan mamai.

"Sorry..." Sofia bersuara perlahan. "Saya nak buatkan awak breakfast tadi, tapi tertidur pula."

Emir tersenyum melihat wajah isterinya yang masih sedikit keliru dalam separa sedar. Dia duduk di tepi katil, matanya tidak lepas daripada wajah Sofia.

Sofia hendak bangun, tetapi Emir dengan pantas menarik tangannya, menahannya daripada bergerak.

"Saya tak nak breakfast," suara Emir rendah dan tenang. "Saya nak bagitahu awak sesuatu,"

Sofia memandang Emir dengan sedikit pelik. "Apa dia?"

Emir menatap isterinya seketika sebelum bersuara, kali ini dengan nada lebih santai.

"Mama suruh kita balik White Cottage tengah hari ni. Nak makan sama-sama."

Wajah Sofia sedikit berubah. "Papa awak ada?"

Emir mengangguk sambil mengucup lembut kening Sofia. "Papa yang suruh jemput."

Tengah hari itu, mereka berempat bersiap menuju ke White Cottage. Sofia duduk di dalam kereta dengan hati yang sedikit berdebar, tetapi dia cuba menyembunyikan rasa gementarnya dengan berbual kosong dengan anak-anak.

"Farish nak makan apa nanti?" tanya Sofia, menoleh ke arah anak lelakinya yang duduk di belakang.

"Nak ayam goreng!" sahut Farish dengan penuh semangat.

Irina menyampuk, "Rin nak kek coklat nenek buat!"

Emir yang duduk di sebelah hanya memerhatikan gelagat isterinya dengan senyuman memahami. Sebaik sahaja tiba di hadapan White Cottage, Farish dan Irina tidak menunggu lama. Mereka terus berlari ke dalam rumah, menjerit dengan penuh teruja, "Nenek!"

Sofia yang baru mahu membuka pintu kereta menarik nafas dalam-dalam sebelum menghembus perlahan.

Dia rasa seperti ada batu besar yang menghimpit dadanya. Emir tidak terus keluar dari kereta. Sebaliknya, dia menoleh ke arah Sofia, kemudian memegang kedua-dua bahu isterinya dengan lembut.

Mata mereka bertaut.

"Kalau awak tak ready, kita balik aje. Saya tak sampai hati tengok awak macam ni," suara Emir perlahan, penuh perhatian.

Sofia memandang suaminya lama sebelum akhirnya mengukir senyuman kecil.

"Saya okay," balasnya lembut.

Emir mengeluh kecil sebelum menarik Sofia perlahan ke dalam pelukannya, memberikan sedikit ketenangan kepada isterinya.

Namun, detik penuh emosi itu terganggu dengan bunyi seseorang berdehem kuat dari luar.

"Errr... tak boleh sabar sikitkah?"

Sofia dan Emir tersentak. Mereka berpaling serentak. Elly sedang menyandar di kereta dengan tangan bersilang di dada, wajahnya menahan ketawa.

"Saya ni panggil dua kali dah, tapi nampaknya Angah dengan Sofi ni dah ada di dunia sendiri," Elly mengangkat kening nakal.

Emir tersengih, manakala Sofia sudah merah padam menahan malu.

Ketawa kecil terbit dari mulut ELly. "Jomlah masuk, mama dengan papa dah tunggu."

Mereka duduk di meja makan, menikmati hidangan tengah hari seperti biasa. Farish dan Irina riuh bercerita tentang sekolah, sesekali mencuit ayam goreng di pinggan masing-masing tanpa menghiraukan sesiapa.

Datin Fauziah dan Elly rancak berbual sesama sendiri, berkongsi cerita tentang jiran-jiran lama dan perancangan kenduri di yang bakal diadakan bulan depan.

"Acik Yah tu masih macam dulukah, mama?" tanya Elly sambil mengunyah perlahan.

"Apa lagi, Dik. Masih sibuk jaga tepi kain orang," Datin Fauziah menjawab sambil menggeleng.

Mereka semua ketawa kecil.

"Kalau dia tahu pasal semua yang berlaku kat keluarga kita, mesti habis satu kampung dia cerita," Elly menambah dengan nada berseloroh.

Sofia yang mendengar perbualan itu hanya tersenyum kecil, sesekali mengerling ke arah Datuk Emran yang masih diam sejak tadi.

Usai makan, Sofia bangun untuk membantu Elly mengemas meja makan. Tetapi sebelum sempat dia menyingsing lengan baju untuk mencuci pinggan, Elly menahan tangannya.

"Tinggalkan aje. Biar aku buat."

Sofia mengerutkan dahi. "Tak apa, aku tolong sekali..."

Elly menggeleng dengan senyuman kecil.

"Papa nak jumpa kau dengan Angah."

Sofia terkedu seketika. Dia menelan air liur, jantungnya terasa berdegup lebih laju daripada biasa. Elly perasan perubahan itu. Dengan cepat, dia menolak Sofia keluar dari dapur.

"Jangan fikir sangat, Sofi. Pergilah," katanya sambil tersenyum kecil.

Sofia menarik nafas dalam, kemudian melangkah perlahan ke ruang tamu.

Di sana, Emir sudah duduk di sofa bersama Datin Fauziah dan Datuk Emran.

Emir melihat Sofia dengan lembut, kemudian menepuk tempat kosong di sebelahnya. Sofia mengangguk perlahan dan melabuhkan duduk di sebelah suaminya.

Jarinya secara tidak sedar menguis-nguis hujung baju, cuba menghilangkan gementar yang semakin menyesak di dada. Emir yang perasan perbuatan itu segera mencapai tangan Sofia, menggenggamnya erat dalam genggamannya. Sofia berpaling, memandang Emir seketika sebelum menghela nafas perlahan.

Suasana terasa sedikit janggal. Sehinggalah suara Datuk Emran akhirnya memecah kesunyian.

"Emir... Sofi..."

Sofia dan Emir sama-sama berpaling ke arah Datuk Emran yang kini memandang mereka dengan pandangan yang sukar ditebak.

Lelaki itu menarik nafas panjang sebelum bersuara lagi.

"Papa nak minta maaf atas semua benda yang berlaku."

Sofia terkedu.

Emir hanya diam, menanti butiran lanjut daripada ayahnya.

Datuk Emran melepaskan keluhan berat. "Papa tahu, selama ni papa selfish. Papa fikir papa boleh kawal semua benda... sampai papa lupa yang akhirnya papa hanya menyakiti orang yang papa sayang."

Sofia menelan air liur.

"Papa silap, Sofi. Papa silap dalam banyak perkara." Datuk Emran menggeleng perlahan, suaranya dipenuhi dengan rasa kesal. "Papa tahu papa bukan ayah yang sempurna... dan papa tahu papa bukan mentua yang baik untuk Sofi."

Sofia mengetap bibir.

"Selepas apa yang berlaku... selepas papa hampir kehilangan semuanya, papa sedar..." Datuk Emran menghela nafas berat, matanya kelihatan berair. "Tak berbaloi kehilangan anak papa sendiri demi harta yang tak boleh dibawa mati,"

Suasana menjadi sepi. Datin Fauziah mengalihkan pandangan, cuba menahan air mata daripada jatuh.

Emir menundukkan kepala, menggenggam tangan Sofia lebih erat. Sofia menggigit bibirnya. Dia tahu betapa beratnya untuk Datuk Emran mengucapkan kata-kata itu.

"Papa..." suara Emir serak.

Datuk Emran memandang anak lelakinya. "Papa tak nak terus jadi orang yang angkuh, Angah. Papa tak nak akhir hayat papa hidup dalam penyesalan,"

Sofia menarik nafas dalam sebelum akhirnya bersuara.

"Papa..."

Semua mata memandangnya.

Sofia menggenggam tangan Emir dengan lebih erat sebelum menatap wajah mentuanya dengan penuh makna.

"Saya maafkan papa."

Datuk Emran terkedu. Matanya berkaca, tetapi dia segera menundukkan wajahnya, menahan emosi yang hampir pecah. Datin Fauziah mengesat pipinya yang sudah basah.

Sofia mengangguk perlahan, menatap wajah mentuanya yang kini kelihatan lebih tenang, lebih terbuka.

"Saya pun bukan sempurna, papa. Saya pun ada banyak salah silap."

Datuk Emran mengangkat wajahnya, memandang Sofia dengan mata yang redup. Ada sesuatu dalam renungan lelaki itu, sesuatu yang Sofia tidak pernah lihat sebelum ini. Keikhlasan.

"Kita semua buat kesilapan, papa. Tapi yang penting, kita belajar darinya... dan kita bina sesuatu yang lebih baik selepas ini."

Datuk Emran mengangguk kecil. Perlahan-lahan, dia menoleh ke arah Emir.

"Terima kasih, Angah... sebab dah tunjukkan pada papa, harta bukan segala-galanya. Papa minta maaf ya?"

Emir tersenyum kecil, menggeleng perlahan. "Angah dah lama maafkan papa."

Saat itu, seolah-olah beban besar yang selama ini menghimpit mereka semua... akhirnya hilang.

Mereka kini bersedia untuk membuka buku baru bersama keluarga yang masih ada.

Selepas beberapa ketika, Emir menarik lembut tangan Sofia.

"Jom jalan kejap?" bisiknya perlahan.

Sofia memandang Emir dengan sedikit pelik tetapi tetap mengangguk.

Mereka keluar dari rumah, berjalan perlahan-lahan di halaman White Cottage. Langit mulai beransur senja, tetapi suasana di sekeliling mereka terasa tenang. Angin petang yang bertiup lembut menambah rasa damai dalam hati Sofia.

Emir menggenggam jari-jemari isterinya erat, seolah-olah cuba menyampaikan sesuatu yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.

"Saya tahu saya banyak buat awak sakit hati, banyak buat awak risau..." suara Emir kedengaran perlahan. Setiap bait katanya menikam terus ke hati. "Tapi satu benda yang saya tak akan buat lagi... Saya tak akan lepaskan awak."

"Saya sedar, saya bukan lelaki sempurna, tapi saya cuba jadi yang terbaik untuk awak, untuk anak-anak. Dan saya nak awak tahu, selagi saya bernyawa, saya akan ada untuk awak. Saya tak akan tinggalkan awak macam mana saya pernah buat dulu."

Matanya menikam terus ke dalam mata Sofia, penuh dengan ketulusan. Sofia menelan air liur perlahan. Hatinya terasa hangat.

Dia memerhati wajah Emir dalam-dalam. Senyuman kecil mula terbit di bibirnya. Emir menggenggam tangan Sofia lebih erat. "Saya janji, saya akan buat awak jatuh cinta pada saya berkali-kali."

Sofia memandang Emir lama, membiarkan setiap kata-katanya meresap ke dalam hati. Untuk pertama kalinya, tidak ada lagi dinding yang menghalangnya daripada percaya.

Yang tinggal hanyalah rasa yakin, Emir adalah satu-satunya tempat hatinya akan pulang, tidak kira apa pun yang berlaku.

"Kalau macam tu..."Sofia tersenyum kecil, matanya bersinar penuh rasa cinta. "Jangan berhenti buat saya jatuh cinta."

Almost a year in the making, and TPA is finally complete. May the ending leave a mark, whether a smile, a sigh, or a lingering thought. If you have words to share, I welcome them—kind or critical, they all help me grow. Forgive any flaws; perfection has never been my craft, only storytelling. Thank you for sticking around, for reading, and for welcoming me back after six years away from writing.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience